About

Blog tentang aktiviti-aktiviti amal di dalam dan luar Malaysia

More About Me...

Kita pesimis dengan kesengsaraan insan yang menderita di serata dunia. Laman ini cuba mengundang kembali sekelumit fitrah insani yang cakna dan peka dengan kesengsaraan insan lain. Infaq di jalan Allah...

RSS Subscribe

Pengiktirafan dari World Kindness Movement

Kindness Malaysia kini secara rasminya merupakan ahli World Kindness Movement

Misi Bantuan Kemanusiaan Untuk Mangsa Rohingya di Arakan, Myanmar

Bersama pelarian Rohingya di Arakan (Rakhine), Myanmar

Bantuan Perubatan di Hebron, Palestine

Vitamin C untuk anak-anak Palestine di Hebron

Ziarah ke perkampungan orang asli

Bersama sukarelawan ke kampung orang asli di Pos Betau, Pahang.

Misi Gelandangan Feed The Homeless

Misi Gelandangan Feed The Homeless yang dijalankan setiap hari Sabtu 2 minggu sekali di sekitar Kuala Lumpur

Booking.com

Sunday, November 24, 2013

(Episod 2) Hadiah Hari Lahir yang Bermakna Buat Ibu Tercinta


Hari kedua untuk Ali selesaikan lagi 23 aktiviti Kindness sempena hari lahir ibunya. Hari sebelumnya Ali sudah selesaikan lapan aktiviti kebaikan. Sebelum keluar dari rumah, Ali Kindness #9 telah berikan carrot cheese cake kepada jiran depan rumah. Kemudian kami terus ke destinasi pertama iaitu Madrasah Hashimiah, rumah kebajikan yang menempatkan anak-anak yatim pelarian Rohingya dan Myanmar Muslim. Dengan berbekalkan beberapa biji bola getah, Ali pun laksanakan aktiviti Kindness #10 iaitu bermain bersama rakan-rakan penghuni Madrasah Hashimiah. 

Gembira Ali dan Junaid melihat kucing yang sedang makan


Selesai solat Zohor, Ali bersama adik Junaid (anak yatim dari Madrasah Hashimiah) pun berjalan bersama untuk meneruskan aktiviti Kindness #11 iaitu memberi makan kepada kucing jalanan. Ali sudah siap sedia dengan dua pek Friskies, satu untuk kucing dewasa dan satu lagi untuk anak kucing. Junaid pada mulanya risau kerana berjalan jauh dari asramanya, tetapi saya maklumkannya yang saya sudah minta kebenaran Ustaz warden untuk keluar sebentar di sekitar Madrasah Hashimiah. Junaid turut gembira kerana dapat berikan kucing makan.

burung merpati yang sakit diletakkan di tempat yang lebih teduh

Ali dan Junaid terus berjalan dan tiba-tiba terserempak dengan seekor burung merpati yang terbaring di tepi kaki lima, di tengah panas. Dua kawan baik ini pun angkat burung merpati tersebut dan diletakkan di sebelah tiang yang redup dan menjadikan ini aktiviti Kindness #12 yang tidak dirancang.

ais krim untuk semua!

Berikutnya saya telah berikan Ali RM10 untuk dibelanjakan di kedai runcit bersama Junaid untuk aktiviti seterusnya. Saya tanya pada Ali dan Junaid, nak beli apa di kedai runcit? Ali terus jawab nak ais krim! Saya dapat lihat Junaid terus senyum lebar, kebetulan rakan sekolahnya juga ada berdekatan dengan kedai runcit. Ali pun beli sepuluh batang ais krim untuk dirinya, Junaid dan rakan-rakan sekolah Junaid. Semua kelihatan gembira! Aktiviti ini dijadikan aktiviti Kindness #13.

jumpa kucung lagi!

Sebelum kami bergerak dari Madrasah Hashimiah, saya ada tanyakan adik Junaid, sekiranya ada apa-apa yang dia inginkan lagi dari kedai runcit. Junaid jawab tak ada apa-apa. Saya tanyakan lagi ada apa-apa yang dia mahukan? Dia jawab sekali lagi tak ada. Kemudian katanya lagi, nanti abang punya duit habis, dengan wajah penuh sirius. Saya tersenyum, perihatin juga adik Junaid ini. Barangkali ada benda yang dia inginkan di kedai runcit, tetapi malu untuk beritahu. Sebelum kami gerak, saya masukkan RM2 dalam poket baju Junaid, tanda terima kasih kerana bantu Ali untuk misi Kindness, dan ini menjadikan aktiviti Kindness #14.

Aktiviti Kindness Ali diteruskan lagi selepas ini :)

Episod 1 di sini. (Kindness 1-8)
Episod 3 di sini (Kindness 15-31)

Muhammad bin Kamarulazizi

Saturday, November 23, 2013

(Episod 1) Hadiah Hari Lahir yang Bermakna Buat Ibu Tercinta



Bulan November ialah hari lahir isteri saya dan sememangnya setiap tahun tiada sambutan yang dilakukan. Cuma sekadar bawa makan di luar sahaja bersama dengan anak-anak. Namun begitu bagi tahun ini, saya ingin lakukan kelainan dan alhamdulillah telah mendapat ilham dari Random Act of Kindness (RAOK) edisi birthday di Pinterest. Setiap malam sebelum tidur, menjadi rutin bagi saya untuk mendapatkan idea-idea RAOK yang amat popular di Amerika Syarikat melalui gambar-gambar yang dikongsikan di Pinterest.

Setelah meneliti beberapa blog, maka tergerak hati saya untuk laksanakan 31 kebaikan sempena hari lahir isteri saya yang ke 31. Anak sulung saya, Ali yang akan melaksanakannya, dan saya menjadi pemandu dan sediakan senarai 31 aktiviti kebaikan yang perlu dilakukan.

Buang sampah di tempat sepatutnya

Kindness #1 ialah membuang sampah. Pertama aktiviti kebaikan perlulah bermula di rumah. Hujung minggu, biasanya kami akan beli sarapan di luar. Ali memulakan aktivitinya dengan membuang sampah. Kemudian kami terus keluar beli sarapan dan siap bungkus kuih cucur paling sedap di Bandar Baru Sentul untuk makcik cleaner yang rajin sapu flat kami awal pagi setiap hujung minggu. Kindness #2 ialah beri makcik cleaner kuih cucur paling sedap. Makcik cleaner mula sangkakan Ali berikan plastik sampah, tapi bila disentuh plastik tersebut, rasanya suam-suam panas. Tersenyum makcik tu sambil ucap terima kasih beberapa kali pada Ali.

Makcik cleaner yang rajin dapat cucur paling sedap di Bandar Baru Sentul

Kindness #3 ialah beri carrot cheese cake yang mak Ali buatkan kepada Pakgad, atau pakcik sekuriti. Hari ini isteri saya siapkan sebuah carrot cheese cake dan dimuatkan dalam bekas-bekas kecil untuk aktiviti Kindness Ali. Pakgad ini orang asing, tapi selalu beri salam bila kami lalu sebelahnya. Kebetulan sebelum keluar dari pagar flat, Ali pergi serahkan carrot cheese cake kepada pakgad tersebut. Ali siap boleh tanya, pakcik tu ke? Saya jawab ya! Pakgad tu senyum lebar bila buka bekas tu nampak carrot cheese cake.

Alahai Ali, lepas ini jangan guna tangan kiri ya :p

Kami meneruskan misi Kindness Ali ke Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL). Di sini misinya ialah Kindness #4 serah bunga dan Kindness #5 carrot cheese cake kepada kakak nurse yang bertugas pada hari itu. Kami ke wad bersalin dimana adik Ali telah dilahirkan di situ lapan bulan yang lepas. Disebabkan servis yang bagus, maka Ali pun datang kembali dengan ucapan terima kasih kepada kakak-kakak nurse di situ. Kakak nurse boleh tanya, untuk siapa ya bunga ini. Ali jawab untuk kakak semua!

Adik kepada Ali dilahirkan di sini lapan bulan yang lepas

Masih di wad bersalin, kami ke ruang menunggu. Saya teringat sebelum ini saya juga pernah duduk di wad menunggu untuk beberapa jam bersama Ali sementara tunggu isteri saya diperiksa oleh doktor. Kami lihat ramai juga kanak-kanak dan kaum bapa di ruang menunggu. Oleh itu kami  Kindness #6 tinggalkan buku mewarna dan pensel warna untuk kanak-kanak di situ. Sekurang-kurangnya tidaklah bosan menunggu begitu lama di situ.

siapalah kanak-kanak yang bertuah dapat rasmikan buku mewarna ini

Kami bergerak keluar dari hospital dan terus ke perhentian bas berdekatan dengan pintu masuk hospital. Di situ ramai jururawat dan makcik cleaner yang menggunakan perkhidmatan bas. Kindness #7 ialah meletakkan baju hujan pakai buang di perhentian bas. Selamba sahaja Ali tempek pek baju hujan dengan selotep di dinding perhentian bas. Ada kakak nurse yang perhatikan saja dan sebaik kami beredar dari situ mereka terus pergi lihat dengan lebih dekat. Saya pun usap rambut Ali dan kata good job!

Ali dan baju hujan yang sudah ditempek

sesuai dengan musim hujan sekarang

Sebelum pulang ke rumah, kami singgah sebentar di sebuah restoran makanan segera di Jalan Pahang. Kebetulan semasa saya cuba mendapatkan idea, ada rakan sekelas saya berikan kupon RM5 restoran tersebut. Kami pun terus ke sana dan Kindness #8 Ali serahkan kupon RM5 kepada pelanggan yang beratur di belakang. Yang menerimanya seorang gadis sekolah menengah. Wajahnya terkejut pada mulanya, sambil memandang meja belakang di mana ibu dan adik-adiknya sedang menunggu. Saya dan Ali pun pulang ke rumah dan akan teruskan misi keesokan harinya.

Alhamdulillah lapan aktiviti dapat dilakukan hari ini dan insyaAllah esok akan habiskan lagi 23 aktiviti Kindness. Terima kasih kepada yang menaja! :)

p/s Ikuti episod 2 di sini. dan episod 3 di sini.

Muhammad bin Kamarulazizi

Sunday, October 27, 2013

Lima Projek Kindness Berlangsung Serentak Di Kuala Lumpur



Hujung minggu kali ini penuh dengan aktiviti menyebarkan kebaikan oleh team Kindness.my. Bermula di Bangsar, sukarelawan Kindness telah berkumpul pada jam 5 petang untuk memulakan Projek 5 Kupang Parking dimana sukarelawan akan mencari kereta yang mempunyai tiket parking yang sudah tamat tempoh, dan menggantikannya dengan tiket parking baru.  

Projek 5 Kupang Parking berlangsung di Bangsar

Bersiap sedia dengan nota dari Kindness

Projek Selipar di Masjid Negara
 Misi kali ini juga diturut serta oleh krew RTM dan majalah Mastika yang melakukan liputan untuk berkongsi dengan orang ramai tentang aktiviti Kindness ini. Artis selebriti Hanez Suraya turut hadir sebagai pengacara dan bersama-sama team Kindness menyebarkan kebaikan. Selesai projek 5 Kupang Parking disusuli pula dengan Projek Selipar di Masjid Negara. Beberapa pasang selipar telah diletakkan di rak kasut Masjid Negara dengan tujuan diberikan kepada pengunjung masjid yang kehilangan kasut. Selipar ini akan berada di rak kasut dan pengunjung yang kehilangan kasut boleh terus mengambilnya.

antara yang telah menemui RM1

adik kecil ini juga telah menemui RM1 di Medan Mara

Kemudian team Kindness bersama krew RTM dan Mastika terus ke Medan Mara untuk Projek Seringgit. Projek Seringgit ini ialah dimana duit RM1 diletakkan dimerata-rata tempat untuk orang ramai. Tujuannya ialah untuk menggembirakan mereka yang terjumpa duit RM1 tersebut dan secara tidak langsung akan membuatkan orang sekelilingnya juga gembira.

pelajar-pelajar dari UiTM Puncak Alam

dengan pek makanan

menyerahkan air kopi dan roti kepada pemandu bas

Pada sebelah malamnya pula berlangsung Projek Kopi di Pudu Sentral. Aktiviti sebelah malam ini turut dihadiri oleh mahasiswa dan mahasiswi dari UiTM Puncak Alam dari jurusan Event Management. Air kopi dan roti telah diagihkan kepada pemandu bas yang akan memulakan perjalanan  ke destinasi masing-masing. Aktiviti terakhir merupakan Projek Feed The Homeless. Misi gelandangan yang dilakukan dua kali seminggu setiap hari Sabtu ini menyediakan 150 pek makanan untuk gelandangan di sekitar Kotaraya, Hentian Bas Kelang, Petaling Street dan Masjid Jamek. Semua pek makanan habis diserahkan dan projek selesai pada jam 2.30 pagi.

Buat anda yang berminat untuk menjadi penaja projek atau menjadi sukarelawan, boleh LIKE fanpage Kindness dan sertai kumpulan sukarelawan Kindness.

Muhammad bin Kamarulazizi
Pengasas Kindness.my
www.facebook.com/kindness.my

Tuesday, October 22, 2013

Projek Paintball oleh Kindness di Cyberjaya


Impian anak-anak yatim dan miskin dari Madrasah Hashimiah tercapai apabila team Kindness telah membawa mereka ke Cyberjaya untuk aktiviti paintball. Anak-anak yatim ini amat teruja kerana pertama kali berpeluang untuk menggunakan marker, dan dilengkapi dengan mask dan vest. Setiap pemain diberi 500 pallet dan permainan sebanyak lima game telah berlangsung, bermula dari open, urban dan dalam hutan.

Sebelum misi bermula

aksi bermula

siap dengan senjata masing-masing

bersiap sedia sebelum ke Cyberjaya

taklimat oleh krew Cyberjaya Paintball Park

Turut serta juga sukarelawan dan dermawan bagi memeriahkan aktiviti kali ini. Sarapan dan makan tengahari telah ditaja oleh Cyberjaya Paintball Park. Sebelum tiba di Cyberjaya, ada sarapan awal telah ditaja oleh salah seorang penderma. Objektif kali ini ialah memupuk semangat kerjasama dan perancangan strategik dalam setiap perkara yang dilakukan.

Penat tapi gembira
InsyaAllah projek berikutnya melibatkan anak-anak yatim dan miskin ialah aktiviti futsal. Ayuh kita bersama anak-anak istimewa ini jalani kehidupan yang lebih sihat disamping menyebarkan kebaikan kepada semua! Team Kindness mengucapkan jutaan terima kasih kepada para penderma yang telah menaja bagi projek kali ini. Juga tidak lupa kepada sukarelawan yang menyediakan pengangkutan logistik.

Bagi yang berminat untuk menjadi penaja atau sukarelawan, boleh turut serta Fanpage Kindness atau sertai kumpulan sukarelawan Kindness di Facebook.

Muhammad bin Kamarulazizi
Pengasas Kindness Dot My
www.facebook.com/kindness.my

Monday, October 21, 2013

Projek Darah oleh Kindness di Johor Bahru



Projek Darah anjuran Kindness.my kini telah berlangsung di Aeon Tebrau dan berjaya menarik lebih 80 orang penderma darah. Aktiviti bermula jam 10 pagi di mana jururawat dari Hospital Sultan Ismail mula menyediakan kerusi dan meja untuk kemudahan penderma darah. Projek pertama di Johor Bahru ini adalah hasil inisiatif team Kindness di sekitar Johor dimana mereka berkumpul dan bersama-sama menjayakan Projek Darah ini.

darah disaring dahulu

sukarelawan Kindness di Johor Bahru

penderma darah dengan hadiah dari Kindness

lakukan kebaikan di mana-mana sahaja

tidak kenal penat lelah 

sukarelawan Kindness gigih membantu pendaftaran
 
adik kecil bakal menjadi seorang sukarelawan


Kurang dari sebulan selepas Projek Darah di Kuala Lumpur, disusuli pula dengan projek yang sama di Johor Bahru. Objektifnya amat mudah dimana team Kindness ingin memupuk keinginan untuk melakukan kebaikan dan Projek Darah ini adalah salah satu dari aktivitinya. Darah amat diperlukan terutama di hospital. 

Team Kindness Johor Bahru mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat


Aktiviti Kindness di Selatan Tanah Air merupakan titik permulaan kembangnya budaya melakukan kebaikan tidak kira masa, tempat atau pada sesiapa pun. Bagi yang berminat untuk mengikuti aktiviti-aktiviti Kindness, boleh turut serta ke Volunteer Group Kindness.

Muhammad bin Kamarulazizi
Pengasas Kindness.my
www.facebook.com/kindness.my

Saturday, October 19, 2013

Projek Coffee oleh Kindness.my di Pudu Sentral, TBS dan Hentian Duta



Sebuah lagi projek dibawah Kindness.my berlangsung dengan jayanya di tiga buah lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai untuk pulang ke kampung halaman iaitu Pudu Sentral (Puduraya), Terminal Bersepadu Selatan (TBS) dan Hentian Jalan Duta. Projek yang diberi nama Project Coffee ini bertujuan untuk membantu pemandu bas supaya tidak mengantuk semasa memandu bas ke destinasi. 

sukarelawan Kindness.my bersiap sedia untuk agihkan pek kopi dan roti di Pudu Sentral

Pemandu bas yang terima pek kopi dan roti di Hentian Duta

Bersiap sedia sebelum bergerak

Sukarelawan bersiap sedia di TBS


Antara pemandu yang gembira menerima pek kopi dan roti

Pemandu bas yang tidak sangka untuk terima pek kopi dan roti
Sukarelawan Kindness.my berkumpul di lokasi masing-masing pada jam 9 malam. Pek air kopi dalam tin dan roti dibungkus dan diserahkan kepada pemandu bas. Tujuannya agak mudah, dengan berbekalkan air kopi dan roti, pemandu bas sekurang-kurangnya dapat mengelak dari rasa mengantuk semasa memandu dan secara tidak langsung dapat mengelak dari kecelakaan. Bukan setakat itu sahaja, para penumpang juga akan tiba dengan selamat.

terima kasih kepada semua yang telah menaja untuk Projek Coffee ini
Idea ini timbul apabila berita tentang kemalangan melibatkan bas semakin menjadi-jadi. Pemandu yang membawa bas waktu malam dan perjalanan yang jauh mempunyai kebarangkalian yang lebih tinggi untuk rasa mengantuk semasa memandu. Biarpun kos dan usaha ini kecil, tetapi manfaatnya dapat diterima oleh pemandu dan juga para penumpang. Secara logiknya, lebih 42 orang dapat menerima manfaat daripada pek air kopi dan roti ini.

Pihak Kindness.my mengucapkan terima kasih kepada sukarelawan serta pada penaja bagi Projek Coffee ini. Bagi yang berminat untuk turut serta dalam aktiviti Kindness, atau menjadi penaja, boleh sertai kumpulan sukarelawan Kindness.my.

Muhammad bin Kamarulazizi
Pengasas Kindness.my
www.facebook.com/kindness.my

Tuesday, October 15, 2013

Ibadah Qurban dan Aqiqah Bersama Madrasah Hashimiah


Alhamdulillah, hari ini berkesempatan menyambut Aidiladha bersama adik-adik Madrasah Hashimiah di Selayang. Maklumlah cuti hanya sehari dan terpaksa bercuti di Kuala Lumpur. Selesai solat raya, saya terus ke Selayang untuk lihat apa yang boleh dibantu di sana. Kelihatan di sekitar Pasar Borong Selayang terdapat lebih 10 lokasi penyembelihan qurban.

daging qurban siap untuk diagihkan

anak Malaysia
 Setibanya di Madrasah Hashimiah, sudah kelihatan ramai yang melapah. Tahun ini alhamdulillah, dua ekor lembu dan seekor kambing ditumbangkan. Lembu kali ini saiznya agak besar, dan beratnya hampir setengah tan (hampir 500kg). Menjelang tengahari, seluruh komuniti pelarian Myanmar Muslim dan Rohingya dihidangkan makanan tengahari dan setiap yang datang diberi sebungkus daging. Ustaz Hashim yang juga pengetua Madrasah Hashimiah ini amat mementingkan kualiti lembu atau kambing yang dipilih. Katanya ibadah qurban mahupun aqiqah ini adalah amanah yang diberikan kepadanya. Saya sangat mengenalinya dan jenis lembu dan kambing pasti memuaskan. Lembu yang besar dan sihat dapat dapat menghasilkan daging yang banyak dan lebih ramai dapat menerima daging qurban yang segar.

bergaya dengan baju raya

pulang gembira dengan daging qurban
Bagi yang mempunyai hajat untuk melakukan aqiqah untuk diri sendiri atau untuk anak-anak, boleh lakukannya dengan Madrasah Hashimiah. Kos untuk seekor kambing ialah antara RM1000 hingga RM1200 termasuk penyembelihan dan memasak. Daging ini pula akan dinikmati oleh anak-anak Madrasah Hashimiah yang juga terdiri daripada anak-anak yatim dan miskin pelarian Rohingya dan Myanmar Muslim. Untuk yang berminat, boleh hubungi saya terus di 0123377195.

Muhammad bin Kamarulazizi
Pengasas Kindness.my
www.facebook.com/kindness.my

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...