About

Blog tentang aktiviti-aktiviti amal di dalam dan luar Malaysia

More About Me...

Kita pesimis dengan kesengsaraan insan yang menderita di serata dunia. Laman ini cuba mengundang kembali sekelumit fitrah insani yang cakna dan peka dengan kesengsaraan insan lain. Infaq di jalan Allah...

RSS Subscribe

Pengiktirafan dari World Kindness Movement

Kindness Malaysia kini secara rasminya merupakan ahli World Kindness Movement

Misi Bantuan Kemanusiaan Untuk Mangsa Rohingya di Arakan, Myanmar

Bersama pelarian Rohingya di Arakan (Rakhine), Myanmar

Bantuan Perubatan di Hebron, Palestine

Vitamin C untuk anak-anak Palestine di Hebron

Ziarah ke perkampungan orang asli

Bersama sukarelawan ke kampung orang asli di Pos Betau, Pahang.

Misi Gelandangan Feed The Homeless

Misi Gelandangan Feed The Homeless yang dijalankan setiap hari Sabtu 2 minggu sekali di sekitar Kuala Lumpur

Booking.com

Thursday, December 29, 2016

Kindness Malaysia Menerima Anugerah Komuniti Bola Sepak Peringkat Kebangsaan 2016

KINDNESS MALAYSIA MENERIMA ANUGERAH KOMUNITI : ANUGERAH BOLASEPAK KEBANGSAAN 2016

25/12/2016
Anugerah Komuniti : Anugerah Bolesepak Kebangsaan 2016 FMLLP
Kejohanan Futsal Kindness Cup 2016 yang berlangsung pada 3 April 2016 telah disertai 24 pasukan lelaki dan 13 pasukan wanita merangkumi 500 peserta. Peserta terdiri daripada komuniti pelarian perang (Myanmar Muslim, Somalia, Afghanistan, Rohingya & Syria) serta anak yatim dan miskin. Setelah 8 bulan Kejohanan Futsal Kindness Cup 2016 berlangsung, Kindness Malaysia telah menerima panggilan daripada Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) untuk menerima Anugerah Komuniti di Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2016 yang berlangsung di Geno Hotel, Subang. FMLLP adalah organisasi yang diwujudkan bagi merelisasikan agenda penswastaan bolasepak Malaysia. Peranan utama FMLLP adalah mengukur aras kemajuan bolasepak Malaysia dan melaksanakan pelan tindakan bagi meningkatkan imej dan mutu bola sepak tempatan.



Juara Futsal Kindness Cup 2016 : Somali FC

Bersama CEO FMLLP, En Kevin Ramalingam

Anugerah ini adalah pengiktirafan khusus bagi menghargai jasa organisasi yang membantu meningkatkan mutu bola sepak di kalangan komuniti. Anugerah diterima oleh wakil Kindness Malaysia, En Mohammad Rozainee selaku pengurus pasukan Asrama Darul Falah merangkap projek koordinator Kindness Malaysia. Seiring dengan slogan By Everyone For Everyone, acara Futsal Kindness Cup 2016 dijayakan bagi memberi peluang kepada golongan yang kurang bernasib baik mempamerkan bakat di peringkat yang lebih tinggi. Rata-rata peserta yang bersaing menunjukkan bakat semulajadi bermain futsal dan tidak kekok untuk bersaing dengan peserta yang lain.

Rakan NGO yang terlibat ; Malaysian Chelsea Soljabiru, Preloved4charity, Humanity Heroes, Humanity, Sadaka, Projek Ihsan dan Kelas Kaseh.

Sekreteriat Futsal Kindness Cup 2016
Pengiktirakan peringkat nasional yang diterima oleh Kindness Malaysia juga dibantu oleh rakan-rakan NGO yang bersama-sama dalam menjayakan Futsal Kindness Cup 2016 seperti Malaysian Chelsea Soljabiru, Preloved4charity, Humanity Heroes, Humanity, Sadaka, Projek Ihsan dan Kelas Kaseh. Setiap NGO mempunyai peranan besar dalam menyediakan pasukan dari segi tajaan, kecergasan, latihan dan sebagainya sebelum acara bermula. Walaupun setiap NGO mempunyai objektif berbeza, namun tujuan utama kami tetap sama iaitu berbakti kepada masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan negara. Tahniah semua yang terlibat!

Adam Ahmad
Setiausaha Kehormat
Kindness Malaysia

Sunday, December 25, 2016

Misi Penyucian Jiwa Ke Tarim, Yaman Episod 7 - Tawadhu dan Rendah Diri



Para auliya dan ulama di sini tidak pernah gagal untuk buatkan saya rasa kagum. Saya terfikir apalah amalan yang dilakukan oleh mereka sehingga mereka boleh capai ke tahap ini. Biasanya kita lihat, bila seseorang itu mempunyai kedudukan atau ilmu yang tinggi, sudah pasti sukar didekati sebab mereka adalah the special one.

Di sini, ada masa mereka akan salam keretapi biasanya dilakukan selepas selesai solat. Semua makmum akan bersalaman antara satu sama lain. Dan bila kita bersalaman dengan auliya dan ulama, kita akan tunduk dan cium tangannya. Tapi adakala berlaku juga bila kita cium tangannya, beliau yakni para auliya mahupun ulama akan cium tangan kita balik. Ya, mereka cium tangan kita. Kita yang kurang ilmu, kasyaf mahupun karomah pun takda, mereka boleh pula letakkan taraf mereka sama dengan orang-orang yang biasa macam kita. Inilah ketinggian budi pekerti yang jarang malah saya tak pernah lihat. Ego kerana ilmu dan maqam yang tinggi seolah-olah langsung tiada.

Salam keretapi selepas solat

Setiap kali selepas solat berpeluang untuk bersalaman dengan Habib Umar
Norma kehidupan, bila ilmu tinggi, ego itu akan naik sekali walaupun tanpa sedar. Ego itu seperti mahu layanan istimewa, mahu dihormati dan lain-lain. Tapi beza di sini. Ego itu tidak bawa erti apa-apa. Setiap perbuatan yang dilakukan oleh para auliya dan ulama di sini meresap masuk dengan mudah dalam masyarakat kerana mereka menjadi contoh yang baik buat semua.

Semoga kelak nanti bila kita dah berduit, berjawatan tinggi malah berilmu, ego kita tetap di bawah, sedar diri yang kita ini hanyalah sekadar hamba padaNya, amin.

Al-Quran diwaqafkan untuk ibu bapa, keluarga dan rakan-rakan

Al Quran untuk diwaqafkan
Tinggal sehari sahaja lagi. Alhamdulillah banyak tempat dapat ziarah, tapi nak cari souvinor tak banyak pilihan. Mubin bagi satu idea yang sangat baik. Saya belikan sebuah Quran, wakafkan di Masjid Darul Mustafa dan diniatkan untuk ibu bapa saya, isteri, keluarga, rakan-rakan Kindness Malaysia, Madrasah Hashimiah, kawan-kawan serta semua yang biasa membantu secara langsung dan tidak langsung. Dengan cara ini insyaAllah semua akan dapat manfaat dariNya, amin.

Muhammad bin Kamarulazizi
Pengasas
Kindness Malaysia


Saturday, December 24, 2016

Misi Penyucian Jiwa Ke Tarim, Yaman Episod 6 - Ijazah Bersanad


Alhamdulillah, tidak pernah terfikir untuk menerima guru sanad dan tak pernah tahu pun. Bila seorang rakan pesan supaya dapatkan guru bersanad, saya pun bertanya kepada Mubin, apa itu guru bersanad?

Dan hari ini alhamdulillah, saya menerima Ijazah Khulasah Al Madad dan Ijazah Serban dari Habib Umar. Saya berkongsi sedikit tentang Kindness Malaysia dan Madrasah Hashimiah dan Habib Umar banyak bertanya tentang Madrasah Hashimiah. Akhirnya beliau beri nasihat dan ucapkan Barakallah. Sejuk hati saya, alhamdulillah.

Habib Umar memberi nasihat

Lebih 50 orang menunggu giliran untuk berjumpa dengan Habib Umar selepas solat
Ijazah atau guru bersanad ini ialah ilmu sunnah yang diturunkan dari seorang guru yang sanadnya bersambung hingga ke Rasulullah. Oleh itu lepas ini, untuk berserban, saya sudah ada guru sanad, dan untuk kitab Khulasa Al Madad, juga saya sudah ada guru sanad. Kitab inilah yang kongsikan doa-doa para wali dan doa serta zikir dari ayat Al Quran dan hadis Rasulullah. Khulasah Al Madad ini bermaksud Intipati Pertolongan.

Ijazah serban dan kitab Al Khulasah al Madad diturunkan kepada saya dari Habib Umar


Semoga dengan ilmu ini dapat manfaatkan, keluarga, Kindness Malaysia, Madrasah Hashimiah dan semua rakan-rakan, insyaAllah.

Muhammad bin Kamarulazizi
Pengasas
Kindness Malaysia

Misi Penyucian Jiwa Ke Tarim, Yaman Episod 5 - Tauladan Dari Auliya

Di Masjid Ba'alawi

Alhamdulillah, hari ini berkesempatan melawat masjid dan juga makam para auliya. Di sini saya berada di Masjid Ba'alawi. Menurut kata-kata para Wali, setiap hari Jumaat, Nabi Khidir akan datang solat di sini. Teringin juga saya nak tunggu untuk solat Asar di sini, mana tau ada sekelumit peratusan untuk berjumpa dengan Nabi Khidir.

tempat ambil wudhu, boleh mandi juga di sini

setiap masjid akan mempunyai tempat untuk minum air

Masjid di sini hampir semuanya diperbuat daripada tanah dan ada yang hampir 1000 tahun. Dan semua ada tempat waqaf air dimana air boleh diminum dengan percuma. Ada juga ruang untuk ulama beruzlah, dimana ruang itu agak kecil dan hanya boleh muat seorang sahaja.

Hari ini saya pelajari satu kata-kata yang punya kebenarannya. Jika kita bertemu dengan pemimpin atau orang berjawatan tinggi, kita akan jaga pakaian dan tutur kata tetapi jika kita bertemu dengan para auliya dan ulama, kita haruslah menjaga hati kita.

salah satu tempat contoh para auliya beruzlah

di Masjid Muhdar yang mempunyai menara yang diperbuat daripada tanah yang tertinggi di dunia

Kami juga ke Inad untuk ziarah rumah dan makam Sheikh Abu Bakar Salim. Wali Allah ini mempunyai pelbagai kisah yang menarik. Saya nak tahu tentang amalannya, kerana itu yang membuatkan beliau istimewa. Salah satu amalan yang dilakukannya ialah beliau bersama pembantunya akan membuat roti sebanyak 700-1000 keping untuk diagihkan kepada orang ramai terutama yang miskin. Pengagihan roti ini dilakukan setiap hari! Saya melihat sendiri tempat uli dan bakar roti itu, dan terbayang bagaimana dia mempunyai kudrat untuk menghasilkan 1000 roti setiap hari dan apa yang mendorongnya untuk melakukan amal itu secara berterusan.

Di rumah Sheikh Abu Bakar Salim

Tempat buat roti di rumah Sheikh Abu Bakar Salim
 Mubin beritahu saya, amalan yang paling mudah dan kebanyakan para wali buat ialah beri makan kepada orang ramai lagi-lagi yang kurang berkemampuan. Kalau kita, sekali sekala bolehlah, nak maintain hari-hari itu yang agak mencabar. 

Disebabkan keikhlasan para wali dalam melakukan kerja-kerja amal, ditambahkan lagi dengan mujahadah (push diri sendiri habis-habisan) dalam melakukan ibadah, maqam mereka dinaikkan dan datangnya pelbagai karomah. Kalau nak bandingkan ibadah yang dilakukan, agak mustahil untuk kita buat. Sheikh Abu Bakar Salim ini berjaya mengekalkan wudhu solat Isyak sehingga solat Subuh selama 40 tahun. Maknanya bila beliau nak lakukan tahajid qiam semua, wudhu yang sama digunakan dari Isya hingga Subuh dan berjaya dilakukan selama 40 tahun. Itu mujahadah yang dilakukan olehnya.

Di dalam rumah Sheikh Abu Bakar Salim
Kita pula macam mana? Kerja amal charity pun tak banyak, takut ada sulam rasa nak glamour saja, astaghfirullah. Amal ibadah pun nak solat jemaah pun dapat time solat Jumaat saja. Semoga Allah beri kekuatan kita untuk lakukan kerja amal biar pun sedikit, tetapi berterusan. Begitu juga dengan amal ibadah kita, insyaAllah.

Muhammad bin Kamarulazizi
Pengasas
Kindness Malaysia

Thursday, December 22, 2016

Misi Penyucian Jiwa Ke Tarim, Yaman Episod 4 - Akhlak



Inilah yang dicari selama ini. Manusia yang kaya dengan adab. Bukan seorang, tetapi hampir semua orang yang saya ketemu. Tutur bicara sangat lembut, senyuman tidak pernah lekang, dan senyuman ini genuine. Senyuman yang datangnya dari hati sanubari. Dan bukannya senyuman sekadar untuk pr seperti yang biasa dilihat di tempat lain.

Makan santai atas tikar atau karpet
Pelajar yang belajar di sini ada dari Yaman sendiri, dari Malaysia, Indonesia, US, Eropah dan dari negara Arab. Semua senyuman ikhlas. Pagi ini semasa sarapan di warung, saya cuba curi-curi dengar perbualan mereka. "They have very beautiful akhlak..." kata seorang pelajar, muka seperti melayu tapi English cair slang Amerika sambil sulam Bahasa Arab. Itu yang dibualnya, memuji akhlak orang lain yang lebih baik. 

Salah sebuah kedai makan yang berhadapan dengan Dar Al Mustofa

Roti dan kacang untuk sarapan

Tengahari nasi dengan ayam golek dan ayam kicap
Jarang sekali saya dengar orang berbual begini. Sangat positif, pelajari semuanya yang baik-baik sahaja. Tiada pun pasal mengata orang, mahupun umpatan atau perihal kebendaan seperti yang biasa dilihat di wall Facebook.

Saya rasa inilah akhlak yang diterapkan oleh para ulama di sini. Mereka menjadi contoh dan akhlak mereka menyerap dalam pelajar-pelajar serta masyarakat sekeliling. Sememangnya mencontohi akhlak Rasulullah SAW.

aktiviti waktu petang bermain bola sepak
Buat Projek Sugi di Tarim

Mubin meletakkan sugi di tempat rawak untuk diketemui oleh pelajar-pelajar Dar Al Mustafa

InsyaAllah Malaysia pun boleh capai tahap begini satu hari nanti. Ramai pelajar Malaysia yang belajar di sini, dan akan pulang jadi contoh kepada rakyat Malaysia. Kindness Malaysia pun kena kerja lebih keras macam ni. Jika Tarim boleh, Kuala Lumpur pun pasti boleh, insyaAllah.

Muhammad bin Kamarulazizi
Pengasas
Kindness Malaysia

Misi Penyucian Jiwa Ke Tarim, Yaman Episod 3 - Budi Pekerti




Saya sangat respect ilmuwan yang down to earth, rendah diri dan baik budi pekerti. Hari ini sempat dengar ceramah oleh Habib Umar mengupas kitab Ihya Ulumuddin. Dalam Bahasa Arab, so saya cuma tengok mimik mukanya sahaja sebab tak brapa nak dapat tangkap semua perkataan yang diucapnya.

Pelajar-pelajar mengagihkan air kosong dingin

Semua yang mendengar ceramah akan dapat menikmati air kosong ini

Air yang dikongsi bersama

Apa yang menarik ialah, semasa ceramah berlangsung, ada orang akan bawa air kosong dalan kole dan diberikan kepada semua yang hadir. Air minum bukan sahaja disediakan untuk penceramah, tetapi untuk semua. Part ini saya amazed, well this is what is kindness all about. Minum sikit pun dah hilang dahaga. Inilah rasanya barokah.

Sejuk tekak bila minum

Habib Umar selaku tuan rumah merangkap pengasas Dar Al Mustofa, sediakan air untuk hadirin yang hadir ceramahnya. Budi pekerti yang sangat tinggi dan saya kagumi. Hampir setiap hari ada sambutan Mawlid. Semua jemaah yang hadir dapat air kopi halia. Rasanya memang terbaik. Teringat seorang kawan rapat yang suka dengan teh halia kaw punya. 

Air kopi teh halia untuk semua

Kopi halia yang kaw!

Hari ini yang dipelajari ialah melayan tetamu. Dikisahkan, Habib Umar pernah berkata sewaktu daurah (belajar kitab short course biasanya 40 hari), 
"Anda semua yang hadir hari ini adalah tetamu saya. Saya sepatutnya basuhkan baju kamu semua, sediakan makanan, tetapi saya memang tidak mampu untuk lakukannya. Oleh itu bagi mereka yang telah membantu para tetamu kita yang hadir, saya ingin ucapkan terima kasih sangat-sangat..." ~ Habib Umar bin Muhammad.
Sifat baik hati para ulama di sini saya rasa macam speechless. Tokoh yang dihormati, tapi sentiasa meletakkan diri sama taraf dengan orang lain. Muliakan lagi orang lain lagi-lagi apabila tahu mereka adalah tetamu. InsyaAllah kita pun doakan agar kita dapat jadi baik seperti ini. Muliakan tetamu dan orang yang datang lawat kita.

Muhammad bin Kamarulazizi
Pengasas
Kindness Malaysia

Wednesday, December 21, 2016

Misi Penyucian Jiwa Ke Tarim, Yaman Episod 2 - Nasihat Pertama



Nasihat yang pertama saya terima sebelum tiba di Tarim ialah sentiasalah bersangka baik pada orang. Mubin nasihatkan saya begitu. Rupanya nasihat ini datang dari salah seorang Wali yang masih hidup, dengan gelaran Ainul Tarim, atau Eyes of Tarim. Nama sebenar beliau ialah Habib Abdullah bin Syihab. Terlalu banyak karomah saya dengar tentang dirinya dan beliau antara Wali yang sangat terkenal di Tarim.

Bersama Habib Abdullah bin Syihab

Bersama Habib Hussein bin Umar al Haddad
Gambar di atas pula juga salah seorang Wali yang bernama Habib Hussein bin Umar al Haddad. Ini agak sukar untuk saya kawal impresi pertama terhadapnya. Kerana beliau rajin mengusik dan memanggil saya semasa lalu di hadapannya. Pada awalnya saya tidak tahu yang beliau juga seorang Wali. Saya anggukkan sahaja bila beliau berkata-kata. Ramai yang ingin mendampinginya. Rupanya seorang Wali. Saya mohon ambil gambar dengannya dan beliau rajin bermesra bercakap dalam bahasa Melayu.

Alhamdulillah hari ini berkesempatan untuk berjumpa dengan 2 orang Wali Allah, saya hanya mampu mohon doa dan nasihat daripada mereka. Bila berpeluang untuk berjumpa dengan insan sebegini, rasa seperti tidak percaya yang masih ada lagi manusia yang hidup matinya hanya untukNya. Tiada langsung cinta pada dunia, tempat tinggal pun sekadar cukup. Pakaian pun biasa sahaja. Duduk pun atas tikar biasa yang mungkin kurang selesa. Wajah sentiasa tersenyum dan sangat mudah untuk didekati.

Amalan yang perlu belajar ialah sentiasalah bersangka baik. Dalam English orang kata first impression. Biar buruk pakaiannya, atau xikut fesyen sekali pun, mungkin amalan beliau lebih tinggi. Si A mungkin nampak macam otak tak betul, tapi kita mungkin tak tahu yang dia seorang yang kuat ibadah. Elak dari bersangka buruk, lagi-lagi bila melalukan impresi yang pertama terhadap seseorang. Apa yang terdetik dalam fikiran itulah yang melambangkan apa yang ada dalam hati. Semoga hati kita semua sentiasa bersih dan tenang, amin.

Muhammad bin Kamarulazizi
Pengasas
Kindness Malaysia

Kutu Akhirat - inisiatif membantu Madrasah Hashimiah

Pada awal November 2016, satu mesyuarat telah diadakan di Madrasah Hashimiah berikutan masalah kekurangan dana yang melanda Madrasah Hashimiah. Cetusan idea sukarelawan Kindness Malaysia semasa perbincangan di dalam mesyuarat tersebut, maka KUTU AKHIRAT ini diwujudkan.

Ilham Kutu Akhirat ini timbul apabila melihat masyarakat terutama orang Melayu gemar bermain kutu, sama ada berbentuk wang tunai, emas, barangan, hiasan rumah dan pelbagai bentuk kutu yang lain. Ingin mencari kelainan tetapi tetap menggunakan konsep yang sama, maka Kutu Akhirat ini dilaksanakan dengan motif membantu menampung kekurangan dana di Madrasah Hashimiah.

Kutu Akhirat yang telah dibukukan

Umum mengetahui, Madrasah Hashimiah mengalami susut kewangan yang amat teruk kesan dari kegawatan ekonomi dan ia turut dirasai oleh pusat-pusat tahfiz Al-Quran dan Rumah-rumah Anak Yatim yang lain. Pernah pada suatu masa, anak-anak Madrasah Hashimiah hanya mampu berlaukkan telur atau kentang sahaja sebagai juadah harian mereka.


Anak-anak Madrasah Hahimiah

Madrasah Hashimiah merupakan pusat tahfiz Al-Quran yang menempatkan anak-anak pelarian yatim Rohingya dan Myanmar Muslim. Lokasi Madrasah Hashimiah ialah di deretan kedai 3 tingkat Pasar Borong Selayang, Batu Caves, Kuala Lumpur. Seramai 171 murid yang mengaji di madrasah ini, di mana sebahagiannya menjadikan madrasah ini sebagai asrama mereka memandangkan mereka anak-anak yang kematian ibu atau ayah dan selebihnya tinggal bersama keluarga yang daif di sekitar pasar borong tersebut.


Suasana pembelajaran di madrasah 

Pengasas Kindness Malaysia yang juga merupakan Pengerusi Madrasah Hashimiah bertanggungjawab untuk membantu perjalanan dan operasi seharian madrasah ini. Maka, pada 22 November 2016, secara rasminya Kutu Akhirat ini dimulakan. Pulangan kutu ini tidaklah dalam bentuk tunai mahupun barangan tetapi pulangannya dalam bentuk saham di akhirat nanti, inshaAllah. 

Kutu dibahagikan kepada dua kategori iaitu RM10 dan RM20. Penderma boleh memilih sama ada ingin menyertai kutu RM10 atau RM20 atau kedua-duanya sekali. Kutipan kutu yang berkonsepkan derma ini dibuat pada 10 haribulan setiap bulan. Kutu ini akan dikumpulkan oleh dua orang sukarelawan Kindness Malaysia atau lebih dikenali dengan panggilan ibu dan bapa kutu yang dilantik oleh pihak Kindness Malaysia sendiri. Group whatsapp juga telah dibuka untuk setiap kumpulan dan dihadkan kepada 20 orang setiap kumpulan.

Senarai nama penderma Kutu Akhirat

Jumlah terkumpul Kutu Akhirat ini akan disalurkan kepada Madrasah Hashimiah bagi membeli barang keperluan harian mereka dan bagi menampung kos operasi madrasah. Sekurang-kurangnya, beban mereka dapat diringankan dan pasti rezeki mereka setiap bulan tidak putus. Itulah matlamat kami, memastikan dana sentiasa masuk ke Madrasah Hashimiah.

Alhamdulillah..setelah sebulan dilancarkan dan dilaksanakan, Kutu Akhirat ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada semua orang terutama ahli Kindness Malaysia  sendiri dan orang perseorangan. Perlaksanaannya nampak amat baik sekali. 

Sama-sama kita doakan semoga perjalanan Kutu Akhirat ini terus konsisten pada setiap bulan agar kita dapat terus membantu Madrasah Hashimiah. Walaupun ia nampak kecil, tetapi impaknya amat besar kepada anak-anak ini yang amat memerlukan bantuan kita semua. Siapa tahu, berkat bantuan dari kita semua, anak-anak ini akan dapat belajar dengan lebih selesa dan dapat menjalani rutin harian seperti kita semua.

Apa yang lebih penting adalah keikhlasan kita semasa menderma, walaupun cuma RM1. Peluang untuk sama-sama menjana saham akhirat ini, masih lagi kami buka. Sila whatsapp no. hp tertera untuk menyertai Kutu Akhirat: 013-2900 246 (Iman) atau 013-2840 838 (Shahrizal).



Nombor akaun Madrasah Hashimiah

Untuk info lanjut mengenai Madrasah Hashimiah boleh layari laman blog  http://hashimiah.blogspot.my/
Untuk sumbangan kewangan terus kepada Madrasah Hashimiah, boleh dibuat melalui akaun CIMB BANK, nombor akaun : 8600202864 (Madrasah Hashimiah).
No tel pejabat/whatsapp/sms: 018-288 2754. Email: mhashimiah@gmail.com
Alamat: No. 111-3, Kompleks Pasar Borong, Jalan 2/3A, KM12 Jalan Ipoh, Pusat Bandar Utara Selayang, 68100 Batu Caves, Kuala Lumpur.

Terima kasih para penderma dan semua yang budiman yang telahpun menyertai Kutu Akhirat. Terima kasih juga kepada rakan-rakan Kindness Malaysia dan pihak Madrasah Hashimiah yang banyak membantu dan menyokong penuh perjalanan Kutu Akhirat ini. Barakallah.


Iman Nur Alia
Projek Koordinator Kutu Akhirat
Kindness Malaysia


Projek Baginda 2016

Pada 12 Disember 2016 iaitu hari Isnin bersamaan 12 Rabiulawwal 1438H yang lalu, saya bersama-sama rakan-rakan Kindness Malaysia telah menjayakan satu projek yang dinamakan "Projek Baginda".

Projek ini diadakan bagi meraikan ulangtahun kelahiran Nabi Muhammad S.A.W. yang merupakan ikon sepanjang zaman Kindness Malaysia. Lokasi pilihan kami adalah di taman KLCC yang menjadi tumpuan pelancong seluruh dunia.

Setiap tahun Kindness Malaysia akan melakukan projek ini. Ini bukanlah pertama kali saya mengikuti program seperti ini. Pada tahun lepas, pihak Kindness memberi kismis percuma kepada orang ramai tetapi berbeza pada tahun ini, Honey Stick pula diberi secara percuma beserta kata-kata inspirasi kebaikan.

"The Best of people are those that bring the most benefit to the rest of mankind". Prophet Muhammad (pbuh).

Projek yang melibatkan 23 orang sukarelawan Kindness Malaysia ini dimulakan dengan sesi taklimat oleh Pengerusi Kindness Malaysia dan seterusnya sesi penerangan oleh Projek Koordinator tentang bagaimana menjalankan projek ini. 

Sesi penerangan oleh saudara Haziq

Pada mulanya, saya kurang bersemangat memikirkan kerja dan tugasan seharian yang cukup padat pada hari itu. Sempat juga saya turun padang untuk bersama-sama sukarelawan lain menjayakan projek ini. Bagaimana nak mengedar lebih 500 honey stick ini kepada orang ramai? Bagaimana penerimaan orang ramai? Pelbagai rasa timbul dalam benak fikiran.
  
Honey Stick diagihkan kepada para sukarelawan sebelum diagihkan kepada orang ramai

Pada jam 3.00 petang, saya dan rakan-rakan mula mengedarkan honey stick kepada orang ramai. Kami bergerak secara berkumpulan. Pelbagai reaksi yang kami terima. Ada yang menerima dengan hati terbuka, ada yang terkejut malah ada juga penolakan dari mereka.

Sukarelawan memberi honey stick dengan senyuman

Saya, pada ketika itu masih mengumpul untuk mengembalikan semangat, cuba untuk memberi honey stick kepada seorang adik comel tetapi apakan daya.. adik comel ini terus berjalan laju. Saya berasa sedikit kecewa, namun saya tidak berputus asa. 


Akhirnya, adik comel menerima honey stick percuma 

Alhamdulillah.. adik comel ini lama-kelamaan menerima honey stick ini. Lega rasanya. Saya kembali bersemangat untuk mengedarkan madu percuma yang seterusnya. 

Senyuman sukarelawan Kindness Malaysia  

Penerimaan mahupun penolakan dari orang ramai sebenarnya memberi banyak pengalaman berguna kepada saya dan rakan-rakan. Bukan senang nak menawan hati mereka walaupun barang yang diberi adalah percuma.

Antara penerima honey stick 


Reaksi ayah dan anak 

Alhamdulillah..syukur kepada Allah..sekitar jam 4.30 petang, 500 honey stick berjaya kami edarkan walaupun pelbagai dugaan yang ditempuhi. Cuaca panas terik pada petang itu tidak sedikit pun mematahkan semangat kami.

Terima kasih penaja yang menaja honey stick ini dan terima kasih pada semua yang menjayakan Projek Baginda 2016. 


Bersama para sukarelawan 

Selesai mengedar honey stick percuma ini, kami sempat bergambar kenangan bersama team Kindness Malaysia

Gambar kenangan bersama team Kindness Malaysia

Projek Baginda 2016 mendapat liputan di akhbar The Sun

Pemberian honey stick ini bukanlah bertujuan memberi secara percuma semata-mata atau hanya untuk merasa kemanisan salah satu makanan sunnah baginda, tetapi juga untuk penerima menghayati kata-kata inspirasi yang terselit bersama honey stick tersebut.

Selain mengingati hari ulangtahun kelahiran baginda, Projek Baginda hari ini juga dapat mengingatkan kita kepada sifat Nabi Muhammad S.A.W. yang suka membantu orang lain tidak mengira agama, bangsa dan kedudukan selain suka melakukan kebaikan. Ajaran dan sunnah-sunnah baginda juga wajar kita contohi bukan sahaja pada hari kelahiran baginda malah sepanjang hidup kita.

Semoga Projek Baginda ini memberi manfaat kepada semua dan akan diteruskan pada masa-masa akan datang. Jangan lupa selalu berselawat kepada baginda Nabi Muhammad S.A.W. 


Shahrizal Shawal
Sukarelawan
Kindness Malaysia



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...