About

Blog tentang aktiviti-aktiviti amal di dalam dan luar Malaysia

More About Me...

Kita pesimis dengan kesengsaraan insan yang menderita di serata dunia. Laman ini cuba mengundang kembali sekelumit fitrah insani yang cakna dan peka dengan kesengsaraan insan lain. Infaq di jalan Allah...

RSS Subscribe

Booking.com

Wednesday, December 21, 2016

Kutu Akhirat - inisiatif membantu Madrasah Hashimiah

Pada awal November 2016, satu mesyuarat telah diadakan di Madrasah Hashimiah berikutan masalah kekurangan dana yang melanda Madrasah Hashimiah. Cetusan idea sukarelawan Kindness Malaysia semasa perbincangan di dalam mesyuarat tersebut, maka KUTU AKHIRAT ini diwujudkan.

Ilham Kutu Akhirat ini timbul apabila melihat masyarakat terutama orang Melayu gemar bermain kutu, sama ada berbentuk wang tunai, emas, barangan, hiasan rumah dan pelbagai bentuk kutu yang lain. Ingin mencari kelainan tetapi tetap menggunakan konsep yang sama, maka Kutu Akhirat ini dilaksanakan dengan motif membantu menampung kekurangan dana di Madrasah Hashimiah.

Kutu Akhirat yang telah dibukukan

Umum mengetahui, Madrasah Hashimiah mengalami susut kewangan yang amat teruk kesan dari kegawatan ekonomi dan ia turut dirasai oleh pusat-pusat tahfiz Al-Quran dan Rumah-rumah Anak Yatim yang lain. Pernah pada suatu masa, anak-anak Madrasah Hashimiah hanya mampu berlaukkan telur atau kentang sahaja sebagai juadah harian mereka.


Anak-anak Madrasah Hahimiah

Madrasah Hashimiah merupakan pusat tahfiz Al-Quran yang menempatkan anak-anak pelarian yatim Rohingya dan Myanmar Muslim. Lokasi Madrasah Hashimiah ialah di deretan kedai 3 tingkat Pasar Borong Selayang, Batu Caves, Kuala Lumpur. Seramai 171 murid yang mengaji di madrasah ini, di mana sebahagiannya menjadikan madrasah ini sebagai asrama mereka memandangkan mereka anak-anak yang kematian ibu atau ayah dan selebihnya tinggal bersama keluarga yang daif di sekitar pasar borong tersebut.


Suasana pembelajaran di madrasah 

Pengasas Kindness Malaysia yang juga merupakan Pengerusi Madrasah Hashimiah bertanggungjawab untuk membantu perjalanan dan operasi seharian madrasah ini. Maka, pada 22 November 2016, secara rasminya Kutu Akhirat ini dimulakan. Pulangan kutu ini tidaklah dalam bentuk tunai mahupun barangan tetapi pulangannya dalam bentuk saham di akhirat nanti, inshaAllah. 

Kutu dibahagikan kepada dua kategori iaitu RM10 dan RM20. Penderma boleh memilih sama ada ingin menyertai kutu RM10 atau RM20 atau kedua-duanya sekali. Kutipan kutu yang berkonsepkan derma ini dibuat pada 10 haribulan setiap bulan. Kutu ini akan dikumpulkan oleh dua orang sukarelawan Kindness Malaysia atau lebih dikenali dengan panggilan ibu dan bapa kutu yang dilantik oleh pihak Kindness Malaysia sendiri. Group whatsapp juga telah dibuka untuk setiap kumpulan dan dihadkan kepada 20 orang setiap kumpulan.

Senarai nama penderma Kutu Akhirat

Jumlah terkumpul Kutu Akhirat ini akan disalurkan kepada Madrasah Hashimiah bagi membeli barang keperluan harian mereka dan bagi menampung kos operasi madrasah. Sekurang-kurangnya, beban mereka dapat diringankan dan pasti rezeki mereka setiap bulan tidak putus. Itulah matlamat kami, memastikan dana sentiasa masuk ke Madrasah Hashimiah.

Alhamdulillah..setelah sebulan dilancarkan dan dilaksanakan, Kutu Akhirat ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada semua orang terutama ahli Kindness Malaysia  sendiri dan orang perseorangan. Perlaksanaannya nampak amat baik sekali. 

Sama-sama kita doakan semoga perjalanan Kutu Akhirat ini terus konsisten pada setiap bulan agar kita dapat terus membantu Madrasah Hashimiah. Walaupun ia nampak kecil, tetapi impaknya amat besar kepada anak-anak ini yang amat memerlukan bantuan kita semua. Siapa tahu, berkat bantuan dari kita semua, anak-anak ini akan dapat belajar dengan lebih selesa dan dapat menjalani rutin harian seperti kita semua.

Apa yang lebih penting adalah keikhlasan kita semasa menderma, walaupun cuma RM1. Peluang untuk sama-sama menjana saham akhirat ini, masih lagi kami buka. Sila whatsapp no. hp tertera untuk menyertai Kutu Akhirat: 013-2900 246 (Iman) atau 013-2840 838 (Shahrizal).



Nombor akaun Madrasah Hashimiah

Untuk info lanjut mengenai Madrasah Hashimiah boleh layari laman blog  http://hashimiah.blogspot.my/
Untuk sumbangan kewangan terus kepada Madrasah Hashimiah, boleh dibuat melalui akaun CIMB BANK, nombor akaun : 8600202864 (Madrasah Hashimiah).
No tel pejabat/whatsapp/sms: 018-288 2754. Email: mhashimiah@gmail.com
Alamat: No. 111-3, Kompleks Pasar Borong, Jalan 2/3A, KM12 Jalan Ipoh, Pusat Bandar Utara Selayang, 68100 Batu Caves, Kuala Lumpur.

Terima kasih para penderma dan semua yang budiman yang telahpun menyertai Kutu Akhirat. Terima kasih juga kepada rakan-rakan Kindness Malaysia dan pihak Madrasah Hashimiah yang banyak membantu dan menyokong penuh perjalanan Kutu Akhirat ini. Barakallah.


Iman Nur Alia
Projek Koordinator Kutu Akhirat
Kindness Malaysia


0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...