About

Blog tentang aktiviti-aktiviti amal di dalam dan luar Malaysia

More About Me...

Kita pesimis dengan kesengsaraan insan yang menderita di serata dunia. Laman ini cuba mengundang kembali sekelumit fitrah insani yang cakna dan peka dengan kesengsaraan insan lain. Infaq di jalan Allah...

RSS Subscribe

Pengiktirafan dari World Kindness Movement

Kindness Malaysia kini secara rasminya merupakan ahli World Kindness Movement

Misi Bantuan Kemanusiaan Untuk Mangsa Rohingya di Arakan, Myanmar

Bersama pelarian Rohingya di Arakan (Rakhine), Myanmar

Bantuan Perubatan di Hebron, Palestine

Vitamin C untuk anak-anak Palestine di Hebron

Ziarah ke perkampungan orang asli

Bersama sukarelawan ke kampung orang asli di Pos Betau, Pahang.

Misi Gelandangan Feed The Homeless

Misi Gelandangan Feed The Homeless yang dijalankan setiap hari Sabtu 2 minggu sekali di sekitar Kuala Lumpur

Booking.com

Saturday, February 26, 2011

Pasukan Futsal Pelarian Rohingya Klang


Genap dua minggu sahaja lagi dari pertandingan Futsal Amal Antara Rumah Kebajikan seluruh Selangor dan Kuala Lumpur anjuran Badan Amal Siti Khadijah (BKSK). Kita mendekati pula lagi sebuah pasukan bawah tajaan Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia (Muslim Aid) iaitu pasukan futsal pelarian Rohingya Klang. Pasukan bawah 17 tahun ini diuruskan oleh salah seorang sukarelawan Muslim Aid iaitu Azim dari Universiti Malaya. Tahun ini adalah kali pertama mereka menyertai pertandingan futsal dan harapan mereka agar boleh sampai ke peringkat separuh akhir.

Pertandingan futsal kali ini lebih meriah dimana Muslim Aid akan membawa 9 pasukan futsal iaitu 4 pasukan dari ASDAF, 2 pasukan dari Madrasah Hashimiah, 1 pasukan dari Rohingya Klang, dan 2 lagi pasukan dari Somalia Gombak. Kita akan mengharap juga pasukan-pasukan pilihan untuk hadir semasa pertandingan futsal nanti seperi Darul Kifayah dan Rumah Nur Salam.

selepas latihan di Klang

selepas pendaftaran di kelas komputer Muslim Aid

perlawanan persahabatan di UM

rutin latihan di Klang setiap petang

Pada yang mempunyai masa luang, jemput hadir sekali di pertandingan futsal ini bertempat di Futsal Frenzy, Seksyen 15 Shah Alam pada 12hb Mac 2011.

Pasukan Rohingya Klang masih memerlukan tajaan jersi pasukan yang dianggar kosnya hanya antara RM150 - RM200 (8 helai jersi). Pada yang bermurah hati untuk menaja pasukan Rohingya Klang, boleh hubungi pengurus pasukan Rohingya Klang, en Azim di 0132969648 atau saya sendiri di 0123377195. Sumbangan ini semestinya memberi makna yang besar buat mereka.

Muhammad bin Kamarulazizi

Friday, February 25, 2011

Membuat Playdough Bersama Anak-anak Yatim


Lokasi: Asrama Darul Falah (ASDAF) Tarikh: 24 Feb 2011 Masa: 3pm

Semalam salah seorang sukarelewan Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia (Muslim Aid), cik Nazihah telah mengendalikan kelas membuat playdough (tanah liat berwarna) bersama anak-anak ASDAF. Ramai yang tidak tahu playdough (platesin) ini dibuat daripada tepung gandum, sehinggakan ada anak ASDAF yang menyangka playdough dibuat daripada tanah liat yang diwarnakan!

Cara untuk membuat playdough ini agak mudah dan murah. Antara bahan-bahan yang diperlukan ialah:

1- tepung gandum (2 cawan)
2- garam halus (1 cawan)
3- air suam panas (1 cawan)
4- minyak masak (2 sudu)
5- pewarna makanan (cecair)

Pertama sekali, untuk membuat playdough, tepung gandum digaul bersama dengan garam halus. Kemudian dimasukkan air suam panas dan diulikan serentak sehingga menjadi doh sambil diletakkan sekali minyak masak. Doh ini kemudian diuli sehingga sebati. Sebelum meletakkan pewarna, tebuk lubang di tengah-tengah doh itu, dan dituankan sedikit pewarna dan uli doh itu sekali lagi sehingga warna itu rata dan terus menjadi playdough! Sekiranya playdough itu melekit, tambah lagi minyak masak. Dan sekiranya playdough itu terlalu lembik, tambah lagi tepung dan teruskan menguli sehingga mendapat empukan yang sesuai. Kos keseluruhan tidak sampai RM10.

bahan-bahan dimasukkan dalam basin

diuli sehingga rata

kepal sehingga menjadi doh

ditebuk lubang dan dimasukkan pewarna

uli doh dengan pewarna

uli sehingga sebati

sudah boleh main dengan playdough!

hasil-hasilnya

pelbagai benda dicipta

bangga dengan hasil masing-masing

Penggunaan playdough ini dapat mencambah minda dan kreativiti terutamanya anak-anak ASDAF. Pelbagai ciptaan yang mereka buat dan dapat dijadikan sebagai aktiviti mengisi masa lapang. InsyaAllah kelas playdough ini akan dikembangkan di lokasi-lokasi yang lain.

Muhammad bin Kamarulazizi

Tuesday, February 22, 2011

Jersi Futsal Pasukan ASDAF


Hari ini pasukan futsal ASDAF sudah menerima tajaan jersi dari Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia (Muslim Aid). Muslim Aid telah menjadi penaja utama pasukan futsal ASDAF sejak dari tahun 2009 lagi apabila pertandingan Futsal Amal Anak Yatim seluruh Selangor dan Kuala Lumpur anjuran Badan Amal Siti Khadijah mula diperkenalkan. Bagi tahun 2011, pertandingan futsal amal ini kembali dan akan berlangsung pada 12 Mac 2011 di Futsal Frenzy, Shah Alam. Rumah-rumah kebajikan seluruh Selangor dan Kuala Lumpur akan menyertai pertandingan futsal ini tidak kira agama dan bangsa.

pasukan ASDAF lelaki bawah 15 tahun


latihan untuk penjaga goal

ASDAF mensasarkan untuk mendapat johan bagi pertandingan futsal tahun ini. Mereka merupakan johan pada tahun 2009 dan amat berharap agar piala dapat dibawa pulang tahun ini.

Muslim Aid mengucapkan terima kasih kepada para dermawan yang telah menyumbang kepada tabung Muslim Aid bagi acara sukan amal ini. Semoga diberkatiNya selalu.

Muhammad bin Kamarulazizi

Friday, February 18, 2011

Muslim Aid di NTV7, Utusan Malaysia dan Radio KLFM



Alhamdulillah, Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia (Muslim Aid) mendapat liputan dari tiga media utama yang telah menyiarkan program-program yang akan dijalankan oleh Muslim Aid. Seawal jam 7.30 pagi semalam (17 Februari 2011), saya bergegas ke Sri Pentas untuk sesi temubual di rancangan NTV7 Breakfast Show bersama Chef Zam dan Puan Haizah (Pengerusi PITI) dengan hos rancangan Nas, dan Joanne De Rozario. Temubual kali ini memfokuskan kepada program kulinari untuk ibu tunggal dimana kerjasama Muslim Aid dan Silverspoon International College akan memberi peluang kepada golongan ibu tunggal mempelajari cara-cara untuk memasak, packaging (pembungkusan) dan pemasaran.

di rancangan Breakfast Show NTV


liputan di Utusan Malaysia 17 Feb 2011

Pada hari yang sama juga, misi bantuan banjir di Pagoh, Johor juga telah mendapat liputan di Utusan Malaysia dimana Utusan Malaysia telah mengetengahkan kepentingan 'comfort aid' yang telah disalurkan oleh Muslim Aid untuk mangsa-mangsa banjir di Johor.

Di Radio KLFM pula telah diwar-warkan tentang program-program Muslim Aid yang akan datang seperti Kem Kepimpinan untuk pelarian Somalia, latihan futsal di ASDAF dan pembukaan booth amal di Sri Puteri, Cyberjaya pada bulan Mac nanti.

Muhammad bin Kamarulazizi

Tuesday, February 15, 2011

Haflah Maulidur Rasul di Rumah Gemilang, Sik Kedah



Lokasi: Rumah Gemilang, Sik Kedah
Tarikh: 14 Februari 2011
Program: Haflah Maulidur Rasul

Sempena hari Maulidur Rasul yang jatuh pada 14 Februari tahun ini, saya ke Kedah untuk sambutan Maulidur Rasul bersama anak-anak yatim dan miskin di Rumah Gemilang anjuran bersama Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Merbok. Rumah anak yatim yang terletak di Sik ini mempunyai lebih 80 orang penghuni. Nasyid, pentomin telah dipersembahkan oleh anak-anak Rumah Gemilang dan juga anak-anak Rumah Gemilang.

persembahan nasyid dari anak-anak Rumah Gemilang

pasar mini anak yatim

ruang kedai yang bersih dan teratur

pelajar-pelajar MRSM Merbok bersama anak-anak yatim Rumah Gemilang


Ustaz Hafizy dari MRSM Merbok yang merangka program anak yatim

Apa yang buat saya tertarik dengan anak-anak Rumah Gemilang ini ialah disiplin dan akhlak mereka yang cukup bagus. Mereka mengingatkan saya kepada anak-anak di Madrasah Hashimiah. Rumah Gemilang ini beroperasi dengan bantuan daripada JKM dan sumbangan orang ramai. Mereka juga mempunyai mini market dimana keuntungan jualan disalurkan ke Rumah Gemilang ini.

InsyaAllah di masa akan datang, Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia (Muslim Aid) bersama MRSM Merbok akan merancang lebih banyak program di sebelah utara terutama di Kedah.

Muhammad bin Kamarulazizi

Wednesday, February 9, 2011

Bermula Kelas Tusyen di ASDAF


Kelas tusyen di ASDAF sudah bermula. Kelas tusyen diadakan setiap hari kecuali pada hari Rabu, Khamis dan Sabtu. Kelas tusyen ini akan memfokuskan kepada kelas-kelas peperiksaan seperti UPSR, PMR dan SPM. Hampir separuh dari guru-guru yang akan mengajar di ASDAF merupakan sukarelawan dari Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia (Muslim Aid). Kelas tusyen ini bermula jam 8 malam hingga 10 malam. Kelas prep pula pada jam 3 petang hingga 5 petang dimana sukarelawan akan membantu anak-anak ASDAF untuk membuat kerja-kerja sekolah.


anak-anak ASDAF bersama sumbangan majalah Solusi

belajar membaca

belajar menulis biarpun sudah tingkatan satu

Saya dipertanggunjawab untuk mengajar kelas khas dimana kelas khas ini terdiri daripada anak-anak ASDAF yang kurang mahir dari segi membaca dan menulis. Agak mencabar juga untuk menjadi seorang pendidik untuk mereka. Namun berbekal dengan sedikit ilmu yang ada, saya berazam untuk membantu mereka menguasai 3M iaitu membaca, menulis dan mengira dalam tempoh 6 bulan, insyaAllah. Kebanyakan anak murid saya ini sudah berada di tingkatan satu, tapi masih tidak boleh membaca dan menulis.

Muslim Aid mengalu-alukan sumbangan untuk program pendidikan bersama anak-anak ASDAF ini. Sumbangan yang disalurkan akan digunakan untuk membeli buku-buku latihan, kalkulator, kamus dan alat-alat tulis. Kepada yang ingin menyumbang, boleh lakukannya di akaun CIMB Muslim Aid di 1422-0000070-10-8 atas nama Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia. Setiap sumbangan diberikan resit pengecualian cukai. Sila emailkan slip bank bersama butiran berikut ke mail@muslimaidasia.com

Nama:
Alamat rumah:
No telefon:
Nyatakan sumbangan untuk pendidikan anak-anak yatim dan miskin

Semoga sumbangan yang diberikan mendapat keberkatan dariNya dan sedikit sebanyak membantu anak-anak yatim dan miskin ini menimba ilmu pengetahuan yang amat berharga.

Muhammad bin Kamarulazizi

Monday, February 7, 2011

Bantuan Makanan dan Sanitari Untuk Mangsa Banjir di Pagoh, Johor

Lokasi: Pagoh, Johor
Tarikh: 6 Feb 2011

Alhamdulillah sumbangan untuk mangsa banjir di Pagoh, Johor sudah disampaikan dengan jayanya. Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia (Muslim Aid) dengan kerjasama Ramiza Synergy telah menghantar bantuan food aid Qurban For Life dan juga comfort aid seperti tuala wanita, lampin bayi, pisau cukur dan sebagainya. Bantuan sebegini sememangnya amat diperlukan oleh mangsa-mangsa banjir ini dan sumbangan dalam bentuk comfort aid ini amat kurang diberikan.


bantuan dihantar dengan pertolongan dari pihak tentera

merentas ke kawasan banjir dengan menaiki bot

bersama mangsa banjir

Kami sempat meninjau kawasan yang telah tenggelam sedalam 5 kaki di sekitar Pagoh dengan menaiki bot. Lebih 5,000 orang mangsa banjir di sekitar Pagoh mendapat bantuan makanan dari syarikat D'Tandoor yang telah menyediakan makanan tengahari dan malam. Penghantaran bantuan dijalankan dua hari sekali di setiap penempatan banjir dengan menggunakan bot dan lori askar.

Banjir di sekita Pagoh dan kawasan lain di Johor dijangka mula surut untuk tempoh satu atau dua minggu lagi. Pejabat Muslim Aid mengucapkan terima kasih kepada para penderma yang amat prihatin yang telah menyalurkan sumbangan untuk mangsa banjir di Johor walaupun notis untuk ke sana hanya sehari sebelum bantuan dihantar keluar. Pada yang ingin menyumbang sumbangan, boleh lakukannya melalui akaun CIMB Musim Aid di 1422-0000070-10-8 atas nama Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia (Muslim Aid). Setiap sumbangan diberi resit pengecualian cukai.

Muhammad bin Kamarulazizi

Saturday, February 5, 2011

Persediaan Untuk Bantuan Banjir Johor


Keadaan banjir di Johor semakin pulih, namun begitu masih ramai yang berada di pusat bantuan banjir kerana masih belum bersedia untuk pulang ke rumah. Saya mendapat panggilan dari salah seorang rakan mengatakan mereka perlukan sukarelawan untuk membantu agihkan makanan tengahari dan makan malam bagi mangsa-mangsa banjir di Pagoh. Rakan saya ini merupakan anak kepada pemilik restoren D'Tandoor yang mempunyai beberapa buah cawangan di Kuala Lumpur termasuk di Menara Kuala Lumpur yang akan menaja makanan-makanan tersebut untuk mangsa-mangsa banjir.

Saya sempat menghubungi beberapa orang sukarelawan untuk turut serta dan mula menwar-warkan bantuan yang diperlukan melalui laman Facebook. Untuk bantuan kali ini, selain dari bantuan makanan, pihak Muslim Aid akan berusaha untuk mendapatkan bantuan sanitari kepada mangsa-mangsa banjir seperti tuala wanita dan lampin bayi. Keadaan yang sulit di pusat bantuan banjir sudah pasti membuatkan golongan wanita dan juga bayi sukar bagi mendapatkan keperluan sanitari sebegini.

InsyaAllah saya bersama beberapa orang sukarelawan akan terus ke Pagoh esok pagi selepas Subuh. Pada yang ingin menyertai, atau menyumbang, boleh salurkan sumbangan anda ke akaun CIMB Muslim Aid di 1422-0000070-10-8 atas nama Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia. Sila emailkan slip bank ke mail@muslimaidasia.com bersama butiran berikut untuk mendapatkan resit pengecualian cukai.

Nama penuh:
Alamat rumah:
No tel:
Jumlah sumbangan:

Semoga dengan usaha ini dapat meringankan beban saudara kita di Johor, insyaAllah.

Muhammad bin Kamarulazizi

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...