About

Blog tentang aktiviti-aktiviti amal di dalam dan luar Malaysia

More About Me...

Kita pesimis dengan kesengsaraan insan yang menderita di serata dunia. Laman ini cuba mengundang kembali sekelumit fitrah insani yang cakna dan peka dengan kesengsaraan insan lain. Infaq di jalan Allah...

RSS Subscribe

Pengiktirafan dari World Kindness Movement

Kindness Malaysia kini secara rasminya merupakan ahli World Kindness Movement

Misi Bantuan Kemanusiaan Untuk Mangsa Rohingya di Arakan, Myanmar

Bersama pelarian Rohingya di Arakan (Rakhine), Myanmar

Bantuan Perubatan di Hebron, Palestine

Vitamin C untuk anak-anak Palestine di Hebron

Ziarah ke perkampungan orang asli

Bersama sukarelawan ke kampung orang asli di Pos Betau, Pahang.

Misi Gelandangan Feed The Homeless

Misi Gelandangan Feed The Homeless yang dijalankan setiap hari Sabtu 2 minggu sekali di sekitar Kuala Lumpur

Booking.com
Showing posts with label SMK Senawang. Show all posts
Showing posts with label SMK Senawang. Show all posts

Wednesday, February 21, 2018

Mencemar Kebaikan di SMK Senawang

Poster rasmi program sebagai hebahan kepada masyarakat

Pada 10hb Februari 2018 bersamaan hari Sabtu yang lepas, Kindness Malaysia telah mengadakan program yang dinamakan Kindness Day, Kayuhan Sihat dan Pasar Percuma dengan kerjasama di antara Sekolah Menengah Kebangsaan Senawang (SMKSE), Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMKSE, Balai Polis Senawang dan beberapa agensi tempatan.

Program dimulakan dengan Kayuhan Sihat melibatkan basikal daripada pelbagai jenis kategori basikal. Para peserta yang terlibat perlu mewaqafkan sebanyak RM2.00 untuk penyertaan kayuhan tersebut. Kayuhan amal ini telah bermula seawal jam 6.30 pagi  di tapak perhimpunan sekolah dengan diiringi oleh eskot anggota polis dari balai polis Senawang dan berakhir sekitar jam 9.00 pagi. Seramai lebih 5000 pengunjung yang terdiri daripada pelajar, ibu-bapa pelajar serta masyarakat setempat memeriahkan program tersebut. 

Para peserta kayuhan basikal sesama sesi pendaftaran

Kayuhan amal ini selain dapat memupuk sikap suka bersedakah, kita juga dapat mengamalkan gaya hidup sihat dengan mengayuh basikal seterusnya dapat melahirkan anak-anak muda yang sihat dari segi mental dan fizikal demi kemajuan Malaysia sendiri pada masa-masa akan datang.  

Pengetua SMKSE, Tuan Haji Omar turut terlibat dalam Kayuhan Amal

Kayuhan amal dan pasar percuma Kindness Malaysia di SMK Senawang kali ini cukup bertuah kerana turut dihadiri dan dirasmi oleh Yang Berhormat Khairy Jamaluddin selaku Menteri Belia dan Sukan. Malahan, terdapat pelbagai aktiviti turut diadakan seperti pameran, gunting percuma, cabutan bertuah, acara menangkap ikan keli dan juga minuman milo percuma daripada Nestle. Tidak lupa juga program ini turut dimeriahkan dengan pertandingan mewarna anjuran  rakan NGO iaitu Empire Project.

Yang Berhormat Khairy Jamaluddin berucap memberi sepatah dua kata 

Pasar Percuma ini dimulakan pada jam 11.00 pagi. Tema bagi Pasar Percuma SMKSE ialah “bayar dengan senyuman” di mana transaksi jualan dan belian hanya dilakukan dengan sebuah senyuman dan pembeli boleh memilih apa sahaja barangan atau perkhidmatan yang ada secara percuma. Suasana pasar percuma pada hari tersebut cukup meriah dan dipenuhi dengan senyuman dan keceriaan. Seramai 30 tenaga sukarelawan Kindness Malaysia dibantu lebih 200 pelajar SMKSE serta pelajar UiTM menjayakan program yang terbesar yang melibatkan masyarakat setempat di sekolah ini.

Pengagihan tugas oleh Pengasas Kindness Malaysia kepada sukarelawan 

Perasmian pasar percuma oleh YB Khairy Jamaluddin

Selain itu, pihak sekolah telah menyediakan sebanyak 300 Family Kit berupa barangan asas dapur kepada keluarga pelajar kategori asnaf. Sebanyak 80 syarikat korporat, jabatan kerajaan dan individu persendirian yang turut sama menyumbang pelbagai barangan baru dan terpakai seperti pakaian, makanan asas, khidmat urutan dan sebagainya dalam menjayakan program Pasar Percuma ini.

Program Kindness Day turut mendapat tajaan minuman milo dari Syarikat Nestle

Sesi penyerahan jersi Kindness Malaysia kepada YB Khairy Jamaluddin


                         YB KJ diiringi saudara Haziq selaku Projek Koordinator Pasar Percuma


Perkhidmatan urut kaki diberi percuma kepada pengunjung

Sesi jualan dan belian yang dibayar hanya dengan senyuman

Penyatuan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum, bangsa, agama dan tidak mengira peringkat umur dapat dilihat di sini. Mereka memberi dan menerima dengan hati yang terbuka. Tidak dapat saya jumlahkan berapa banyak senyuman yang terukir di bibir mereka sepanjang berkomunikasi semasa sesi jual beli tersebut. Kerjasama erat di antara semua pihak benar-benar menggembirakan kami selaku penganjur bersama. 

Barangan seperti peralatan mandi dan barangan dapur turut diberi percuma

Program yang dijalankan berdasarkan modul Kindness School oleh Kindness Malaysia adalah antara pendekatan sekolah dalam menyediakan medium bagi pelajar dan guru-guru untuk berkhidmat kepada masyarakat setempat. Sekaligus, menambah keyakinan ibu bapa dan masyarakat setempat terhadap sekolah dan tenaga pengajarnya. 

Masyarakat setempat menyambut baik pasar percuma 

Pasar Percuma berakhir jam 2.00 petang. Ternyata semua yang terlibat sepanjang program ini amat berpuas hati dan lega kerana dapat menyempurnakan projek penuh bermakna ini. Semoga semua yang terlibat dan masyarakat sekeliling dapat mengambil segala bentuk pengajaran positif hasil dari program seperti ini. Terima kasih para penganjur, pihak sekolah SMKSE dan para pelajar, ibu bapa, para penyumbang yang budiman, rakan NGO, para sukarelawan dan semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan Pasar Percuma kali ini. Semoga kebaikan sebegini terus tersebar dan program seperti ini terus mendapat tempat di hati masyarakat.


Muhamad Haziq Sazali
Projek Koordinator
Kindness Malaysia   



Monday, April 17, 2017

PASAR PERCUMA Sekolah Menengah Kebangsaan Senawang “BAYAR DENGAN SENYUMAN”



Pada 9 April 2017 bersamaan hari Ahad yang lepas, Kindness Malaysia telah mengadakan Pasar Percuma dengan kerjasama di antara Sekolah Menengah Kebangsaan Senawang (SMKSE), Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMKSE dan Balai Polis Senawang. Lokasi yang dipilih adalah di SMKSE. Pasar Percuma ini telah mencipta sejarah sebagai projek yang terbesar dan pertama dianjurkan oleh mana-mana sekolah di Negeri Sembilan.

Kehadiran diluar jangkaan memeriahkan suasana di mana lebih 2000 pengunjung yang merupakan pelajar, ibu-bapa pelajar serta masyarakat setempat tiba seawal jam 7.30 pagi di Dewan Seri Delima, SMKSE. Acara jual beli di pasar percuma ini dimulakan lebih awal pada jam 8.30 pagi.

Tema bagi Pasar Percuma SMKSE ialah “bayar dengan senyuman” di mana transaksi jualan dan belian hanya dilakukan dengan sebuah senyuman dan pembeli boleh memilih apa sahaja barangan atau perkhidmatan yang ada secara percuma. Suasana pasar percuma pada hari tersebut cukup meriah dan dipenuhi dengan senyuman dan keceriaan.

Seramai 40 tenaga sukarelawan Kindness Malaysia dibantu lebih 100 pelajar SMKSE serta guru menjayakan program yang terbesar melibatkan masyarakat setempat di sekolah ini.

Kasut terpakai yang disumbang

Tuan Haji Omar bin Ahmad (Pengetua SMKSE) berkata sebanyak 300 Family Kit berupa barangan dapur asas disediakan pihak sekolah kepada keluarga pelajar kategori asnaf berdasarkan rekod sekolah  telah berjaya diserahkan sepanjang program dilaksanakan. Beliau menambah, program yang dijalankan berdasarkan modul Kindness School oleh Kindness Malaysia adalah antara pendekatan sekolah dalam menyediakan medium bagi pelajar dan guru-guru untuk berkhidmat kepada masyarakat setempat. Sekaligus, menambah keyakinan ibu bapa dan masyarakat setempat terhadap sekolah dan tenaga pengajarnya.

Sayuran. Antara barangan yang diberi secara percuma

Sebanyak 80 syarikat korporat, jabatan kerajaan dan individu persendirian yang turut sama menyumbang pelbagai barangan baru dan terpakai seperti pakaian, makanan asas, khidmat urutan dan sebagainya dalam menjayakan penganjuran Pasar Percuma ini.

Antara peserta bertuah mendapat basikal yang disumbang Balai Polis Senawang

Uniknya Pasar Percuma kali ini, pelbagai barangan keperluan orang sakit seperti kerusi roda dan tongkat akan diserahkan oleh pihak sekolah kepada tempat yang memerlukan seperti hospital dan keluarga pelajar yang memerlukan secara terus.

  Gunting rambut percuma untuk semua


Selain itu, pelbagai buku rujukan tingkatan 1 sehingga 5 yang disumbangkan seacra percuma oleh pelajar Permata Pintar, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut habis diambil pengunjung terutamanya pelajar tingkatan 5 yang akan mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017.

Pasar percuma berakhir sekitar jam 1 tengah hari. Ternyata semua yang terlibat sepanjang program ini amat berpuas hati dan  lega kerana dapat menyempurnakan projek penuh bermakna ini. Semoga semua yang terlibat dan masyarakat sekeliling dapat mengambil segala bentuk pengajaran positif hasil dari program seperti ini. 

Konsep memberi secara ikhlas, percuma dan sedekah kepada yang memerlukan ini sekurang-kurangnya dapat diterap dari awal dalam diri anak-anak muda dan masyarakat sekeliling. 

Terima kasih para penganjur, para penyumbang yang budiman dan semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan Pasar Percuma kali ini. Semoga mendapat manfaat kepada semua. 

Pasar Percuma SMK Senawang dapat liputan di Harian Metro pada 25 April 2017.

Disediakan oleh : 
Muhammad Adam bin Ahmad 
Setiausaha Kehormat 
Kindness Malaysia

Friday, February 24, 2017

Projek Motivasi Kindness di SMK Senawang




Pada 18 Februari 2017, seramai 40 orang sukarelawan telah menyertai Projek Motivasi Kindness di Sekolah Menengah Kebangsaan Senawang, Negeri Sembilan. Projek ini menglibatkan hampir 100 orang pelajar yang terdiri daripada pelajar tingkatan 2 dan 4. SMK Senawang merupakan sekolah pertama terpilih dalam melaksanakan Kindness School di peringkat sekolah menengah. Pelbagai aktiviti kebaikan telah dikongsi bersama para pelajar dan sukarelawan.

Projek Motivasi Kindness merupakan fasa pertama dalam melaksanakan Kindness School. Kindness School merupakan sebuah projek yang fokus dalam menyebarkan kebaikan secara menyeluruh di peringkat sekolah. Objektif utama Projek Motivasi Kindness adalah untuk menyemai dan menghidupkan suasana kebaikan di peringkat sekolah dan seterusnya membasmi masalah di sekolah seperti meningkatkan peratusan kehadiran pelajar ke sekolah dan meminimakan peratusan kes buli dalam kalangan pelajar.

Pelajar-pelajar berkumpul sebelum program bermula

Dewan SMK Senawang

Fasilitator bantu mengumpulkan kata-kata positif untuk Kindness Jar guru-guru


Persiapan telah dilakukan sebulan sebelum projek diadakan, perbincangan dengan pengetua dan guru-guru di SMK Senawang telah diadakan bagi memudahkan perancangan aktiviti-aktiviti yang sesuai untuk di ketengahkan bersama-sama pelajar. Modul-modul yang sesuai dan mudah difahami di pilih sebagai salah satu pendekatan bagi menarik minat pelajar untuk mengenali Kindness dengan lebih mendalam.

Program bermula dengan pendaftaran seawal 8 pagi di pintu masuk dewan SMK Senawang. Kehadiran pelajar-pelajar yang semangat untuk menyertai program yang julung kali diadakan ini. Keceriaan para pelajar menjadikan para sukarelawan yang juga merupakan fasilitator turut bersemangat untuk berkongsi pengalaman bersama pelajar-pelajar mengenai Kindness Malaysia. Sebelum majlis perasmian bermula, saya, Pengarah projek merangkap pengerusi majlis telah berkongsi dengan pelajar mengenai Kindness Jar. Kindness Jar merupakan salah satu terapi bagi membantu menangani tekanan. Perkataan-perkataan positif yang boleh menukar emosi kepada yang lebih baik ditulis oleh orang disekeliling kita. Modul Kindness Jar di SMK Senawang di ketengahkan untuk para pelajar dan guru-guru. 

Kindness Jar merupakan terapi emosi


Kindness jar untuk guru-guru

Majlis Perasmian bermula pada jam 9 pagi, dengan bacaan doa, ucapan alu-aluan dan pengenalan daripada Pengasas Kindness Malaysia dan Pengetua SMK Senawang. Projek Motivasi Kindness telah dirasmikan oleh Datuk Nor Adnan bin Zainal, Director MyEG Berhad merangkap Penasihat Kindness Malaysia. Selesai majlis perasmian, aktiviti seterusnya ialah forum 'Inspirasi Kebaikan' yang dikongsi oleh para sukarelawan yang terpilih. Tiga orang panel dan seorang moderator telah berkongsi pengalaman dalam menyertai Kindness Malaysia dan berkongsi kelebihan dalam melakukan kebaikan. Pelbagai ilmu untuk para pelajar yang boleh digunakan dalam melakukan kebaikan dan menyebarkan nilai-nilai kebaikan. Selesai forum program berehat sebentar sebelum sambung untuk latihan dalam kumpulan (LDK 1).

Perasami dan barisan VIP

Ucapan Pengasas Kindness Malaysia

Barisan ahli panel forum 'Inspirasi Kebaikan'

LDK 1 mengetengahkan dua modul. Modul yang pertama ialah kajian kes. Para pelajar diberikan kajian kes satu situasi dan dikehendaki untuk menyelesaikan masalah tersebut. Penyelesaian masalah ini bergantung kepada kebijaksanaan pelajar untuk menyelesaikan masalah dengan cara kebaikan atau sebaliknya. Modul ini juga untuk menguji kefahaman dan daya pemikiran kearah kebaikan. Selesai modul 1, aktiviti latihan dalam kumpulan diteruskan dengan modul dua iaitu stone painting. Melukis kata-kata positif pada batu sungai dengan lakaran yang kreatif. Hasil lukisan akan diletak di tepi - tepi jalan sekitar sekolah bagi memberi semangat kepada sesiapa yang melalui kawasan tersebut. Unsur positif yang dilakarkan pada batu tersebut dapat mengembalikan semangat dan mengurangkan tekanan kepada pembaca.

Latihan dalam kumpulan perbincangan setiap modul

Perkongsian bersama pelajar setiap kumpulan

Stone painting perkataan positif

kata-kata yang boleh memberi semangat

Hasil lakaran stone painting 


Selesai makan tengah hari dan solat Zuhur, aktiviti diteruskan dengan kindness jar, pada kali ini kindness jar untuk para pelajar dan fasilitator. Tiga kumpulan digabung bagi mendapatkan jumlah yang banyak kata-kata positif mengenai diri sendiri dalam kindness jar. Fasilitator turut menerima kertas-kertas yang ditulis kata-kata positif daripada pelajar-pelajar untuk diisi dalam kindness jar fasilitator. Seterusnya LDK 2 diteruskan dengan modul 3 iaitu Aktiviti kebaikan yang boleh dilakukan di lokasi terpilih. Setiap kumpulan akan mendapat satu lokasi yang berlainan untuk dibincang aktiviti kebaikan yang bersesuaian untuk dilakukan dikawasan tersebut. Antara lokasi-lokasinya ialah hospital, stesen bas, kedai makan dan pasar malam. Idea-idea kebaikan yang kreatif akan dibentang oleh para pelajar semasa sesi pembentangan pada sebelah petang.

Kindness Jar untuk fasilitator
Kindness Jar dalam kalangan pelajar

Cabutan undi lokasi terpilih untuk aktiviti kebaikan

Fasilitator membantu pelajar-pelajar dalam menjana idea

Selesai perbincangan, semua pelajar berkumpul untuk sesi perbentangan. Perbentangan ini akan dibentangkan kepada semua pelajar yang menyertai Projek Motivasi Kindness, guru-guru yang hadir, fasilitator dan wakil PIBG sekolah. Setiap wakil kumpulan akan membentangkan idea masing-masing dan akan di beri komen cadangan atau penambahbaikan oleh guru-guru dan wakil PIBG sekolah. Objektif perlaksanaan aktiviti ini adalah untuk mencungkil idea-idea yang kreatif dan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai kebaikan. Aktiviti kebaikan ini bukan sahaja dapat memberi manfaat kepada diri sendiri, malahan dapat dijadikan inspirasi kepada orang lain yang melihatnya. Mungkin sebelum ini kita tidak pernah terfikir untuk melakukan kebaikan tersebut, tetapi dengan perbincangan dapat membuka minda kita untuk melakukan kebaikan dimana-mana sahaja tanpa mengira tempat dan waktu.

Persediaan perbentangan

Perbentangan salah sebuah kumpulan

Kebaikan yang boleh dilakukan di shopping complex


Majlis penutup diteruskan selesai sahaja sesi pembentangan. Ucapan penutup diberikan oleh YDP PIBG sekolah, En Marzuki bin Abdul Manaf dan Pengetua SMK Senawang yang menyokong aktiviti kebaikan yang perlu diterap dalam diri setiap pelajar. Penyampaian hadiah kepada setiap kumpulan bagi menghargai kehadiran dan kerjasama yang diberikan oleh para pelajar yang terlibat. Pihak sekolah turut memberikan penghargaan kepada pihak Kindness Malaysia kerana melaksanakan Projek Motivasi Kindness ini dengan jayanya. Pihak Kindness Malaysia juga tidak melepaskan peluang menyampaikan penghargaan tanda terima kasih kepada pihak sekolah atas memberi kepercayaan kepada kami untuk berkongsi ilmu kebaikan dengan para pelajar.

Penyampaian hadiah kepada setiap kumpulan

Penghargaan daripada pihak sekolah kepada Kindness Malaysia

Penghargaan daripada pihak Kindness Malaysia kepada SMK Senawang

Majlis selesai pada jam 6 petang. semua yang terlibat membantu mengemaskan dewan sebagai titik permulaan menyemai benih kebaikan dalam diri. Semoga perkongsian pengalaman bersama-sama pelajar sepanjang Projek Motivasi Kindness dapat memberi iktibar dan tauladan kepada pelajar-pelajar SMK Senawang. Kebaikan perlulah dididik dan disemai sejak di bangku sekolah lagi. Kebaikan juga perlulah bermula dari rumah dan tersebar ke seluruh dunia. Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat bagi menjayakan Projek Motivasi Kindness terutama pihak SMK Senawang, para sukarelawan Kindness Malaysia dan juga penaja yang budiman. Semoga Kindness School dapat dilaksanakan di sekolah-sekolah lain agar dapat membentuk jati diri pelajar kearah kebaikan.

Fatin Amira Nabila binti Tauran
Pengarah Projek Motivasi Kindness
Kindness Malaysia

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...