Semalam seperti biasa saya ke ASDAF. Sebelum solat Asar, saya sempat bersama-sama dengan anak-anak ASDAF untuk membantu mereka membuat kerja sekolah. Kebetulan pada masa yang sama, pelajar-pelajar perubatan dari UKM datang berkampung di ASDAF selama dua minggu. Pelajar-pelajar perubatan ini meluangkan masa mereka untuk berkongsi pengalaman sebagai mahasiswa dan membantu memotivasikan anak-anak ASDAF ini. Sememangnya usaha yang amat baik.
Selepas solat Asar, saya membantu seorang Hidayah (Victoria), anak tingkatan lima untuk menjawab soalan-soalan sains SPM. Sememangnya sukar untuk ajarnya sains dalam Bahasa Inggeris, secara teorinya dia faham. Tetapi untuk menjawabnya dalam Bahasa Inggeris agak sukar, walaupun dengan menggunakan kamus. Anak-anak ASDAF kebanyakannya menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa ketiga selepas bahasa asli dan Bahasa Melayu.
Hidayah sempat menyatakan hasratnya untuk pulang ke kampung, dan tidak mahu lagi tinggal di ASDAF. Dia memberitahu yang ibunya menghidap darah tinggi di kampung kerap pengsan. Sedih juga saya mendengarnya. Hidayah yang datang dari keluarga miskin orang asli Cameron Highland, dimana ibu bapanya bekerja sebagai pekerja di ladang sayur. Katanya lagi, dalam keadaan teresak-esak,
"Nak belajar di ASDAF pun dah kurang semangat. Selalu teringat pada mak di kampung"Hidayah juga mempunyai seorang adik di ASDAF, Katerina, yang bakal menduduki UPSR tahun ini. Katerina yang merupakan anak didik saya di kelas malam juga melihatkan kemorosotan dalam pelajaran, kemungkinan dari sebab yang sama.
InsyaAllah selagi masih berpeluang ke ASDAF, saya ingin cuba untuk bantu mereka di ASDAF, bukan sahaja dari segi wang Ringgit, tapi dalam bentuk sokongan dan cuba memahami masalah mereka ini untuk terus berjaya di dunia dan akhirat, insyaAllah
Muhammad bin Kamarulazizi
Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia
0 comments:
Post a Comment