About

Blog tentang aktiviti-aktiviti amal di dalam dan luar Malaysia

More About Me...

Kita pesimis dengan kesengsaraan insan yang menderita di serata dunia. Laman ini cuba mengundang kembali sekelumit fitrah insani yang cakna dan peka dengan kesengsaraan insan lain. Infaq di jalan Allah...

RSS Subscribe

Pengiktirafan dari World Kindness Movement

Kindness Malaysia kini secara rasminya merupakan ahli World Kindness Movement

Misi Bantuan Kemanusiaan Untuk Mangsa Rohingya di Arakan, Myanmar

Bersama pelarian Rohingya di Arakan (Rakhine), Myanmar

Bantuan Perubatan di Hebron, Palestine

Vitamin C untuk anak-anak Palestine di Hebron

Ziarah ke perkampungan orang asli

Bersama sukarelawan ke kampung orang asli di Pos Betau, Pahang.

Misi Gelandangan Feed The Homeless

Misi Gelandangan Feed The Homeless yang dijalankan setiap hari Sabtu 2 minggu sekali di sekitar Kuala Lumpur

Booking.com

Sunday, December 31, 2017

2017 Adalah Tahun Paling Mencabar Buat Diriku.



Hujung tahun 2016 pun saya baru selesai ziarah Tarim dan bersedia masuk ke 2017 dengan azam baru. Alhamdulillah, masa itu pun rezeki dapat guna kereta baru, dana untuk Madrasah Hashimiah pun cukup rezeki untuk tampung sehingga bulan puasa akan datang. 2017 saya rasakan tahun yang cukup baik dengan beberapa perancangan yang sudah dirancang rapi.

Rezeki juga melimpah ruah, saya dapat travel ke banyak tempat untuk belajar. Saya dikurniakan dengan pelbagai kemudahan, idea, kecerdasan untuk berfikir secara kreatif. Tahun 2017 saya terima anugerah World Kindness Hero, di Seoul. Kindness Malaysia kini di peringkat antarabangsa. Tahun 2017 juga saya ditahan dari misi kebaikan ke Myanmar, burn flight ticket semua, tetapi Allah buka peluang untuk ke Amerika Syarikat. Memang tidak dinafikan, Allah hadiahkan macam2 untuk saya.

Mula dari pertengahan tahun, saya mula kehilangan beberapa insan yang sangat beri kesan kepada saya. Yang sangat memberi impak kepada saya. Adakala kita rasa perancangan kita sempurna, tetapi sebenarnya Allah ada rancangan yang lebih baik. Tahun ini juga saya ambil keputusan untuk tinggalkan dunia korporat untuk bergerak sendiri. Jauh dalam diri saya rasakan jiwa saya penat. Manusia sememangnya biasa bergantung kepada manusia lain, tetapi sebaik2 pergantungan adalah kepadaNya sahaja.

Alhamdulillah, menjelang hujung tahun Allah aturkan untuk saya ke Nizamuddin, India. Kebetulan masa itu mesyuarat bagi jemaah Malaysia yang berlangsung dua tahun sekali akan berlaku di situ. Perancangan Allah cantik, saya dapat jumpa dan belajar dari ramai insan yang ternyata jiwa mereka tenang. Dari ziarah itu, saya ubah sedikit sebanyak rutin hidup saya. Cara fikir saya mula berubah.

Hingga ke hari ini, ada beberapa resolusi dan perubahan yang sudah saya lakukan. Untuk jadi manusia yang lebih baik. Bila orang tanya tentang azam, ya saya memang ada azam dan perancangan. Dan ada sebilangan kecil sahabat2 yang rapat sudah ketahui, perancangan itu besar. Bigger than life. Tapi apa pun yang akan membenarkannya hanyalah Dia.

Tahun 2018 ini, jika diizinkan dan diturunkan rezeki itu dariNya, maka akan bermula satu misi untuk mencapai impian yang besar. Suatu misi yang bakal mengubah banyak kehidupan. Yang pasti akan "disrupt" pelbagai aspek di Malaysia mahupun luar negara. Yang saya percaya mampu beri impak jangka masa panjang.

Namun begitu, jika impian itu tidak diizinkanNya, maka semestinya ada sesuatu yang lebih baik dariNya. Maka dengan itu kehidupan akan diteruskan seperti biasa. Rutin yang sama yang diperbaharui. Yang akhirnya semata2 mengharap keredhaanNya.

Syukur padaNya atas pengalaman yang diberikan. Semoga tahun 2018 ini esok lebih bermakna insyaAllah.

Selamat datang 2018...

Muhammad bin Kamarulazizi
Pengasas Kindness Malaysia
Pengerusi Madrasah Hashimiah

Wednesday, December 27, 2017

Projek Jom Pi Sekolah Raikan 32 Penerima Manfaat Pelbagai Bangsa


Projek "Jom Pi Sekolah" anjuran Kindness Malaysia dengan kerjasama NGO (Sahabat Uwais), Jabatan Kerajaan (JPJ Negeri Kedah), serta Syarikat Swasta (DFZ Agency Sdn.Bhd & C-Seena Trading (G-Nius) hari ini telah berjalan dengan jayanya.

Projek yang mensasarkan seramai 32 orang penerima yang tergolong daripada pelajar miskin, anak yatim dari pelbagai bangsa seperti Melayu, Cina dan India sekitar daerah ini dijalankan di Pasaraya Mydin Alor Setar bermula jam 9.00pagi dan berakhir pada jam 12.00 tgh hari. 

semua bersedia untuk membeli belah

keperluan penting diperoleh dahulu

semua dengan pembelian masing-masing

Kindness Malaysia bersama rakan agensi dan NGO
Program yang julung kali diadakan ini mendapat respond yang cukup baik dari semua pihak terutamanya  penyumbang dan orang ramai. Adalah diharapkan agar kebaikkan dapat terus dikongsi dan disebarkan demi memastikan ianya subur dalam hati-hati setiap dari kita. 

Let's make Malaysia kind again.

Aiman Mustapha
Projek Koordinator (Kindness Kedah)
Kindness Malaysia 

Saturday, December 23, 2017

Kelas Basic 101 on Sponsorship and Fundraising


Tahun-tahun kebelakangan ini adalah tahun yang cukup berat bagi kehidupan masyarakat secara global impak dari keadaan ekonomi yang tidak menentu. Di Malaysia, kesannya turut terasa kepada masyarakatnya lebih-lebih lagi kepada badan organisasi bukan kerajaan (NGO) serta persatuan-persatuan dan organisasi yang bergerak secara sendiri. Dalam beraktiviti, pengurusan kewangan adalah sangat penting. Suntikan dana yang mencukupi adalah pemangkin utama kepada kelangsungan perjalanan sesebuah organisasi.

Mencari dana bukanlah sesuatu yang mudah. Bukan sahaja memerlukan usaha yang konsisten malah perlu diiringi usaha yang kreatif. Sehubungan dengan itu, Kindness Malaysia telah mengadakan kelas "Basic 101 on Sponsorship and Fundraising" sebagai pendedahan kepada asas dalam mencari dana. Kelas ini diadakan di Madrasah Hashimiah, Selayang, Kuala Lumpur. Seramai 19 orang sukarelawan mengikuti kelas tersebut yang terdiri daripada 10 orang sukarelawan dari Kindness Malaysia dan 9 orang  sukarelawan dari Komuniti Pandan Prihatin termasuk seorang kanak-kanak.

Setiap peserta diberi nota tentang asas mencari dana

Kelas dimulakan selepas Isyak pada jam 9.00 malam. Kelas ini diketuai oleh Encik Muhammad sebagai pengajar pada malam itu.  Setiap peserta diberi nota supaya mereka lebih faham dan jelas tentang topik yang akan dibincangkan.

Antara alternatif yang digunapakai oleh Kindness Malaysia untuk mencari dana dipecahkan kepada dua iaitu melalui surat dan menggunakan aplikasi whatsapp. Langkah pertama adalah perlu mengetahui jumlah keperluan dan kos serta mengenalpasti para penyumbang yang berpotensi berdasarkan portfolio mereka. Maklumat penyumbang juga perlu dikemaskini di dalam excel. 

Peserta dijelaskan lagi secara mendalam bagaimana membuat surat dengan tepat, ringkas dan intipatinya terus sampai kepada penerima.  Tatabahasa dan penggunaan ayat yang betul perlu digunakan semasa membuat surat selain perlu berhati-hati meletakkan nama dan alamat penerima. Ini kerana, ada sesetengah penyumbang amat menitik beratkan hal-hal ini. Dalam erti kata lain, kita letakkan diri kita di tempat penyumbang, dan kita fikirkan wajarkah kita menderma atau sebaliknya setelah meneliti surat tersebut. Surat tersebut boleh dihantar melalui email atau pos dan perlu melakukan tindakan susulan (follow up) dengan penyumbang yang berpotensi berdasarkan rekod yang telah dikemaskini di excel. 

Perubahan dunia masa kini amat pantas hasil ledakan teknologi maklumat dan ledakan inilah yang membawa kita kepada kekerapan penggunaan media sosial seperti Facebook, instagram, twitter dan aplikasi whatsapp. Untuk alternatif kedua cara mencari dana adalah menggunakan aplikasi whatsapp. Sama seperti menggunakan surat, perkara pertama perlu mengenalpasti keperluan dan kos serta group whatsapp yang dirasakan sesuai. Peserta diajar cara yang tepat bagaimana menawan hati penyumbang berpotensi untuk memberi dana tanpa rasa terpaksa. Penggunaan ayat dan lenggok bahasa ketika menyampaikan sebaran carian dana di dalam whatsapp amat dititikberatkan. Peserta juga diingatkan supaya menjaga adab semasa berinteraksi di dalam group whatsapp selain meminta kebenaran dari admin group (pentadbir group) sebelum menghantar pesanan.  


Penerangan teliti oleh pengasas Kindness Malaysia

Mana-mana kaedah mencari dana sama ada melalui surat mahupun whatsapp, perlulah dinyatakan jumlah dan bentuk sumbangan yang diperlukan supaya penyumbang mudah untuk memberi maklum balas. Selain itu, perlu juga dinyatakan faedah-faedah yang akan diperolehi oleh para penyumbang sekiranya mereka membuat sumbangan. 

Peserta juga dinasihatkan untuk menghantar surat atau ucapan penghargaan di dalam group whatsapp setelah dana diterima selain memaklumkan keberkesanan projek yang telah berjaya dilaksanakan hasil sumbangan penderma. Ini untuk menjamin supaya penyumbang akan terus bekerjasama dengan kita pada masa akan datang. 

Peserta yang hadir 

Kelas berlangsung dengan tenang dan semua peserta fokus malah bertukar-tukar pendapat dan idea tentang topik yang dibincangkan. Banyak idea yang telah dikongsi dan boleh digunapakai untuk mencari dana. Ternyata, ilmu yang dikongsi ini akan berkembang dan bercambah.  

Sukarelawan Kindness Malaysia yang hadir

Kelas berakhir pada jam 11.00 malam. Kami percaya, semua peserta pada malam itu berlapang dada menerima ilmu baru yang diterima. Sebelum pulang, para peserta sempat meraikan ulangtahun kelahiran salah seorang sukarelawan Kindness Malaysia. Di Kindness Malaysia, sememangnya kami menganggap semua sebagai satu keluarga. Selain berkongsi ilmu, kita juga digalakkan berkongsi makanan dan menggembirakan orang lain.  

Jamuan hari lahir salah seorang sukarelawan selepas selesai kelas

Selain dua cara yang disebut di atas, sebenarnya banyak lagi cara untuk mencari dana termasuklah hal-hal berkaitan promosi dan hebahan. Banyak aspek dan ruang boleh digunakan untuk mengorek dana. Kelas kami kali ini adalah fokus kepada dua medium tersebut.

Kunci utama untuk membuat orang mahu menyumbang dana adalah keyakinan kita kepada tujuan amal yang kita ingin laksanakan. Jika kita tahu banyak tentang tujuan amal kita, pastinya kita dapat meyakinkan dan mendorong orang lain untuk turut sama menyumbang kepada keberjayaan program yang kita rancang lebih-lebih program-program kebaikan dan yang memberi implikasi positif kepada semua.

Antara amalan orang yang berbahagia adalah yang sentiasa menyediakan dirinya untuk belajar dan mengajar. Kelas sebegini boleh menjadi pemangkin kepada kita mempelbagaikan kemahiran sekaligus bersedia mengatasi apa jua masalah yang timbul dalam sesebuah organisasi selain melakukan penambahbaikan untuk program-program akan datang.

Secara fizikalnya, kehadiran kita cuma sehari semasa mengikuti kelas ini tetapi kesannya adalah untuk jangka masa panjang. Pengetahuan, inspirasi, semangat dan pencerahan tentang ilmu mencari dana ini akan terus tersemat dalam diri kita semua.

Terima kasih Encik Muhammad selaku pengasas Kindness Malaysia yang sudi berkongsi ilmu kepada kami dan tahniah kepada semua yang telah menghadiri kelas tersebut.  InshaAllah, banyak lagi kelas-kelas sebegini yang akan dibuka kepada semua pada masa akan datang. Diharap para sukarelawan mendapat manfaat dari kelas yang dihadiri serta dapat membantu hal pengurusan kewangan di mana-mana organisasi yang disertai.

Alhamdulillah, Kindness Malaysia sudah mula dapat permintaan untuk siri kelas lain dari individu dan beberapa buah NGO dan yayasan. Bagi yang berminat untuk kelas seperti ini, boleh email ke support@kindness.my. Tajuk-tajuk akan datang seperti Konsep Kutu Akhirat, Social Media Engagement, Pengurusan Sukarelawan, Pengurusan Projek Kebaikan dan lain-lain bakal dikongsi kelak.

Iman Nur Alia
Projek Koordinator
Kindness Malaysia

Tuesday, December 19, 2017

Projek Explorace bersama Kindness Malaysia


Pasukan merupakan gabungan usaha, pengetahuan, kemahiran dan kebolehan yang boleh dilakukan secara sinergenik untuk menghasilkan prestasi sesuatu kerja melebihi input yang dilakukan secara bersendirian. Konsep berpasukan ini kami bawakan di dalam Program Explorace kami baru-baru ini dengan membawa sedikit kelainan iaitu berkonsepkan nilai-nilai kebaikan.

Program explorace kali ini melibatkan penyertaan pasukan daripada para pelajar tajaan yayasan terkemuka di Malaysia. Seramai 60 orang pelajar dalam lingkungan usia 13 tahun sehingga 17 tahun mengikuti proram ini. Explorace ini berlangsung di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur pada 17 Disember 2017 iaitu pada hari Ahad baru-baru ini.

Konsep kebaikan diterapkan dalam explorace kali ini memandangkan misi utama kami untuk memupuk nilai-nilai kebaikan di dalam diri anak-anak muda ini selain melengkapi salah satu pengisian Kem Bestari mereka.

Taklimat kepada sukarelawan

Program dimulakan seawal jam 12.00 tengahari di mana para sukarelawan diberi taklimat untuk menjaga checkpoint masing-masing. Ada juga sukarelawan yang ditugaskan sebagai runner  dan  fasalitator untuk setiap kumpulan. Sukarelawan turut diingatkan supaya bersedia dari segi mental dan fizikal kerana cuaca pada petang itu agak panas. Seramai 25 orang sukarelawan Kindness Malaysia dan tiga orang sukarelawan dari Aeno Malaysia terlibat untuk program ini. 

Sukarelawan Kindness Malaysia di checkpoint masing-masing

Dua orang sukarelawan akan menjaga setiap checkpoint. Terdapat 6 checkpoint untuk explorace kali ini di mana setiap checkpoint akan diberi tugasan tertentu sekiranya mereka tiba di checkpoint yang betul. Dengan hint yang diberi, para pelajar perlu mencari lokasi yang tepat untuk meneruskan tugasan seterusnya. Nampaknya, tugasan para pelajar bukanlah mudah. Agak mencabar! Lebih-lebih lagi, cuaca agak panas ditambah dengan taman tasik yang luas.

Fokus pada perbincangan dalam kumpulan


Pada jam 2.00 petang, para pelajar mula tiba di lokasi taman. Para pelajar diminta berkumpul untuk mendengar taklimat daripada fasalitator dan pengasas Kindness Malaysia. Mereka dibahagikan kepada 6 kumpulan di mana setiap kumpulan terdiri daripada 10 orang. Mereka seakan tidak sabar dan cukup bersemangat untuk memulakan explorace.

Para pelajar mula bergerak ke checkpoint masing-masing


Pada jam 2.30 petang, para pelajar mula bergerak ke checkpoint masing-masing berdasarkan peta dan tugasan yang diterima. Mereka sangat bersemangat dan bertenaga lebih-lebih lagi dapat melakukan tugasan secara berkumpulan.  Kerjasama dan interaksi mereka dalam kumpulan buat kami tertarik. Cukup fokus dan sentiasa memberi sokongan kepada ahli kumpulan mereka.

Kumpulan "Thuderbirds" hebat dengan gaya tersediri

Setiap kumpulan diberi masa 10 minit untuk menyelesaikan setiap tugasan. Antara tugasan yang perlu dilakukan adalan memberi duit sebanyak RM1 beserta nota kebaikan dan mereka perlu meletakkan duit tersebut di mana-mana di sekitar tasik . Jika orang awam mengambil wang tersebut, maka tugasan mereka mencapai matlamat. Mereka juga perlu melihat respon penerima. Gembira, sedih atau terkejut? Modul ini adalah sebagai pendedahan kepada para pelajar bahawa kebaikan itu perlu juga disebar walaupun dengan sekecil-kecil kebaikan. Walaupun bernilai RM1, nilainya tetap besar kepada penerima.

Salah satu lakonan melakukan kebaikan

Selain itu, ada juga tugasan di mana mereka perlu melakonkan watak-watak berbuat baik dan gambar tersebut perlu disertakan caption menarik dan perlu disebarkan di media sosial. Pemenang untuk tugasan tersebut dikira berdasarkan like, komen dan perkongsian terbanyak.


Antara tugasan di checkpoint 5


Salah satu tugasan di mana mereka perlu melakukan apa jua bentuk kebaikan kepada orang yang tidak dikenali. Tugasan ini agak menarik dan mereka kelihatan seronok apabila berdepan dengan orang yang tidak dikenali. Reaksi negatif mahupun positif yang mereka terima, perlu dikongsi selepas menyelesaikan tugasan tersebut dan markah dikira berdasarkan kreativiti masing-masing semasa melakukan kebaikan tersebut. Cabaran ini sedikit sebanyak memberi pendedahan kepada kesukaran hidup dan keberanian dalam menyelasaikan sesuatu masalah.

Dua pelajar cuba memujuk penerima 

Bagi  tugasan pembentangan, para pelajar dapat mempelajari teknik pengucapan yang berkesan dan dapat menilai respon yang diberi oleh pendengar. Modul ini secara amnya memberi pendedahan kepada pelajar untuk merasai sendiri bagaimana pengalaman menjadi seorang guru dan supaya mereka lebih fokus di dalam kelas nanti.

Senyuman adik-adik buat kami genbira

Walaupun keletihan, para pelajar berjaya menyudahkan explorace ini dengan jayanya. Terdapat beberapa kumpulan yang tidak sempat menyudahkan kesemua checkpoint memandangkan masa sudah tamat. Pun begitu, mereka tetap gembira dan kembali ke tempat berkumpul denga rasa lega dan puas. Walaupun taman ini agak luas, sekurang-kurangnya mereka dapat melihat keindahan flora dan fauna di sekitar tasik ini.

Sukarelawan juga sama-sama berjalan menuju ke tempat berkumpul dan berehat seketika sambil menjamu makanan yang disediakan.

Perkongsian salah seorang pelajar

Di akhir program, sesi perkongsian diadakan sebelum sesi penyampaian hadiah kepada para pemenang. Banyak perkongsian daripada pengalaman berguna yang mereka lalui sepanjang program berlangsung. Kegembiraan mereka dikongsi bersama. Ternyata mereka mampu membentuk jati diri masing-masing dan mampu mengawal emosi dalam pelbagai situasi. Pengasas Kindness Malaysia juga sempat menasihatkan mereka supaya melakukan kebaikan sekali dalam sehari.

Kumpulan pemenang bersama sukarelawan 

Wakil kumpulan tersenyum gembira menerima hadiah

Tahniah kepada kumpulan yang menang. Ternyata kegembiraan jelas terpancar di wajah mereka. Diharapkan anak-anak muda ini mendapat manfaat sebaiknya dari program kebaikan seperti ini dan merekalah pula yang akan menyambung menyebar kebaikan di masa-masa akan datang. Semoga program sebegini dapat memberi inspirasi kepada mereka untuk terus melakukan kebaikan.

Terima kasih kepada pihak AENO Malaysia kerana menaja minuman pada petang itu

Sukarelawan bergambar bersama para pelajar 

Terima kasih juga kepada para pelajar terlibat dan yayasan yang menaja para pelajar hebat ini. Tidak lupa juga kepada sukarelawan Kindness Malaysia serta semua yang membantu secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan program explorace ini. Tanpa anda semua, program kebaikan seperti ini pasti tidak dapat direalisasikan dengan jayanya.

Jumpa lagi di Explorace akan datang!!

Erin Ratna
Timbalan Pengerusi 2
Kindness Malaysia

Saturday, December 16, 2017

Mesyuarat Futsal Piala Kindness 2018 bersama rakan NGO dan Penaja


Tahun hadapan akan menyaksikan lebih 32 buah pasukan daripada rumah kebajikan, 700 anak-anak asnaf, yatim, miskin, komuniti pelarian muslim, madrasah, anak-anak orang asli dan 200 sukarelawan yang akan membanjiri Futsal KSL Centermart Setapak, Kuala Lumpur di satu acara yang dinamakan Kejohanan Futsal Piala Kindness 2018. Info Futsal Piala Kindness 2018 adalah seperti berikut:

Tarikh: 1 April 2018
Masa: 8 pagi - 6 petang
Lokasi: Futsal KSL Setapak
Anjuran: Kindness Malaysia dengan kerjasama Soljabiru Kelab Penyokong Chelsea Malaysia serta rakan-rakan NGO.
Penyertaan: 32 pasukan futsal dari rumah kebajikan, anak yatim, pelarian, orang asli dan juga asnaf seluruh Malaysia.

Jenama Futsal Piala Kindness telah bertapak sejak tahun 2014 dan diadakan 2 tahun sekali. Tahun 2018 merupakan kejohanan kali ketiga sejak kejohanan ini diperkenalkan oleh Kindness Malaysia

Membawa misi utama meraikan anak-anak dari rumah kebajikan selain ingin mencungkil bakat para penghuni anak yatim dalam kejohanan futsal serta menggalakkan cara hidup sihat, maka satu mesyuarat khas telah diadakan pada hari Ahad,  10 Disember 2017 di Perpustakaan Raja Tun Uda Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.


Mesyuarat ini mendapat sambutan daripada pelbagai NGO dan NGI yang rata-rata telah berpengalaman menjalin kerjasama pada kejohanan futsal yang lepas. Seramai 20 orang sukarelawan dari Kindness Malaysia turut serta dalam mesyuarat berkenaan. Pada jam 3.00 petang , mesyuarat dimulakan dengan kata-kata aluan dan ucapan terima kasih daripada Pengerusi Kindness Malaysia, saudara Mohd Noriduan merangkap Pengarah Kejohanan Futsal Piala Kindness 2018. 

Sukarelawan sempat bergambar di Perpustakaan Raja Tun Uda Shah Alam 
sebelum mesyuarat bermula

Antara rakan NGO yang hadir pada mesyuarat tersebut adalah Caring Hearts, Soljabiru (Kelab Penyokong Chelsea Malaysia), Empire Project, Projek IhsanPreloved 4charity, Institut Profesional Baitumal, Humanity, Humanity Heroes, Braille Volunteer Services, Junny And Friends, Middle East Refugees, Gerakan Sukarelawan Malaysia, Pertubuhan Komuniti Pandan Prihatin dan I-gunner Community

Pengasas Humanity memperkenalkan diri

Sesi perkenalan diadakan selepas ucapan dari Tuan Pengerusi. Rakan-rakan NGO diberi pendedahan mengenai bentuk-bentuk tajaan yang bakal digunakan untuk menjayakan kejohanan ini. Konsep tajaan dipecahkan kepada pakej emas, perak dan gangsa. 

Penerangan format perlawanan dari wakil Soljabiru

Wakil dari NGO Caring Hearts turut hadir semasa mesyuarat

Semasa mesyuarat, rakan-rakan NGO juga diberi kesempatan bertukar-tukar idea, pendapat dan cadangan demi menjayakan kejohanan futsal ini. Gabungan suara dari rakan-rakan NGO ini sememangnya amat kami perlukan demi penambahbaikan kejohanan futsal Piala Kindness 2018 yang akan datang. Alhamdulillah, mesyuarat berakhir pada jam 5.00 petang. 

Teaser awal Futsal Piala Kindness ini juga telah mendapat liputan di dalam akhbar Sinar Harian

Berdasarkan kejohanan futsal yang lepas, kami menjangkakan ribuan peserta dan penyokong selain sukarelawan yang akan terlibat dalam kejohanan ini. Sememangnya banyak tajaan yang diperlukan demi kelangsungan kejohanan ini seperti hadiah, jersi pasukan, makanan, minuman, pengangkutan untuk rumah anak yatim, hal-hal logistik, photobooth, jurukamera, juru video, pa system, banting, banner promosi dan pelbagai tajaan lain yang dirasakan sesuai. Seperti biasa pihak Soljabiru akan menaja lokasi kejohanan dan urusan permainan semasa perlawanan manakala pihak I-gunner Community telah bersetuju menaja pentas semasa kejohanan. Pihak Humanity pula bersiap sedia menaja 200 helai baju sukarelawan. 

Pihak Kindness Malaysia selaku penganjur kejohanan berbesar hati menerima sebarang bentuk tajaan daripada mana-mana badan NGO dan NGI juga orang perseorangan yang berminat untuk menaja Kejohanan Futsal Piala Kindness 2018. Sebarang bentuk tajaan atau pertanyaan bolehlah email kepada support@kindness.my atau boleh rujuk poster di bawah.


Diharap kejohanan ini akan mendapat sokongan daripada semua pihak dan dapat dilaksanakan dengan jayanya serta dapat menggembirakan anak-anak syurga ini. Borang penyertaan Futsal Piala Kindness 2018 boleh muat turun di sini.


#RoadToFutsalKindnessCup2018
#FutsalKindnessCup2018

Iman Nur Alia
Projek Koordinator
Kindness Malaysia



Friday, December 15, 2017

Kindness Malaysia Merentas Sempadan-Projek Backpackers


Projek Kolaborasi KindnessMalaysia bersama Yayasan Dana Sosial al-Falah (YDSF) dirancang kira-kira empat bulan sebelum perlaksanaannya. Pelbagai cabaran yang ditempuhi untuk melaksanakan projek ini. Ianya melibatkan kesabaran yang tinggi apatah lagi di saat negara kita, Malaysia juga dilanda bencana banjir serta situasi cuaca yang tidak menentu. Alhamdulillah suntikan semangat daripada rakan-rakan sukarelawan Kindness Malaysia yang lain membuatkan kami bersemangat untuk meneruskan misi ke Indonesia. Projek ini mungkin tidak dapat direalisasikan tanpa sokongan rakan-rakan Kindness Malaysia, pengasas, rakan-rakan donator serta semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung.



Hari pertama.

Perjalanan bemula seawal jam 8.00 pagi apabila kami perlu berkumpul di KLIA 2 tepat jam 9 pagi. Sengaja kami awalkan walaupun boarding time pada pukul 11.45 pagi untuk persediaan dan sedikit taklimat santai.
Stick madu percuma semasa Projek Baginda di KLIA 2

Kami mulakan dengan Projek Baginda di sekitar KLIA 2 sementara menunggu penerbangan berlepas. Projek ini adalah sempena meraikan Hari Kelahiran nabi junjungan kita, Nabi Muhammad S.A.W.

Penerima tersenyum mendapat stick madu percuma

Penerima dari pelbagai lapisan masyarakat di KLIA 2

Alhamdulillah Projek Baginda berjalan lancar dan mendapat sambutan menggalakkan dari orang ramai dengan penerimaan stick madu yang diberi secara percuma kepada yang bertuah. 

Penerbangan yang tertunda lebih satu jam dan perjalanan mengambil masa 3 jam 30 minit, akhirnya mendarat pada pukul 3.45 waktu Malaysia iaitu pukul 4.40 petang waktu Indonesia di Juanda International Airport Indonesia.

Pihak YDSF yang menyambut baik kedatangan kami

Kami dibawa menaiki kenderaan motor terus ke Malang, Indonesia yang mengambil masa kira-kira 3 jam perjalanan. Pak Agus yang setia menunggu kami sejak jam 12.00 lagi. Apabila ditanya kenapa terlalu awal menunggu jawab Pak Agus tidak mahu terlewat kerana jalan sesak katanya. Terima Kasih Pak Agus.

Terima kasih Ibu Yuli memberi kami penginapan yang selesa 

Di Indonesia, pukul 6 sudah mulai gelap. Setelah berhenti makan, kami meneruskan perjalanan dan tiba di rumah Ibu Yuli yang bertanggungjawab menjaga kami sepanjang kami berada di Indonesia. Sebelum masuk tidur, kami berehat dan bersembang santai bersama keluarga Ibu Yuli sambil berkenal-kenalan sehingga lewat malam. Jam 3.40 pagi kami dikejutkan oleh suara azan  kerana rumah Ibu Yuli sangat dekat dengan masjid.

Hari kedua.

Melangkahkan kaki di perkarangan pejabat YDSF membuatkan kami cukup teruja. Kami disambut  baik oleh mereka dengan banner kerjasama Kindness Malaysia bersama YDSF yang sedia terbentang. Ternyata, ini sesuatu yang di luar jangkaan kami. Melangkah kaki ke bilik mesyuarat yang berada di tingkat atas juga membuatkan kami hilang kata-kata kerana tekejut dan terharu dengan sambutan daripada YDSF. Syukur alhamdulillah dengan kerjasama dan sambutan baik mereka.

YDSF mengalu-alukan kedatangan kami

Kami diberi penerangan tentang YDSF oleh barisan pengurusan dan daripada Pengarah YDSF sendiri iaitu Pak Agung Wicaksono atau nama panggilan Pak Awie. Kami juga diberi kesempatan untuk memberi penerangan tentang Kindness Malaysia dan aktiviti-aktiviti yang dijalankan. Kami berehat seketika untuk solat zohor sebelum kami dibawa melawat ke Griya Tahfidz Balita Ahmad Yani. 

Projek Koordinator bertukar cenderahati

Griya Tahfidz Balita Ahmad Yani merupakan sebuah tahfiz anak-anak kecil seusia 3 hingga 4 tahun yang mampu menghafaz Al-Quran. Kami difahamkan anak-anak sekecil ini mampu menghafaz sehingga ke juzuk 30. MasyaAllah, cukup hebat. Sangat hebat cara didikan ke atas anak-anak ini sehingga mampu melahirkan Hafiz dan Hafizah pada usia yang masih muda. Kami juga diminta untuk membacakan mana-mana ayat dari juzuk Al-Quran dan anak-anak di sini akan menyambung terus dari bacaan kami. Cukup hebat pengalaman sebegini.

Bendera Malaysia dan Indonesia siap digantung di depan Pusat Lembaga Amil Zakat 

Hari Ketiga.

Kami dibawa ke lokasi Car Free Day (Hari tanpa kenderaan di Jalan Ijen-Malang). Di sini, kami berpeluang menyediakan gula-gula dan belon percuma kepada para pengunjung cilik. Ada juga "rejection" yang kami terima semasa memberi.

Projek Belon dan Gula-gula percuma

Pada awalnya, pengunjung agak pelik ketika kami melaungkan "belon percuma! "gula-gula percuma!" . Pada fahaman mereka di sini, percuma bermaksud sia-sia mengikut bahasa Indonesia. Jadi, pemberian percuma itu adalah sesuatu yang sia-sia.  Oleh itu, kami dinasihatkan menukar laungan percuma itu kepada gratis. Belon gratis! Gula-gula gratis! Derma seikhlasnya! Alhamdulillah, pengunjung menyambut baik dengan senyuman.

Sukarelawan yang terlibat

Pelbagai reaksi penerima

Sempat mengutip dana tabung Indonesia

Projek selipar juga sempat kami selitkan sepanjang perjalanan kami. Di Kota Malang ini, terdapat pelbagai  masjid yang cantik, besar dan jumlahnya cukup banyak. 

Terselit nota kebaikan pada selipar yang akan diagihkan

Pemberian selipar

Setiap masjid yang kami jumpa sepanjang perjalanan akan diberi selipar percuma

Kami turut dibawa ke kampung warna-warni untuk merakamkan beberapa foto sebelum meneruskan projek Kongsi Rezeki di Lembaga Kesejahteraan Sosial Anak (LKSA) Robbani. LKSA menempatkan ramai anak-anak yatim dan miskin khusus untuk pembelajaran Al-Quran, di bawah pantauan LKSA dengan kerjasama YDSF. Sekali lagi kami semua  kehilangan kata-kata apabila kami disambut seperti VVIP.

Bersama adik-adik dari Lembaga Kesejahteraan Sosial Anak (LKSA) Robbani


Di sini kami diberi penghormatan untuk memotong Nasi Tumpeng, kami sangat teruja dan terharu dengan sambutan yang diberi dan inilah pengalaman pertama kami menerima layanan sebegini. Kami membawa belon, gula-gula, bendera dan pelbagai manisan termasuk vitamin untuk menceriakan adik-adik yang berada di LKSA.

Sesi memotong Nasi Tumpeng

Selepas ke Car Free Day, kami meneruskan Projek Kedua pada hari itu iaitu Projek Pintu Rezeki. Barangan asas seperti beras, gula, tepung, minyak masak, garam , kopi dan teh disediakan untuk mereka yang terpilih.

Barangan keperluan asas sedia untuk diagihkan

Menjelajahi setiap pelusuk perkampungan di Kota Malang

Salah seorang penerima yang terdiri daripada warga tua 

Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan perasaan kami apabila salah seorang penerima  yang cacat penglihatan mengalirkan air mata ketika kami memberi barangan keperluan ini. Lebih terharu apabila penerima terus menadah tangan dan mendoakan kami. Semoga doa-doa mereka diangkat dan dimakbulkan. Amin.

Selesai Projek Kongsi Rezeki, kami meneruskan misi untuk ke projek anak jalanan. Projek ini dilaksanakan dengan memberi makanan percuma kepada sesiapa sahaja yang kami jumpa di jalanan.

"Makanan ini gratis untukmu sayang" 

Peniaga di jalanan juga menerima rezeki percuma dari kami

Sekumpulan penyokong bola sepak Indonesia Aremania juga berpeluang berkongsi rezeki dengan kami dan kami mengambil kesempatan untuk menyumbang sedikit wang ke dalam tabung bencana Indonesia yang disediakan oleh kumpulan ini.

Inspirasi kebaikan disebar bersama

Bersama penyokong bola sepak Indonesia Aremania 

Projek Petrol yang dirancang terpaksa digugurkan kerana kurang mendapat kerjasama penuh dari pemilik stesen minyak berkenaan. Ini mungkin kerana sensitiviti masyarakat Indonesia terhadap isu politik. Mungkin mereka bimbang sekiranya kami mewakili mana-mana parti politik. Namun itu semua tidak mematahkan semangat kami untuk terus menyebarkan kebaikan di Kota Malang ini dengan aktiviti yang lain.

Sebelum pulang, kami sempat makan malam bersama-sama. Ternyata kepuasan terpancar di muka setiap dari sukarelawan walaupun sepanjang hari kami dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti yang menuntut stamina yang tinggi dan perlu berjalan jauh ke satu-satu tempat.


Hari Keempat.

Hari ini kami meneruskan kunjungan ke Batu Secret Zoo. Sebelum ke sana,  kami singgah di Pejabat YDSF untuk mengucapkan selamat tinggal. Sememangnya agak keberatan hati kami semua untuk meninggalkan rakan-rakan di sini kerana layanan yang begitu baik dari setiap warga YDSF. Walau apa pun, semangat mereka tetap kami bawa bersama. 
Bergambar kenangan di Batu Secret Zoo

Kunjungan di Batu Secret Zoo menandakan berlangsungnya Projek Seringgit kami. Kami mengalami sedikit kesukaran apabila agak sukar menukarkan matawang rupiah supaya senilai dengan RM1.

Projek Seringgit 

Akhirnya kami membuat keputusan untuk memberikan 4000 rupiah bersamaan Ringgit Malaysia 1.25 sen. Modus operandi projek ini sangat santai dan cukup menarik. Kami letakkan duit tersebut di sekitar zoo secara tersembunyi dan kami tinggalkan bersama nota kebaikan. Dengan harapan sesiapa yang bertuah yang menjumpai duit tersebut akan teruja dan mendapat manfaat dari duit tersebut.

Duit diselitkan bersama nota kebaikan di pasu bunga

Kami luangkan masa hampir sehari suntuk di Secret Zoo memandangkan banyak tempat menarik di dalam zoo ini. Tambahan pula, bayaran masuk yang berpatutan sebanyak 96000 Rupiah, bersamaan RM 30.00 untuk seorang. Akibat kesuntukan masa, sememangnya banyak tempat yang tidak berkesempatan untuk kami lawati dan kami pasti akan kembali ke sini lagi.

Secret Batu Zoo menyimpan seribu satu kenangan

Setelah selesai menikmati keindahan Batu Secret Zoo, kami pulang ke rumah agak lewat malam bagi memenuhi setiap keinginan sukarelawan membeli barangan kiriman dan ole-ole.

Hari Kelima dan terakhir di Kota Malang.

Seawal jam 5.00 pagi, kami sudah bersedia untuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda. Setiap perjumpaan pastinya ada pengakhiran. Kami dengan berat hati terpaksa meninggalkan bumi Indonesia untuk meneruskan kehidupan harian kami di Malaysia. Banyak pengalaman berharga yang kami perolehi sepanjang lima hari berkampung di bumi bertuah Malang. 

Terima kasih warga YDSF

Jutaan terima kasih kami kepada keluarga Pak Didik, Ibu Yuli dan Embah Uti kerana menerima kehadiran kami sebagai ahli keluarga serta melayan pelbagai karenah kami selain melengkapi projek-projek kebaikan Kindness Malaysia yang kami rancang.

Sukarelawan bersiap sedia untuk  berangkat pulang 

Penerbangan pulang kami diiringi kumpulan Jemaah Umrah yang ingin ke Mekah dan Madinah. Alhamdulillah inilah pertama kalinya kami berada dalam penerbangan bersama-sama para Jemaah yang ingin mengerjakan ibadah ke tanah suci. Jauh di sudut hati, kami panjatkan doa, semoga suatu hari nanti kami pula akan dipanggil untuk mengerjakan Umrah dan Haji bersama-sama. 

Duit lebihan hasil kutipan para sukarelawan, kami serahkan semuanya kepada salah seorang ahli jemaah haji yang kebetulan juga dari Malang, Indonesia. "Gunalah untuk apa saja,  belanja kawan-kawan minum, makan atau apa sahaja, semoga dengan sumbangan ikhlas ini dapatlah kiranya mendoakan kami,' sapa salah seorang sukarelawan kami. Si penerima sempat mendoakan Kindness Malaysia dimurahkan rezeki untuk terus melakukan aktiviti-aktiviti kebaikan.

Kindness Malaysia dan YDSF 

Setinggi-tinggi penghargaan untuk Yayasan Dana Al-Falah (YDSF) atas kerjasama yang baik serta  pengajaran bermakna sepanjang bersama-sama menjayakan projek kebaikan di Indonesia. Didoakan semoga YDSF terus berjaya di lapangan masing-masing dan kerjasama erat bersama Kindness Malaysia akan terus terjalin pada masa-masa akan datang.  Bagi pihak Kindness Malaysia dan para sukarelawan yang mengikuti projek lima hari di Kota Malang memohon maaf di atas segala kekurangan sepanjang prorgam di sana. 

Tidak lupa juga penghargaan buat pengasas Kindness Malaysia, En Muhammmad Bin Kamarul Azizi yang memberi kepercayaan untuk kami melaksanakan projek ini. Salam sayang juga untuk rakan-rakan sukarelawan yang terlibat secara langsung dan tidak langsung menyediakan segala persiapan walaupun ada permintaan di saat-saat akhir. Anda tahu siapa anda. Semoga Allah dapat membalasnya.

Malaysia Indonesia kekal bersaudara! Semoga kebaikan terus tercemar merentasi pelbagai benua!


Noridah Binti Abd Rahman
Projek Koordinator
Kindness Malaysia


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...