About

Blog tentang aktiviti-aktiviti amal di dalam dan luar Malaysia

More About Me...

Kita pesimis dengan kesengsaraan insan yang menderita di serata dunia. Laman ini cuba mengundang kembali sekelumit fitrah insani yang cakna dan peka dengan kesengsaraan insan lain. Infaq di jalan Allah...

RSS Subscribe

Pengiktirafan dari World Kindness Movement

Kindness Malaysia kini secara rasminya merupakan ahli World Kindness Movement

Misi Bantuan Kemanusiaan Untuk Mangsa Rohingya di Arakan, Myanmar

Bersama pelarian Rohingya di Arakan (Rakhine), Myanmar

Bantuan Perubatan di Hebron, Palestine

Vitamin C untuk anak-anak Palestine di Hebron

Ziarah ke perkampungan orang asli

Bersama sukarelawan ke kampung orang asli di Pos Betau, Pahang.

Misi Gelandangan Feed The Homeless

Misi Gelandangan Feed The Homeless yang dijalankan setiap hari Sabtu 2 minggu sekali di sekitar Kuala Lumpur

Booking.com

Monday, August 20, 2018

Futsal Piala Kindness 2018 satu kejayaan buat semua

Peserta futsal, penyokong, sukarelawan dan NGO yang terlibat

1 April 2018 merupakan satu tarikh keramat buat Kindness Malaysia kerana telah menganjurkan Kejohanan Futsal Piala Kindness edisi ketiga sejak ia diperkenalkan pada tahun 2014. Kejohanan futsal ini diadakan di KSL Futsal Centermart, Setapak, Kuala Lumpur. Lokasi KSL Setapak ini dipilih sesuai dengan kemudahan yang ada di lokasi futsal selain mempunyai tempat letak kenderaan yang luas. Acara penuh gilang-gemilang saban 2 tahun sekali ini melibatkan 38 buah pasukan yang datangnya daripada pelbagai rumah kebajikan sekitar Semenanjung Malaysia dan melibatkan peserta futsal berumur 17 tahun dan ke bawah.

Seramai 300 sukarelawan daripada pelbagai NGO yang telah bekerjasama berganding bahu sepanjang kejohanan tersebut. Pertandingan ini juga dihadiri lebih 700 penyokong pelbagai rumah kebajikan iaitu anak-anak asnaf, miskin bandar, yatim dan pelarian muslim Myanmar, Syria, Somali, Afghan dan Rohingya. 

Seawal jam 8.00 pagi, para peserta futsal dan penyokong mula membanjiri lokasi futsal untuk sesi pendaftaran dan sarapan pagi. Satu demi satu pasukan tiba dengan pelbagai aksi menceriakan dan seakan tidak sabar untuk beraksi di atas gelanggang futsal. Mereka disambut penuh gilang gemilang oleh para sukarelawan kerana merekalah VVIP kami pada hari itu.

Ketibaan peserta disambut penuh meriah 

Sesi pendaftaran 


Sesi pemanas badan iaitu acara zumba terus dimulakan 

Perasmian kejohanan pula diadakan selepas acara zumba selesai. Pihak Kindness Malaysia berbesar hati memilih anak-anak asnaf ini sebagai perasmi Futsal Piala Kindness kerana merekalah VVIP kami pada hari penuh bersejarah itu. Muzik hebat alunan Big Bear DJ membuat suasana sekitar futsal bertambah meriah. Saat reben dipotong oleh salah seorang dari mereka dan disambut dengan sorakan dan tepukan gemuruh daripada ratusan anak-anak istimewa ini, maka perasmian telah selesai dan berlangsung dengan jayanya.

Perasmian oleh anak-anak asnaf

Usai perasmian, mereka disajikan dengan taklimat format perlawanan oleh Ketua Pengadil Kejohanan dan wakil dari Rakan NGO, iaitu Chelsea Soljabiru yang bertanggungjawab mengurus perlawanan pada hari itu. Anak-anak ini nampak seronok dan sedia mendengar dan menerima taklimat dari mereka.

Bacaan doa oleh Encik Karim, penjaga anak-anak ASDAF (Asrama Darul Falah)

Sepak mula perlawanan dimulakan pada jam 10.00 pagi. Sebanyak lima gelanggang futsal disediakan untuk perlawanan futsal sementara dua gelanggang disediakan untuk anak-anak kecil yang tidak terlibat dengan futsal dan para pemain berlatih. Peserta futsal bermain penuh semangat bersama rakan-rakan sepasukan. Saingan cukup hebat walaupun ada antara pasukan yang baru pertama kali berjumpa. Kejohanan bertambah meriah dengan sokongan padu dari penyokong setiap rumah yang terlibat. 

Pasukan perempuan ASDAF gembira selepas menjaringkan gol

Pasukan Nur Iman FC yang diuruskan oleh Kindness Pahang cukup bertenaga semasa perlawanan

Para penyokong dari SBJK FC (Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih, Chow Kit) memeriahkan suasana

Peserta yang mengalami kecederaan dirawat oleh team fisio

Ambulans disediakan untuk sebarang kecemasan

38 pasukan dari pelbagai rumah kebajikan ini masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri dalam kejohanan futsal ini. Ada pasukan yang telah biasa berfutsal malah ada juga yang belum biasa berfutsal. Di Futsal Piala Kindness inilah mereka disatukan dan ditemukan seterusnya dapat merapatkan silaturrahim sesama mereka. Anak-anak pelarian Myanmar muslim, Rohingya, Syria, Afghan dan Somali ini pula, walaupun mereka berlainan kulit, warna dan rupa tetapi itu bukanlah penghalang kepada mereka untuk beraksi di atas gelanggang futsal ini. Di sini jugalah tempat penyatuan anak-anak orang asli , anak-anak yatim, miskin, asnaf dan meereka yang kurang bernasib baik yang menjadikan futsal ini sebagai platform untuk mereka bergaul lebih akrab.

Pasukan "Anbu Illam" yang dibawa oleh NGO Caring Heart

Pasukan PEKEAS FC (Pertubuhan Kebajikan  Ash Shakur), Rawang yang diuruskan oleh saudari Noriah, salah seorang sukarelawan Kindness Malaysia

Sementara itu, di satu sudut yang lain, kehadiran Siso The Clown amat disenangi oleh anak-anak ini semua. Mereka berpeluang bergambar dan bergembira bersama dengan Siso The Clown. Bukan senang anak-anak ini dapat peluang sebegini. Itulah antara matamat utama kami di Kindness Malaysia, menyebar dan memberi kegembiraan kepada semua terutama golongan yang kurang bernasib baik.

Salah seorang penyokong bergambar bersama Siso The Clown

Photobooth percuma tajaan QSR Brands 

Perlawanan peringkat kumpulan berjalan dengan lancar dan meriah. Tepat jam 1.15 tengah hari, perlawanan direhatkan seketika bagi memberi laluan kepada solat Zohor. Makan tengah hari juga disediakan di lokasi yang kami namakan "Food Island". Ratusan makanan disediakan dan diambil secara percuma khas untuk anak-anak asnaf ini dan semua yang terlibat termasuklah para sukarelawan dan rakan-rakan NGO. Makanan dan minuman seperti pizza hut, kek coklat, roti krim, cup cakes, pelbagai buah campur seperti pisang, pelbagai minuman seperti milo dan yakult, air mineral, kuih-muih dan makanan tengah hari, nasi goreng ayam campur, ayamas chicken rice dan makanan ringan seperi mamee monster disediakan di Food Island.   

"Food Island" yang menempatkan pelbagai makanan dan minuman secara percuma

Air minuman Lucozade sebagai penaja rasmi minuman untuk Futsal Piala Kindness

Perlawanan persahabatan diadakan di antara pasukan Kindness Malaysia dan Kindness All Star sebelum perlawanan akhir berlangsung. Kindness All Star dipilih dari adk-adik yang dilihat telah beraksi cemerlang sepanjang perlawanan di peringkat kumpulan. Perlawanan cukup meriah dan santai dengan sorakan daripada semua yang hadir. 

Perlawanan persahabatan Kindness Malaysia vs Kindness All Star

Sebelum sepak mula perlawanan akhir berlangsung, sesi memperkenalkan pemain kepada PFAM (Professional Footballers Association of Malaysia) diadakan. Pihak PFAM yang dijemput menghadiri Futsal Piala Kindness ini sentiasa memberi sokongan penuh kepada kejohanan ini sejak Futsal Piala Kindness diperkenalkan lagi pada tahun 2014.

Sesi memperkenalkan pemain kepada PFAM

PFAM bersama jemputan terhormat fokus memerhati aksi perlawanan akhir

Dua pasukan perempuan iaitu ASDAF FC dan NURI FC di perlawanan akhir 
bergambar bersama PFAM

Istimewanya pada hari kejohanan adalah acara selingan iaitu pelancaran aplikasi Kindness Malaysia yang telah ada di Google Play. Selain itu, antara yang menarik dan cukup unik, turut dipersembahkan sokongan dari rakan kerjasama Kindness Mexico dan World Kindness Movement yang menawarkan pemberian makanan percuma kepada orang ramai yang memerlukan mengikut jumlah gol yang telah dijaringkan sepanjang Futsal Piala Kindness 2018.

Sebanyak 311 gol telah dijaringkan bermakna 3,110 penerima akan mendapat 
makanan percuma di Mexico

Pada jam 3.45 petang, perlawanan akhir tamat. Penuh mendebarkan dan cukup meriah. Tahniah diucapkan kepada pasukan yang menang dan diharapkan pasukan yang kalah tidak akan kecewa. Syabas kepada semua peserta. Berikut merupakan keputusan penuh Kejohanan Futsal Piala Kindness 2018 :-

Kategori Lelaki.

Juara: RJ Alia FC (Rumah Jagaan Alia, Kedah)
Naib Juara : Al-Ijabah FT (Maahad Sains Al Quran Al Amin)
Ketiga: Hashimiah FC (Madrasah Hashimiah, Selayang)
Keempat: Afghan FC (Afghan Learning Centre, Ampang) 

Kategori Perempuan.

Juara: Asdaf United (Asrama Darul Falah, Bukit Persekutuan)
Naib Juara : Nuri FC Girlz (Rumah Nuri, Setapak)
Ketiga: Asdaf City (Asrama Darul Falah, Bukit Persekutuan)
Keempat: PEKEAS Girls FC (Pertubuhan Kebajikan Ash Shakur, Rawang)

Pemain terbaik (lelaki) : Saen (Al Ijabah FT)
Pemain terbaik (perempuan) : Norfarhana Atiqa (Nuri FC Girlz) 

Pengurus Terbaik (lelaki) : Hafeez Nazri (ASDAF) 
Pengurus Terbaik (perempuan) : Kak Yana Preloved4Charity (Nuri FC Girlz) 

Pasukan pilihan (lelaki) : SBJK FC (Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih, Chow Kit)
Pasukan pilihan (perempuan) : RKH Girls FC (Rumah Kasih Harmoni, Paya Jaras)

Pemain terbaik lelaki

Pemain terbaik wanita


RJ Alia FC - Johan kategori lelaki 

ASDAF FC - Johan kategori perempuan

Johan Futsal Piala Kindness 2018 membawa pulang piala pusingan tajaan Chelsea Soljabiru, wang tunai sebanyak RM2,000 tajaan Bee Storm, medal tajaan MILO Malaysia, goodies bag tajaan MRT Malaysia dan Volkswagen Malaysia, hamper tajaan Junny Erfisyahry dan rakan-rakan, slot clown party tajaan Siso The Clown serta Hotwheels tajaan Dark Alley dan Leggodt Play Well. Naib Juara pula membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500 beserta medal, hamper dan hadiah manakala tempat ketiga membawa pulang wang tunai RM1,000 beserta medal, hamper dan hadiah. Tempat keempat pula membawa pulang medal, hamper dan hadiah dan semua pasukan yang bertanding membawa pulang hamper dan hadiah.

Medal sumbangan MILO Malaysia

Rakan-rakan NGO sebagai penerima Anugerah Khas Futsal Piala Kindness 2018 yang mendapat tajaan hotwheels oleh Dark Alley dan Leggodt Play Well. 


 
Penaung Kindness Malaysia, Dato' Adnan Bin Zainal turut memberi sepatah dua kata

Penutup majlis diakhiri dengan bacaan doa

Sesi penyampaian hadiah berjalan lancar sebelum ucapan oleh Pengasas Kindness Malaysia, Encik Muhammad dan para jemputan yang hadir. Majlis berakhir pada jam 6.00 petang dan sesi media diadakan sebelum semua bersurai. Terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung demi menjayakan kejohanan Futsal Piala Kindness edisi ketiga ini terutama rakan-rakan NGO yang terlalu banyak membantu dalam segala hal iaitu Empire Project, Chelsea Soljabiru, Preloved4Charity, Humanity, Kelas Kaseh, Institut Professional Baitulmal, Projek Ihsan, The Patriots, iGunners, Gerakan Sukarelawan Malaysia, Caring Hearts, Braille Volunteer Services, Picoms, Komuniti Pandan Prihatin, The Gagak dan rakan-rakan NGO yang lain.

Rakan NGO yang terlibat 

Tidak dilupakan sekalung penghargaan buat setiap sukarelawan yang terlibat melancarkan kejohanan kali ini bermula dari sebelum kejohanan, semasa dan selepas kejohanan. Mereka yang bertungkus lumus mendapatkan tajaan, menguruskan pasukan, membeli peralatan futsal, melatih pasukan, bangun  seawal pagi untuk menguruskan tempat futsal, memastikan semuanya teratur di bahagian makanan, hadiah, pengangkutan, PA system, pengacara majlis dan semua yang berkaitan dengan hal-hal kejohanan. Syabas dan tahniah semua!! Inilah kejayaan terbesar buat kita semua.

Terima kasih juga kesemua para penaja yang terdiri daripada syarikat-syarikat korporat, rakan-rakan NGO dan orang perseorangan yang bermurah hati menaja dari pelbagai sudut untuk kelangsungan kejohanan futsal setiap dua tahun ini. Terima kasih  Milo Malaysia, Lucozade, MRT Corp, Volkswagen Malaysia, Yakult, U10 Crew, Nasi Lemak Maksu, QSR Brands (M) Holding Berhad, Fateema Couture, Gardenia, Sengkuang Calit Opah, De Lampu Kreatif, Hearts and Sparks, NPNG Futsal Centre, Restoren Ali Maju, Qualitas Health, Big Bear DJ, Siso The Clown, Asiana.my, Ireena Design, Matasura Services, Empire of Port Klang, Voguenista dan kesemua para penyumbang yang budiman.


Sukarelawan Kindness Malaysia yang terlibat

Futsal Piala Kindness 2018 telah mendapat liputan akhbar 

Tanpa anda semua, maka kejohanan ini tidaklah dapat berjalan seperti yang direncanakan. Alhamdulillah, kegembiraan ini dapat dirasakan oleh kesemua yang terlibat terutama sekali anak-anak VVIP kita yang diraikan. Semoga bakat sukan futsal mereka dapat dilihat dan diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi. Didoakan semoga kebaikan terus tersebar bukan sahaja dengan kejohanan futsal seperti ini malah pelbagai aktiviti kebaikan yang lain.  

Jumpa lagi di Futsal Piala Kindness 2020! ;-)

Muhammad Haziq Sazali
Projek Koordinator
Kindness Malaysia

Projek Plastik Hitam oleh Kindness Malaysia

Kami bersiap sedia dengan sarung tangan dan  plastik hitam 

Aktiviti memberi makanan kepada gelandangan di jalanan yang telah lama kami tinggalkan bukan bermakna kami melupakan mereka sang gelandangan di jalanan tetapi kami telah datangkan satu idea baru yang dinamakan "Projek Plastik Hitam". Umum mengetahui, Kindness Malaysia sudah lama menghentikan aktiviti "Feed The Homeless" dan menggantikannya dengan Feed The Homeless di Pusat Transit Gelandangan (PTG) sekitar Kuala Lumpur. 


Dengan tambahan idea yang unik iaitu "Projek Plastik Hitam" ini yang membawa misi membersihkan sampah-sarap dan sisa makanan di sekitar kawasan gelandangan, maka idea ini telahpun kami realisasikan baru-baru ini. Masih mengekalkan lokasi yang sama iaitu di sekitar Mc'd Kotaraya dan di sekitar Kolej Segi di ibu kota Kuala Lumpur. Kami melihat para gelandangan masih menerima makanan daripada mereka yang menyumbang. Pun begitu, sisa-sisa makanan masih tidak dibersihkan.

Oleh itu, skuad Plastik Hitam dari Kindness Malaysia mengambl inisiatif ini untuk sama-sama membersihkan kawasan sekitar. Kos yang digunakan cukup murah dan mudah di mana kami hanya memerlukan sarung tangan getah, plastik hitam dan pencuci tangan sahaja. 

Pelajar uniten membersihkan sampah-sarap yang ada

Malam itu, kami bersama-sama para pelajar dari Uniten membersihkan kawasan sekitar yang menjadi tumpuan para gelandangan. Tiada niat lain di hati kami selain ingin membantu membersihkan bandaraya Kuala Lumpur dan memudahkan tugasa para pekerja cleaner di siang hari.

Sisa makanan dikumpulkan dan dibersihkan

Para pelajar dari Uniten ini berbangsa India dan kami sangat teruja dan terharu dengan kesungguhan mereka berkolaborasi bersama kami membersihkan kawasan terlibat. 

"Sebelum ini saya memang ada join aktiviti beri makanan kepada gelandangan tetapi kali ni, lain dari yang lain sebab kita tolong bersihkan sampah sarap yang ada. Saya rasa seronok!," kongsi salah seorang pelajar dari Uniten pada malam itu.

Kerjasama antara sukarelawan semasa membersihkan kawasan tersebut

Projek Plastik Hitam ini berakhir pada jam 2 pagi. Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar sekali. Lega rasanya bila melihat kawasan sekitar menjadi kemas dan bersih.

Sesi perkongsian mengenai Projek Plastik Hitam

Kami semua berjalan menuju ke lokasi di mana kami berkumpul dan kami semua berkesempatan mengadakan perkongsian hasil dari program pada malam tersebut. Kami juga bertukar--tukar idea untuk mengadakan projek-projek yang akan datang. 

Gambar penutup selepas Projek Plastik Hitam

Projek Plastik Hitam ini akan kami teruskan pada masa-masa akan datang. Kepada sesiapa yang berminat untuk bersama-sama kami menggerakkan "Projek palstik Hitam" dengan lebih berjaya, bolehlah hubungi kami di facebook Kindness Malaysia.

Semoga dengan aktiviti seperti ini lebih banyak impak kebaikan akan lebih tersebar di serata tempat dan semoga lebih ramai yang akan sedar tentang kebersihan di sekitar kawasan gelandangan ini.  

Abdul Khalid Yusof
Projek Koordinator
Kindness Malaysia 


Ziarah Kindness Malaysia ke Kampung Santeh






Pada 28 Julai hingga 29 Julai 2018,  Kindness Malaysia telah menganjurkan program ziarah masyarakat Orang Asli di Kg. Santeh, Sungai Siput, Perak. Seramai 30 orang sukarelawan Kindness Malaysia dan AJK Jemaah Surau Ar-Shadiah, Pantai Dalam, telah menyantuni dan menziarahi masyarakat Orang Asli yang tinggal di kawasan pedalaman  yang terletak kira-kira 50 km dari Pekan Sungai Siput. Penduduk Kampung Santeh seramai 375 orang dan mempunyai 72 buah keluarga yang majoritinya menganut agama Islam.


Pemandangan yang indah di Kampung Santeh

Menikmati makan tengahari dengan bekal yang dibawa dan ubi kayu goreng


Setiba kami di Perkampungan Santeh dalam tengah hari, kami telah di sambut dengan meriah dan  dihidangkan makanan masakan masyarakat Orang Asli seperti ubi kayu. Kami turut berkongsi juadah yang dibawa bersama mereka untuk dinikmati bersama. Kebetulan program ziarah pada kali ini musim durian dan rambutan. Rezeki kami dihidangkan dengan pencuci mulut yang sangat lazat itu.

Buah durian dan rambutan yang dihidangkan untuk kami

Memasak sambil beramah mesra dengan penduduk kampung



Selesai  makan tengah hari, kami terus bergotong royong bersama penduduk kampung memasang khemah bagi memudahkan aktiviti dijalankan sepanjang kami berada disana. Disamping beberepa orang sukarelawan bersiap sedia untuk acara seterusnya iaitu  sukaneka dan makan malam.

Sukarelawan membantu penduduk kampung memasang khemah

Alhamdulillah khemah dapat didirikan


Acara dimulakan dengan pertandingan mewarna untuk kanak-kanak. Seramai 60 orang kanak-kanak yang turut serta dalam pertandingan mewarna ini. Mereka sungguh bersemangat untuk menyertai pertandingan mewarna dan mempunyai bakat yang tersendiri dalam mewarna.   Kemudian, setelah selesai pertandingan mewarna, pertandingan sukaneka Nerf telah dijalankan. Pertandingan ini dianjur oleh Leg Godt Play well dan hadiah telah ditaja oleh LBK Malaysia (Legion of Bricks Keeper Malaysia). Ramai yang dapat menembak dengan tepat kearah sasaran. Semua kanak-kanak gembira dan bersemangat untuk menyertai pertandingan ini.

kanak-kanak semangat mewarna


Ramai yang mempunyai bakat mewarna

Ramai kanak-kanak yang menyertai pertandingan mewarna

Salah seorang sukarelawan membantu kanak-kanak untuk mewarna

Pertandingan Nurf menarik minat kanak-kanak

Semua kanak-kanak ingin menyertai pertandingan menembak tepat ini.


Di sebelah petang pula,  acara diteruskan selepas Asar dengan mandi sungai bersama anak-anak orang asli berdekatan dengan kampung Santeh. Aktiviti ini yang paling di tunggu-tunggu oleh sukarelawan. Melihat alam anugerah ciptaan Allah yang sangat cantik memukau kami sebentar. Air sungai yang mengalir sangat jernih dan sejuk menaikkan semangat kami untuk terjun ke dalam sungai. Selesai di sungai, kami terus bersiap sedia untuk solat Maghrib berjemaah.

Sungai yang jernih dan sejuk

Sukarelawan dan kanak-kanak seronok mandi sungai


Jam 7.30 petang, penduduk kampung dan sukarelawan solat berjemaah waktu Mahgrib dan Isya'. Pengisian antara Maghrib dan Isya' diisi dengan ucapan dari Abang Karim ( Ketua Rombongan) dan diikuti tazkirah yang di sampaikan oleh Imam Surau Kg. Santeh, Ä°aitu ustaz Muhammad yang juga ditugaskan untuk mengajar dan  memantau para jemaah dan penduduk Kg Santeh.

Kuliah Maghrib yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad



Solat berjemaah bersama penduduk kampung


Selesai tazkirah, sesi perkongsian dan solat Isya', penduduk kampung dan para sukarelawan dihidangkan jamuan makan malam hasil gotong royong bersama penduduk kampung. Ada juga hidangan istimewa dari orang kampung hasil tangkapan ikan di sungai, sayur kampung dan sambal istimewa. Hidangan istimewa mewa yang membuka selera kami pada malam itu. Antara menu yang disediakan ialah kari ayam, ayam amasak kicap, tumis sayur kubis, tumis pucuk paku, masak lemak pucuk ubi, ikan tiga rasa, sambal tumbuk ikan bilis dan ikan masin. Seperti biasa ubi kayu goreng, durian dan rambutan turut disediakan sebagai pencuci mulut. Selepas makan malam, aktiviti diteruskan dengan bersantai dan ramah mesra bersama orang kampung sebelum kami berehat dan tidur

Makan malam yang di masak oleh penduduk kampung dan sukarelawan


Durian yang menjadi tumpuan sebagai pencuci mulut selepas makan

Sesi ramah mesra bersama penduduk kampung turut disediakan rambutan dan durian


Keesokan harinya di mulakan dengan solat jemaah subuh dan di ikuti kuliah subuh yang di sampaikan oleh ustaz Muhammad. Selepas kuliah subuh, diteruskan dengan persiapan sarapan pagi iaitu  Mee goreng dan Bihun goreng masakkan Abang Karim dan para sukarelawan serta penduduk kampung yang lain. Semua sukarelawan menikmatinya dengan penuh berselera.

Selesai sarapan pagi, aktiviti diteruskan dengan sukaneka dewasa Pertandingan Sumpit. Seramai 15 Orang penduduk kampung telah mengambil bahagian dan tidak melepaskan peluang untuk merebut hadiah setiap kali tembakan yang terkena pada belon.

Antara yang menyertai pertandingan menyumpit

Salah seorang penduduk kampung sedang menunjukkan aksi menyumpit


Program berakhir dan diteruskan dengan  sumbangan seperti keperluan asas kepada penduduk kampung hasil daripada kutipan sumbangan orang ramai melalui para sukarelawan. Kami juga turut membeli hasil buah durian dan rambutan daripada penduduk kampung sebagai buah tangan pulang ke Kuala Lumpur. Sebelum berangkat pulang para sukarelawan tidak melepaskan peluang untuk bergambar kenang-kenangan bersama Orang Kampung Santeh.

Gambar kenang-kenangan sebahagaian daripada sukarelawan

Tempat rehat yang dihasilkan oleh hasil seni penduduk Kampung Santeh


Terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat terutama para sukarelawan Kindness Malaysia dan Jemaah Surau Ar-Syadiah Pantai Dalam, dalam menjayakan program ziarah Kindness Malaysia ke Kampung Santeh. Jutaan terima kasih diucapkan kepada para penaja yang banyak menyumbang bagi melaksanakan program ini. Semoga aktiviti ini dapat dianjurkan lagi bagi mendekatkan kita dengan masyarakat orang asli serta mendidik diri untuk lebih bersyukur dengan nikmat yang di beri kepada kita. Terima kasih.


AMRAIL DANIAL BIN ALIAS
PROJEK KOORDINATOR 
KINDNESS MALAYSIA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...