Syukur Alhamdulillah pada 24 Disember 2015 (bersamaan 12 Rabiuilawal 1437) yang lepas, Kindness Malaysia sekali lagi berpeluang menjalankan Projek Baginda buat kali ke-3 sempena memperingati Tokoh Kindness sepanjang zaman iaitu Nabi Muhammad s.a.w.
Pada Projek Baginda kali ini adalah dengan mengedarkan kismis kepada orang awam di beberapa tempat termasuklah di Pahang (1000 kotak), Perak (200 kotak), Kedah (700 kotak kismis dan kurma), Johor (300 kotak), Melaka (200 kotak), Perlis (300 kotak), Terengganu (200 kotak) dan sudah tentunya di Kuala Lumpur (800 kotak). Kindness Penang juga tidak melepaskan peluang bagi mengedarkan 100 botol campuran kacang di penempatan orang asli di Kampung Sg Ubi, Cameron Highland.
Di Kuala Lumpur, Projek Baginda dijalankan di hadapan pasaraya Sogo. Tepat jam 3.00 petang kesemua sukarelawan berkumpul dan diberi taklimat ringkas mengenai pengenalan persatuan oleh Pengasas Kindness Malaysia dan para sukarelawan juga diberi sedikit penerangan bagi melancarkan perjalanan projek oleh person in charge pada kali ini.
ada juga yang risau untuk terima |
antara penerima kismis Projek Baginda |
Seramai 59 orang yang terlibat dalam Projek Baginda (KL) kali ini yang terdiri daripada enam orang sukarelawan yang bertugas merakam perjalanan projek menggunakan peralatan sendiri dan selebihnya adalah sukarelawan yang mengedarkan kismis kepada orang ramai termasuklah seorang daripadanya merupakan pemegang kad OKU (orang kelainan upaya).
Respon yang diterima daripada orang ramai amatlah menarik. Ada yang menolak dengan baik, ada yang langsung tidak menghiraukan sapaan kami. Namun sebegitu, ini langsung tidak mematahkan semangat para sukarelawan yang ikhlas dalam menyebarkan kebaikan kepada orang ramai. Terdapat juga penerima yang tersenyum dan gembira sebaik sahaja menerima kismis yang diedarkan. Reaksi dan respon begini lah yang dinanti-nantikan oleh kesemua para sukarelawan. Tanpa mengharapkan balasan, para sukarelawan meneruskan projek dengan rasa bersemangat dan bermotivasi.
antara reaksi penerima |
kotak kismis Projek Baginda |
Semua kotak kismis habis diedarkan kira-kira pada jam 4.30 petang. Para sukarelawan diminta berkumpul semula dan mereka diminta untuk berkongsi pengalaman masing-masing. Ternyata para sukarelawan menzahirkan perasaan mereka yang sangat positif dan mereka juga gembira dapat melalui pengalaman manis bersama Kindness Malaysia. Semoga ia menjadi kenangan yang indah untuk dikenang dalam hidup para sukarelawan seterusnya dijadikan pendorong agar perbuatan berbuat baik menjadi rutin harian dalam hidup kita semua.
Projek berakhir pada jam 4.30 petang dan bersurai. Dari pihak Kindness Malaysia, kami ucapkan jutaan terima kasih kepada para penaja terutama sekali para individu yang terus menerus menyumbang bagi menjayakan misi menyebarkan kebaikan ini dan juga penghargaan khas kepada Pusat Transformasi Luar Bandar Johor yang menjadi penaja utama bagi Projek Baginda kali ini. Semoga semua mendapat keberkatan dariNya.
"(Menolak peminta-peminta sedekah) dengan perkataan yang baik dan memaafkan (kesilapan mereka) adalah lebih baik daripada sedekah (pemberian) yang diiringi (dengan perbuatan atau perkataan yang) menyakitkan hati. Dan (ingatlah) Allah Maha Kaya, lagi Maha Penyabar." ~ Surah Al-Baqarah. Ayat 2:263
Norharirdayu Hashim
Pengasas Bersama
Kindness Malaysia
0 comments:
Post a Comment