About

Blog tentang aktiviti-aktiviti amal di dalam dan luar Malaysia

More About Me...

Kita pesimis dengan kesengsaraan insan yang menderita di serata dunia. Laman ini cuba mengundang kembali sekelumit fitrah insani yang cakna dan peka dengan kesengsaraan insan lain. Infaq di jalan Allah...

RSS Subscribe

Pengiktirafan dari World Kindness Movement

Kindness Malaysia kini secara rasminya merupakan ahli World Kindness Movement

Misi Bantuan Kemanusiaan Untuk Mangsa Rohingya di Arakan, Myanmar

Bersama pelarian Rohingya di Arakan (Rakhine), Myanmar

Bantuan Perubatan di Hebron, Palestine

Vitamin C untuk anak-anak Palestine di Hebron

Ziarah ke perkampungan orang asli

Bersama sukarelawan ke kampung orang asli di Pos Betau, Pahang.

Misi Gelandangan Feed The Homeless

Misi Gelandangan Feed The Homeless yang dijalankan setiap hari Sabtu 2 minggu sekali di sekitar Kuala Lumpur

Booking.com
Showing posts with label pengemis. Show all posts
Showing posts with label pengemis. Show all posts

Sunday, April 27, 2008

Jalan2 di Pasar Malam

Bergambar dengan anak yatim Rohingya, dipercayai menjadi pengemis jalanan di ibu kota

Hari Jumaat lepas, seperti biasa aku ke pasar malam Sentul. Biasa balik saja dari kerja, parking motor di rumah, trus ke pasar malam. Maklumlah, pasar malam cuma di depan rumah. Kali ini apa yang aku nampak, makin ramai peminta sedeqah kat pasar malam Sentul nih. Ada yang regular seperti wajah Rohingya, dan ada jugak golongan buta. Aku sedar jugak yang kali ini ada peminta sedeqah yang ada iras2 wajah orang Nepal yang menyusukan anak menggunakan botol.

Alhamdulillah, ibuku memang dah peruntukan RM50 untuk digunakan untuk sedeqah bagi mereka yang memerlukan nih. RM50 nih aku tukarkan dengan kepingan RM1, dan disimpan dalam kocek blakang seluar. Seorang peminta sedeqah, dapatlah saya berikan RM1 atau RM2, dengan niat sedeqah dari ibu saya dan keluarga. (Anda juga boleh lakukan untuk ibu bapa anda)

Biasanya peminta sedeqah ini tidak akan memandang kita. Mungkin disebabkan berasa malu, dan cuma mampu mengucapkan terima kasih. Kekadang memang akan rasa kesian pada mereka, kita jugak xbleh salahkan mereka kerana terpaksa menjadi peminta sedeqah.

Aku tertarik dengan Hadith Rasulullah yg mengatakan

Belilah semua kesulitanmu dengan sedeqah ” ubatilah penyakitmu dengan sedeqah ” .

Banyak dari kita yang sudah mengetahui dan memahami perihal anjuran bersedeqah ini, namun persoalannya seringkali kita teramat susah untuk melakukannya kerana kekhuatiran bahawa kita salah memberi, sebagai contoh kadang kala kita enggan memberi sedeqah kepada pengemis yang kita temui ditepi jalan dengan anggapan bahawa mereka (pengemis/peminta tsb) menjadikan meminta-minta sebagai pekerjaannya, malas, dll. Padahal sesungguhnya prasangka kita yang demikian adalah bisikan-bisikan syaitan laknatullah yang tidak rela melihat kita berbuat baik (bersedeqah) , sebaiknya mulai saat ini hendaknya kita hilangkan prasangka-prasangka yang demikian kerana seharusnya sedekah itu kita niatkan sebagai bukti keimanan kita atas perintah Allah dan rasul-Nya yang menganjurkan umatnya untuk selalu bersedeqah,

Masalah mungkin timbul apabila ternyata kemudiannya bahawa sedeqah yang kita beri kepada pengemis/peminta tadi tidak tepat sasaran, bukan lagi urusan kita , kerana sedeqah hakikatnya adalah ladang amal bagi hamba-hamba Allah yang bertakwa. Pengemis/peminta/ fakir miskin lainnya adalah ladang amal bagi orang yang berkemampuan, dapat kita bayangkan andaikata tidak ada lagi orang-orang tersebut, kepada siapa lagi kita dapat beramal (bersedeqah) ?

-Muhammad bin Kamarulazizi-

p/s dicedok sedikit dari sini

Thursday, March 13, 2008

Pelarian Rohingya di Bumi Malaysia

Pernahkah anda lihat wajah2 ini ditepi jalan sedang mengemis? Adakah anda juga menganggap mereka sebagai sindiket?


Sama-sama kita hayati artikel yang diterbit di majalah Milenia Muslim Jan 08


Oleh: Mohd Sukki Othman, diedit oleh saya

(Artikel ini telah disiarkan di majalah Milenia Muslim keluaran Januari 2008)


Ajaran Islam amat menekankan mengenai pentingnya konsep persaudaraan. Terdapat banyak ayat al-Quran dan hadis nabi yang mengetengahkan isu persaudaraan ini. Namun, sebagai umat Islam, apakah kita prihatin terhadap apa-apa yang telah dibentangkan di dalam al-Quran dan hadis nabi saw? Tepuk dada, tanya iman!

Allah SWT telah menyatakan dengan jelas mengenai konsep persaudaraan ini melalui surah al-Hujurat ayat 10 yang bermaksud:

’Sesungguhnya orang mukmin itu adalah bersaudara, maka damaikanlah antara saudara-saudaramu dan bertakwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat’.

Manakala dalam hadis nabi saw pula, Rasulullah bersabda yang bermaksud:

’Perumpamaan orang mukmin dalam berkasih sayang, cinta mencintai, dan kasih mengasihi ibarat satu tubuh, iaitu apabila terdapat salah satu anggota badan yang sakit, maka seluruh tubuh turut berasa sakit dengan tidak boleh tidur dan demam’. (Hadis Riwayat Imam Muslim).

Justeru, apabila kita meneliti dan memahami isi kandungan al-Quran dan hadis serta ajaran murni yang terdapat di dalam Islam, maka sudah tentu kita akan terpanggil untuk mempraktikkannya dalam kehidupan seharian. Setiap muslim sama ada yang mewakili individu, organisasi mahu pun pemerintah hendaklah bertanya pada diri apakah sumbangan yang telah dilaksanakan setakat ini untuk membantu saudara seIslam lain yang menghadapi kesusahan dan keperitan hidup? Kalau pun ada sumbangan yang telah diberikan, maka apakah ia sudah mencukupi?

Persoalan seumpama ini ditimbulkan apabila melihat kepada kesengsaraan dan penderitaan yang terpaksa dilalui oleh saudara Islam Rohingya yang menjadi pelarian di bumi Malaysia. Kehidupan mereka yang amat daif kadang-kala tidak diberikan perhatian sewajarnya oleh masyarakat Islam kita yang hidup dalam serba kemewahan. Masyarakat Rohingya adalah juga saudara Islam kita, jadi menjadi kewajipan kita untuk membantu mereka sedaya yang mampu.

Golongan Muslim Rohingya bukan memilih untuk menjadi pelarian, tetapi mereka terpaksa berbuat demikian ekoran diskriminasi melampau yang dikenakan terhadap mereka di Myanmar. Lalu ada di antara mereka memilih Malaysia sebuah negara yang majoriti penduduknya adalah Muslim untuk dijadikan sebagai tempat berlindung dan mencari rezeki untuk meneruskan kehidupan. Terdapat lebih kurang 10 atau 12 ribu orang pelarian Muslim Rohingya yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR) di Malaysia. Namun, di negara ini, undang-undang yang ada di bawah Akta Imigresen 1959/1963 tidak menjelaskan secara khusus perbezaan di antara pelarian dan pendatang yang berhijrah bagi tujuan ekonomi.

Sehubungan dengan itu, ia menjadikan pelarian terperangkap dalam beberapa situasi seperti tidak mempunyai pekerjaan yang sah selain anak-anak mereka tidak diberikan akses kepada pendidikan. Begitu juga tiada kemudahan perubatan dan hospital sebagaimana yang dinikmati oleh warganegara. Tambah menyedihkan ialah terdapat sesetengah majikan mengeksploitasi kehidupan susah mereka dengan membayar gaji terlampau sedikit dan tidak setimpal dengan kerja yang dilakukan. Natijahnya, terdapat di antara mereka yang terpaksa bekerja sebagai pengemis untuk mencari sesuap nasi di samping meningkatnya masalah sosial yang sudah tentu akan merugikan semua pihak.

Penderitaan Muslim di Myanmar bermula pada 1982 lagi apabila secara tiba-tiba Muslim Rohingya diisytiharkan pendatang asing di negara sendiri. Muslim Rohingya ditindas melalui undang-undang “Burma Citizenship Law of 1982” yang bersifat perkauman agama dan penuh diskriminasi yang diluluskan oleh pemerintah junta Burma pada tahun 1982, yang mengakibatkan golongan muslim Rohingya tidak diiktiraf sebagai warganegara, malah diisytiharkan sebagai ‘pendatang’ di tanahair mereka sendiri. Oleh yang demikian, hak mereka dinafikan, malahan ada yang ditangkap, dipukul dan pelbagai kekejaman lain yang dikenakan kepada mereka.

Dr Said Ramadhan al-Buti dalam bukunya Fiqh al-Sirah al-Nabawiyyah telah menyatakan dengan jelas bahawa wajib bagi umat Islam untuk membantu umat Islam yang lain walaupun berbeza negeri dan negara sekiranya mampu berbuat demikian. Para ulama’ juga bersependapat bahawa berdosa besar bagi orang Islam yang berkemampuan yang tidak menghulurkan bantuan dan pertolongan kepada saudara Islam lain yang lemah dan dizalimi di mana sahaja mereka berada.

Jelasnya, membantu dan menghulurkan pertolongan kepada saudara seIslam yang lain adalah sesuatu yang wajib tanpa mengira bangsa, keturunan dan warna kulit. Apatah lagi saudara muslim tersebut berada dalam kalangan masyarakat kita.

Sehubungan dengan itu, masyarakat Islam di negara ini hendaklah ’membuka mata’ dengan melihat penderitaan pelarian muslim Rohingya yang berada dalam masyarakat kita dengan berusaha sedaya-upaya untuk membantu mereka di atas semangat persaudaraan Islam sekaligus dapat mengurangkan masalah sosial yang berlaku dalam masyarakat. Jangan hanya menuding jari dengan menyalahkan mereka apabila mereka ’terpaksa’ menjadi pengemis untuk mencari ’sesuap nasi’ , namun dalam masa yang sama kita tidak begitu prihatin terhadap kesusahan mereka.


Fikir2 kan my friend....

-Insan yang terlalu dhaif-

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...