About

Blog tentang aktiviti-aktiviti amal di dalam dan luar Malaysia

More About Me...

Kita pesimis dengan kesengsaraan insan yang menderita di serata dunia. Laman ini cuba mengundang kembali sekelumit fitrah insani yang cakna dan peka dengan kesengsaraan insan lain. Infaq di jalan Allah...

RSS Subscribe

Pengiktirafan dari World Kindness Movement

Kindness Malaysia kini secara rasminya merupakan ahli World Kindness Movement

Misi Bantuan Kemanusiaan Untuk Mangsa Rohingya di Arakan, Myanmar

Bersama pelarian Rohingya di Arakan (Rakhine), Myanmar

Bantuan Perubatan di Hebron, Palestine

Vitamin C untuk anak-anak Palestine di Hebron

Ziarah ke perkampungan orang asli

Bersama sukarelawan ke kampung orang asli di Pos Betau, Pahang.

Misi Gelandangan Feed The Homeless

Misi Gelandangan Feed The Homeless yang dijalankan setiap hari Sabtu 2 minggu sekali di sekitar Kuala Lumpur

Booking.com
Showing posts with label madrasah Hashimiah. Show all posts
Showing posts with label madrasah Hashimiah. Show all posts

Tuesday, January 7, 2020

Minggu Pertama Tahun 2020 di Madrasah Hashimiah


Masuk tahun 2020 ini. Semuanya sudah berubah. Semua baru dari segala aspek. Seolah-olah mula kembali seperti awal-awal dahulu menceburkan diri dalam dunia kebajikan lebih 10 tahun yang lepas.

Sekian lama saya tinggal penulisan di blog yang boleh dikatakan kurang popular dengan kehadiran media sosial yang lebih popular kerana live feed dan aktiviti siaran langsung oleh para pengguna. dari sudut content, sebenarnya saya lebih suka di blog, kerana kita terkejar untuk menulis, malah respond atau tindakbalas orang ramai itu tidak datang terus terutama sekali pada komen.

Hal ini membantu saya untuk menulis dengan lebih tenang. Dan bila timbul sahaja idea, barulah saya tulis lagi. Kali ini untuk tahun 2020, insyaAllah saya akan menulis kembali di blog ini yang sekian lama berhabuk dan juga di blog Madrasah Hashimiah. 

Bila saya duduk di kerusi admin Madrasah Hashimiah, terasa diri saya seperti keseorangan kembali untuk bantu anak-anak di sini. Dahulunya Madrasah Hashimiah ada admin sendiri, tetapi kini sudah tiada lagi. Nak cari admin yang baru juga akan ambil  masa kerana gaji yang ditawarkan itu agak kecil bagi seorang warganegara Malaysia.

layout baru page Facebook menggunakan Content Creator

Namun begitu, dahulunya tahun 2007 saya mula bersendirian juga. Kini tahun 2020 saya bersendirian lagi. Ada juga beberapa kerat sahabat saya yang masih membantu saya. Itu pun terpaksa dilakukan secara senyap agar tidak dikecam oleh orang lain.

Bila saya buka balik page Facebook Madrasah Hashimiah, rupanya algoritma sudah berubah lagi. Dan kali ini interface juga sudah berubah. Barangkali memang sesiapa yang terlibat dalam menguruskan business page FB ini perlu kerap belajar untuk update terkini dari Facebook. Saya yang saya anggap sudah tua ini pun terpaksa belajar sendiri agar dapat ilmu dan maklumat terkini supaya dapat bantu war-warkan lagi Madrasah Hashimiah kepada orang ramai.

Penulisan di blog ini adalah nukilan dari saya sahaja sebagai warga Madrasah Hashimiah. Doakan saya agar terus istiqomah dan dapat terus berusaha agar jadi lebih baik. Moga Tuhan berkati semua yang membaca posting ini, Allahumma aamin.

Muhammad bin Kamarulazizi



Saturday, November 11, 2017

Aktiviti Pelajar Universiti di Madrasah Hashimiah


Apabila menguruskan sebuah sekolah komuniti pelarian, rangkaian dengan pelajar-pelajar universiti sangat penting. Seperti sedia maklum, anak-anak pelarian ini kurang popular jika dibandingkan dengan rumah-rumah kebajikan yang menempatkan anak-anak yatim dan asnaf. Alhamdulillah, sepanjang menguruskan Madrasah Hashimiah yang menempatkan anak-anak yatim dan miskin pelarian Rohingya dan Myanmar Muslim ini, sambutan aktiviti daripada pelajar-pelajar IPT awam dan swasta juga menggalakkan.

Komunikasi antara pelajar universiti dan pengurusan rumah kebajikan itu amat penting dan perlu dititikberatkan. Kami di Madrasah Hashimiah mempunyai seorang staf admin yang dedikasi menguruskan pejabat dan juga menjaga email dan panggilan yang diterima dari pihak luar. Di samping itu laporan aktiviti Madrasah Hashimiah juga dimuat naik  di laman Facebook dan blog (laman sesawang) Madrasah Hashimiah sendiri. Ini memudahkan orang ramai terutama sekali pelajar universiti untuk peroleh maklumat terkini aktiviti yang sedang berlangsung di Madrasah Hashimiah.

Aktiviti kreatif bersama pelajar-pelajar dari USIM
aktiviti pemeriksaan mata oleh pelajar-pelajar UCSI

Aktiviti pelajar universiti ini dapat membantu anak-anak Madrasah Hashimiah melakukan aktiviti yang di luar rutin. Aktiviti sebegini sebenarnya mampu mencetus kreativiti serta menceriakan hari-hari mereka. Ini disebabkan apabila aktiviti melibatkan orang tempatan, mereka akan rasa lebih selamat dan bangga kerana pada waktu inilah mereka berpeluang untuk mengenali lebih rapat dengan orang tempatan. Status mereka sebagai pelarian sedikit sebanyak membuatkan mereka rasa kurang berkeyakinan, tetapi dengan sokongan daripada masyarakat tempatan lagi-lagi penglibatan pelajar universiti membantu untuk meningkatkan keyakinan diri mereka.

Bagi yang berminat untuk melakukan aktiviti bersama anak-anak pelarian kami di Madrasah Hashimiah, boleh terus hubungi pejabat kami di 0182882754 (Fazlan).

Muhammad bin Kamarulazizi
Pengerusi
Madrasah Hashimiah


Wednesday, December 21, 2016

Kutu Akhirat - inisiatif membantu Madrasah Hashimiah

Pada awal November 2016, satu mesyuarat telah diadakan di Madrasah Hashimiah berikutan masalah kekurangan dana yang melanda Madrasah Hashimiah. Cetusan idea sukarelawan Kindness Malaysia semasa perbincangan di dalam mesyuarat tersebut, maka KUTU AKHIRAT ini diwujudkan.

Ilham Kutu Akhirat ini timbul apabila melihat masyarakat terutama orang Melayu gemar bermain kutu, sama ada berbentuk wang tunai, emas, barangan, hiasan rumah dan pelbagai bentuk kutu yang lain. Ingin mencari kelainan tetapi tetap menggunakan konsep yang sama, maka Kutu Akhirat ini dilaksanakan dengan motif membantu menampung kekurangan dana di Madrasah Hashimiah.

Kutu Akhirat yang telah dibukukan

Umum mengetahui, Madrasah Hashimiah mengalami susut kewangan yang amat teruk kesan dari kegawatan ekonomi dan ia turut dirasai oleh pusat-pusat tahfiz Al-Quran dan Rumah-rumah Anak Yatim yang lain. Pernah pada suatu masa, anak-anak Madrasah Hashimiah hanya mampu berlaukkan telur atau kentang sahaja sebagai juadah harian mereka.


Anak-anak Madrasah Hahimiah

Madrasah Hashimiah merupakan pusat tahfiz Al-Quran yang menempatkan anak-anak pelarian yatim Rohingya dan Myanmar Muslim. Lokasi Madrasah Hashimiah ialah di deretan kedai 3 tingkat Pasar Borong Selayang, Batu Caves, Kuala Lumpur. Seramai 171 murid yang mengaji di madrasah ini, di mana sebahagiannya menjadikan madrasah ini sebagai asrama mereka memandangkan mereka anak-anak yang kematian ibu atau ayah dan selebihnya tinggal bersama keluarga yang daif di sekitar pasar borong tersebut.


Suasana pembelajaran di madrasah 

Pengasas Kindness Malaysia yang juga merupakan Pengerusi Madrasah Hashimiah bertanggungjawab untuk membantu perjalanan dan operasi seharian madrasah ini. Maka, pada 22 November 2016, secara rasminya Kutu Akhirat ini dimulakan. Pulangan kutu ini tidaklah dalam bentuk tunai mahupun barangan tetapi pulangannya dalam bentuk saham di akhirat nanti, inshaAllah. 

Kutu dibahagikan kepada dua kategori iaitu RM10 dan RM20. Penderma boleh memilih sama ada ingin menyertai kutu RM10 atau RM20 atau kedua-duanya sekali. Kutipan kutu yang berkonsepkan derma ini dibuat pada 10 haribulan setiap bulan. Kutu ini akan dikumpulkan oleh dua orang sukarelawan Kindness Malaysia atau lebih dikenali dengan panggilan ibu dan bapa kutu yang dilantik oleh pihak Kindness Malaysia sendiri. Group whatsapp juga telah dibuka untuk setiap kumpulan dan dihadkan kepada 20 orang setiap kumpulan.

Senarai nama penderma Kutu Akhirat

Jumlah terkumpul Kutu Akhirat ini akan disalurkan kepada Madrasah Hashimiah bagi membeli barang keperluan harian mereka dan bagi menampung kos operasi madrasah. Sekurang-kurangnya, beban mereka dapat diringankan dan pasti rezeki mereka setiap bulan tidak putus. Itulah matlamat kami, memastikan dana sentiasa masuk ke Madrasah Hashimiah.

Alhamdulillah..setelah sebulan dilancarkan dan dilaksanakan, Kutu Akhirat ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada semua orang terutama ahli Kindness Malaysia  sendiri dan orang perseorangan. Perlaksanaannya nampak amat baik sekali. 

Sama-sama kita doakan semoga perjalanan Kutu Akhirat ini terus konsisten pada setiap bulan agar kita dapat terus membantu Madrasah Hashimiah. Walaupun ia nampak kecil, tetapi impaknya amat besar kepada anak-anak ini yang amat memerlukan bantuan kita semua. Siapa tahu, berkat bantuan dari kita semua, anak-anak ini akan dapat belajar dengan lebih selesa dan dapat menjalani rutin harian seperti kita semua.

Apa yang lebih penting adalah keikhlasan kita semasa menderma, walaupun cuma RM1. Peluang untuk sama-sama menjana saham akhirat ini, masih lagi kami buka. Sila whatsapp no. hp tertera untuk menyertai Kutu Akhirat: 013-2900 246 (Iman) atau 013-2840 838 (Shahrizal).



Nombor akaun Madrasah Hashimiah

Untuk info lanjut mengenai Madrasah Hashimiah boleh layari laman blog  http://hashimiah.blogspot.my/
Untuk sumbangan kewangan terus kepada Madrasah Hashimiah, boleh dibuat melalui akaun CIMB BANK, nombor akaun : 8600202864 (Madrasah Hashimiah).
No tel pejabat/whatsapp/sms: 018-288 2754. Email: mhashimiah@gmail.com
Alamat: No. 111-3, Kompleks Pasar Borong, Jalan 2/3A, KM12 Jalan Ipoh, Pusat Bandar Utara Selayang, 68100 Batu Caves, Kuala Lumpur.

Terima kasih para penderma dan semua yang budiman yang telahpun menyertai Kutu Akhirat. Terima kasih juga kepada rakan-rakan Kindness Malaysia dan pihak Madrasah Hashimiah yang banyak membantu dan menyokong penuh perjalanan Kutu Akhirat ini. Barakallah.


Iman Nur Alia
Projek Koordinator Kutu Akhirat
Kindness Malaysia


Saturday, October 15, 2016

Dana Semakin Genting di Madrasah Hashimiah


Tak pernah sebelum ini nak uruskan sekolah tahfiz sendiri. Bila Ustaz Hashim minta jadi pengerusi, saya rasa tanggungjawab tu berat. Lagi-lagi melibatkan anak-anak pelarian. Anak pelarian ini kurang popular jika nak banding dengan anak-anak yatim dan miskin melayu. Syarikat korporat atau agensi kerajaan pun lebih gemar anak-anak tempatan berbanding dengan "orang luar" macam pelarian.

Saya tidak kata saya bersetuju untuk jadi pengerusi, tapi setiap kali jumpa donor, Ustaz Hashim akan kenalkan saya sebagai pengerusi. Bermula dari situ saya rasa saya perlu lakukan sesuatu untuk anak2 di Madrasah Hashimiah.

Fokus utama adalah untuk sustain Madrasah Hashimiah. Alhamdulillah, 4 tahun sebagai pengerusi, dana masuk cukup untuk sustain setiap tahun. Perancangan pengumpulan dana akan dilakukan sebelum bulan puasa. Dana yang diterima pada bulan puasa itulah yang menjadi income utama bagi membantu operasi Madrasah selama setahun.

Tahun ini agak berbeza, keadaan ekonomi kurang memberangsangkan. Dana yang kami kumpul di Madrasah Hashimiah tidak sebanyak tahun sebelumnya, dan paling saya risau mungkin tidak dapat nak sustain sampai bulan puasa tahun hadapan. Saya dapat tahu, banyak rumah kebajikan yang lain mengalami perkara yang sama. Banyak NGO juga yang terkesan. Saya percaya orang ramai pun sudah tidak banyak belanja, kerana kewangan terhad.

InsyaAllah usaha untuk sustain madrasah akan diteruskan. Iya, ada cadangan untuk lakukan perniagaan sebagai income, tapi banyak faktor external yang perlu diambil kira, lagi-lagi Madrasah kami menempatkan anak-anak pelarian, dan kami juga merupakan sekolah komuniti dan juga asrama.
Alhamdulillah masih ada donatur yang maintain sumbang ke madrasah. Walaupun jumlah sudah tidak sebanyak dulu, nilai tetap ada. 

Kawan-kawan, jika ada yang berminat untuk menyumbang, boleh sumbang terus ke akaun CIMB di 8600202864 atas nama Madrasah Hashimiah. Saya dah lama tak buat crowd funding, tapi kali ini saya terpaksa lakukan juga demi anak-anak di Madrasah Hashimiah. Semoga kawan semua dirahmatiNya, amin.

Muhammad bin Kamarulazizi
Pengerusi 
Madrasah Hashimiah

Thursday, September 1, 2016

Projek Batu Merdeka Anak Pelarian Raikan Kemerdekaan Malaysia ke 59


Bersempena dengan Hari Kemerdekaan yang ke 59, pihak Kindness Malaysia mengambil kesempatan untuk bersama-sama dengan anak-anak pelarian Rohingya dan Myanmar Muslim meraikan hari yang bersejarah bagi rakyat Malaysia. Biar pun anak-anak ini merupakan pelarian dari Myanmar, ini tidak menghalang mereka untuk turut bersama meraikan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke 59. Bagi anak-anak ini yang sudah tinggal di Malaysia sekian lama, perasaan cintakan negara baru ini sudah lama tersemat dalam diri mereka.

Keamanan yang dikecapi di negara kita ini membuatkan mereka selesa untuk berada di Malaysia walaupun status mereka sebagai status pelarian. Majoriti pelarian ini beragama Islam dan ini lebih mudah bagi mereka untuk menjalani kehidupan seharian mereka sebagai orang Islam.

sukarelawan Kindness Malaysia bersama anak-anak Madrasah Hashimiah

Ustaz Hashim pengetua Madrasah Hashimiah turut ada sekali

Uyaina dari Nona TV3 memeriahkan lagi suasana

anak-anak Madrasah Hashimiah menunjukkan bakat masing-masing

Bersempena hari bersejarah ini, Kindness Malaysia telah mengadakan Projek Batu Merdeka bersama anak-anak pelarian Madrasah Hashimiah. Konsep yang mudah dimana mereka akan menulis mesej kebaikan dengan tema merdeka. Lebih 40 orang anak yatim dan miskin ini terlibat menunjukkan bakat masing-masing dengan melukis di atas batu sungai dan juga kad manila. Batu ini kemudiannya akan diletakkan di tempat awam seperti hentian bas dan lrt untuk menggembirakan orang yang membaca mesej pada batu tersebut.

hasil Projek Batu Merdeka

Lagi hasil dari anak-anak Madrasah Hashimiah
Turut hadir Uyaina dari Nona TV3 memeriahkan lagi aktiviti di malam merdeka tersebut. Pihak Kindness Malaysia mengucapkan terima kasih kepada sukarelawan yang terlibat, juga kepada para dermawan yang baik hati menaja aktiviti kebaikan kali ini. Bagi yang berminat untuk turut serta dengan aktiviti Kindness Malaysia, boleh layari terus www.facebook.com/kindness.my.

Mendapat liputan dalam Harian Metro


Projek ini tersiar dalam Harian Metro 6 September 2016 dan Rancangan Nona TV3 pada 4 September 2016.

Muhammad bin Kamarulazizi
Pengasas
Kindness Malaysia

Monday, October 5, 2015

Perlawanan Persahabatan Sebagai Persediaan Futsal Piala Kindness 2016



Satu perlawanan persahabatan futsal berlangsung melibatkan sukarelawan Kindness Malaysia dengan warga penghuni Asrama Darul Falah (ASDAF) dan juga Madrasah Hashimiah. Perlawanan persahabatan ini merupakan persediaan untuk Pertandingan Futsal Piala Kindness yang bakal berlangsung pada bulan April 2016.

Enam pasukan lelaki dan tiga pasukan perempuan terlibat dengan perlawanan persahabatan kali ini. Bagi pasukan lelaki, dua pasukan dari Kindness Malaysia, dua lagi dari ASDAF dan dua dari Madrasah Hashimiah. Bagi pasukan perempuan pula, dua buah pasukan dari ASDAF dan satu paskan dari Kindness Malaysia. Sukarelawan Kindness Malaysia telah berusaha untuk dapatkan tajaan jersi, makanan dan hadiah dan alhamdulillah semua kos untuk perlaksanaan perlawanan persahabatan ini ditaja sepenuhnya oleh syarikat korporat dan individu dermawan.

Taklimat dilakukan oleh wakil dari Soljabiru

kemesraan sukarelawan bersama anak-anak ASDAF

Pasukan Madrasah Hashimiah (hijau) dan ASDAF (biru)

kehadiran warga Soljabiru yang mengaturkan permainan

pasukan futsal Kindness Malaysia

Pasukan futsal Kindness Malaysia (biru) dan ASDAF (merah jambu)

Aktiviti kali ini berlangsung di KSL, Sri Gombak bermula jam 9 pagi hingga jam 1 tengahari dan melibatkan 30 orang sukarelawan dari Kindness Malaysia dan juga Soljabiru (Kelab Penyokong Chelsea). Hadiah hamper ditaja oleh Iyres KBS, dan juga penderma individu. Syarikat Plus Malaysia juga telah menaja perlawanan persahabatan futsal ini.

Perlawanan ini bakal menjadi titik permulaan untuk mula merancang bagi Pertandingan Futsal Piala Kindness 2016. Setakat ini Soljabiru sudah bersetuju untuk menaja lokasi pertandingan dan uruskan permainan semasa hari pertandingan. Tajaan lain seperti hadiah, jersi pasukan, makanan, pengangkutan untuk rumah anak yatim, logistik juga diperlukan. Tajaan lain seperti photobooth, jurukamera, juru video, pa system, banting dan banner promosi juga diperlukan kelak. Kindness Malaysia juga mengalu-alukan penaja utama bagi pertandingan futsal yang berlangsung setiap dua tahun. Pertandingan yang bakal menyaksikan penyertaan lebih 30 buah rumah kebajikan dan pelarian dari Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan ini menjadi acara yang sentiasa dinantikan oleh anak-anak yatim dan miskin juga tidak ketinggalan anak-anak pelarian Rohingya, Myanmar Muslim, Somalia dan Afghanistan.

antara hadiah tajaan Iyres KBS

menggunakan tiga buah gelanggang futsal

makanan free flow untuk pemain dan penyokong

sesi penyampaian hadiah

semua yang terlibat pulang dengan hati yang gembira

Kali terakhir Futsal Piala Kindness dipertandingkan ialah pada tahun 2014. Genap dua tahun, pertandingan akan berlangsung sekali lagi dan harapan kali ini agar lebih banyak pasukan rumah anak yatim dan juga komuniti pelarian dapat turut serta. Kumpulan sukarelawan mahupun NGO juga boleh turut serta sekali dan pada yang berminat untuk kerjasama atau menjadi penaja, boleh hubungi saya terus di matt@kindness.my (email).

Muhammad bin Kamarulazizi
Pengasas
Kindness Malaysia
www.facebook.com/kindness.my

Saturday, September 26, 2015

Pengalaman Korban Bersama Komuniti Pelarian Rohingya dan Myanmar Muslim



Assalamualaikum wrb,

Syukur ke hadrat Ilahi, saya diberi kesempatan untuk bersama2 dengan rakan-rakan sukarelawan Kindness Malaysia terlibat dalam menjayakan program korban 1436H yang dibuat di Madrasah Hashimiah. Program ini ditaja oleh Al Khair Foundation dan diusahakan bersama pihak Madrasah Hashimiah, Kindness Malaysia dan Humunity Heroes. Sebanyak 7 ekor lembu dan 2 ekor kambing telah disumbangkan untuk majlis pada hari ini.

Saya tiba dimadrasah lebih kurang jam 10pagi. Sebaik sahaja memasuki deretan kedai menuju ke madrasah masyarakat sekitar telah berhimpun  dalam kumpulan-kumpulan kecil bersama dengan binatang korbon mereka. Darah merah memenuhi sepanjang kaki lima kedai, suasana yang cukup meriah.

melapah kambing
  
pendaftaran kupon untuk agihan daging qurban


Sampai di madrasah saya disapa oleh beberapa orang sukarelawan madrasah dan menjemput saya naik ke pejabat. Kelihatan anak-anak kecil ceria berbaju raya berwarna warni. Saya difahamkan semua lembu telah selesai disembelih, sekarang tengah proses melapah kulit dan membawa daging naik ke tingkat dua tempat untuk melapah daging. Saya terus naik ke tingkat dua bangunan dan berjumpa dengan En Muhammad Pengerusi madrasah dan Ust Hashim Pengetua madrasah yang berlumuran darah. Oh ini dia pembunuh yang bertanggungjawab pada pagi ini bisik hati kecil saya. Saya disapa mesra oleh mereka berdua. Ditangan Ust Hashim masih terdapat parang yang berkilat tajam. Masih ada seekor kambing yang perlu disembelih. 

Saya kembali ke tingkat satu. Bahagian ini yang biasa saya buat bila ada majlis korban di kampung saya.dengan berbekalkan pisau seramik yg dibekalkan oleh En Muhammad dan bantuan dari 2 orang anak madrasah saya memulakan aksi memotong daging-daging lebih kurang 1/2 kg satu bahagian.
Kemudian saya membantu seorang ustaz melapah kambing yang dah siap disembelih tadi. Selesai melapah daging itu dibungkus 2kg setiap bungkusan dicampur dengan tulang dan organ2 dalaman kambing seperti hati,limpa dan lain-lain.
pengagihan daging qurban

bersama Ustaz Hashim dan wakil dari Al Khair Foundation

Selesai proses pembungkusan, sekarang tiba masa untuk pengagihan daging.orang ramai diminta untuk mendaftar dan diberikan kupon sebelum boleh mengambil daging. Rupanya semasa saya tengah melapah kambing tadi org ramai dah membanjiri kawasan madrasah sesak pintu masuk ke madrasah. sukarelawan membuat tugas masing-masing supaya keadaan terkawal dan majlis dapat berlangsung dengan lancar.

Saya terpaksa memohan diri kerana keluarga saya menanti di kampung. Jam pun dah menunjukkan jam 3 petang. Sekejap sahaja masa berlalu. Pengalaman yang berharga hari ini. Bergaul bersama dengan masyarakat setempat yg rata-ratanya merupakan pelarian Myanmar adalah  satu perkara yang tidak dapat dilupakan. Semoga kita berjumpa lagi di lain masa. Selamat menyambut Hari Raya Aidil Adha. Semoga kita dapat menghayati erti pengorbanan yang sebenar.

Noriduan Abd Rahman
Pengerusi 
Kindness Malaysia
www.facebook.com/kindness.my

Saturday, June 13, 2015

Nona Manis Kongsikan Kegembiraan Bersama Anak-anak Madrasah Hashimiah



Tiga pengacara finalis dari Nona Manis iaitu Uyaina, Maryam dan Edora telah memilih Madrasah Hashimiah sebagai tempat untuk mereka lakukan aktiviti kebajikan. Perancangan dilakukan kurang dari seminggu dan finalis pengacara Nona ini bertungkus lumus untuk dapatkan dana serta sumbangan untuk disalurkan kepada Madrasah Hashimiah.

Aktiviti bersama anak-anak Madrasah Hashimiah telah dijalankan pada 12 Jun 2015 yang lalu bermula dari awal pagi hingga ke peringkat petang. Pada awal pagi, rakaman anak-anak Hashimiah sedang belajar dilakukan dan menjelang tengahari semua warga penghuni Madrasah dijamu dengan nasi ayam. Pada sebelah tengahari pula, semua ke masjid untuk solat Jumaat dan aktiviti seterusnya iaitu pertandingan mewarna dimulakan pada jam 2.30 petang. Anak-anak Hashimiah terutama sekali yang dibawah umur 12 tahun menunjukkan minat yang sangat tinggi dalam mewarna. Bukan selalu anak-anak ini berpeluang untuk mewarna.

anak-anak Hashimiah menunjukkan bakat mewarna

Maryam dari Nona Manis

Badut menghiburkan anak-anak Hashimiah

Pada jam 4 petang, aksi badut dengan belon menghiburkan anak-anak Hashimiah dan diakhiri dengan tahlil dan solat Asar. Aktiviti yang dijalankan ini juga  dibantu oleh sukarelawan dari Kindness Malaysia sejajar dengan slogan Dari Semua Untuk Semua. Tempoh empat hari pengumpulan dana oleh tiga orang pengacara finalis Nona Manis ini boleh dibanggakan. Sebuah vacuum cleaner yang sangat diperlukan oleh pihak Madrasah Hashimiah juga telah disumbangkan oleh team Nona Manis ini.

hadiah disampaikan oleh Uyaina dari Nona Manis

Edora bersama anak-anak Hashimiah
vacuum cleaner disampaikan kepada wakil Madrasah Hashimiah


Pihak Kindness Malaysia dan Madrasah Hashimiah mengucapkan tahniah dan terima kasih atas aktiviti kebaikan yang dijalankan bersama warga penghuni Madrasah. Dan harapannya finalis Nona Manis iaitu Uyaina, Maryam dan Edora akan terus berjaya dalam bidang pengacaraan dan teruskan melakukan kebaikan tidak kira tempat, masa atau pada sesiapa pun.

Muhammad bin Kamarulazizi
Pengasas
Kindess Malaysia
www.facebook.com/kindness.my

Tuesday, May 19, 2015

Sukarelawan Kindness Jayakan Majlis Penyampaian Hadiah Madrasah Hashimiah



Perancangan rapi dilakukan sebulan sebelum berlangsungnya Majlis Penyampaian Hadiah Madrasah Hashimiah yang ke 15. Madrasah Hashimiah yang menempatkan anak-anak pelarian Rohingya dan Myanmar Muslim ini terletak di Pasar Borong Selayang. Setiap tahun madrasah ini akan melahirkan para Hafiz dan Hafizah seawal usia 12 tahun.

Tahun ini, sukarelawan Kindness Malaysia terlibat dalam persiapan majlis. Majlis ini diadakan di kawasan parkir berhadapan dengan sekolah dengan kebenaran daripada pihak DBKL. 11 khemah bersaiz 20x20 dan 10 khemah bersaiz 10x10 digunakan bersama pentas dan hiasan untuk majlis ini. Tiga orang murid berjaya mencapai taraf Hafiz dengan hafalan 30 juzuk al-Quran.

persembahan daripada anak-anak Madrasah Hashimiah

Tahun ini menghasilkan seorang Hafiz dan dua orang Hafizah

Delegasi daripada Myanmar

Suasana di Majlis Penyampaian Hadiah


Jemputan dianggar hampir 1000 orang dan kebanyakannya daripada masyarakat di sekeliling Madrasah Hashimiah. Para NGO turut hadir seperti Yayasan Tzu Chi, UNHCR, Prihaatin dan Sanggar Suri. Individu-individu dermawan juga turut hadir bagi meraikan kejayaan anak-anak Madrasah Hashimiah. Setiap murid yang mendapat markah tertinggi untuk setiap subjek akan menerima hadiah yang merupakan barangan elektrik.

anak-anak Hashimiah bersama para dermawan

sukarelawan Kindness Malaysia

Warga Madrasah Hashimiah berganding bahu dengan sukarelawan Kindness Malaysia

Antara individu-individu yang selalu melakukan aktiviti bersama anak-anak Hashimiah


Pihak Kindness mengucapkan jutaan terima kasih kepada Studio of the Apes yang telah menaja PA sistem dan juga kepada individu-individu yang telah menyumbang bagi menjayakan majlis penyampaian hadiah bagi tahun ini. Untuk maklumat lanjut tentang aktiviti Kindness pada masa akan datang, boleh layari Facebook Kindness Malaysia.

Muhammad bin Kamarulazizi
Pengasas
Kindness Malaysia
www.facebook.com/kindness.my

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...