About

Blog tentang aktiviti-aktiviti amal di dalam dan luar Malaysia

More About Me...

Kita pesimis dengan kesengsaraan insan yang menderita di serata dunia. Laman ini cuba mengundang kembali sekelumit fitrah insani yang cakna dan peka dengan kesengsaraan insan lain. Infaq di jalan Allah...

RSS Subscribe

Pengiktirafan dari World Kindness Movement

Kindness Malaysia kini secara rasminya merupakan ahli World Kindness Movement

Misi Bantuan Kemanusiaan Untuk Mangsa Rohingya di Arakan, Myanmar

Bersama pelarian Rohingya di Arakan (Rakhine), Myanmar

Bantuan Perubatan di Hebron, Palestine

Vitamin C untuk anak-anak Palestine di Hebron

Ziarah ke perkampungan orang asli

Bersama sukarelawan ke kampung orang asli di Pos Betau, Pahang.

Misi Gelandangan Feed The Homeless

Misi Gelandangan Feed The Homeless yang dijalankan setiap hari Sabtu 2 minggu sekali di sekitar Kuala Lumpur

Booking.com
Showing posts with label Kutu Akhirat. Show all posts
Showing posts with label Kutu Akhirat. Show all posts

Sunday, February 4, 2018

Kutu Akhirat: Satu Inovasi Sosial dari Kindness Malaysia

Logo rasmi Kutu Akhirat

Ramai yang bertanya apakah itu "KUTU AKHIRAT" yang seringkali disebut akhir-akhir ini di kalangan para sukarelawan Kindness Malaysia. Di bawah ini disediakan jawapan kepada persoalan yang mungkin sedang berlegar dalam fikiran anda tentang Kutu Akhirat.

Q:Apa itu Kutu Akhirat?
A:Kutu  Akhirat merupakan konsep menderma (infak) wang ringgit setiap bulan yang disumbangkan oleh orang ramai dengan jumlah yang kecil tetapi memberi impak yang besar.


Q:Siapa pemberi Kutu Akhirat?
A:Sesiapa jua yang ingin membantu mereka yang memerlukan secara konsisten dalam jumlah yang kecil. Di Kindness Malaysia, kami mewakilkan dua orang sukarelawan untuk menguruskan Kutu Akhirat


Q: Siapa penerima Kutu Akhirat?
A: Sesiapa jua yang memerlukan sama ada individu, institusi, madrasah mahupun rumah kebajikan dan rumah anak-anak yatim, asnaf, rumah orang-orang tua.


Q: Bagaimana dilaksanakan?
A: Derma dikutip melalui cash atau online banking kepada satu akaun bank setiap bulan (renewal setiap 6 bulan) dan dikumpulkan oleh person in charge yang digelar ibu/bapa kutu.


Q: Berapakah jumlah yang didermakan?
A: Paling minimum RM10 dan tiada had maksimum.


Q: Mengapa dilaksanakan?
A1: Bagi memastikan kos perbelanjaan bulanan sesebuah institusi / individu yang dibantu  tidak putus
A2: Menggalakkan orang ramai menderma secara konsisten
A3: Memberi peluang kepada orang ramai yang berpendapatan rendah untuk sama-sama menjana saham akhirat
A4: Pendedahan kepada NGO dan masyarakat bahawa kutu akhirat sebagai salah satu inovasi sosial dalam menyuntik dana dengan menggunakan cara yang lebih teratur


Q: Bila perlu menggunakan Kutu Akhirat?
A: Derma digunakan ketika kecemasan dan bagi menampung keperluan penerima


Sehingga hari ini, NGO Kindness Malaysia telah membuka 3 Kutu Akhirat menggunakan whatsapp group sebagai medium utama komunikasi untuk membantu Madrasah Hashimiah, Rumah Titian Kaseh KL (RTK) dan Adik Jaafar (Anak pelarian muslim Myanmar  yang masih kecil, ayahnya sakit di hospital manakala keluarganya cukup daif dan tidak dapat menampung perbelajaan seharian. Adik Jaafar mendapatkan wang seharian dengan mengutip kotak dan menjual saki baki sayur di sekitar pasar borong Selayang).


Buat masa ini, ahli kutu akhirat Madrasah Hashimiah telah mencecah hampir 200 orang penderma manakala penderma untuk adik Jaafar seramai 26 orang diikuti ahli kutu RTK seramai 20 orang. Kami menjangkakan bilangan ahli kutu akhirat ini akan meningkat dari semasa ke semasa.


Diharapkan semua ahli dapat meneruskan derma ini secara konsisten dan berterusan dan seterusnya mengajak orang lain untuk turut sama menjadi ahli atau sekurang-kurangnya menyebarkan Kutu Akhirat ini supaya boleh diikuti oleh orang lain.


Terima kasih kepada semua ahli Kutu Akhirat yang pemurah, Pengerusi Madrasah Hashimiah, Ustaz Hashim serta seluruh wargakerja dan anak-anak di madrasah yang memberi peluang kepada kami mengendalikan Kutu Akhirat ini, Encik Muhammad selaku pengasas Kindness Malaysia yang memberi kepercayaan penuh kepada kami melaksanakan amanah ini, saudara Fazlan yang banyak membantu menguruskan hal-hal berkaitan kutu akhirat juga kepada rakan-rakan sukarelawan Kindness Malaysia serta semua yang menyokong penuh perjalanan Kutu Akhirat. Terima kasih juga kepada seluruh wargakerja RTK dan adik Jaafar sekeluarga yang menyambut baik derma Kutu Akhirat ini.


Semoga kita sama-sama dapat menjana saham akhirat. Semoga bermanfaat buat semua. Mohon doa semoga usaha ini dapat diteruskan & disebarkan oleh semua dan jenama Kutu Akhirat ini mendapat tempat di hati masyarakat.


Kepada sesiapa yang berminat untuk menjadi ahli kutu akhirat atau ingin mendalami bagaimana kutu akhirat ini dilaksanakan, boleh email ke support@kindness.my atau boleh terus hubungi Iman (013-2900 246) atau Shahrizal (013-284 0838).


"Barangsiapa yang membantu menghilangkan satu kesedihan (kesusahan) dari sebahagian banyak kesusahan orang mukmin ketika didunia, maka Allah akan menghilangkan satu kesusahan (kesedihan) dari sekian banyak kesusahan dirinya pada hari Kiamat kelak. Dan barangsiapa yang memberikan kemudahan (membantu) kepada orang yang kesusahan, nescaya Allah akan membantu memudahkan urusannya di dunia dan di akhirat. Dan barangsiapa yang menutup aib orang muslim , nescaya Allah akan menutup aibnya dunia dan akhirat. Sesungguhnya Allah akan selalu menolong seorang hamba selama dia gemar menolong saudaranya" (HR. Muslim).


Terima kasih.


Projek Koordinator
Kutu Akhirat
Shahrizal Shawal

Wednesday, December 21, 2016

Kutu Akhirat - inisiatif membantu Madrasah Hashimiah

Pada awal November 2016, satu mesyuarat telah diadakan di Madrasah Hashimiah berikutan masalah kekurangan dana yang melanda Madrasah Hashimiah. Cetusan idea sukarelawan Kindness Malaysia semasa perbincangan di dalam mesyuarat tersebut, maka KUTU AKHIRAT ini diwujudkan.

Ilham Kutu Akhirat ini timbul apabila melihat masyarakat terutama orang Melayu gemar bermain kutu, sama ada berbentuk wang tunai, emas, barangan, hiasan rumah dan pelbagai bentuk kutu yang lain. Ingin mencari kelainan tetapi tetap menggunakan konsep yang sama, maka Kutu Akhirat ini dilaksanakan dengan motif membantu menampung kekurangan dana di Madrasah Hashimiah.

Kutu Akhirat yang telah dibukukan

Umum mengetahui, Madrasah Hashimiah mengalami susut kewangan yang amat teruk kesan dari kegawatan ekonomi dan ia turut dirasai oleh pusat-pusat tahfiz Al-Quran dan Rumah-rumah Anak Yatim yang lain. Pernah pada suatu masa, anak-anak Madrasah Hashimiah hanya mampu berlaukkan telur atau kentang sahaja sebagai juadah harian mereka.


Anak-anak Madrasah Hahimiah

Madrasah Hashimiah merupakan pusat tahfiz Al-Quran yang menempatkan anak-anak pelarian yatim Rohingya dan Myanmar Muslim. Lokasi Madrasah Hashimiah ialah di deretan kedai 3 tingkat Pasar Borong Selayang, Batu Caves, Kuala Lumpur. Seramai 171 murid yang mengaji di madrasah ini, di mana sebahagiannya menjadikan madrasah ini sebagai asrama mereka memandangkan mereka anak-anak yang kematian ibu atau ayah dan selebihnya tinggal bersama keluarga yang daif di sekitar pasar borong tersebut.


Suasana pembelajaran di madrasah 

Pengasas Kindness Malaysia yang juga merupakan Pengerusi Madrasah Hashimiah bertanggungjawab untuk membantu perjalanan dan operasi seharian madrasah ini. Maka, pada 22 November 2016, secara rasminya Kutu Akhirat ini dimulakan. Pulangan kutu ini tidaklah dalam bentuk tunai mahupun barangan tetapi pulangannya dalam bentuk saham di akhirat nanti, inshaAllah. 

Kutu dibahagikan kepada dua kategori iaitu RM10 dan RM20. Penderma boleh memilih sama ada ingin menyertai kutu RM10 atau RM20 atau kedua-duanya sekali. Kutipan kutu yang berkonsepkan derma ini dibuat pada 10 haribulan setiap bulan. Kutu ini akan dikumpulkan oleh dua orang sukarelawan Kindness Malaysia atau lebih dikenali dengan panggilan ibu dan bapa kutu yang dilantik oleh pihak Kindness Malaysia sendiri. Group whatsapp juga telah dibuka untuk setiap kumpulan dan dihadkan kepada 20 orang setiap kumpulan.

Senarai nama penderma Kutu Akhirat

Jumlah terkumpul Kutu Akhirat ini akan disalurkan kepada Madrasah Hashimiah bagi membeli barang keperluan harian mereka dan bagi menampung kos operasi madrasah. Sekurang-kurangnya, beban mereka dapat diringankan dan pasti rezeki mereka setiap bulan tidak putus. Itulah matlamat kami, memastikan dana sentiasa masuk ke Madrasah Hashimiah.

Alhamdulillah..setelah sebulan dilancarkan dan dilaksanakan, Kutu Akhirat ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada semua orang terutama ahli Kindness Malaysia  sendiri dan orang perseorangan. Perlaksanaannya nampak amat baik sekali. 

Sama-sama kita doakan semoga perjalanan Kutu Akhirat ini terus konsisten pada setiap bulan agar kita dapat terus membantu Madrasah Hashimiah. Walaupun ia nampak kecil, tetapi impaknya amat besar kepada anak-anak ini yang amat memerlukan bantuan kita semua. Siapa tahu, berkat bantuan dari kita semua, anak-anak ini akan dapat belajar dengan lebih selesa dan dapat menjalani rutin harian seperti kita semua.

Apa yang lebih penting adalah keikhlasan kita semasa menderma, walaupun cuma RM1. Peluang untuk sama-sama menjana saham akhirat ini, masih lagi kami buka. Sila whatsapp no. hp tertera untuk menyertai Kutu Akhirat: 013-2900 246 (Iman) atau 013-2840 838 (Shahrizal).



Nombor akaun Madrasah Hashimiah

Untuk info lanjut mengenai Madrasah Hashimiah boleh layari laman blog  http://hashimiah.blogspot.my/
Untuk sumbangan kewangan terus kepada Madrasah Hashimiah, boleh dibuat melalui akaun CIMB BANK, nombor akaun : 8600202864 (Madrasah Hashimiah).
No tel pejabat/whatsapp/sms: 018-288 2754. Email: mhashimiah@gmail.com
Alamat: No. 111-3, Kompleks Pasar Borong, Jalan 2/3A, KM12 Jalan Ipoh, Pusat Bandar Utara Selayang, 68100 Batu Caves, Kuala Lumpur.

Terima kasih para penderma dan semua yang budiman yang telahpun menyertai Kutu Akhirat. Terima kasih juga kepada rakan-rakan Kindness Malaysia dan pihak Madrasah Hashimiah yang banyak membantu dan menyokong penuh perjalanan Kutu Akhirat ini. Barakallah.


Iman Nur Alia
Projek Koordinator Kutu Akhirat
Kindness Malaysia


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...