About

Blog tentang aktiviti-aktiviti amal di dalam dan luar Malaysia

More About Me...

Kita pesimis dengan kesengsaraan insan yang menderita di serata dunia. Laman ini cuba mengundang kembali sekelumit fitrah insani yang cakna dan peka dengan kesengsaraan insan lain. Infaq di jalan Allah...

RSS Subscribe

Pengiktirafan dari World Kindness Movement

Kindness Malaysia kini secara rasminya merupakan ahli World Kindness Movement

Misi Bantuan Kemanusiaan Untuk Mangsa Rohingya di Arakan, Myanmar

Bersama pelarian Rohingya di Arakan (Rakhine), Myanmar

Bantuan Perubatan di Hebron, Palestine

Vitamin C untuk anak-anak Palestine di Hebron

Ziarah ke perkampungan orang asli

Bersama sukarelawan ke kampung orang asli di Pos Betau, Pahang.

Misi Gelandangan Feed The Homeless

Misi Gelandangan Feed The Homeless yang dijalankan setiap hari Sabtu 2 minggu sekali di sekitar Kuala Lumpur

Booking.com

Tuesday, January 23, 2018

Santunan Kindness Pahang Untuk Warga Emas


Alhamdulillah..Ketika coretan ini ditulis, bumi Pahang sedang dilanda banjir dan keadaan cuaca agak sejuk diiringi hujan rahmat berterusan. Harapan kami agar petugas banjir sentiasa tegar menjalankan amanah dan kesemua mangsa banjir selamat di tempat pemindahan sementara dan di mana jua berada.

Hari ini adalah hari di mana kami, sukarelawan Kindness Pahang dan rakan-rakan menjalankan tugas dan menyampaikan amanah yang diberi. Kami menghantar barang keperluan harian ke Rumah Kebajikan Seri Permai yang menempatkan warga emas lelaki di Taman Tas, Kuantan.


Kami tiba di lokasi pada jam 12.00 tengahari.  Selesai mengangkat barang-barang, kami berbual dengan sahabat pengurus, Encik Fauzi yang bertanggungjawab mengurus hal ehwal di Rumah Kebajikan Seri Permai. Pelbagai isu yang kami bualkan, antaranya, keperluan, permasalahan dan cadangan demi kelangsungan penghuni warga tua di rumah ini. 

Projek Koordinator, saudara Shah sempat berbual sambil memerhati 
penghuni Rumah Kebajikan Seri Permai

Kami suarakan hajat di hati kami untuk mendekati warga tua yang terdiri daripada bapa-bapa di sini tetapi atas nasihat Encik Fauzi, kami dinasihatkan untuk melihat warga tua hanya dari luar bilik sahaja. Tidak terdaya rasanya untuk kami menceritakan keadaan mereka. Sekiranya anda ke sini, pasti anda memahami keadaan sebenar mereka.

Pakaian yang perlu dibasuh menggunakan sabun yang disumbangkan

Barang utama yang diperlukan di sini adalah sabun basuh selain biskut, air mineral dan tuala. Ada juga dermawan yang bermurah hati mewaqafkan mesin air untuk kegunaan penghuni di sini.

Sayu hati melihat dari jauh keadaan warga emas di sini

Terima kasih para penyumbang yang menderma dan menghulurkan bantuan setiap kali kami, Kindness Pahang menjalankan aktiviti kebaikan. Semoga semuanya dirahmati dan mendapat berkat dari Allah s.w.t. dan seterusnya dapat menginspirasikan orang lain untuk sama-sama melakukan kebaikan. Terima kasih juga wargakerja Rumah Kebajikan Seri Permai yang menyambut baik kedatangan kami di sini. Walaupun tidak lama, hati kami benar-benar tersentuh dan memberi keinsafan mendalam dengan keadaan di sini.

Bergambar kenangan bersama sukarelawan 
terlibat dan wargakerja Rumah Kebajikan Seri Permai


Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Ambillah peluang ini untuk kita sama-sama memainkan peranan untuk membantu mereka. Besar harapan kami agar mana-mana badan NGO, badan-badan korporat, rakan-rakan seperjuangan, individu dan masyarakat di luar sana turut bersama membantu meringankan beban mereka.

Didoakan semoga semua penghuni Rumah Kebajikan Seri Permai dipermudahkan segala urusan, diberi kesihatan berpanjangan dan dilancarkan kehidupan. Amin.

Shah Abdul Wahab bin Shah Othman
Projek Koordinator
Kindness Pahang 

Wednesday, January 17, 2018

Kindness Getaway sebagai Penghargaan kepada Sukarelawan

Casa Rasa Sayang, Pengkalan Balak, Melaka dilipih sebagai lokasi getaway 

Pada 12 Januari 2018 - 14 Januari 2018 telah diadakan suatu aktiviti yang dinamakan Kindness Getaway. Casa Rasa Sayang, Pengkalan Balak, Melaka telah dipilih sebagai lokasi para sukarelawan berkumpul untuk aktiviti ini. Seramai 40 orang sukarelawan turut serta sepanjang tiga hari berkampung di villa yang tersergam indah dan luas ini.

Getaway ini adalah sebagai menghargai para sukarelawan yang bertungkus lumus membantu di Majlis Penyampaian Hadiah Madrasah Hashimiah pada sesi 2017 serta sukarelawan yang banyak melancarkan program menyebarkan kebaikan di Kindness Malaysia sepanjang tahun.  

Permulaan tahun 2018 yang cukup baik sekali bila mana sukarelawan dapat berkumpul beramai-ramai seperti satu keluarga besar di sini. Ramai anak-anak kecil pewaris Kindness Malaysia turut bersama-sama merasai kemeriahan sepanjang majlis getaway kali ini. 

Persiapan awal dimulakan dengan mengumpul keperluan makanan dan minuman sebelum tiba hari yang dinanti-nanti. Ramai sukarelawan yang tanpa segan silu sedia menderma dan menaja makanan sepanjang 3 hari di sana. 

Hari pertama.

Para sukarelawan memulakan perjalanan pada hari Jumaat. Ada juga yang bergerak di sebelah malam kerana terikat dengan jadual kerja di hari Jumaat. Setibanya di villa yang mempunyai 7 buah bilik yang besar, sukarelawan berehat sambil bersantai dengan bermain sahibba, snuker dan minum petang sementara menunggu semua sukarelawan yang terlibat sampai pada malam itu. Malam itu tidak diadakan aktiviti yang berat kerana memberi peluang sukarelawan merehatkan badan kerana mereka semua tinggal di luar Melaka.

Permainan sahibba menguji minda sukarelawan

Sukarelawan baru dan lama berehat santai di kolam renang 

Hari Kedua.

Keesokan harinya, acara rasmi dimulakan dengan ucapan dari Pengasas Madrasah Hashimiah, Ustaz Hashim. Ustaz Hashim juga hadir memeriahkan getaway ini bersama-sama 4 orang tenaga pengajar di Madrasah Hashimiah.

Ucapan penghargaan oleh Ustaz Hashim, pengasas Madrasah Hashimiah

Semasa berucap, Ustaz Hashim mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua sukarelawan yang banyak membantu semasa Majlis Penyampaian Hadiah Madrasah Hashimiah pada sesi 2017 serta yang membantu mencari dana demi kelangsungan hidup anak-anak di madrasah. Kami semua bersalam-salaman selepas bergambar bersama-sama mereka memandangkan Ustaz Hashim dan rakan-rakan tidak dapat berada lama selama 3 hari di sini.

Bergambar kenangan bersama wargakerja Madrasah Hashimiah

Usai majlis ucapan, sukarelawan ke luar villa untuk aktiviti outdoor iaitu bermain bola tampar dan berenang santai di sekitar kolam renang. Anak-anak kecil cukup teruja mandi-manda di kolam renang. Cukup tenang dan nyaman berada di sini bersama-sama keluarga besar Kindness Malaysia.

Anak-anak kecil pewaris Kindness Malaysia seronok bermain di kolam renang

Di sekitar pantai di belakang villa juga, sukarelawan beriadah santai berjalan di tepi pantai dan bergambar sambil berkayak. Sekurang-kurangnya, sukarelawan dapat melupakan seketika segala tekanan kerja mahupun masalah seharian  apabila berada di sini.

Di belakang villa disediakan kayak untuk beriadah 

Apabila tiba tengahari, sukarelawan beramai-ramai menuju ke kedai makan berhampiran bagi menikmati masakan asam pedas yang terkenal di bumi Melaka. Ada juga sukarelawan yang sempat bersiar-siar di sekitar kawasan pantai berdekatan dan bermain aktiviti pantai. Setelah pulang ke villa dan menunaikan solat Zohor, sukarelawan menyambung aktiviti santai di rumah dengan berkaraoke dan bermain sahibba sehingga lewat petang.

Sukarelawan sempat bermain banana boat di pantai berdekatan 


Berganding bahu membantu tugasan di dapur

Persiapan awal untuk bbq dan makan malam diadakan pada sebelah petang sebelum masuk waktu Asar. Sukarelawan berganding tenaga membantu kerja--kerja di dapur. Bermacam-macam ragam dan gelagat di dapur yang cukup mencuit hati kami semua.

Gelagat sukarelawan yang menyediakan bbq cukup mencuit hati 

Juadah bbq pada malam itu adalah seperti ayam, ikan, sosej, nasi goreng, buah-buahan dan minuman panas dan sejuk yang disediakan sendiri oleh para sukarelawan. Ternyata kami semua sangat gembira apabila dapat berkumpul bersama. Bekerjasama bukan sahaja dalam beraktiviti malah di dapur juga. Itulah keluarga Kindness Malaysia!

Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing

Pada jam 9.00 malam selepas bbq dan makan malam, diadakan acara penyampaian anugerah kepada para sukarelawan. Anugerah yang diberi adalah Anugerah Khas dan Anugerah Inovasi Sosial sepanjang 2017.

Menikmati juadah bersama-sama di ruangan cafe yang disediakan pihak villa

4 orang sukarelawan mendapat Anugerah Khas 2017 iaitu saudara Ahmad Haziq, Amril Danial serta saudari Noridah dan Nabila. Ahmad Haziq dipilih menerima anugerah ini kerana komitmen beliau yang sentiasa ada di mana sahaja ketika diperlukan. Sentiasa bersedia membantu dan cukup cekal menghadapai apa jua situasi, maka anugerah ini layak diberi kepada beliau. Amril pula dipilih  kerana beliau antara sukarelawan muda yang punya wawasan dan peluang cerah di masa hadapan yang sanggup berkoraban masa dan tenaga di mana sahaja ketika program diadakan.

Cenderahati penghargaan kepada kesemua penerima anugerah

Saudari Noridah pula dipilih menerima Anugerah Khas kerana idea beliau yang banyak membantu kelancaran aktiviti di Kindness dan madrasah sendiri selain nasihat-nasihat membina beliau kepada adik-adik sukarelawan muda. Saudari Nabila atau nama panggilan "Bella" pula dipilih berdasarkan copywriting beliau yang cukup unik dan idea-idea beliau dalam menghasilkan finishing yang hebat untuk artikel mahupun hebahan info dalam membantu Madrasah Hashimiah dan Kindness Malaysia sehingga mendapat  respond terbanyak daripada masyarakat malah mampu mencipta fenomena tersendiri.

Manakala 2 orang sukarelawan yang mendapat Anugerah Inovasi Sosial 2017 ialah saudara Shahrizal dan saudari Iman di mana mereka telah mencetuskan idea Kutu Akhirat yang dapat menyuntik dana ke dalam operasi seharian Madrasah Hashimiah. Kutu Akhirat ini telah beroperasi hampir setahun dan masih berterusan sehingga hari ini dan mempunyai sehingga hampir 200 orang penderma setiap bulan. Idea kutu akhirat ini belum pernah digunapakai oleh mana-mana badan NGO, maka dengan cetusan idea yang cukup kreatif ini, anugerah Inovasi Sosial ini layak diberi kepada mereka. Kesemua anugerah ini diberi sebagai menghargai pengorbanan para sukarelawan yang banyak memberi impak positif kepada kelangsungan Madrasah Hashimiah khususnya dan Kindness Malaysia sendiri.

"Setiap dari sukarelawan adalah unik. Kita semua adalah saling melengkapi. Tanpa mereka, saya sendiri tidak dapat menjayakan program-program kebaikan di madrasah mahupun di Kindness Malaysia. Mereka semua adalah penerima sebenar anugerah ini,'' memetik kata-kata Ahmad Haziq, salah seorang penerima Anugerah Khas 2017.

Sesi bertukar-tukar hadiah

Sesi bertukar-tukar hadiah yang dijalankan pada sebelah malam merupakan acara yang sangat dinanti-nantikan oleh para sukarelawanan terutama anak-anak kecil. Setiap dari sukarelawan diingatkan supaya membeli hadiah bernilai sekurang-kurangnya RM20.00 sebelum ke sini untuk bertukar-tukar hadiah. Satu-persatu nama sukarelawan dipanggil dan mereka semua cukup gembira menerima hadiah. Kejutan demi kejutan dapat dirasa apabila nama penerima mahupun pemberi hadiah adalah daripada rakan sukarelawan yang tidak disangka-sangka. Suasana menjadi bertambah riuh apabila anak-anak kecil berlari riang membawa hadiah-hadiah yang diterima. Bukan senang untuk kita melalui suasana seperti ini. Gembira!

Sukarelawan gembira menerima hadiah yang telah ditukar

Iman penerima hadiah inovasi sosial bagi tahun 2017
Mahal, murah atau materialnya bukanlah pengukur sesebuah pemberian. Semangat saling memberi dan menerima inilah yang akan menambah rasa kecintaan dan kasih sayang sesama sukarelawan. Malahan memberi hadiah juga merupakan salah satu sikap yang membawa kebaikan.

Setelah bersuka ria menerima hadiah, malam itu juga sempat diadakan  pertandingan sahibba yang dibahagikan kepada 4 kumpulan. Setiap kumpulan terdiri daripada 4 orang peserta dan seorang pengira markah. Cukup santai dan bersahaja sukarelawan bermain sahibba walaupun permainan ini cukup menguji minda mereka. Pertandingan sampai ke peringkat separuh akhir sehingga lewat malam. 4 orang peserta telah dipilih untuk ke pusingan akhir yang diadakan pada keesokan harinya.

Hari Ketiga (terakhir) di bumi Melaka.

Hari ketiga adalah hari terakhir kami di sini. Dimulakan dengan menyambung pertandingan sahibba peringkat akhir pada awal paginya. Pertandingan berlangsung selama 1 jam dan akhirnya pemenang dirangkul oleh saudara Adam diikuti saudara Shahrizal, Haziq dan saudari Hidayah.

Pertandingan akhir sahibba

Juara pertandingan sahibba

Sementara itu, di satu sudut lain, para sukarelawan wanita bertungkus lumus menyiapkan "Kindness Jar". Kindness Jar merupakan aktiviti di mana setiap sukarelawan perlu menulis kata-kata positif tentang sukarelawan yang lain yang hadir pada getaway kali ini. Nota ini perlu diletakkan di dalam Kindness Jar tanpa memberitahu nama penulis.

Balang "Kindness Jar" yang telah siap diisi

"Pandang langit, pandang alam, sentiasa ditunggu, mengikut aturannya. Cekal hati hadapi apa jua yang datang" - Salah satu coretan dari Kindness Jar

Terdapat 40 balang Kindness Jar tersedia untuk di isi. Implikasinya adalah dapat membuat penerima tersenyum dan dapat mengurangkan tekanan apabila membaca nota positif dari Kindness Jar lebih-lebih lagi apabila sukarelawan ditimpa masalah. Disarankan mengambil hanya 1 nota sahaja setiap hari. Idea Kindness Jar ini cukup unik dan dapat membantu para sukarelawan membina semula semangat positif dalam diri.

Snuker sebagai hiburan santai sepanjang berada di sini

Pertandingan bola tampar juga diadakan selepas itu sambil rakan-rakan sukarelawan yang tidak terlibat dengan bola tampar menghabiskan sisa-sia jam yang ada dengan acara santai yang lain. Kumpulan yang menggelarkan diri mereka Kumpulan Kacak yang diketuai oleh saudara Fazlan memenangi pertandingan bola tampar tersebut.

Bersama "Kumpulan Kacak" yang menjuarai pertandingan bola tampar

Sebelum pulang, sesi penyampaian hadiah berupa hamper diberi kepada para pemenang pertandingan Sahibba dan bola tampar. Sukarelawan sempat bergambar sebagai kenangan berada di Casa Rasa Sayang ini. Di penutup majlis, kami semua bersalam-salaman sebelum bergerak pulang ke destinasi masing-masing. Kami bergerak meninggalkan villa tersebut pada jam 2 petang dan menuju ke lokasi makan tengahari di kedai asam pedas berdekatan.

Asam pedas claypot penambah selera sebelum pulang

Berat rasanya untuk kami pulang kerana terlalu banyak kenangan dan pengalaman  berharga yang telah tercipta sepanjang tiga hari berada di sini. Terima kasih tuan rumah, para pembantu Casa Rasa Sayang dan semua sukarelawan yang sangat sporting menjayakan Kindness Getaway ini.

Bergambar sebelum berangkat pulang

Aktiviti sebegini benar-benar dapat mengenal secara lebih dekat sesama sukarelawan selain berkongsi dan bertukar-tukar pendapat tentang aktiviti kebaikan yang akan dilaksanakan untuk tahun 2018. Perancangan untuk tahun 2018 juga dapat dirangka dan idea dapat dikumpul bersama memandangkan setiap sukarelawan datang dari pelbagai latar belakang dan kerjaya yang berbeza. Penyatuan sebegini dapat mencetus idea-idea bernas seterusnya dapat berhibur sesama sukarelawan selain memotivasikan diri untuk saling menjaga dan melindungi.

Terima kasih para dermawan yang budiman yang bermurah hati menaja percutian santai keluarga Kindness Malaysia untuk kali ini. Jasa dermawan amat kami kagumi. InshaAllah, kami semua, para sukarelawan akan terus menerus membantu kelangsungan Madrasah Hashimah dan Kindness Malaysia dan menyebar kebaikan tanpa jemu dan putus asa pada masa-masa akan datang.

Paling penting dengan penghargaan sebegini, para sukarelawan dapat menyuntik semangat dalam diri untuk terus melakukan aktiviti kebaikan apabila pulang ke Kuala Lumpur mahupun ke destinasi masing-masing. Memetik pesanan penerima Anugerah Khas 2017, saudari Noridah, kita semua memerlukan doa dari semua pihak untuk terus cekal menyebarkan aktiviti kebaikan pada masa akan datang.

Di dalam hidup kita, ada waktu-waktunya kita bersendiri dan ada waktu-waktunya kita perlu berkumpul. Kindness Getaway inilah salah satu inisiatifnya untuk kita berkumpul bersama-sama. Kita temukan titik keseimbangan di antara kedunya dan pastinya kebaikan dan kegembiraan dapat kita rasai bersama.

Semoga berjumpa lagi di getaway akan datang.

Fatin Amira Nabila Binti Tauran
Setiausaha Kehormat
Kindness Malaysia


Bagaimana Untuk Buatkan Sukarelawan Kekal Dengan NGO?



How do you retain your volunteers? Ini antara soalan yang biasa saya terima oleh para dermawan atau rakan NGO. Bila uruskan NGO, sukarelawan ini adalah tulang belakang Kindness Malaysia. Mereka tidak dibayar, tetapi merekalah yang mendokong visi dan misi yang kita impikan. Menjadikan visi dan misi itu objektif kita bersama.

So bagaimana nak pastikan sukarelawan itu sentiasa bersama dengan kita? Jika dalam bisnes, staff retention itu salah satu cabaran. Bagaimana nak pastikan pekerja atau talent itu kekal dan tidak pindah ke syarikat lain? Jika dalam syarikat, income dan perks adalah antara motivasi utama. Tapi dalam NGO kita tidak ada kelebihan itu. Kita tidak mampu bayar staf gaji tinggi. Malah dalam Kindness Malaysia kita belum ada staff sepenuh masa. Oleh itu apakah yang membuatkan sukarelawan itu kekal bersama dengan kita?

Bagi saya ada beberapa elemen yang mampu buatkan sukarelawan itu kekal dengan organisasi kita. Hari ini saya kongsikan dua elemen yang penting yang mampu dilakukan oleh mana2 pemimpin atau founder NGO.

Pertama ialah visi dan misi serta jenis NGO tersebut. Jika sukarelawan itu minat dengan haiwan, maka dia akan cari NGO berkaitan dengan haiwan. Jika seorang itu minat dengan pendidikan, maka dia akan cari NGO yang berkaitan dengan pendidikan. Jika minat dengan kebaikan, maka akan jumpa Kindness Malaysia.

Tapi tidak cukup dengan jenis NGO sahaja, setiap NGO perlu ada matlamat yang jelas. Visi dan misi yang clear. Bila sukarelawan itu tahu arah tuju NGO itu, maka cinta akan terlahir. Mereka akan tetapkan hati untuk dokong cita2 NGO itu, kerana bersesuaian dengan hati mereka. Time tu kita boleh lihat setiap aktiviti volunteer itu pasti akan join. Itu elemen yang pertama yang perlu ada.

Elemen kedua ialah kepimpinan. Jika kita seorang pemimpin dalam NGO, hubungan dengan sukarelawan itu mainkan peranan yang penting. Dalam Kindness Malaysia kita selalu tekankan, VIP itu bukan top management NGO, bukan datuk atau tan sri, tetapi VIP kita adalah penerima manfaat. So leader jangan nak berlagak macam VIP sangat. Orang meluat nanti.

Semua dalam Kindness Malaysia adalah sama. Tak kira umur tua atau muda sekali pun, semua boleh bergaul bersama2. Kaya, miskin, profesional, kerja am, pelajar, ada jawatan atau tiada semua berada di level yang sama.

Antara top management dan volunteer, nak call atau wasap pun boleh anytime. Nak tegur atau marah pun boleh, tiada masalah. No heart feeling walaupun yang kena tegur itu pegang jawatan penting atau tinggi dalam Kindness Malaysia. Yang membezakan hanyalah komitmen dan semangat untuk sebarkan kebaikan. Di sinilah secara semula jadi setiap ahli akan saling hormat menghormati. Rasa hormat itu tak boleh dipaksa, tetapi akan lahir sendiri dari hati sanubari seseorang.

Oleh itu as a leader, bila kita hormat dan ambil perhatian tentang volunteer kita, mereka pasti akan kekal dengan kita. Kalau mereka ajak minum, kita pun jom! Mudahkan komunikasi kita dengan mereka. Jangan kita pula sombongkan diri seolah2 kita ni VIP. Memang first and last la jadi volunteer macam tu. Sometime it's all the small things that count. Alhamdulillah Kindness Malaysia dah ada core volunteers di hampir seluruh negeri di Malaysia.

Ini baru dua elemen, ada banyak lagi perkara yang akan buatkan volunteer kekal dengan NGO kita. So yang kita implement hari ini ialah appreciation, atau penghargaan. Mereka yang rajin, bagus, kita kena appreciate. Ok bab appreciation ini pun ada caranya. InsyaAllah satu hari nanti saya kongsikan caranya supaya ada impak. Cuma kita kena selalu ingat, orang akan lupa apa kita kata dan apa kita buat, tetapi orang tidak akan lupa apa mereka terkesan dengan kita... 😁

#kindnessmalaysia #makemalaysiakindagain

Muhammad bin Kamarulazizi
Pengasas
Kindness Malaysia

Monday, January 8, 2018

Nak Lakukan Kebaikan Tidak Perlu Tunggu Masa yang Sesuai


Pagi ini sempat pergi sarapan dekat gerai roti canai kegemaran di Dato Senu. Punya fikir apa aktiviti kindness yang boleh buat pagi ini. Nak buat Projek Petrol mini, minyak motor masih penuh. So order dulu nasi lemak sotong sambal lebih dengan roti canai.

Ada seorang uncle cina dalam hujung 40an, smart pakai kemeja. Nampak gaya macam tokey bisnes, atau mungkin salesman yang berjaya. Order yang sama gak. Roti canai sekeping, teh tarik secawan.

Dapatlah ilham, setakat RM2 saja boleh belanja uncle ni. Saya pun minta Nabila bayarkan 2 roti canai, 2 teh tarik, bersamaan RM4. Bayar sekali uncle tu ya saya kata pada abang roti canai. Abang roti canai bagi sign good.

Dah selesai sarapan, Nabila kata nak singgah taman permainan dulu. Masa atas motor terfikir, nak share kisah ni dekat FB, nanti ada yang kata baik belanja orang susah. Kita share juga untuk beri inspirasi kebaikan. 

Kita pun tak tahu keadaan sebenar orang yang kita belanja tu. Nampak smart, tapi dalam poket siapa tahu. Oleh itu sebarkan saja kebaikan itu tidak kira tempat, masa atau pada sesiapa pun. Tak rugi pun...😊

#kindnessmalaysia #makemalaysiakindagain

Muhammad bin Kamarulazizi
Pengasas
Kindness Malaysia

Tanya Allah, Allah Sayangkan Kita?



Bila nak berubah jadi baik ini, kadang-kadang diri tertanya, Allah marah aku lagi ke sebab dulu selalu buat hal. Sekarang pun buat hal juga, cuma tak dasyat macam dulu. Bila drive ternampak kereta depan, nampak sticker belakang kereta tulis Allah loves you. Kita pun rasa tenang sikit seolah2 mesej itu dariNya.

Lepas seketika, kita terasa lagi, Allah tak sayang aku ke, kenapa aku rasa macam jauh, tetiba dekat wall FB nampak satu quote, jika Allah masih sayang, Allah akan buatkan hambaNya berzikir. Kebetulan time tu julung kali baru berzikir, alhamdulillah.

Dan baru ini masih terasa lagi, apa yang aku buat selama ini, Allah terima tak? Pergi breakfast, kedai roti canai pasang lagu tangkap leleh. Masuk saja muzik lagu, dah rasa lain macam. Rasa layan sangat. Terus search tajuk lagu tu dan masukkan dalam mp3 kereta.

2, 3 hari kemudian, ulang2 lagu yang sama masa drive, saja nak baca lirik. Yelah, karok dalam kereta mestilah mau tau lirik kan? Baru perasan ini bukan lagu tangkap cintan, ini lagu ketuhanan...

"Bila ku sedari diri disayangi,
Langkah kaki ini semakin berani,
Bila terkeliru ku ucap namamu, terasa diriku,
Kembali dipandu,
Engkau pertama, tiada akhirnya, 
Aku dalam kegelapan engkaulah cahaya,
Izinkanlah aku menumpang di sini,
Di bawah naungan kasih dan sayang mu, 
Ku berserah diri..."

Terngiang bibit "Bila ku sedari diri disayangi..." maka rasa sebak kejap. Allah masih sayang aku ni. Ingatkan ayat tu sebab ada awek atau isteri kita sayangkan kita, tapi bukan, sebenarnya Allah yang sayangkan kita.

Syukur ya Allah. Kadang kita rasa takut, jika Allah tinggalkan kita. Kita tanya balik padaNya dalam doa, insyaAllah Dia akan beri jawapan kepada kita, wallahualam.

#kindnessmalaysia

Muhammad bin Kamarulazizi
Pengasas
Kindness Malaysia

Sunday, January 7, 2018

Projek Beg Sekolah, Beg Sekolah Percuma Untuk Semua!


Pada hari Ahad, bersamaan 31 Disember 2017 telah berlangsungnya Projek Beg Sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semerah, Batu Pahat, Johor yang telah disampaikan oleh Tuan Saparufin Wahab selaku Penolong Kanan Pendidikan Khas di sekolah tersebut. Penerima terdiri daripada 31 orang pelajar Pendidikan Khas yang mana kebanyakan mereka adalah daripada keluarga yang kurang berkemampuan.

Projek Beg Sekolah ini telah dijayakan hasil sumbangan orang ramai melalui NGO Kindness Malaysia yang membuka peluang menaja projek ini beberapa minggu sebelum sesi persekolahan bermula. Sumbangan dana beg adalah untuk SMK Semerah (31 buah) dan Madrasah Hashimiah (150 buah – telah ditambah dari 100 buah). 

Walau bagaimanapun dana yang diperolehi masih tidak mencukupi untuk menaja keseluruhan keperluan kos. Maka peluang tajaan akan dipanjangkan sehingga hujung bulan April 2018 memandangkan Majlis Penyampaian Hadiah untuk Madrasah Hashimiah Selayang akan dijalankan pada bulan Mei 2018. 

Beg yang diterima oleh salah seorang pelajar pendidikan khas

Beg diberi sambil berinteraksi bersama pelajar

Dengan misi melengkapi salah satu keperluan para pelajar khas ini selain menggembirakan adik-adik ini semua, maka projek ini diusahakan sehingga berjaya dilaksanakan. Kerjasama yang padu daripada semua pihak termasuklah pihak sekolah amatlah kami kagumi. 

Ucapan terima kasih dari warga SMK Semerah

Jutaan terima kasih kepada semua penaja dan orang ramai yang telah menularkan projek ini sehingga projek ini berjaya dijalankan. Terima kasih juga kepada Cikgu Nooryusrina Ismail serta guru-guru yang membantu melaksanakan projek ini di SMK Semerah. Hanya Allah yang mampu membalas jasa kalian. Semoga Projek Beg ini dapat diteruskan pada masa-masa akan datang demi kebaikan dan kemajuan pendidikan anak-anak kita.

Gambar beramai-ramai sebagai penutup majlis

Kepada mereka yang berminat untuk menaja Projek Beg Sekolah atau sebarang sumbangan bolehlah email ke support@kindness.my.

Norharirdayu Hashim
Pengasas Bersama
Kindness Malaysia


Saturday, January 6, 2018

Usah Serabut Gelagat Anak, Mereka Nak Perhatian Sebenarnya



Ok hujung minggu kena allocate masa dengan anak2. Pertama sekali masa Nabila bercakap, kita kena respon dengan penuh perasaan. Kalau time weekdays, kita nak respond tu susah sikit, sebab sibuk bekerja. Kadang-kadang jawab 2, 3 patah. Silap hari kena marah. Kesian anak-anak syurga ni.

So hari ini Nabila nak main masak-masak. Sekarang buat karipap, lepas ni nak buat donut dengan ais krim. Papa nak donut warna apa? Kita pun jawab dengan penuh, papa nak karipap warna blue yang besar tu, nampak sedap! Dengar respond macam tu, Nabila pun happy, bagi karipap warna biru paling besar.

Kemudian Nabila tanya nak aiskrim letak gula dekat atas? Ingat, jawab dengan penuh, dan masa buat2 makan, makanlah dengan penuh perasaan. Sedapnya! Papa nak tambah lagi lah! Dah selesai makan kata terima kasih. Nabila hargai respond papanya walau pun dia tau hanya main-main.

Oleh itu bapak-bapak termasuk ibu di luar sana, bila anak tanya, cuba jawab dengan penuh, sekali dengan mimik muka yang positif. Pandang mata dan wajah anak kita tu sepenuh hati. 

Layan tu bukan lama pun, paling lama pun setengah jam, sure anak puas hati dan gembira. Diorang nak perhatian saja. Lepas tu diorang tak ganggu dah ibu bapa yang asyik nak main fon saja. Sebab dah dapat respond yang diinginkan. 

Berbuat baik dalam keluarga itu pun kindness. Akhir sekali, pandanglah wajah anak-anak weekend ini dan enjoy your weekend semua! 😁

#kindnessmalaysia #makemalaysiakindagain

Muhammad bin Kamarulazizi
Pengasas
Kindness Malaysia

Friday, January 5, 2018

Papa, Kenapa Orang Suka Bagi Ali Duit?



Dua, tiga hari masuk tahun baru dah ada beberapa kali berlaku magic. Ali letak duit RM1 dia dekat tabung masjid, tetiba selesai solat Jumaat, uncle sebelah dia salam bagi at RM5. Hari yang lain Ali tolong top up gerobok rezeki, selesai solat Subuh, atok sebelah bagi Ali RM15. 

Ali pun tanya, kenapa orang suka bagi Ali duit? Papa kata ramai yang doakan Ali sekeluarga murah rezeki. Semua "magic" dapat on da spot.

Di Madrasah Hashimiah pun berlaku benda yang sama. Ustaz Hashim cadang, kita belanja guru-guru luar yang datang Madrasah Hashimiah makan sedap, udang dan ayam. Mereka tetamu kita. Kita taktau mungkin dalam banyak-banyak guru yang datang ini ada Allah suka. Ada berkat. Saya kata saya setuju. Hidang guru-guru makan sedap dan beri hadiah lagi. Ustaz Hashim kata, guru-guru ni semua hidup susah juga, semua sama pelarian tapi sanggup datang Madrasah Hashimiah. Ada seorang tu datang jauh dari Cameron Highlands semata-mata untuk nilai pencapaian murid-murid Madrasah.

Dua hari lepas selesai penilaian oleh guru-guru luar, dapat call ada sumbangan masuk. Ya Allah, bukan sikit, tapi lima angka. Alhamdulillah "magic" turun on da spot.

Bila fikir-fikir balik, tak rugi pun bila lakukan kebaikan. Tak kiralah orang tu pernah buat jahat dengan kita, kita balas saja dengan kebaikan. Lagi bila kita tak harap apa-apa dari kebaikan yang kita lakukan, time tu Dia bagi kita "magic" rezeki yang tak disangka-sangka... 😀

#kindnessmalaysia #makemalaysiakindagain

Muhammad bin Kamarulazizi
Pengasas
Kindness Malaysia

Thursday, January 4, 2018

Projek #PenselKita Kebaikan Atasi Masalah Murid Hilang Pensel



#PenselKita

10 soalan lazim untuk projek terbaru kita semua.

1. Apa itu #PenselKita?
Kumpul pensel dan serahkan kepada guru sekolah rendah terutama darjah 1 hingga darjah 3.

2. Kenapa nak buat Projek #PenselKita ini?
Ibu bapa yang mempunyai anak yang berumur 7 hingga 10 tahun ini pasti menghadapi masalah yang sama iaitu anak hilang pensel. Bawa ke kelas tiga batang pensel, balik rumah dah tak ada. Bila tanya kenapa, hilang, atau kawan ambil, lupa letak mana. Kesian pada guru, ada yang sampai guna duit sendiri untuk beli pensel dan berikan kepada murid. Oleh itu apa kata kita tolong guru-guru sekolah rendah ini dengan Projek #PenselKita!

3. Bukan ke projek ini akan galakkan lagi murid-murid untuk hilangkan pensel?
Kau ada anak atau tak? Eh tak kindness jawab begitu. Sebenarnya memang sukar untuk kita pastikan murid-murid ini agar tidak hilang pensel, kerana mereka masih kecil dan baru belajar untuk jaga barang sendiri. Tapi tujuan kita lakukan aktiviti #PenselKita ini supaya murid di sekolah dapat belajar dengan baik. Bayangkan kalau murid itu tak ada pensel, macam mana lah dia nak belajar malah risau ketinggalan pula pembelajaran dalam kelas.

4. Saya suka dengan Projek #PenselKita ini. Apa yang boleh saya lakukan?
Mudah sahaja nak lakukan kebaikan. Ada beberapa cara.

a. Lakukan Projek #PenselKita sendiri. Kumpul pensel dari rakan malah di hotel atau beli pensel banyak, atau paksa kawan-kawan atau jiran sebelah untuk bagi pensel, kemudian kumpul dalam bekas dan serahkan kepada guru kelas. Kalau kumpul guna Whastapp group pun mungkin boleh dapat kurang-kurang 100 batang pensel, cukup untuk 1 kelas.

b. Jika tiada masa, boleh pm rakan-rakan NGO yang turut serta dengan Projek #PenselKita ini.
i - Mohd Rizal Othman dari Pertubuhan Komuniti Pandan Prihatin
ii- Ashraff Khan dari Empire Project
iii- Mohammad Nizam Wahid dari HUMANITY
iv- Faizal Hassan dari Misi Sedekah Jumaat
atau pm terus page Kindness Malaysia :D

5. Berapa jumlah pensel yang sesuai untuk satu kelas?
Jumlah pensel terpulang kepada anda. Sebaiknya 50 batang ke atas.

6. Kalau saya nak tambah pemadam, pembaris, sharpener dan lain-lain boleh ke?
Lagi bagus. Rasanya guru kelas lebih suka.

7. Bagaimana kita nak pastikan Projek #PenselKita ini berterusan?
Satu cara ialah kita selalu tanya guru tentang update terkini Projek #PenselKita. Jika dah nak habis, kita boleh topup lagi.

8. Berapa ya harga untuk sebatang pensel?
Harga pensel sekotak paling murah jumpa ialah RM2.10 untuk sekotak (12 batang). Maknanya jatuh kurang dari 20 sebatang. Boleh dapat di Mydin Mohamed Holdings Bhd.

9. Saya ada banyak masa, apa lagi boleh saya buat?
Kalau ada banyak masa, boleh toreh pensel sikit untuk mudahkan murid tulis nama mereka sebelum serahkan pensel kepada guru.

10. Pesanan lain?
Yang ada lakukan inisiatif sendiri untuk Projek #PenselKita, jangan lupa hashtag #PenselKita supaya kita dapat sebarkan kebaikan kepada semua.

Jika rasa post ini bermanfaat, kongsikanlah dengan semua :D

#PenselKita #KindnessMalaysia #PandanPrihatin #Humanity #EmpireProject #MisiSedekahJumaat

Muhammad bin Kamarulazizi
Pengasas
Kindness Malaysia

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...