About

Blog tentang aktiviti-aktiviti amal di dalam dan luar Malaysia

More About Me...

Kita pesimis dengan kesengsaraan insan yang menderita di serata dunia. Laman ini cuba mengundang kembali sekelumit fitrah insani yang cakna dan peka dengan kesengsaraan insan lain. Infaq di jalan Allah...

RSS Subscribe

Pengiktirafan dari World Kindness Movement

Kindness Malaysia kini secara rasminya merupakan ahli World Kindness Movement

Misi Bantuan Kemanusiaan Untuk Mangsa Rohingya di Arakan, Myanmar

Bersama pelarian Rohingya di Arakan (Rakhine), Myanmar

Bantuan Perubatan di Hebron, Palestine

Vitamin C untuk anak-anak Palestine di Hebron

Ziarah ke perkampungan orang asli

Bersama sukarelawan ke kampung orang asli di Pos Betau, Pahang.

Misi Gelandangan Feed The Homeless

Misi Gelandangan Feed The Homeless yang dijalankan setiap hari Sabtu 2 minggu sekali di sekitar Kuala Lumpur

Booking.com
Showing posts with label Orang Asli. Show all posts
Showing posts with label Orang Asli. Show all posts

Monday, August 20, 2018

Ziarah Kindness Malaysia ke Kampung Santeh






Pada 28 Julai hingga 29 Julai 2018,  Kindness Malaysia telah menganjurkan program ziarah masyarakat Orang Asli di Kg. Santeh, Sungai Siput, Perak. Seramai 30 orang sukarelawan Kindness Malaysia dan AJK Jemaah Surau Ar-Shadiah, Pantai Dalam, telah menyantuni dan menziarahi masyarakat Orang Asli yang tinggal di kawasan pedalaman  yang terletak kira-kira 50 km dari Pekan Sungai Siput. Penduduk Kampung Santeh seramai 375 orang dan mempunyai 72 buah keluarga yang majoritinya menganut agama Islam.


Pemandangan yang indah di Kampung Santeh

Menikmati makan tengahari dengan bekal yang dibawa dan ubi kayu goreng


Setiba kami di Perkampungan Santeh dalam tengah hari, kami telah di sambut dengan meriah dan  dihidangkan makanan masakan masyarakat Orang Asli seperti ubi kayu. Kami turut berkongsi juadah yang dibawa bersama mereka untuk dinikmati bersama. Kebetulan program ziarah pada kali ini musim durian dan rambutan. Rezeki kami dihidangkan dengan pencuci mulut yang sangat lazat itu.

Buah durian dan rambutan yang dihidangkan untuk kami

Memasak sambil beramah mesra dengan penduduk kampung



Selesai  makan tengah hari, kami terus bergotong royong bersama penduduk kampung memasang khemah bagi memudahkan aktiviti dijalankan sepanjang kami berada disana. Disamping beberepa orang sukarelawan bersiap sedia untuk acara seterusnya iaitu  sukaneka dan makan malam.

Sukarelawan membantu penduduk kampung memasang khemah

Alhamdulillah khemah dapat didirikan


Acara dimulakan dengan pertandingan mewarna untuk kanak-kanak. Seramai 60 orang kanak-kanak yang turut serta dalam pertandingan mewarna ini. Mereka sungguh bersemangat untuk menyertai pertandingan mewarna dan mempunyai bakat yang tersendiri dalam mewarna.   Kemudian, setelah selesai pertandingan mewarna, pertandingan sukaneka Nerf telah dijalankan. Pertandingan ini dianjur oleh Leg Godt Play well dan hadiah telah ditaja oleh LBK Malaysia (Legion of Bricks Keeper Malaysia). Ramai yang dapat menembak dengan tepat kearah sasaran. Semua kanak-kanak gembira dan bersemangat untuk menyertai pertandingan ini.

kanak-kanak semangat mewarna


Ramai yang mempunyai bakat mewarna

Ramai kanak-kanak yang menyertai pertandingan mewarna

Salah seorang sukarelawan membantu kanak-kanak untuk mewarna

Pertandingan Nurf menarik minat kanak-kanak

Semua kanak-kanak ingin menyertai pertandingan menembak tepat ini.


Di sebelah petang pula,  acara diteruskan selepas Asar dengan mandi sungai bersama anak-anak orang asli berdekatan dengan kampung Santeh. Aktiviti ini yang paling di tunggu-tunggu oleh sukarelawan. Melihat alam anugerah ciptaan Allah yang sangat cantik memukau kami sebentar. Air sungai yang mengalir sangat jernih dan sejuk menaikkan semangat kami untuk terjun ke dalam sungai. Selesai di sungai, kami terus bersiap sedia untuk solat Maghrib berjemaah.

Sungai yang jernih dan sejuk

Sukarelawan dan kanak-kanak seronok mandi sungai


Jam 7.30 petang, penduduk kampung dan sukarelawan solat berjemaah waktu Mahgrib dan Isya'. Pengisian antara Maghrib dan Isya' diisi dengan ucapan dari Abang Karim ( Ketua Rombongan) dan diikuti tazkirah yang di sampaikan oleh Imam Surau Kg. Santeh, İaitu ustaz Muhammad yang juga ditugaskan untuk mengajar dan  memantau para jemaah dan penduduk Kg Santeh.

Kuliah Maghrib yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad



Solat berjemaah bersama penduduk kampung


Selesai tazkirah, sesi perkongsian dan solat Isya', penduduk kampung dan para sukarelawan dihidangkan jamuan makan malam hasil gotong royong bersama penduduk kampung. Ada juga hidangan istimewa dari orang kampung hasil tangkapan ikan di sungai, sayur kampung dan sambal istimewa. Hidangan istimewa mewa yang membuka selera kami pada malam itu. Antara menu yang disediakan ialah kari ayam, ayam amasak kicap, tumis sayur kubis, tumis pucuk paku, masak lemak pucuk ubi, ikan tiga rasa, sambal tumbuk ikan bilis dan ikan masin. Seperti biasa ubi kayu goreng, durian dan rambutan turut disediakan sebagai pencuci mulut. Selepas makan malam, aktiviti diteruskan dengan bersantai dan ramah mesra bersama orang kampung sebelum kami berehat dan tidur

Makan malam yang di masak oleh penduduk kampung dan sukarelawan


Durian yang menjadi tumpuan sebagai pencuci mulut selepas makan

Sesi ramah mesra bersama penduduk kampung turut disediakan rambutan dan durian


Keesokan harinya di mulakan dengan solat jemaah subuh dan di ikuti kuliah subuh yang di sampaikan oleh ustaz Muhammad. Selepas kuliah subuh, diteruskan dengan persiapan sarapan pagi iaitu  Mee goreng dan Bihun goreng masakkan Abang Karim dan para sukarelawan serta penduduk kampung yang lain. Semua sukarelawan menikmatinya dengan penuh berselera.

Selesai sarapan pagi, aktiviti diteruskan dengan sukaneka dewasa Pertandingan Sumpit. Seramai 15 Orang penduduk kampung telah mengambil bahagian dan tidak melepaskan peluang untuk merebut hadiah setiap kali tembakan yang terkena pada belon.

Antara yang menyertai pertandingan menyumpit

Salah seorang penduduk kampung sedang menunjukkan aksi menyumpit


Program berakhir dan diteruskan dengan  sumbangan seperti keperluan asas kepada penduduk kampung hasil daripada kutipan sumbangan orang ramai melalui para sukarelawan. Kami juga turut membeli hasil buah durian dan rambutan daripada penduduk kampung sebagai buah tangan pulang ke Kuala Lumpur. Sebelum berangkat pulang para sukarelawan tidak melepaskan peluang untuk bergambar kenang-kenangan bersama Orang Kampung Santeh.

Gambar kenang-kenangan sebahagaian daripada sukarelawan

Tempat rehat yang dihasilkan oleh hasil seni penduduk Kampung Santeh


Terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat terutama para sukarelawan Kindness Malaysia dan Jemaah Surau Ar-Syadiah Pantai Dalam, dalam menjayakan program ziarah Kindness Malaysia ke Kampung Santeh. Jutaan terima kasih diucapkan kepada para penaja yang banyak menyumbang bagi melaksanakan program ini. Semoga aktiviti ini dapat dianjurkan lagi bagi mendekatkan kita dengan masyarakat orang asli serta mendidik diri untuk lebih bersyukur dengan nikmat yang di beri kepada kita. Terima kasih.


AMRAIL DANIAL BIN ALIAS
PROJEK KOORDINATOR 
KINDNESS MALAYSIA

Friday, August 4, 2017

Ziarah Aidilfitri Mengembirakan Penduduk Kampung Sentoi





Pada 29 dan 30 Julai 2017 yang lalu, Kindness Malaysia telah mengadakan Projek Ziarah Aidilfitri di perkampungan orang Asli di Pos Betau, Pahang. Kampung Sentoi terpilih untuk projek ziarah kali ini. Seramai 25 orang sukarelawan turut menyertai projek ziarah yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur. Kampung Sentoi merupakan sebuah perkampungan orang asli yang mempunyai penduduk yang terdiri daripada suku kaum Semai dan Bateq. Kampung ini mempunyai penduduk seramai 300 orang yang mejoriti penduduk terdiri daripada kanak-kanak yang berusia dua hingga 15 tahun. Pendapatan utama penduduk di sini ialah hasil hutan seperti hasil bercucuk tanam sayur-sayuran, menanam padi huma dan sebagainya. Penduduk kampung sangat peramah dan sangat ringan tulang membantu kami bagi menjayakan projek ziarah kali ini.

Taklimat sebelum bertolak ke Pos Betau

Perjalanan ke Pos Betau mengambil masa selama 4 jam. Semua sukarelawan berkumpul di kawasan Masjid Negara dan bergerak dalam pukul 12 tengah malam. Terdapat beberapa rintangan yang di hadapi sepanjang perjalanan. Antaranya salah sebuah kereta sukarelawan mengalami kenaikan suhu dan perlu berpatah balik untuk menukar kereta. Namun, kami tetap meneruskan perjalanan dan selamat sampai pada jam 5.30 pagi. Sementara menanti waktu subuh, kami sempat merehatkan diri sebelum meneruskan aktiviti di sana.

Sesi memanaskan rendang ayam yang di bawa dari Kuala Lumpur

Nasi himpit antara juadah sarapan pagi pada hari pertama

Seawal 7 pagi, para sukarelawan sudah mula menyediakan tempat untuk memasak dan bergotong-royong untuk menyediakan sarapan pagi. Menu sarapan yang berkonsepkan raya bagi memeriahkan lagi suasana ziarah aidilfitri bersama penduduk kampung. Antaranya ialah rendang daging, nasi himpit dan pelbagai jenis biskut raya. Sambutan daripada penduduk kampung terutamanya kanak-kanak memeriahkan suasana. Selesai sarapan, para sukarelawan turut dibantu kaum ibu daripada masyarakat orang asli meneruskan aktiviti menyediakan bahan-bahan untuk memasak juadah untuk tengah hari. Manakala sebahagian lagi sukarelawan mengadakan pertandingan mewarna untuk kanak-kanak.  Kanak-kanak sangat bersemangat untuk menyertai pertandingan ini. Bakat yang terpendam terserlah apabila mereka mula mewarna dengan penuh semangat.

Pertandingan mewarna antara aktiviti yang menarik minat kanak-kanak

penuh bersemangat kanak-kanak mewarna dan mereka sangat kreatif

Kaum ibu dan sukarelawan bergotong-royong menyediakan 

Semakin ramai penduduk kampung turun membantu di kawasan tempat memasak. Menu makanan tengah hari kali ini ialah kari ayam, dan tumis sayur kubis. Menu yang cukup menaikkan selera penduduk kampung yang jarang dapat makan juadah seperti ini. Sambil bergotong royong memasak, kami mengambil kesempatan untuk bersembang dan bertukar-tukar cerita bersama penduduk kampung. Kami bertanyakan juadah tengah hari pada hari kebiasaan mereka. Mereka menyatakan bahawa, hanya makan sayur-sayur kampung yang dikutip di dalam hutan atau yang di tanam. Kedudukan kampung Sentoi yang jauh daripada kawasan Bandar menyukarkan mereka untuk keluar bagi memperolehi sumber bahan mentah dan kering. Mereka juga menyatakan sekiranya ada wang lebih baru mereka akan beli, kalau tidak hanya menikmati rezeki yang ada di kawasan kampung.



Sukarelawan membasuh ayam sebelum di masak

kanak-kanak menikmati juadah tengah hari yang disediakan

Kari ayam merupakan salah satu menu tengah hari


Selesai solat Zuhur, kami meneruskan aktiviti di sungai. Kanak-kanak di sini tidak sabar untuk mengajak kami turun ke sungai. Air sungai yang jernih dan tidak terlalu deras dan dalam memudahkan kanak-kanak untuk turut mandi di sungai bersama. Mereka sudah pandai berenang walaupun baru berusia 4 tahun. Selesai aktiviti di sungai, kami naik untuk bersihkan diri dan bersiap untuk solat Asar. Selepas asar kami semua bersiap untuk sukaneka kanak-kanak dan dewasa. Semua bersemangat untuk mengambil bahagian dalam acara masing-masing. Antara sukaneka untuk kanak-kanak ialah bawa bola ping pong dalam sudu dan baling belon semakin jauh semakin sayang. Acara sukaneka dewasa wanita pula ialah boling kelapa dan bawa bola dengan memakai kain pelekat. Sukaneka berlangsung dengan jayanya dan sangat meriah. Sukan untuk dewasa lelaki ialah pertandingan bola sepak antara penduduk kampung dengan sukarelawan lelaki. Keputusan memihak kepada penduduk kampung dengan 7-1.

Aktiviti di sungai yang sangat jernih

Gambar kenangan bersama kanak-kanak di sungai

Acara bowling kelapa untuk dewasa perempuan

Acara sukaneka semakin jauh semakin sayang

Hadiah untuk sukan bola sepak yang dimenangi oleh penduduk kampung

Aksi penduduk kampung bermain bola sepak


Sementara itu, sebahagian lagi sukarelawan sedang menyiapkan juadah makan malam dan membuat persiapan menanti waktu Maghrib. Masuknya waktu Maghrib penduduk kampung yang beragama Islam turut turun ke surau bagi menunaikan solat Maghrib secara berjemmah.  Perkongsian tazkirah antara Maghrib dengan Isya’ di sampaikan oleh seorang ustaz yang datang singgah melawat kawasan kampung. Pelbagai ilmu yang dikongsi untuk di jadikan panduan hidup. Selesai solat Isya’, kami semua makan malam bersama-sama. Menu makan malam pula ialah, sup tulang, ulam ulaman seperti jantung pisang dan pucuk ubi kayu serta sambal belacan. Selesai makan malam dan mengemas kawasan memasak, penduduk kampung membawa kami ke salah sebuah rumah di sana untuk melihat upacara sewang. Upacara sewang merupakan salah satu bentuk upacara ritual perubatan untuk mengubati penyakit yang disebabkan oleh semangat jahat. Alatan muzik tradisi yang digunakan semasa upacara sewang ialah  buluh yang di ketuk ke atas kayu dan juga gong. Rentak di mainkan dan pergerakan dilakukan mengikut rentak yang dihasilkan oleh pemain alat muzik. Selesai sahaja pertunjukan upacara sewang, kami semua balik dan merehatkan diri.

Jantung pisang yang dijadikan ulam untuk juadah makan malam

Ubi kayu merupakan salah satu makan ruji penduduk di kampung ini


Upacara sewang di rumah salah seorang penduduk kampung

alatan muzik yang dimainkan oleh penduduk untuk upacara sewang


Azan subuh berkumandang  mengejutkan kami yang masih terlena. Selesai sahaja solat subuh secara berjemaah, kam mula bergerak ke dapur bagi membantu menyediakan sarapan pagi. Menu sarapan pagi ialah nasi goreng dan mee goreng. Selesai sarapan, aktiviti yang seterusnya ialah penyampaian sumbangan dan hadiah. Kelihatan wajah kegembiraan terpancar daripada setiap riak muka penduduk kampung yang menerima sumbangan. Kanak-kanak juga turut gembira mendapat gula-gula dan makanan ringan. Turut diadakan sesi bergambar bersama penduduk. Selepas itu, kami mengemas semua peralatan dan barang dan bersiap untuk pulang. Kami bertolak pulang  ke Kuala Lumpur pada jam 12 tengah hari.

Antara sumbangan yang diberikan untuk penduduk kampung


Penyampaian sumbangan oleh sukarelawan kepada penduduk kampung

Anak-anak gadis Kampung Sentoi yang pemalu


Barisan sukarelawan yang menyertai projek kali ini


Pelbagai rintangan dan cabaran yang kami hadapi sepanjang projek ini. Namun kami berjaya mengatasi masalah tersebut dengan bantuan dan kerjasama semua sukarelawan yang baik hati. Pengalaman sepanjang program di Kampung Sentoi amat berharga dan menjadi kenangan manis buat kami semua. Diharapkan agar setiap kekurangan yang dihadapi sepanjang program dapat di atasi untuk program yang akan datang. Insya ALLAH, program ini boleh diadakan lagi sekiranya berpeluang dan dapat mengumpul sumbangan bagi menampung kos perbelanjaan. Semoga sukarelawan yang baru menceburkan diri dalam aktiviti kebaikan ini tidak serik untuk menyertai pelbagai lagi projek kebaikan yang dianjurkan oleh Kindness Malaysia. Terima kasih  tidak terhingga kepada semua yang terlibat terutama para sukarelawan dan penaja Projek Ziarah Aidilfitri di Pos Betau. Terima kasih guru-guru daripada SMK Convent Jalan Peel atas sumbangan untuk penduduk kampung. Semoga setiap perkara yang kita lakukan mendapat keredhaan Allah. Insya ALLAH.

Fatin Amira Nabila binti Tauran
Projek Koordinator
Kindness Malaysia

Tuesday, August 23, 2016

Projek Pasar Percuma dan “Book to Remember” oleh Kindness Malaysia



Pada 21 Ogos 2016, Kindness Malaysia dengan kerjasama pelajar dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), HUMANITY, Projek Gobokbuku telah mengadakan Projek Pasar Percuma dan “Book To Remember” di Kampung Orang Asli Hulu Kemensah. Seramai 55 orang sukarelawan yang terdiri daripada sukarelawan Kindness Malaysia dan pelajar UTM telah menjayakan program ini. Ini merupakan kali ketiga Kindness Malaysia datang untuk mengadakan pasar percuma atau dikenali sebagai ‘Pasar Hutan’ untuk penduduk Kampung Orang Asli Hulu Kemensah. Kali ini pelajar dari UTM turut serta untuk mengadakan program akademik bersama kanak-kanak.

Ketibaan sukarelawan di Kampung Orang Asli Hulu Kemensah

Kanak-kanak sudah menanti kedatangan kami

Pada Jam 8 pagi semua sukarelawan berkumpul di hadapan pintu masuk Zoo Negara sebelum bergerak bersama-sama masuk ke Kampung Orang Asli Hulu Kemensah. Sampai sahaja di kampung, taklimat dan pengenalan program daripada Pengerusi Kindness Malaysia, Encik Noriduan dan pengarah projek, Fatin Amira Nabila serba sedikit berkongsi atucara sepanjang program kepada semua sukarelawan yang hadir.Turut memberi taklimat wakil daripada pelajar UTM untuk menerangkan aktiviti yang akan dijalankan bersama kanak-kanak.


Sukarelawan bersama penduduk kampung

Penduduk beratur untuk mendapatkan makanan
Program bermula dengan mengatur tempat untuk menyusun sarapan yang dibawa secara ‘potluck’ sedikit sorang bawa makanan dan di kongsi bersama penduduk kampung. Menu sarapan kali ini antaranya nasi lemak, kuih karipap, dan kek. Terdapat juga yang membawa dadih sebagai pencuci mulut. Ibarat langkah kanan, kunjungan pada kali ini pada musim buah-buhan. Penduduk kampung turut menjamu kami dengan buah-buahan tempatan seperti rambutan, langsat dan manggis. Buah durian sudah sampai di penghujung musim dan bukan rezeki kami untuk merasa.

Buah rambutan yang disediakan oleh penduduk kampung

Persiapan pasar percuma, menyusun atur barang-barang

Pasar percuma kali ini diadakan di gelanggang badminton untuk memberi ruang kepada program kanak-kanak yg berlangsung di dewan terbuka. Alhamdulillah sumbangan barang –barang keperluan dapur dapat dikumpulkan dalam masa seminggu. Antara barang-barang dapur yang dapat dikumpulkn ialah beras, minyak, gula, tepung, garam, bihun, sardin, susu pekat manis, kicap dan telur. Sabun mandi dan sabun pencuci pinggan juga turut di sumbang untuk masyarakat orang asli di Kemensah. Sumbangan pakaian terpakai yang masih cantik dan boleh digunakan turut diberikan kepada penduduk kampung. Seperti pasar percuma sebelum ini kami mengunakan konsep ‘love currency’ atau ringgit cinta sebagai pengganti kupon. Cara ini untuk mengelak ada penduduk yg mengambil barang lebih daripada apa yang ditetapkan, supaya semua penduduk dapat setiap barang yang telah di sumbangkan. Setiap kupon mewakili barang tertentu yang di ibarat sebagai duit yg bernilai untuk menebus barang tersebut. Oleh itu, setiap wakil keluarga perlu menjaga ringgit cinta ini dan diserahkan kepada setiap stesen barangan dapur sebagai tukar ganti.


Stesen telur, perluserahkan ‘love currency’ terlebih dahaulu dan dapat barang

Stesen tepung dan gulang yang turut diseumbagkan kepada penduduk kampung

Penduduk memilih pakaian yang diingini

Manakala, untuk program kanak-kanak yang dikendalikan oleh pelajar UTM bermula dengan ‘ice breaking’ untuk membuang rasa segan dan malu antara kanak-kanak dengan para sukarelawan. Permainan bola beracun telah menarik minat kanak-kanak untuk turut serta dalam setiap aktiviti. Kanak-kanak dibahagikan kepada empat kumpulan dan setiap kumpulan terdapat tiga hingga empat orang fasilitator untuk membantu mereka . Aktiviti semakin menarik apabila setiap kumpulan diminta untuk memilih haiwan sebagai nama kumpulan dan perlu meniru bunyi haiwan tersebut, seperti katak, harimau , kucing dan ayam. Aktiviti diteruskan lagi dengan slot membaca buku cerita yg menarik. Kanak-kanak di sana sangat gembira dan seronok melihat buku cerita bergambar yang berwarna-warni. Setelah selesai aktiviti membaca, aktiviti diteruskan dengan pertandingan mewarna. Seramai 5 orang pemenang dipilih dan akan mendapat hadiah. Setiap kanak-kanak turut dihadiahkan alat tulis, bekas pensel dan pensel warna. Semua gembira dapat hadiah.


Kanak-kanak beratur sebulum dibahagikan kepada beberapa kumpulan


Semangat kanak-kanak menyertai pertandingan mewarna

Turut menyanyikan lagu kemerdekaan dan mengibarkan bendera

Turut menerima tajaan untuk membawa aiskrim basikal bagi memeriahkan program
 Sambil-sambil menunggu pertandingan mewarna selesai, turut menanti ketibaan juadah seterusnya yang telah di taja oleh seseorang yang sangat pemurah. Penaja telah menaja KFC untuk di kongsi dengan penduduk kampung yang mungkin jarang untuk merasa makanan seperti itu. Semua penduduk kampung dari setiap peringkat umur gembira menikmati KFC termasuklah para sukarelawan. Selesai makan, semua gotong-royong mengemas kembali kawasan aktiviti dan kutip sampah. 

Sama menikmati KFC yang ditaja

Kami juga turut debekalkan buah-buahan sesikit seorang sebelum pulang 

Akhir sekali aktiviti bergambar dengan semua para sukarelawan dan penduduk kampung. Alhamdulillah semua gembira, semua sumbangan yang telah diamanahkan telah selamat disampaikan kepada yang sepatutnya. Terima kasih kepada semua para sukarelawan Kindness Malaysia dan Pelajar UTM yang sudi turut serta untuk program kali ini.  Jutaan terima kasih juga diucapkan kepada semua penaja budiman yang menaja sarapan pagi, barang-barang keperluan dapur dan lain-lain. Semoga Projek Pasar Percuma dan ‘Book To Remember’ ini memberi manfaat dan pengalaman yang paling terindah dalam setiap yang menyertainya tidak kira sebagai sukarelawan, penaja ataupun penerima. Alhamdulillah.

Fatin Amira Nabila binti Tauran
Projek Koordinator 
Kindness Malaysia




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...