![]() |
| Senyuman manis dari sukarelawan sebelum agihan tugas |
Pada hari Sabtu yang lepas bersamaan 24 Februari 2018, telah diadakan "Pasar Percuma" di mana kali ini kami bersiaran merentasi Laut China Selatan iaitu di bumi Kenyalang, Sarawak. Kampung Skibang yang terletak di Daerah Bau menjadi lokasi pilihan Kindness Sarawak melebarkan sayap kebaikan "Pasar Percuma" ini. Bau merupakan satu daerah yang mengambil masa sekitar satu jam perjalanan dari Bandaraya Kuching. Alhamdulillah, Pasar Percuma ini telah berlangsung dengan jayanya.
Program dimulakan pada jam 9.45 pagi apabila para sukarelawan mula tiba dan berkumpul di Dewan Kampung Skibang. Pada masa yang sama, orang-orang kampung juga mula membanjiri sekitar dewan tersebut. Para sukarelawan memulakan tugasan menurunkan dan menyusun barang demi kelancaran projek Pasar Percuma ini.
Aktiviti diteruskan dengan ucapan daripada Ketua Kaum dan seterusnya ucapan daripada Person In Charge Projek Pasar Percuma, Cik Aida. Di dalam ucapan, Cik Aida turut mendedahkan serba sedikit mengenai apa itu Kindness Malaysia, Kindness Sarawak dan Projek Pasar Percuma.
Suasana riuh rendah yang mula kedengaran di dalam dewan telah menandakan bermulanya projek Pasar Percuma. Transaksi jual beli hanya dilakukan dengan bayaran sebuah senyuman. Penglibatan para pengunjung cukup ramai dan meriah dan terdiri daripada kanak-kanak, remaja dan dewasa dari pelbagai lapisan masyarakat.
Antara barangan yang disumbangkan untuk Pasar Percuma ini termasuklah pakaian lelaki (t-shirt, kemeja, seluar panjang, seluar sukan), pakaian wanita (baju kurung, blause, seluar, tudung), pakaian kanak-kanak, kasut, pelbagai jenis beg, buku novel dan juga mainan.
Orang ramai mula mendapatkan baranga pilihan mereka
Antara barangan yang disumbangkan untuk Pasar Percuma ini termasuklah pakaian lelaki (t-shirt, kemeja, seluar panjang, seluar sukan), pakaian wanita (baju kurung, blause, seluar, tudung), pakaian kanak-kanak, kasut, pelbagai jenis beg, buku novel dan juga mainan.
Kasut antara barangan yang menjadi rebutan
Beg tangan yang menjadi pilihan wanita sedia untuk dibeli secara percuma
Dalam masa kurang dari satu jam, semua barangan sudah habis dijual secara percuma. Rata-rata penduduk kampung sangat gembira dan menghargai usaha mengadakan Pasar Percuma di kampung mereka. Tidak putus-putus mereka mengucapkan ucapan terima kasih dan bersalaman dengan para sukarelawan.
Tiada yang lebih bermakna bagi kami di Kindness Sarawak selain melihat mereka tersenyum riang membawa barangan dari Pasar Percuma ini. Apa yang lebih manis adalah pada tarikh yang sama pada tahun lepas, sukarelawan Kindness Malaysia dari Kuala Lumpur juga telah melakukan Projek Pasar Percuma menggunakan konsep yang sama di sekitar Medan Niaga Satok, Bandaraya Kuching. Ya, setahun sudah berlalu, misi kami untuk menyebarkan kebaikan masih diteruskan.
Encik Aliff (Projek Koordinator) bersama kanak-kanak kecil yang sama-sama memeriahkan pasar percuma
Encik Khalid antara orang lama di Kindness Sarawak dan sukarelawan daripada institusi perbankan yang pertama kali mengikuti program Kindness Sarawak
Semua sukarelawan Kindness Sarawak yang terlibat
Besar harapan kami untuk menjadikan Projek Pasar Percuma ini sebagai Projek bulanan kami di Kindness Sarawak. Doakan ianya akan menjadi kenyataan. InsyaAllah.
Terima kasih kepada para penyumbang yang memberi sokongan penuh terhadap Projek Pasar Percuma ini. Tanpa sumbangan anda, projek ini tidak akan dapat dilaksanakan dengan baik. Hanya Allah yang dapat membalas jasa baik kalian. Tahniah dan terima kasih kepada semua sukarelawan yang terlibat di atas sumbangan tenaga kalian. Sukarelawan kami telah menjelajah hampir sebahgaian besar Bandaraya Kuching untuk mengumpul barangan sumbangan ini. Penat lelah mereka amatlah kami hargai.
Semoga kita berjumpa lagi di projek kebaikan akan datang.
Abdul Khalid Yusof
Projek Koordinator
Kindness Sarawak



























