About

Blog tentang aktiviti-aktiviti amal di dalam dan luar Malaysia

More About Me...

Kita pesimis dengan kesengsaraan insan yang menderita di serata dunia. Laman ini cuba mengundang kembali sekelumit fitrah insani yang cakna dan peka dengan kesengsaraan insan lain. Infaq di jalan Allah...

RSS Subscribe

Booking.com

Tuesday, December 1, 2015

Penghargaan Buat Sukarelawan Kindness Malaysia yang Aktif di Lembah Temir



Alhamdulillah.. Setelah berbulan merancang, dengan izin Allah, buat julung-julung kalinya Kindness Malaysia menganjurkan #kindnessgetaway. Aktiviti ini tidak lain adalah bertujuan untuk menghargai para sukarelawan teras yang selama ini bertungkus-lumus berkerja secara sukarela tanpa mengharapkan sebarang balasan sepanjang tertubuhnya Kindness Malaysia pada tahun 2013.

Seramai 29 orang para sukarelawan termasuk enam kanak-kanak terlibat dalam aktiviti ini. Mereka yang hadir adalah sukarelawan dari HQ iaitiu dari Kuala Lumpur dan tiga orang dari cawangan Utara iaitu Kedah. Lokasi yang menjadi pilihan adalah di hotel Lembah Temir Raub, Pahang yang terletak kira-kira 120km dari Kuala Lumpur. Aktiviti ini dijalankan selama dua hari satu malam iaitu pada 28/11/2015 – 29/11/2015. Para sukarelawan yang terlibat berkumpul di Stesen minyak BHP selepas Tol Gombak pada jam 9.30 pagi dan tiba di lokasi pada jam 12.00 tengahari. Untuk sampai ke lokasi perlu melalui beberapa kawasan kebun termasuklah kebun kelapa sawit.

Makan buffet

bbq di sebelah malam

sambutan hari lahir untuk bulan November

Kek tajaan Kindness Pahang

28/11/2015 : Setibanya dilokasi, para sukarelawan diberikan bilik mengikut senarai yang telah pihak Kindness Malaysia aturkan melalui perbincangan bersama pihak hotel. Bilik yang disediakan sangat selesa dan setiap bilik disediakan tilam tambahan. Terdapat dua jenis bilik iaitu rumah seperti chalet dan bilik berbalkoni dan tidak berbalkoni .

Para sukarelawan Kindness Malaysia dihidangkan dengan makan tengahari yang istimewa pada hari pertama disana. Lauk-pauk yang dihidang secara ala buffet terdiri daripada ikan patin masak tempoyak, ayam masak merah, sambal tempoyak, sayur petola masak air, ulam-ulaman serta buah tembikai sebagai pencuci mulut. Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, para sukarelawan Kindness Malaysia makan dengan penuh selera kerana mereka belum menjamah sebarang makanan pada hari tersebut. Minum petang pula kami dihidangkan dengan jemput-jemput dan pulut dicecahkan dengan serawa durian. Makan malam pula kami dihidangkan dengan nasi lemak. 

sesi menyediakan kindness jar

mandi air terjun

lokasi air terjun

Ketika menikmati minum petang, sebahagian para sukarelawan Kindness Malaysia dijemput untuk ke kawasan air terjun ditempat lain menaiki 4x4 oleh pemilik Lembah Temir itu sendiri iaitu Che Din bin Haji Sulaiman atau lebih mesra ingin dikenali sebagai Che Din. Mereka juga meninjau sebahagian kawasan Lembah Temir Raub yang terdiri daripada pokok getah, pokok kelapa sawit, pokok durian king, pokok koko, pokok buah kedondong, pokok tongkat ali, pokok kayu manis, bunga cengkih dan banyak lagi. Terdapat juga kolam talapia yang terletak jauh sedikit dari kawasan penginapan kami. Manakala kolam ikan koi cuma berada dibawah bilik kami sahaja.

Pada jam 10 malam, para sukarelawan membakar barbeque yang terdiri daripada ayam, daging lembu dan daging kambing untuk hidangan lewat malam menggunakan BBQ Pit yang ditaja oleh pihak hotel. Terima kasih daun keladi atas tajaan tersebut terutama kepada pemilik hotel En Che Din bin Sulaiman serta isteri Puan Wan Remlah binti Abdul Ghani. Para sukarelawan Kindness Malaysia dan tetamu hotel yang lain mengambil kesempatan untuk berkaroke sehingga jam 12 tengah malam. 

sungai dibawah tempat penginapan

pemandangan dari bilik

29/11/2015: Kami dihidangkan dengan nasi dagang, kuey tiaw goreng dan dua jenis kuih sebagai sarapan. Pada pendapat pribadi penulis, selain layanan yang istimewa, makanan yang disediakan oleh pihak hotel adalah sangat sedap. Maka dengan jumlah yang perlu dibayar, adalah sesuatu yang berbaloi untuk dinikmati.

Tidak puas bermain air pada hari semalam, pagi hingga tengahari pada ahad tersebut, para sukarelawan sekali lagi bermain air. Kali ini kami mendaki tangga untuk sampai di bahagian atas air terjun. Cuma 5 minit dari bawah, kami mandi pula disana. Pengalaman ini tidak mungkin dapat dilupakan. Air terjun yang bersih, layanan yang istimewa serta tempat yang menarik. 

Sebelum pulang dengan izin pemilik hotel, kami sempat berkumpul dan pengasas memberi sepatah dua kata-kata semangat agar kesemua para sukarelawan tegar menetapkan hati dalam melakukan dan menyebarkan kebaikkan tanpa mengira masa, tempat, agama, fahaman serta taraf ekonomi seseorang. Kami juga sempat menyambut hari ulang tahun kelahiran beberapa orang sukarelawan bagi bulan November. Terima kasih kepada penaja kek iaitu Projek Koordinator Pahang, Kindness Malaysia. Sebelum bersurai, para sukarelawan diberi sedikit cenderahati.

Di kesempatan ini, penulis mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada penaja secara individu mahupun dari mana-mana badan persatuan atau syarikat yang tidak terhingga kerana sokongan yang jitu selama Kindness Malaysia ditubuhkan sehinggalah ke hari ini. Terima kasih juga kepada para sukarelawan yang baru mahupun yang lama, dan mereka yang sentiasa menyokong Kindness Malaysia. Semoga apa yang diusahakan mendapat keredhaanNya. Amin.

Norharirdayu Hashim
Co-founder
Kindness Malaysia
013-6589787

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...