Zayn melangkah keluar dari pintu keluar Sogo dalam keadaan lemah longlai. Bukan kerana badannya letih seharian dek longgokan kerja di pejabat tetapi kerana memikirkan pelbagai masalah yang seakan-akan menghempap kepalanya tiada henti. Terbayangkan wajah tua ibunya di kampung keseorangan yang semakin hari semakin tenat akan sakit tua. Kos perubatan sangat tinggi amat merungsingkan.
“Allah, mana aku nak cari duit ni”, keluh hati Zayn. Badannya seakan tiada daya, lalu terduduk di tangga hadapan pusat membeli-belah itu yang padat dengan manusia. Bukan namannya Kuala Lumpur jika tidak sesak setiap hari.
Mukanya ditekup sambil mencengkam rambutnya yang agak panjang paras bahu. Mahu sahaja dia mengalirkan air mata yang bertakung sedari tadi. Memikirkan ego lelakinya, tangisan itu ditahan. Masih terngiang-ngiang teriakan marah kawan serumahnya pagi tadi kerana sewa rumah sudah tertangguh dua bulan. Mujur kawannya masih membenarkan dia berteduh di apartmen sempit itu.
“Assalamualaikum, maaf mengganggu. Ini ada kismis percuma sempena Maulidur Rasul”, satu suara yang tidak dikenali menyapa lembut. Lelaki muda berbaju hitam dipadankan dengan seluar polos putih menghulurkan kotak kecil biru kepadanya. Perlahan-lahan pandangan Zayn dipalingkan kepada lelaki itu, risau jika dia dapat mengesan raut wajahnya yang penuh kekusutan.
Dalam keadaan teragak-agak Zayn menyambut pemberian itu. “Abang, saya bukan nak menyebuk. Tapi apa pon masalah abang, Allah sentiasa ada. Terima kasih. Hava a nice day!”, lelaki itu menapak pergi dengan senyuman. Pemergiannya meninggalkan ketenangan walaupun sekecil cuma tetapi terkesan sekali. Tanpa disedari air mata jantannya gugur jua dia atas kotak itu.
“Ya benar, apalah sangat ujian hidupku ini dibandingkan dengan penentangan yang Rasulullah terima demi menyebarkan dakwah. Culas sekali aku dalam solat tetapi masih mengharapkan pertolonganNya. Ampunkan aku Ya Allah.”, Zayn bermonolog sendirian sambil melihat lelaki tadi memberikan kismis pada orang lain yang lalu lalang di situ. Ada juga yang menolak pemberiannya, ada juga menerima dengan kegembiraan.
Sepasang matanya tertumpu pada kata-kata di kotak itu. ‘There is reward for kindness to every living thing’
“Moga Allah merahmatimu dik”, bisik hati Zayn lalu menuju ke surau di KTM Bank Negara.
Nur Afini Dini Senan
University of Queensland
Sukarelawan
Kindness Malaysia
0 comments:
Post a Comment