Tanggal 12 Rabiulawal merupakan satu tarikh keramat dalam sejarah umat Islam di seluruh dunia. Kedatangan Nabi Muhammad merupakan satu rahmat terbesar dan anugerah teragung yang Allah berikan kepada alam semesta ini.
Bersempena sambutan Maulidur Rasul yang diadakan saban tahun menuntut kita sama-sama menghayati, mencontohi ketabahan dan kesungguhan baginda dan para sahabat dalam menegakkan syiar Islam sehingga terpancar kecemerlangan dan kegemilangan Islam merentasi dunia timur dan barat. Selain itu, Nabi Muhammad s.a.w juga amat dikenali sebagai seorang yang suka berbuat kebaikan, menghubungkan silaturrahim, menolong orang yang dalam kesusahan, membantu anak yatim dan ibu tunggal, seorang yang pemurah tanpa mengira bangsa, agama, umur dan sebagainya.
sesi taklimat berlangsung |
Sesuai dengan tema sambutan Maulidur Rasul 2015 iaitu “Perpaduan Nadi Transformasi Negara”, fitrah alam dicipta dalam pelbagai bentuk dan ragam. Namun dalam menjamin kelestarian dan keharmonian hidup, Islam yang tegas dengan prinsipnya turut meraikan kepelbagaian tersebut kerana ia adalah anugerah dari Maha Pencipta. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan suku puak, supaya kamu berta’aruf dan berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain)…” (Surah al-Hujurat 49:13).
‘Bersatu teguh, bercerai roboh’ - begitulah pepatah yang sinonim dengan perpaduan. Menerusi firman Allah SWT di atas jelas bahawa Islam amat menekankan persefahaman dan perpaduan antara kaum dan agama demi kepentingan bersama sehingga mampu digembleng menjadi kekuatan dan nadi kepada transformasi sebuah negara.
Bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul yang jatuh pada tarikh 24 Disember 2015 (Khamis), sekali lagi tahun ini, Kindness Malaysia menganjurkan projek tahunan yang mengingati kebaikan baginda Rasulullah S.A.W iaitu Projek Baginda. Projek ini dilaksanakan di hadapan pintu utama Sogo dengan mengedarkan kotak-kotak kecil comel yang berisi kismis kepada orang ramai yang berada di kawasan itu.
teruja untuk memulakan aktiviti |
menerangkan kepada penerima |
Daripada kekuatan 60 orang sukarelawan terlibat, hampir 70% sukarelawan ini terdiri daripada sukarelawan yang baru pertama kali terlibat dengan projek Kindness Malaysia. Projek ini dimulai pada 3.00 petang dengan sesi taklimat daripada penyelaras projek, Roghdaryanti binti Hashim dan Norharirdayu binti Hashim, serta di akhiri dengan kata-kata nasihat dan semangat daripada pengasas Kindness Malaysia, Muhammad bin Kamarulazizi.
Para sukarelawan diingatkan dengan beberapa panduan, antaranya niat untuk terlibat dalam Projek Baginda ini, samada untuk mengisi masa lapang, untuk menambah pengalaman, untuk menambahkan kenalan, minat yang mendalam dalam kerja-kerja kebajikan atau sebagainya. Apa pun niat masing-masing, niat yang paling utama ialah niat itu kerana Allah S.W.T. Semoga dengan niat itu, Allah S.W.T berikan kekuatan hati dan badan untuk menghadapi segala cabaran, semasa projek berlangsung maupun setelah projek selesai.
Setiap sukarelawan dinasihatkan juga supaya membuat persediaan mental dari segi penolakan dari orang ramai. Ibarat panduan dari satu ayat Al-Quran iaitu
“Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib." (Fussilat:Ayat 34)
Seusai taklimat ringkas, kumpulan ini diberi bekalan kotak-kotak kismis yang dimasukkan ke dalam beg dan mula bergerak secara kumpulan kecil untuk mengedarkan kotak-kotak kismis itu kepada orang ramai. Pelbagai respon yang dihadapi oleh setiap sukarelawan, samada dalam keadaan terkejut, sangat gembira, mengelirukan, perlu diberi penerangan (terutama kepada pelancong luar negara), menolak mentah-mentah dan sebagainya. Apa pun projek ini selesai dengan begitu pantas sekali iaitu sekitar jam 4.30 petang, semua sukarelawan telah selesai dan berkumpul untuk sesi postmortem.
sesi bergambar bersama semua sukarelawan yang terlibat |
Hasil dapatan daripada sesi postmortem ini, hampir keseluruhan sukarelawan sangat teruja dan seronok dengan pengalaman mereka ini. Mereka juga berharap akan dapat mengikuti lagi projek-projek lain yang dianjurkan oleh Kindness Malaysia pada masa akan datang.
Roghdaryanti binti Hashim
Bendahari Kehormat
Kindness Malaysia
0 comments:
Post a Comment