About

Blog tentang aktiviti-aktiviti amal di dalam dan luar Malaysia

More About Me...

Kita pesimis dengan kesengsaraan insan yang menderita di serata dunia. Laman ini cuba mengundang kembali sekelumit fitrah insani yang cakna dan peka dengan kesengsaraan insan lain. Infaq di jalan Allah...

RSS Subscribe

Pengiktirafan dari World Kindness Movement

Kindness Malaysia kini secara rasminya merupakan ahli World Kindness Movement

Misi Bantuan Kemanusiaan Untuk Mangsa Rohingya di Arakan, Myanmar

Bersama pelarian Rohingya di Arakan (Rakhine), Myanmar

Bantuan Perubatan di Hebron, Palestine

Vitamin C untuk anak-anak Palestine di Hebron

Ziarah ke perkampungan orang asli

Bersama sukarelawan ke kampung orang asli di Pos Betau, Pahang.

Misi Gelandangan Feed The Homeless

Misi Gelandangan Feed The Homeless yang dijalankan setiap hari Sabtu 2 minggu sekali di sekitar Kuala Lumpur

Booking.com

Friday, December 31, 2010

Ziarah Bekas Pelajar ASDAF di Sg Siput, Perak


Lokasi: Kampung Lasah, Sg Siput, Perak
Tarikh: 30 Disember 2010

Alhamdulillah selepas selesai ziarah kampung orang asli di Pahang, kami ke Sg Siput Perak keesokan harinya. Perjalanan dari Kuala Lumpur mengambil masa 3 jam dan kami tiba di sana jam 4 petang. Perjalanan menggunakan GPS agak memudahkan kami sampai ke destinasi. Syukur kerana GPS pun ditaja oleh salah seorang dermawan Muslim Aid yang amat rapat dengan saya.

bro Yusuf bersama adik Zamri

Tujuan ziarah kali ini ialah untuk bertemu dengan adik Zamri yang juga bekas pelajar ASDAF yang terpaksa dihantar pulang ke kampungnya atas faktor-faktor disiplin. Semasa di ASDAF, saya dan adik Zamri agak rapat, namun begitu adik Zamri mempunyai sedikit masalah untuk menyesuaikan dirinya di bandar Kuala Lumpur. Cultural shock adalah istilah yang saya rasa sesuai digunakan tentang apa yang berlaku pada Zamri. Adik Zamri kerap ponteng sekolah dan kurang serasi dengan pengurusan ASDAF menyebabkan dia menjadi rebelious. Oleh kerana masalah disiplin ini, beliau dihantar pulang ke kampung.

Saya sempat berbual dengan ibu adik Zamri. Zamri merupakan anak bongsu dan mempunyai dua orang kakak. Kakak keduanya sudah berkahwin manakala kakak sulungnya bekerja di kilang. Bapa Zamri sudah meninggal dunia kerana sakit tua sepuluh tahun yang lalu. Ibu Zamri tidak mendapat sebarang bantuan dari pihak JKM atau pusat zakat walaupun sudah berkali-kali memohon bantuan. Saya pun kurang pasti mengapa tidak diberikan bantuan. Untuk menyara hidup sekeluarga, ibu Zamri akan melakukan kerja-kerja sampingan seperti menoreh getah dan bekerja di kebun orang.

Ibu Zamri agak sedih apabila Zamri dihantar pulang. Harapannya disandarkan kepada adik Zamri untuk membela nasib keluarga dari kepompong kemiskinan. Ibu Zamri merasakan lebih baik bagi Zamri untuk belajar di ASDAF kerana pakaian, makanan dan buku-buku semua ditanggung percuma. Kini di kampung, ibu Zamri menghadapi kesukaran untuk mendapat barang-barang asas untuk ke sekolah kerana masalah kewangan yang dihadapinya.

Saya agak kesal, kerana adik Zamri masih belum boleh meneruskan persekolahannya di tingkatan empat kerana surat pindah sekolah masih belum diterimanya lagi. Ibunya risau sekiranya Zamri bersekolah di kampung, beliau akan lebih terdedah dengan masalah sosial di kampung seperti masalah dadah dan gam.

Saya amat berharap agar adik Zamri dapat peluang ke Kuala Lumpur dan belajar di sini. InsyaAllah saya akan cuba usahakan agar beliau dapat teruskan pelajarannya. Adik Zamri yang dahulunya antara pelajar terbaik bagi UPSR di ASDAF dan semasa di tingkatan tiga, beliau mendapat tempat pertama di dalam kelas di SMK Bangsar. Dengan dua tahun yang masih ada ini sebelum peperiksaan SPM, peluang tetap ada bagi adik Zamri untuk mengubah nasib keluarganya. InsyaAllah dalam bulan satu tahun hadapan, saya merancang untuk melawatnya sekali lagi dengan berbekalkan buku-buku dan alat tulis. Pada yang ingin turut serta atau ingin menyumbang, boleh hubungi saya terus di 0123377195.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Kasihanilah mereka yang berada di bumi nescaya kamu akan dikasihi oleh mereka yang tinggal di langit”.

Riwayat at-Tabrani


Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Orang-orang yang bertanggungjawab mengurus anak yatim, baik dari keluarga sendiri atau tidak, maka aku dan dia seperti dua ini di syurga kelak.” Dan baginda memberi isyarat dengan merapatkan jari telunjuk dan jari tengah (ertinya berdekatan).”

Riwayat Bukhari
Muhammad bin Kamarulazizi

Ziarah Ke Perkampungan Orang Asli Kerambit dan Pos Betau Kuala Lipis


Lokasi: Kerambit dan Pos Betau, Kuala Lipis
Tarikh: 29hb Disember 2010


Alhamdulillah team sukarelawan Muslim Aid ke kampung orang asli bersama pengurusan Asrama Darul Falah (ASDAF) di Kerambit dan Pos Betau, Kuala Lipis Pahang. Ziarah kali ini merupakan antara proses assessment bagi mempelajari dan mengenali cara hidup orang asli. Kami bertemu dengan beberapa buah keluarga dimana seorang anak orang asli dari kampung Kerambit ini akan mendapat peluang untuk belajar di ASDAF. Info-info ini akan membantu kami merancang pendekatan sebaiknya bagi membantu anak-anak orang asli di ASDAF.

Pendidikan anak-anak orang asli ini masih ditakuk yang lama. Kebanyakannya hanya mempunyai pendidikan sehingga darjah enam. Kesedaran tentang kepentingan ibu bapa mereka ini merupakan antara salah satu sebab anak-anak ini tidak bersekolah. Mereka selesa dengan kehidupan mereka sekarang, dengan bercucuk tanam dan memburu. Namun begitu, pendidikan asas harus diterapkan untuk mereka sekurang-kurangnya tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)

anak-anak orang asli di Gerambit

anak orang asli yang mempunyai keunikan tersendiri

Pada sebelah tengahari kami ke Pos Betau untuk melawat keluarga Faliada yang juga mendapat pendidikan di ASDAF. Perjalanan kami ke sana adalah untuk menyampaikan sumbangan batu nisan kepada arwah kakak kepada Faliada yang telah meninggal dunia pada bulan May yang lepas. Bapa Faliada, en Faik tidak berkemampuan untuk membeli batu nisan bagi anaknya yang telah meninggal dunia akibat serangan virus yang menyebabkan kegagalan organ-organ utama. Alhamdulillah, ada seorang dermawan yang telah menyumbang batu nisan tersebut untuk keluarga en Faik.

sukarelawan Muslim Aid, bro Yusuf bersama keluarga en Faik

batu nisan yang telah disedekahkan kepada keluarga en Faik

perjalanan ke tapak perkuburan arwah Jamilah, kakak kepada adik Faliada


perlu merentasi sungai sebelum tiba di tapak perkuburan

menanamkan batu nisan di kubur arwah Jamilah

Kami pulang ke Kuala Lumpur pada hari yang sama dengan seribu satu harapan bagi membantu anak-anak ASDAF ini. Keesokan harinya, kami akan ke Sg Siput untuk tujuan yang sama, iaitu pendidikan anak orang asli.

Hari kedua di sini

Muhammad bin Kamarulazizi

Sunday, December 26, 2010

Terima Kasih Kepada Penderma Untuk Program Malam Amal Setulus Kaseh Bersama Maher Zain


Semoga semua yang terlibat dengan Majlis Makan Malam Setulus Kaseh Bersama Maher Zain terutamanya urus setia dari Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia, Rumah Titian Kaseh, Innovative Management Consultancy, Alumni ESQ, Ramiza Synergy dan juga syarikat lain, juga kepada penderma-penderma yang sangat bermurah hati, korporat-korporat seperti Kuwait Finance House, MB Perak, Datuk Zambry, kerabat Selangor, kerabat Terengganu dan lain-lain serta rakan-rakan sukarelawan yang tidak putus memberi kerjasama yang tidak ternilai dan tidak dilupakan kepada Maher Zain Malaysia Fan Club yang sentiasa memberi sokongan padu kepada majlis amal ini.

Hanya Allah sahaja yang dapat membalas jasa kalian, sepeti yang disebut di dalam al-Quran, surah al-Baqarah ayat 261.

Perumpamaan orang yang menginfakkan hartanya di jalan Allah seperti 1 biji yang menumbuhkan 7 tangkai, pada setiap tangkai ada 100 biji. Allah melipatgandakan bagi siapa yang Dia kejendaki dan Allah Maha luas, Maha Mengetahui (al- Bararah: 261)
Terima kasih semua.

Muhammad bin Kamarulazizi

Thursday, December 23, 2010

Sidang Media Majlis Makan Malam Amal Setulus Kaseh Bersama Maher Zain


Lokasi: D Tandoor, KL Tower
Tarikh: 23 Disember 2010

Sebentar tadi selesai sidang media bagi Majlis Makan Malam Amal Setulus Kaseh Bersama Maher Zain di KL Tower. Sidang media ini adalah promosi terakhir sebelum hari kejadian pada 26hb Disember ini.

Walaupun hanya tinggal tiga hari sahaja lagi, masih lagi terdapat orang ramai yang ingin mendapatkan kerusi dan meja. Jualan kerusi dan meja sudah terjual sebanyak 80% dan kini pihak penganjur sudah membuka seat/table reserved untuk orang ramai. Pada yang masih berminat untuk mendapatkan tiket, boleh layari www.muslimaidasia.com untuk maklumat lanjut.

Muhammad bin Kamarulazizi

Tuesday, December 21, 2010

Zakat Perniagaan dari BIMB Foreign Currency Clearing Agency Sdn Bhd (BIFCA)


BIMB Foreign Currency Clearing Agency Sdn Bhd (BIFCA) yang merupakan anak syarikat milik penih Bank Islam Malaysia Berhad telah memilih Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia (Muslim Aid) sebagai salah satu organisasi penerima zakat perniagaan mereka. Sumbangan zakat perniagaan ini merupakan antara julung-julung kali Muslim Aid menerima sumbangan dari sektor korporat yang sebelum ini kebanyakan sumbangan kepada Muslim Aid adalah dari individu dermawan.

Sumbangan korporat ini merupakan titik tolak kepada Muslim Aid untuk memperluaskan lagi aktiviti-aktiviti kemanusiaan yang melibatkan anak-anak yatim, keluarga miskin, warga OKU dan ibu tunggal dan juga komuniti orang asli dan pelarian. Bantuan dalam bentuk pendidikan, kesihatan dan pembangunan modal insan akan dititikberatkan mulai tahun hadapan agar lebih ramai yang akan dapat manfaat.

Muhammad bin Kamarulazizi

Saturday, December 11, 2010

Makpah, Rumah Titian Kaseh dan Muslim Aid

bersama Makpah di RTK

Saya baru sahaja selesai mesyuarat berkenaan dengan majlis makan amal Setulus Kaseh Maher Zain. Mesyuarat bermula jam 9 malam, dan selesai jam 12 tengah malam. Dengan hanya tinggal dua minggu sahaja lagi sebelum hari majlis, masih lagi terdapat beberapa perkara yang diselesaikan bagi memastikan majlis makan malam ini sukses.

Alhamdulillah jualan meja kini hangat dengan pakej meja RM2000 (meja ukhwah) sudah banyak dijual. Beberapa syarikat-syarikat besar juga dalam proses dijadikan penaja utama. Selepas selesai mesyuarat, saya mendapat tahu Makpah (Pengetua Rumah Titian Kaseh) belum lagi makan malam. Maka saya terus mengajak Makpah makan malam dan turut serta Kaklin, ibu dari Rumah Titian Kaseh (RTK) bersama encik Ahmad, sukarelawan di RTK.

Kami tiba di restoren Said Ali di Sri Rampai jam 12.30 malam dan terus memesan makanan. Makpah sibuk menjawab telefon ketika itu dan saya dapat rasakan panggilan dari ibu atau anak di RTK. Makpah memberitahu saya 3 orang anak RTK muntah-muntah dan dipercayai keracunan makanan. Makpah amat mengambil sirius dengan kesihatan anak-anak serta penghuni RTK. Saya dapat lihat kerisauan Makpah dan apabila selesai sahaja makan, kami terus pulang.

Dalam perjalanan saya pulang, saya mula rasa sedih dan dapat rasakan betapa beratnya Makpah memikul beban untuk menjaga golongan ibu-ibu di RTK, malahan anak-anak kecik yang sudah menjadi yatim atau piatu dan itu tidak masuk lagi warga OKU. Secara peribadi, saya punya seorang anak yang masih kecil. Kiranya anak saya sakit, sudah pasti saya akan rasa amat susah hati. Tapi ini baru seorang, jika nak dibandingkan dengan Makpah yang penghuni RTK berjumlah lebih 50 orang!

“Dan orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal soleh, Kami tidak memikulkan kewajiban kepada diri seseorang melainkan sekadar kesanggupannya, mereka itulah penghuni-penghuni syurga; mereka kekal di dalamnya.” (Surah al-A’raf: 42)
Beban yang dipikul Makpah amatlah berat. Dengan keadaan sekarang, mereka terpaksa pindah rumah mereka yang kedua, kerana rumah pertama tidak sesuai lagi untuk didiami. Rumah baru yang mereka (warga RTK) pindah ini pula perlu dibeli kerana ini adalah salah satu syarat yang dikenakan oleh pihak tertinggi untuk dijadikan rumah kebajikan yang dapat diberi bantuan. RM2.7 juta diperlukan untuk membeli rumah tersebut bagi warga penghuni RTK. Dimana Makpah hendak dapatkan RM2.7 juta untuk rumah tersebut?

Di sini timbulnya inisiatif untuk mengadakan Makan Malam Amal Setulus Kaseh bersama Maher Zain. Saya rasa amat terharu apabila Makpah mahukan Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia (Muslim Aid) untuk menerajui majlis makan malam ini dengan sokongan dari IMC dan Alumni ESQ. Ya, Makpah mahukan Muslim Aid, bukan sahaja untuk turut serta, tetapi untuk menjadi penganjur utama.

Walaupun Muslim Aid sendiri kurang mendapat sumbangan dari pihak korporat, tapi saya percaya dengan adanya dermawan-dermawan individu dan sukarelawan yang selalu konsisten bersama membantu Muslim Aid dalam usaha-usaha kemanusiaan dan kebajikan, majlis makan malam ini insyaAllah akan dapat dijalankan dengan jayanya. Saya menyeru dan memohon kepada para dermawan yang senantiasa bermurah hati membantu Muslim Aid, sekali lagi bersama Muslim Aid untuk membantu Rumah Titian Kaseh untuk mendapatkan rumah sebagai tempat perlindungan mereka. Setiap sen dan Ringgit yang disumbangkan, sesungguhnya akan menjadi saham yang amat bermakna di akhirat kelak, insyaAllah.

Kepada yang ingin menyumbang, boleh rujuk di sini.

Muhammad bin Kamarulazizi

Tuesday, December 7, 2010

Makan Malam Amal Setulus Kaseh Bersama Maher Zain anjuran Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia



Program terakhir Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia (Muslim Aid) sebelum menutup tirai tahun 2010 dan program pertama bagi 1432H ialah Majlis Malam Amal Setulus Kaseh. Program makan malam amal ini merupakan kerjasama antara Muslim Aid dengan Rumah Titian Kaseh, Innovative Management Consultancy (IMC) dan alumni ESQ. Majlis makan malam amal yang akan diadakan di The Summit Hotel, Subang USJ ini bertujuan untuk membantu Rumah Titian Kaseh (RTK) mengumpul dana bagi membeli rumah yang mereka diami sekarang.

Dalam masa yang sama kini penghuni RTK dalam proses pindah ke rumah mereka kedua yang terletak di rumah perempuan di Taman Tasik Titiwangsa. Selepas 13 tahun menghuni di Lorong Maran, kini mereka terpaksa berpindah atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Dengan sebab ini, inisiatif timbul dari rakan-rakan Muslim Aid di IMC dan alumni ESQ untuk mengadakan Majlis Makan Malam Amal Setulus Kaseh. Majlis amal ini akan diadakan di The Summit Hotel Subang USJ pada 26, 27 dan 28 Disember 2010.

Harga Meja/Kerusi
Meja Cinta = (10 Meja x RM10,000.00)/ RM1000.00
Meja Kasih = (30 Meja x RM 5000.00) / RM500.00
Meja Sayang = (40 Meja x RM 3000.00) / RM300.00
Meja Ukhwah = (20 Meja x RM 2000.00) / RM200.00

Pembayaran boleh dilakukan ke Akaun CIMB: 1422-0000070-10-8 atas nama Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia.

Selepas melakukan pembayaran, sila emailkan slip pembayaran ke mail@muslimaidasia.com

1- nama penuh:
2- nombor telefon:
3- pakej (kerusi atau meja):
4- tarikh makan malam
5- jumlah bayaran

Pada yang berminat untuk menyertai makan malam, atau ingin menaja anak-anak RTK untuk turut serta dalam majlis makan malam ini, boleh hubungi

1. Muhammad Kamarulazizi (Muslim Aid Malaysia) - 012 3377195
2. Nazirah Idris (IMC) - 013 3898534
3. Sukma (Alumni ESQ) - 016 3011540
4. Rumah Titian Kaseh – 03- 40255246

Hanya Allah yang akan membalas segala jasa penyumbang-penyumbang sekalian.
Sesungguhnya orang-orang yang bersedekah baik laki-laki mahu pun perempuan dan meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, nescaya akan dilipat gandakan (pembayarannya) kepada mereka; dan bagi mereka pahala yang banyak.
Al-Hadid: 18
Muhammad bin Kamarulazizi

Monday, December 6, 2010

Rakaman Ayat Suci al-Quran oleh Adik Anuar dari Madrasah Hashimiah

Lokasi: Madrasah Hashimiah, Selayang
Tarikh: 4 Disember 2010
Program: Rakaman Ayat Suci Al-Quran oleh adik Anuar

Selepas selesai hari pertama kursus pengendalian krisis dan traumatik, saya bersama 3 orang sukarelawan terus ke Madrasah Hashimiah untuk berjumpa dengan Ustaz Hashim dan adik Anuar. Pertemuan kali ini bertujuan untuk membincangkan kemungkinan untuk menghasilkan CD album bacaan ayat-ayat suci al-Quran oleh adik Anuar.

Seperti yang diketahui, adik Anuar ini merupakan johan Qari bagi Majlis Musabaqah Rumah Anak Yatim seluruh Kuala Lumpur dan Selangor. Dengan kelebihan yang sedia ada, salah seorang sukarelawan Muslim Aid iaiti cik Juniza dari Politeknik Sirajuddin Perlis mencadangkan agar bacaan al-Quran oleh adik Anuar dirakamkan dan mungkin boleh dimanfaatkan oleh orang ramai serta menjadi salah satu pendapatan untuk Madrasah Hashimiah.

bacaan ayat al-Quran oleh adik Anuar ditelitikan oleh ustaz Hashim

bacaan ayat al-Quran oleh adik Anuar

Peringkat awal ini, bacaan ayat-ayat lazim al-Quran diperdengarkan dan dirakamkan oleh cik Juniza. Cik Juniza yang mempunyai kepakaran dalam bidang 'creative multimedia' akan mengusahakan untuk menghasilkan CD al-Quran. InsyaAllah peringkat selanjutnya akan diadakan dengan rakaman di dalam studio sehingga ke pembikinan CD al-quran tersebut.

Pada yang ingin membantu dari segi tenaga kerja atau ingin melabur untuk saham akhirat, boleh hubungi saya di pejabat Muslim Aid di 03-22881996.

Muhammad bin Kamarulazizi

Kursus Pengendalian Krisis dan Traumatik untuk Sukarelawan


Lokasi: Ramiza Synergy, Batu Caves, Kuala Lumpur
Tarikh: 4 & 5 Disember 2010
Program: Kursus Pengendalian Krisis dan Traumatik untuk Sukarelawan

Alhamdulillah program Kursus Pengendalian Krisis dan Traumatik untuk Sukarelawan selesai dijalankan di bilik latihan Ramiza Synergy. Lebih 20 orang sukarelawan Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia (Muslim Aid) telah turut serta untuk mempelajari kaedah-kaedah pengendalian kes-kes yang melibatkan mangsa krisis dan trauma. Kursus ini dikendalikan oleh Dr Nasir dan Puan Shamsiah Jais dari UPSI yang mempunyai kepakaran dalam bidang krisis dan Trauma.

sukarelawan Muslim Aid


latihan dalam kumpulan

kusyuk di dalam kelas

Kursus yang mendapat sokongan dari JKM ini bertujuan untuk melatih sukarelawan dengan kemahiran mengendalikan krisis dan trauma sebagai persediaan untuk membantu mangsa-mangsa yang mengalami masalah krisis dan trauma seperti mangsa bencana, masalah sosial dan sebagainya.

InsyaAllah dalam masa akan datang, pihak Muslim Aid akan menganjurkan lebih banyak kursus untuk sukarelawan agar ia dapat dimanfaatkan kepada orang ramai. Muslim Aid mengucapkan terima kasih kepada para sukarelawan yang telah turut serta, Ramiza Synergy yang telah bersama menguruskan logistik dan juga pihak JKM yang telah menyediakan dana bagi memastikan kelancaran program ini.

Muhammad bin Kamarulazizi

Friday, December 3, 2010

Ziarah ke Akademi Tahfiz Atah


Lokasi: Akademi Tahfiz Atah, Jalan Gurney, Kuala Lumpur
Tarikh: 2 Disember 2010

Baru-baru ini saya dijemput untuk melawat Akademi Tahfiz Atah yang diterajui oleh Ibu Laila. Akademi Tahfiz yang terletak di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur ini menempatkan lebih 100 orang pelajar daripada pelbagai latar belakang. Apa yang menarik di Akademi ini, ibu Laila juga ada menerima anak-anak golongan fakir miskin, yatim piatu dan muallaf untuk menyertai Akademi Tahfiz ini. Anak-anak ini tinggal di asrama berdekatan dengan akademi.

pelajar-pelajar Akademi Tahfiz Atah

Ibu Laila memberitahu keinginannya untuk para sukarelawan datang melakukan aktiviti atau menyertai aktiviti yang dijalankan oleh akademi tahfiz ini terutamanya di hujung minggu. Antara keperluan yang utama ialah sebagai pembimbing atau kaunselor untuk anak-anak yatim dan miskin ini. Pada yang berminat untuk menyertai program sukarelawan di Akademi Tahfiz Atah ini, boleh hubungi Ustaz Zul di 017-264 8707 atau di saya di pejabat Muslim Aid di 03-22881996.

Muhammad bin Kamarulazizi

Tuesday, November 30, 2010

Kem Kepimpinan untuk Pelarian Rohingya di Pulau Pinang


Lokasi: Jabatan Pertanian Relau, Pulau Pinang
Tarikh: 17 - 19 November 2010
Program: Kem Kepimpinan untuk Pelarian Rohingya

Sebuah lagi program telah dijalankan untuk komuniti pelarian Rohingya anjuran Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia (Muslim Aid) dengan kerjasama UNHCR di Pulau Pinang. Program kepimpinan ini mensasarkan golongan belia Rohingya yang kebanyakannya terpinggir dan tidak mempunyai sebarang aktiviti yang manfaat.

Pasukan sukarelawan Muslim Aid yang diketuai oleh saudara Khairul bertanggungjawab merangka modul dan memastikan kem kepimpinan ini berjalan dengan lancar. Kem tiga hari 2 malam ini bertujuan untuk melatih golongan belia Rohingya ini untuk menjadi pemimpin dikalangan komuniti mereka. Mereka didedahkan dengan leadership skills serta cara-cara untuk bekerja dalam kumpulan, membuat kertas kerja dan sedikit tentang pengurusan kewangan.

saudara Khairul memberi taklimat

belia pelarian Rohingya

latihan dalam kumpulan

pembentangan dari belia Rohingya

Kem kepimpinan lanjutan akan untuk pelarian Rohingya ini akan diadakan pada 17 - 19 Disember 2010. Pada sukarelawan Muslim Aid yang berminat untuk turut serta, atau yang ingin menyumbang dalam bentuk kewangan boleh hubungi saya terus di 03-22881996.

Muhammad bin Kamarulazizi

Wednesday, November 24, 2010

Kembara Akademik Bersama Anak ASDAF di Teluk Kemang


Lokasi: Batu 8 1/2 Telok Kemang, Negeri Sembilan
Tarikh: 22 & 23 November 2010

Program terakhir untuk anak-anak ASDAF baru sahaja selesai semalam. Hari ini anak-anak ASDAF sudah pulang ke kampung halaman masing-masing di Sungai Siput, Lata Kinjang Perak, Pos Betau di Raub dan Cameron Highland. Kem Kembara Akademik ini dijalankan selama dua hari dan 7 orang sukarelawan Muslim Aid turut serta menjayakan kem ini.

semua anak ASDAF tinggal di dalam khemah

sesi penyampaian hadiah

aktiviti di tepi pantai

gotong-royong memasak

Kem ini bertujuan untuk memberi suntikan semangat kepada anak-anak ASDAF agar tidak leka dan sentiasa menjadi contoh serta tauladan yang baik sebelum pulang ke kampung mereka. Kem Kembara Akademik ini menekankan kerjasama berpasukan serta menitik beratkan waktu solat dan zikir munajat. Anak-anak ASDAF ini sendiri telah menjadi imam dan bilal untuk setiap waktu solat.

InsyaAllah lebih banyak program akan menanti anak-anak ASDAF menjelang tahun 2011. Sama-sama kita doakan agar anak-anak ASDAF selamat pulang dan selamat kembali ke ASDAF hujung tahun ini.

Muhammad bin Kamarulazizi

Friday, November 19, 2010

Raya Aidiladha di Kampung Pantos



Lokasi: Kampung Pantos, Raub Pahang
Tarikh: 18 November 2010

Pada hari raya kedua saya bersama pihak pengurusan dan anak-anak ASDAF ke kampung orang asli, Kampung Pantos di Raub Pahang. Kali ini 22 ekor lembu akan dikorbankan di sana yang akan melibatkan 5 buah penduduk kampung di sekitar kampung Pantos. Wakil-wakil dari Kampung Pantos, Harong, Perangkap, Nyentil dan Pos Betau turut hadir memeriahkan aktiviti qurban ini. Beberapa orang wakil dari Kuala Lumpur juga turut hadir.

Penyembelihan dan proses melapah hanya mengambil masa 5 jam untuk selesai menyembelih dan melapah lembu-lembu qurban. Orang-orang asli di sini sudah mahir dalam melapah kerana biasanya dengan memburu di kancil dan rusa di hutan.


titi gantung ke Kampung Pantos


bersama anak-anak orang asli

sumbangan daging qurban for life kepada Tok Batin

tanah runtuh sebelum ke Kampung Pantos


Pada sebelah tengahari pula gotong-royong memasak daging qurban itu diadakan dan daging tersebut telah dibuat sup dan juga masak kunyit. Beras sebanyak 50kg telah dimasak untuk dijamukan kepada orang ramai. Program qurban di kampung orang asli ini selesai selepas Zohor jam 3 petang dan kami terus pulang ke Kuala Lumpur.

Muhammad bin Kamarulazizi

Raya Haji Aidiladha di Rumah Titian Kaseh dan Asrama Darul Falah


Lokasi: Rumah Titian Kaseh (RTK) dan Asrama Darul Falah (ASDAF)
Tarikh: 17 November 2010

Hari raya Aidiladha tahun ini disambut di KL. Cuti raya hanya satu hari, dan saya membuat keputusan untuk beraya bersama penghuni RTK dan ASDAF. Selesai solat raya di surau pangsapuri, saya terus ke RTK yang terletak di Taman Tasik Titiwangsa, tidak jauh dari rumah saya. Empat ekor lembu qurban sudah sedia untuk diqurbankan di RTK hasil sumbangan orang ramai. Saya disambut oleh Kak Lin dan kebetulan beberapa orang penghuni RTK pergi ziarah kubur.

Tepat jam 10.40 pagi saya terus ke ASDAF dengan membawa sekali pisau untuk melapah lembu-lembu yang akan diqurbankan di sana. Enam ekor lembu ditumbangkan di sana. Ramai saudara baru yang datang membantu untuk melapah dan melakukan pengagihan. Daging-daging qurban ini diagihkan terus pada hari yang sama dan sebahagian daripadanya di masak dan dibuatkan sup.

di Rumah Titian Kaseh


proses melapah di ASDAF

anak-anak ASDAF menikmati daging qurban


Kebetulan pada hari yang sama, pihak Muslim Aid sedang melaksanakan penyembelihan qurban untuk peserta-peserta Qurban For Life di Brisbane Australia.

Muhammad bin Kamarulazizi

Monday, November 15, 2010

Anak-anak ASDAF dan Rumah Titian Kaseh di Galeri Finas


Lokasi: Galeri Finas, Jalan Pahang Kechil, KL
Tarikh: 13hb November 2010
Program: Pertandingan Mewarna dan Tayangan Upin Ipin bersama anak-anak ASDAF dan Rumah Titian Kaseh

Galeri Finas telah menjemput anak-anak dari Rumah Titian Kaseh (RTK) dan Asrama Darul Falah (ASDAF) untuk menyertai pertandingan mewarna serta tayangan Upin dan Ipin. Program bermula jam 10.30 pagi dengan pertandingan mewarna diikuti pula dengan melawat galeri Finas.


kek yang dibawa oleh cik Azura

Anak-anak Rumah Titian Kaseh

sukarelawan Muslim Aid bersama anak-anak ASDAF

Anak RTK dan ASDAF bersama sukarelawan Muslim Aid

Pada jam 12 tengahari anak-anak RTK dan ASDAF menjamu makanan tengahari dan kemudiannya sesi penyampaian hadiah oleh Datuk Aziz Satar kepada pemenang pertandingan mewarna. Di sebelah petang pula sukarelawan Muslim Aid, cik Azura telah datang membawa kek hari lahir untuk anak-anak yang lahir pada bulan Oktober dan November.

Muhammad bin Kamarulazizi

Friday, November 12, 2010

Bantuan untuk Mangsa Banjir di Kedah




Lokasi: Alor Setar, Kedah
Tarikh: 11 November 2010
Program: Bantuan untuk Mangsa Banjir di Kedah

Alhamdulillah bantuan untuk mangsa banjir di Kedah sudah selesai. Sebanyak 31,200 tin daging food aid Qurban For Life (Q4L) berjumlah lebih RM200,000 telah diserahkan di Bilik Gerakan Bencana, Wisma Darul Aman. Bantuan ini mensasarkan mangsa-mangsa banjir di dalam negeri Kedah yang akan diagihkan oleh para sukarelawan di sana. Misi bantuan ini telah diketuai oleh Tn Hj Wan Rusli selaku pengarah Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia.


Pyan Habib juga turut sebagai sukarelawan Muslim Aid

antara penerima qurban di Kedah

Tn Hj Wan Rusli meninjau keadaan

keadaan banjir di Kedah

Muhammad bin Kamarulazizi

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...