About

Blog tentang aktiviti-aktiviti amal di dalam dan luar Malaysia

More About Me...

Kita pesimis dengan kesengsaraan insan yang menderita di serata dunia. Laman ini cuba mengundang kembali sekelumit fitrah insani yang cakna dan peka dengan kesengsaraan insan lain. Infaq di jalan Allah...

RSS Subscribe

Pengiktirafan dari World Kindness Movement

Kindness Malaysia kini secara rasminya merupakan ahli World Kindness Movement

Misi Bantuan Kemanusiaan Untuk Mangsa Rohingya di Arakan, Myanmar

Bersama pelarian Rohingya di Arakan (Rakhine), Myanmar

Bantuan Perubatan di Hebron, Palestine

Vitamin C untuk anak-anak Palestine di Hebron

Ziarah ke perkampungan orang asli

Bersama sukarelawan ke kampung orang asli di Pos Betau, Pahang.

Misi Gelandangan Feed The Homeless

Misi Gelandangan Feed The Homeless yang dijalankan setiap hari Sabtu 2 minggu sekali di sekitar Kuala Lumpur

Booking.com
Showing posts with label Futsal. Show all posts
Showing posts with label Futsal. Show all posts

Monday, August 20, 2018

Futsal Piala Kindness 2018 satu kejayaan buat semua

Peserta futsal, penyokong, sukarelawan dan NGO yang terlibat

1 April 2018 merupakan satu tarikh keramat buat Kindness Malaysia kerana telah menganjurkan Kejohanan Futsal Piala Kindness edisi ketiga sejak ia diperkenalkan pada tahun 2014. Kejohanan futsal ini diadakan di KSL Futsal Centermart, Setapak, Kuala Lumpur. Lokasi KSL Setapak ini dipilih sesuai dengan kemudahan yang ada di lokasi futsal selain mempunyai tempat letak kenderaan yang luas. Acara penuh gilang-gemilang saban 2 tahun sekali ini melibatkan 38 buah pasukan yang datangnya daripada pelbagai rumah kebajikan sekitar Semenanjung Malaysia dan melibatkan peserta futsal berumur 17 tahun dan ke bawah.

Seramai 300 sukarelawan daripada pelbagai NGO yang telah bekerjasama berganding bahu sepanjang kejohanan tersebut. Pertandingan ini juga dihadiri lebih 700 penyokong pelbagai rumah kebajikan iaitu anak-anak asnaf, miskin bandar, yatim dan pelarian muslim Myanmar, Syria, Somali, Afghan dan Rohingya. 

Seawal jam 8.00 pagi, para peserta futsal dan penyokong mula membanjiri lokasi futsal untuk sesi pendaftaran dan sarapan pagi. Satu demi satu pasukan tiba dengan pelbagai aksi menceriakan dan seakan tidak sabar untuk beraksi di atas gelanggang futsal. Mereka disambut penuh gilang gemilang oleh para sukarelawan kerana merekalah VVIP kami pada hari itu.

Ketibaan peserta disambut penuh meriah 

Sesi pendaftaran 


Sesi pemanas badan iaitu acara zumba terus dimulakan 

Perasmian kejohanan pula diadakan selepas acara zumba selesai. Pihak Kindness Malaysia berbesar hati memilih anak-anak asnaf ini sebagai perasmi Futsal Piala Kindness kerana merekalah VVIP kami pada hari penuh bersejarah itu. Muzik hebat alunan Big Bear DJ membuat suasana sekitar futsal bertambah meriah. Saat reben dipotong oleh salah seorang dari mereka dan disambut dengan sorakan dan tepukan gemuruh daripada ratusan anak-anak istimewa ini, maka perasmian telah selesai dan berlangsung dengan jayanya.

Perasmian oleh anak-anak asnaf

Usai perasmian, mereka disajikan dengan taklimat format perlawanan oleh Ketua Pengadil Kejohanan dan wakil dari Rakan NGO, iaitu Chelsea Soljabiru yang bertanggungjawab mengurus perlawanan pada hari itu. Anak-anak ini nampak seronok dan sedia mendengar dan menerima taklimat dari mereka.

Bacaan doa oleh Encik Karim, penjaga anak-anak ASDAF (Asrama Darul Falah)

Sepak mula perlawanan dimulakan pada jam 10.00 pagi. Sebanyak lima gelanggang futsal disediakan untuk perlawanan futsal sementara dua gelanggang disediakan untuk anak-anak kecil yang tidak terlibat dengan futsal dan para pemain berlatih. Peserta futsal bermain penuh semangat bersama rakan-rakan sepasukan. Saingan cukup hebat walaupun ada antara pasukan yang baru pertama kali berjumpa. Kejohanan bertambah meriah dengan sokongan padu dari penyokong setiap rumah yang terlibat. 

Pasukan perempuan ASDAF gembira selepas menjaringkan gol

Pasukan Nur Iman FC yang diuruskan oleh Kindness Pahang cukup bertenaga semasa perlawanan

Para penyokong dari SBJK FC (Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih, Chow Kit) memeriahkan suasana

Peserta yang mengalami kecederaan dirawat oleh team fisio

Ambulans disediakan untuk sebarang kecemasan

38 pasukan dari pelbagai rumah kebajikan ini masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri dalam kejohanan futsal ini. Ada pasukan yang telah biasa berfutsal malah ada juga yang belum biasa berfutsal. Di Futsal Piala Kindness inilah mereka disatukan dan ditemukan seterusnya dapat merapatkan silaturrahim sesama mereka. Anak-anak pelarian Myanmar muslim, Rohingya, Syria, Afghan dan Somali ini pula, walaupun mereka berlainan kulit, warna dan rupa tetapi itu bukanlah penghalang kepada mereka untuk beraksi di atas gelanggang futsal ini. Di sini jugalah tempat penyatuan anak-anak orang asli , anak-anak yatim, miskin, asnaf dan meereka yang kurang bernasib baik yang menjadikan futsal ini sebagai platform untuk mereka bergaul lebih akrab.

Pasukan "Anbu Illam" yang dibawa oleh NGO Caring Heart

Pasukan PEKEAS FC (Pertubuhan Kebajikan  Ash Shakur), Rawang yang diuruskan oleh saudari Noriah, salah seorang sukarelawan Kindness Malaysia

Sementara itu, di satu sudut yang lain, kehadiran Siso The Clown amat disenangi oleh anak-anak ini semua. Mereka berpeluang bergambar dan bergembira bersama dengan Siso The Clown. Bukan senang anak-anak ini dapat peluang sebegini. Itulah antara matamat utama kami di Kindness Malaysia, menyebar dan memberi kegembiraan kepada semua terutama golongan yang kurang bernasib baik.

Salah seorang penyokong bergambar bersama Siso The Clown

Photobooth percuma tajaan QSR Brands 

Perlawanan peringkat kumpulan berjalan dengan lancar dan meriah. Tepat jam 1.15 tengah hari, perlawanan direhatkan seketika bagi memberi laluan kepada solat Zohor. Makan tengah hari juga disediakan di lokasi yang kami namakan "Food Island". Ratusan makanan disediakan dan diambil secara percuma khas untuk anak-anak asnaf ini dan semua yang terlibat termasuklah para sukarelawan dan rakan-rakan NGO. Makanan dan minuman seperti pizza hut, kek coklat, roti krim, cup cakes, pelbagai buah campur seperti pisang, pelbagai minuman seperti milo dan yakult, air mineral, kuih-muih dan makanan tengah hari, nasi goreng ayam campur, ayamas chicken rice dan makanan ringan seperi mamee monster disediakan di Food Island.   

"Food Island" yang menempatkan pelbagai makanan dan minuman secara percuma

Air minuman Lucozade sebagai penaja rasmi minuman untuk Futsal Piala Kindness

Perlawanan persahabatan diadakan di antara pasukan Kindness Malaysia dan Kindness All Star sebelum perlawanan akhir berlangsung. Kindness All Star dipilih dari adk-adik yang dilihat telah beraksi cemerlang sepanjang perlawanan di peringkat kumpulan. Perlawanan cukup meriah dan santai dengan sorakan daripada semua yang hadir. 

Perlawanan persahabatan Kindness Malaysia vs Kindness All Star

Sebelum sepak mula perlawanan akhir berlangsung, sesi memperkenalkan pemain kepada PFAM (Professional Footballers Association of Malaysia) diadakan. Pihak PFAM yang dijemput menghadiri Futsal Piala Kindness ini sentiasa memberi sokongan penuh kepada kejohanan ini sejak Futsal Piala Kindness diperkenalkan lagi pada tahun 2014.

Sesi memperkenalkan pemain kepada PFAM

PFAM bersama jemputan terhormat fokus memerhati aksi perlawanan akhir

Dua pasukan perempuan iaitu ASDAF FC dan NURI FC di perlawanan akhir 
bergambar bersama PFAM

Istimewanya pada hari kejohanan adalah acara selingan iaitu pelancaran aplikasi Kindness Malaysia yang telah ada di Google Play. Selain itu, antara yang menarik dan cukup unik, turut dipersembahkan sokongan dari rakan kerjasama Kindness Mexico dan World Kindness Movement yang menawarkan pemberian makanan percuma kepada orang ramai yang memerlukan mengikut jumlah gol yang telah dijaringkan sepanjang Futsal Piala Kindness 2018.

Sebanyak 311 gol telah dijaringkan bermakna 3,110 penerima akan mendapat 
makanan percuma di Mexico

Pada jam 3.45 petang, perlawanan akhir tamat. Penuh mendebarkan dan cukup meriah. Tahniah diucapkan kepada pasukan yang menang dan diharapkan pasukan yang kalah tidak akan kecewa. Syabas kepada semua peserta. Berikut merupakan keputusan penuh Kejohanan Futsal Piala Kindness 2018 :-

Kategori Lelaki.

Juara: RJ Alia FC (Rumah Jagaan Alia, Kedah)
Naib Juara : Al-Ijabah FT (Maahad Sains Al Quran Al Amin)
Ketiga: Hashimiah FC (Madrasah Hashimiah, Selayang)
Keempat: Afghan FC (Afghan Learning Centre, Ampang) 

Kategori Perempuan.

Juara: Asdaf United (Asrama Darul Falah, Bukit Persekutuan)
Naib Juara : Nuri FC Girlz (Rumah Nuri, Setapak)
Ketiga: Asdaf City (Asrama Darul Falah, Bukit Persekutuan)
Keempat: PEKEAS Girls FC (Pertubuhan Kebajikan Ash Shakur, Rawang)

Pemain terbaik (lelaki) : Saen (Al Ijabah FT)
Pemain terbaik (perempuan) : Norfarhana Atiqa (Nuri FC Girlz) 

Pengurus Terbaik (lelaki) : Hafeez Nazri (ASDAF) 
Pengurus Terbaik (perempuan) : Kak Yana Preloved4Charity (Nuri FC Girlz) 

Pasukan pilihan (lelaki) : SBJK FC (Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih, Chow Kit)
Pasukan pilihan (perempuan) : RKH Girls FC (Rumah Kasih Harmoni, Paya Jaras)

Pemain terbaik lelaki

Pemain terbaik wanita


RJ Alia FC - Johan kategori lelaki 

ASDAF FC - Johan kategori perempuan

Johan Futsal Piala Kindness 2018 membawa pulang piala pusingan tajaan Chelsea Soljabiru, wang tunai sebanyak RM2,000 tajaan Bee Storm, medal tajaan MILO Malaysia, goodies bag tajaan MRT Malaysia dan Volkswagen Malaysia, hamper tajaan Junny Erfisyahry dan rakan-rakan, slot clown party tajaan Siso The Clown serta Hotwheels tajaan Dark Alley dan Leggodt Play Well. Naib Juara pula membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500 beserta medal, hamper dan hadiah manakala tempat ketiga membawa pulang wang tunai RM1,000 beserta medal, hamper dan hadiah. Tempat keempat pula membawa pulang medal, hamper dan hadiah dan semua pasukan yang bertanding membawa pulang hamper dan hadiah.

Medal sumbangan MILO Malaysia

Rakan-rakan NGO sebagai penerima Anugerah Khas Futsal Piala Kindness 2018 yang mendapat tajaan hotwheels oleh Dark Alley dan Leggodt Play Well. 


 
Penaung Kindness Malaysia, Dato' Adnan Bin Zainal turut memberi sepatah dua kata

Penutup majlis diakhiri dengan bacaan doa

Sesi penyampaian hadiah berjalan lancar sebelum ucapan oleh Pengasas Kindness Malaysia, Encik Muhammad dan para jemputan yang hadir. Majlis berakhir pada jam 6.00 petang dan sesi media diadakan sebelum semua bersurai. Terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung demi menjayakan kejohanan Futsal Piala Kindness edisi ketiga ini terutama rakan-rakan NGO yang terlalu banyak membantu dalam segala hal iaitu Empire Project, Chelsea Soljabiru, Preloved4Charity, Humanity, Kelas Kaseh, Institut Professional Baitulmal, Projek Ihsan, The Patriots, iGunners, Gerakan Sukarelawan Malaysia, Caring Hearts, Braille Volunteer Services, Picoms, Komuniti Pandan Prihatin, The Gagak dan rakan-rakan NGO yang lain.

Rakan NGO yang terlibat 

Tidak dilupakan sekalung penghargaan buat setiap sukarelawan yang terlibat melancarkan kejohanan kali ini bermula dari sebelum kejohanan, semasa dan selepas kejohanan. Mereka yang bertungkus lumus mendapatkan tajaan, menguruskan pasukan, membeli peralatan futsal, melatih pasukan, bangun  seawal pagi untuk menguruskan tempat futsal, memastikan semuanya teratur di bahagian makanan, hadiah, pengangkutan, PA system, pengacara majlis dan semua yang berkaitan dengan hal-hal kejohanan. Syabas dan tahniah semua!! Inilah kejayaan terbesar buat kita semua.

Terima kasih juga kesemua para penaja yang terdiri daripada syarikat-syarikat korporat, rakan-rakan NGO dan orang perseorangan yang bermurah hati menaja dari pelbagai sudut untuk kelangsungan kejohanan futsal setiap dua tahun ini. Terima kasih  Milo Malaysia, Lucozade, MRT Corp, Volkswagen Malaysia, Yakult, U10 Crew, Nasi Lemak Maksu, QSR Brands (M) Holding Berhad, Fateema Couture, Gardenia, Sengkuang Calit Opah, De Lampu Kreatif, Hearts and Sparks, NPNG Futsal Centre, Restoren Ali Maju, Qualitas Health, Big Bear DJ, Siso The Clown, Asiana.my, Ireena Design, Matasura Services, Empire of Port Klang, Voguenista dan kesemua para penyumbang yang budiman.


Sukarelawan Kindness Malaysia yang terlibat

Futsal Piala Kindness 2018 telah mendapat liputan akhbar 

Tanpa anda semua, maka kejohanan ini tidaklah dapat berjalan seperti yang direncanakan. Alhamdulillah, kegembiraan ini dapat dirasakan oleh kesemua yang terlibat terutama sekali anak-anak VVIP kita yang diraikan. Semoga bakat sukan futsal mereka dapat dilihat dan diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi. Didoakan semoga kebaikan terus tersebar bukan sahaja dengan kejohanan futsal seperti ini malah pelbagai aktiviti kebaikan yang lain.  

Jumpa lagi di Futsal Piala Kindness 2020! ;-)

Muhammad Haziq Sazali
Projek Koordinator
Kindness Malaysia

Tuesday, March 20, 2018

Mesyuarat Futsal Piala Kindness 2018


Keberjayaan sesebuah program yang dirancang adalah impian setiap persatuan dan mana-mana organisasi termasuklah di Kindness Malaysia sendiri. Sehubungan dengan itu, bagi merealisasikan impian dan harapan semua orang termasuklah VVIP iaitu anak-anak asnaf yang akan diraikan di Kejohanan Futsal Piala Kindness pada 1hb April 2018 nanti, maka satu mesyuarat telah diadakan pada hari Ahad, 18 Mac 2018 di Medan Idaman, Kuala Lumpur. 

Kehadiran seramai 20 orang pada hari tersebut terdiri daripada rakan-rakan NGO dari Projek Empire, Komuniti Pandan Prihatin, Kelas Kaseh, Projek Ihsan dan Kindness Malaysia sendiri. Misi utama mesyuarat kali ini adalah untuk memberi gambaran sebenar bagaimana kejohanan futsal ini dilaksanakan sebelum dan semasa hari kejadian.

Pengurus pasukan bersama rakan NGO dari Kelas Kaseh dan Projek Ihsan

Mesyuarat bermula pada jam 11.00 pagi dengan ucapan terima kasih kepada semua yang hadir. Mesyuarat dimulakan dengan penerangan mengenai aturcara di kejohanan futsal ini nanti. Perbincangan difokuskan kepada agihan tugasan yang dibahagikan kepada bahagian logistik, makanan, game koordinator, usherer, pendaftaran, tajaan, keselamatan, kebajikan, sukarelawan dan pelbagai tugasan lain. Setiap tugasan ini akan diketuai oleh seorang atau dua orang sukarelawan dari Kindness Malaysia dengan gabungan puluhan sukarelawan daripada rakan NGO yang terlibat yang telah mengesahkan kerjasama seperti Institut Pertubuhan Baitulmal, Gerakan Sukarelawan Malaysia serta Kelab Penyokong Chelsea Soljabiru selaku game koordinator.

Penerangan ringkas aturcara event dan format perlawanan

Seterusnya penerangan mengenai format perlawanan juga didedahkan di dalam mesyuarat ini oleh saudara Shahrizal selaku game koordinator dari Kelab Penyokong Chelsea Soljabiru. Cukup ringkas, padat dan santai penerangan yang diberi membuatkan kami semua mudah faham dan seakan tidak sabar menunggu hari kejohanan.

Perkongsian oleh saudari Erin Ratna selaku orang lama yang berpengalaman dalam Kejohanan futsal Piala Kindness juga sedikit sebanyak dapat memberikan kami gambaran awal tentang kedudukan pentas semasa hari kejadian serta hal-hal yang melibatkan kerja-kerja sukarelawan.

Haziq Sazali selaku event coordinator bertindak memastikan keseluruhan program akan berjalan lancar

Dari segi hal tajaan dan makanan, kami masih memerlukan tajaan makanan dan minuman untuk lebih 700 anak-anak asnaf semasa kejohanan ini nanti. Makanan dan minuman yang disediakan adalah berkonsepkan free flow dan diberikan kepada mereka dari pagi sehingga kejohanan selesai sekitar jam 5.00 petang. Kami telah sebulat suara menempatkan satu sudut khas di lokasi futsal tersebut dengan nama "Food Island". Hal-hal melibatkan kebersihan semasa kejohanan dan fotographer selain yang melibatkan media juga turut dibincangkan dalam mesyuarat selama 2 jam ini.

Rakan NGO dari Projek Empire, Komuniti Pandan Prihatin dan Projek Ihsan turut serta dalam mesyuarat selain pengurus pasukan Madrasah Hashimiah

Tumpuan penuh juga diberi kepada setiap sudut bagi memastikan aturcara berjalan lancar lebih baik dari dua tahun lepas. Kejohanan yang cukup sinonim di kalangan anak-anak asnaf ini sememangnya dinanti-nantikan oleh mereka setiap dua tahun dan kini telah memasuki edisi yang ketiga. Oleh itu, pelbagai hal dari seluruh aspek harus diambil kira bagi menastikan kejohanan ini berjalan dengan baik dan lancar.


Ketua unit bahagian makanan fokus mengambil input penting semasa mesyuarat sambil diperhatikan oleh Ketua unit bahagian logistik

Selingan pendapat, sokongan, cadangan dan bantahan kami kongsikan bersama semasa mesyuarat ini. Gelak tawa dari ahli mesyuarat yang hadir sedikit sebanyak mencuit hati kami. Sebagai insan biasa, kami juga rasa berdebar walaupun kejohanan futsal ini telah memasuki edisi yang ketiga. Maklumlah, kami berdepan dengan pelbagai watak yang berbeza setiap dua tahun tetapi kami yakin gabungan tenaga serta perahan idea watak-watak yang berbeza daripada semua pihak inilah yang bakal melengkapkan kejohanan penuh gilang-gemilng ini nanti. Alhamdulillah mesyuarat santai ini dapat mengurangkan sedikit debaran kami sebelum tibanya hari yang dinantikan pada 1 April nanti.

Antara ahli mesyuarat yag hadir

Gambaran awal mengenai kejohanan telah dapat kami bayangkan. Dengan izinNya, mesyuarat ini tamat pada jam 1.00 tengah hari. Banyak input berguna yang diterima oleh kami semua. Terima kasih semua yang meluangkan masa hadir ke mesyuarat ini. Kepada yang tidak dapat hadir, pihak Kindness Malaysia akan mengemaskini dan memaklumkan apa jua perkembangan berkenaan Futsal Piala Kindness dari masa ke semasa. Persiapan kini sedang memasuki peringkat akhir. Hebahan besar-besaran sedang kami lakukan demi memastikan info berkenaan Futsal Piala Kindness sampai kepada semua yang terlibat.

Semoga dengan kerjasama semua pihak, dapatlah kita menjayakan dan menggembirakan anak-anak ini nanti. Diharapkan nila-nilai kebaikan dapat kita serapkan di kejohanan ini nanti dan di mana jua tidak kira masa dan tempat malah kepada sesiapa jua. Marilah kita semua bekerja keras demi kelancaran kejohanan  futsal besar-besaran ini nanti.

#RoadToFutsalKindnessCup2018

Projek Koordinator
Shahrizal Shawal
Kindness Malaysia


Monday, March 19, 2018

NPNG Pre-Futsal Kindness Cup 2018


Pada 17 Mac 2018 bersamaan hari Sabtu baru-baru ini telah diadakan kejohanan futsal yang dinamakam NPNG Pre-Futsal Kindness Cup 2018. Kejohanan ini berlokasi di NPNG Sports Centre, Damansara Damai, Kuala Lumpur dan melibatkan 8 buah pasukan. Mengambil nama NPNG Pre-Futsal sebagai penghargaan kepada NPNG selaku penaja penuh kejohanan futsal ini. Kejohanan ini juga merupakan Pre Futsal yang kedua selepas kejohanan Pre Futsal yang pertama yang telah diadakan pada penghujung tahun 2017. 

Bermula jam 9.00 pagi, anak-anak asnaf, yatim serta anak-anak pelarian muslim yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dari pelbagai rumah kebajikan ini mula membanjiri lokasi futsal dengan diiringi oleh pengurus pasukan masing-masing dan NGO yang bertanggungjawab menjaga mereka. Lapan pasukan yang terlibat adalah Madrasah Hashimiah, Pertubuhan Kebajikan Ash Shakur (PEKEAS), Rumah Kasih Harmoni (RKH), Projek Ihsan, Caring Hearts-Anbu Illam, Ar- Rayyan,  Somali FC serta Kindness All Star.

Ucapan pihak penaja, NPNG

Pre-Kindness Cup ini adalah sebagai pemanas badan kepada kejohanan futsal sebenar yang bakal menggegar Futsal KSL Setapak pada 1 April 2018. Pada permulaan acara, anak-anak ini berkumpul untuk mendengar taklimat dari pengasas Kindness Malaysia, Encik Muhammad dan projek koordinator, saudara Ahmad Haziq. Seterusnya ucapan daripada pihak penaja, NPNG dan taklimat dari pengadil perlawanan.

Pasukan Ar Rayyan yang datang dari Negeri Sembilan 

Sepak mula dimulakan pada jam 10.00 pagi. Semangat anak-anak ini sangat membara dan penuh berkobar-kobar semasa beraksi di gelanggang seolah-olah berada di kejohanan sebenar. Tambah meriah dengan sorakan daripada para penyokong pasukan masing-masing. Selaku penganjur yang membawa jenama Futsal Kejohanan Piala Kindness, pasukan Kindness Malaysia turut terlibat dalm kejohanan ini sebagai pelengkap kepada kumpulan A.

Pasukan perempuan RKH dan Pekeas FC

Kejohanan peringkat kumpulan berjalan dengan lancar sekali dan berhenti rehat untuk melepas penat lelah. Empat pasukan berjaya ke peringkat separuk akhir iaitu pasukan dari Madrasah Hashimiah, RKH, Somali dan Projek Ihsan. Cukup sengit perlawanan di perigkat ini sehingga keempat-empat pasukan ditentukan berdasarkan sepakan penalti dan akhirnya pasukan RKH dan Projek Ihsan berjaya merencah keringat untuk berentap di peringkat akhir Pre-Kindness Cup kali ini.


Madrasah Hahimiah FC

Kejohanan turut diselitkan dengan perlawanan persahabatan perempuan di antara pasukan Rumah Kasih Harmoni (RKH) Paya Jaras dan Pertubuhan Kebajikan Ash Shakur (PEKEAS) Rawang yang diadakan sebelum perlawanan akhir.

Selepas berehat lebih kurang 15 minit, perlawanan akhir bermula. Ternyata kedua-dua pasukan Projek Ihsan dan RKH sukar ditewaskan sehingga pasukan Projek Ihsan memecah gawang gol pihak lawan dan mengesahkan kejuaraan untuk kejohanan pre cup kali ini. Tepukan gemuruh daripada semua yang hadir benar-benar memuaskan mereka dan senyuman gembira seperti inilah yang amat kami harapkan. Semoga mereka semua bertambah bersemangat untuk ke kejohanan sebenar nanti.  


Penaja memberi hadiah kepada pemenang


Terima kasih Yayasan Emkay dan NPNG atas tajaan

Tampak ceria persembahan santai mereka pada kali ini, siapa tahu pada kejohanan sebenar nanti mereka bakal memberi saingan sengit kepada pasukan lain yang berentap. Di penutup kejohanan sekitar jam 1 tengah hari, sesi ucapan penutup dan penyampaian hadiah diberikan oleh pihak penaja. Alhamdulillah, semua pasukan gembira menerima hadiah. Adat dalam pertandingan, ada yang kalah dan ada yang menang. 

Somali FC 

Keputusan penuh kejohanan NPNG Pre-Futsal Kindness Cup 2018:-

Juara : Projek Ihsan
Naib Juara: Rumah Kasih Harmoni
Ketiga: Madrasah Hashimiah
Keempat: Somali FC

Pasukan juara dari Projek Ihsan

Besar harapan kami semoga bakat anak-anak ini dapat dilihat oleh masyarakat luar kerana mereka jarang berpeluang dapat bermain futsal seperti anak-anak di luar sana dan semoga mereka dapat pergi ke peringkat yang lebih tinggi dalam sukan futsal khusunya. Semoga mereka semua dapat memanfaatkan sukan futsal ini untuk terus sihat mental dan fizikal seterusnya bergiat aktif dalam apa jua acara sukan termasuklah sukan futsal.

Pemenang bersama piala 

Futsal Piala Kindness 2018 pada 1 April nanti bakal melibatkan anak-anak daripada 30 pasukan dari rumah kebajikan, komuniti pelarian, miskin bandar dan asnaf dari pelbagai latar belakang seluruh Malaysia. Anggaran lebih 300 orang sukarelawan dari pelbagai rakan NGO termasuklah sukarelawan Kindness Malaysia sendiri serta 700 orang dari golongan kanak-kanak dan remaja asnaf bakal membanjiri futsal KSL Setapak, Kuala Lumpur. Persiapan kini sedang memasuki peringkat akhir. 

Semangat Futsal Piala Kindness kami kongsikan bersama

Untuk kejohanan sebenar pada 1 April 2018 nanti, peluang untuk menaja masih lagi kami buka. Sesiapa yang ingin menjadi sukarelawan ataupun menaja apa jua bentuk sumbangan termasuklah wang tunai, pelbagai jenis makanan dan minuman, kasut futsal mahupun jersi, boleh hubungi kami di support@kindness.my atau boleh terus hubungi nombor telefon 0183800961.

Sukarelawan Kindness Malaysia yang terlibat

Jumpa di Kejohanan Futsal Piala Kindness 2018 pada 1hb April nanti. 

#RoadToFutsalKindnessCup2018

Ahmad Haziq Angah
Projek Koordinator
Kindness Malaysia

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...