About

Blog tentang aktiviti-aktiviti amal di dalam dan luar Malaysia

More About Me...

Kita pesimis dengan kesengsaraan insan yang menderita di serata dunia. Laman ini cuba mengundang kembali sekelumit fitrah insani yang cakna dan peka dengan kesengsaraan insan lain. Infaq di jalan Allah...

RSS Subscribe

Booking.com

Wednesday, November 16, 2016

Projek Ziarah Kampung Orang Asli Pos Kemar



Pada 11-13 November 2016, Kindness Malaysia, Asrama Darul Falah (ASDAF), Beestorm Sports bersama-sama Sham Aris Auto Service telah menjayakan satu lagi program ziarah ke perkampungan orang asli. Projek kali ini telah memilih Kampung Jarau Baru RPS Kemar, Grik, Perak. Seramai 35 orang sukarelawan telah turut serta bagi menjayakan misi kali ini. Kedudukan geografi perkampungan orang asli kali ini di kawasan pedalaman dan terletak di atas Banjaran Titiwangsa memerlukan kenderaan yang sesuai untuk sampai ke sana. Terdapat dua jalan untuk sampai ke Pos Kemar iaitu jalan tanah merah melalui Sungai Siput atau pun menaiki bot merentasi tasik Banding melalui Grik. Kami memilih untuk menaiki pacuan empat roda (4x4) yang disediakan oleh Sham Aris Auto Service bersama kumpulannya yang merupakan pemandu yang berpengalaman merentasi hutan, bukit bukau, dan sungai. 

Antara sungai yang perlu dilalui untuk sampai ke Pos Kemar

Terdapat juga kereta yang mengalami kerosakan semasa perjalanan


Kampung Jarau Baru merupakan salah sebuah kampung yang terletak di Pos Kemar, Gerik. Kira-kira lebih 50 buah keluarga yang mendiami kampung ini yang terdiri daripada orang tua, dewasa dan kanak-kanak. Kawasan kampung yang terletak di pedalaman dan agak menyukarkan mereka untuk keluar dari kawasan kampung kerana memerlukan kos yang tinggi untuk bergerak keluar. Suasana kampung yang sangat nyaman dan menenangkan menjadikan kami sukarelawan berasa selesa di kampung ini.

Suasana kampung yang sangat menenangkan jiwa

Antara kenderaan yang kami naiki untuk ke pos kemar

Semua sukarelawan berkumpul di ASDAF pada pukul 10.30 malam dan sesi taklimat telah di berikan oleh Pengarah projek kali ini merangkap pengerusi Kindness Malaysia iaitu En Noriduan. Setelah taklimat dan persiapan barang-barang, kami bergerak dari ASDAF pada pukul 11.30 malam menuju ke utara. Perjalanan mengambil masa selama 5 jam untuk sampai ke Masjid Kampung Bawong, Sungai Siput. Kami berehat sebentar melelapkan mata selama sejam untuk menunggu waktu subuh. Setelah subuh, semua bersiap dan sarapan sebelum meneruskan perjalanan ke Pos Kemar pada jam 8.30 pagi.

Kanak-kanak menyambut kedatangan kami

Penyediaan bahan untuk memasak



Perjalanan ke Pos Kemar dari Masjid Kampung Bawong sejauh 55 km merentasi 4 sungai dan 3 puncak bukit mengambil masa selama 3 jam setengah untuk sampai ke sana. Kami sampai di Kampung Jarau Baru pada pukul 12.00 tengah hari. Sesampainya di sana, kami terus menurunkan barang yang diperlukan sepanjang berada disana. Semua sukarelawan mengambil tugasan masing-masing. Sebahagian sukarelawan meneruskan tugas menyediakan makanan tengah hari, sebahagian lagi membuat persediaan membalut hadiah dan sebahagian lagi cuba mendekati kanak-kanak di sana untuk sesi suai kenal. Semakin ramai penduduk kampung keluar membantu dan meraikan kedatangan kami. Kanak-kanak mula datang untuk menyertai pertandingan mewarna dan belajar membuat origami. Kanak-kanak sangat gembira berkongsi cerita mengenai persekolahan dan keindahan kampung mereka. 

Penduduk kampung juga turut membantu membalut hamper


Pertandingan mewarna bersama kanak-kanak

Sukarelawan membantu kanak-kanak dalam pertandingan mewarna


Setelah selesai aktiviti mewarna, kami semua menikmati juadah tengah hari. Menu tengah hari ialah kari ayam dan sayur kubis. Penduduk kampung bermurah hati berkongsi juadah bersama kami. Mereka menyediakan masak lemah pucuk ubi dan ubi goreng. Selesainya menikmati makan tengah hari, para sukarelawan solat zuhur secara berjemaah bersama penduduk kampung. 

Sukarelawan juga turut mencuba menggunakan sumpit

Acara menyumpit untuk golongan dewasa lelaki

Seterusnya persediaan untuk aktiviti sukaneka untuk dewasa dan kanak-kanak . Antara sukaneka yang diadakan  untuk kanak-kanak ialah belon semakin jauh, semakin sayang, cari gula-gula dalam tepung. simpulan kasih sayang, dan bawa bola ping pong dengan sudu. Sukaneka untuk dewasa wanita ialah, bowling kelapa dan makan buah epal tanpa memegangnya. Bagi acara untuk dewasa lelaki ialah pertandingan menyumpit. Acara sukaneka dimulakan pada jam 4.30 petang dan suasana pertandingan sangat meriah dengan sorakan setiap ahli kumpulan. Hadiah diberikan kepada setiap pemenang sejurus selepas pertandingan di jalankan. Setiap acara mendapat sambutan yang menggalakan daripada penduduk kampung. Selesai sahaja acara sukaneka, para sukarelawan mengambil peluang untuk turun ke sungai untuk aktiviti bebas. Sebahagian sukarelawan bersama kaum ibu menyediakan makanan untuk makan malam. 

Bersama peserta sumpit

wajah kanak-kanak yang menyertai sukaneka cari gula-gula dalam tepung

Setelah selesai solat maghrib, penduduk kampung dan para sukarelawan menikmati makan malam yg sangat sedap. Menu kali ini ialah sup tulang, ayam masak kicap dan dan sayur kubis. Setelah selesai makan malam, semua bersiap mengemas kawasan makan dan peralatan. Sebahagiannya lagi menyediakan tempat untuk tidur. 

Makan malam bersama penduduk kampung

Pada keesokan harinya, setelah selesai solat subuh, sebahagian sukarelawan turun ke kawasan dapur untuk penyediaan sarapan pagi. Terdapat juga mula mengemas barang persiapan untuk bergerak pulang. Selesai sarapan, beberapa orang sukarelawan mengambil kesempatan mengadakan aktiviti bersama kanak-kanak, sebelum gotong-royong membersihkan kawasan sekitar kampung. Setelah selesai semua aktiviti, semua sukarelawan mula mengemas barang dan dimasukkan ke dalam kereta. Barang-barang sumbangan yang diberikan oleh paradermawan diserahkan kepada tok batin untuk dibahagi-bahagikan kepada penduduk kampung secara adil.

beramah mesra bersama kanak-kanak


antara sukarelawan yang terlibat yang menjayakan projek ini

Kami bergerak pulang tepat jam 10.30 pagi. Perjalan pulang berasa lebih pendek dan mengambil masa selama 3 jam setengah untuk sampai kembali ke Masjid Kampung Bawong. Rehat sebentar dan solat zuhur di masjid sebelum meneruskan perjalanan pulang ke Kuala Lumpur. Kami daripada Kindness Malaysia mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada semua sukarelawan yang terlibat secara langsung dan tidak langsung, Jutaan terima kasih juga kepada rakan penaja, Beestorm yang telah menaja projek ziarah kali ni. Terima kasih juga ditujukan kepada penaja utama fotografi Kreadea dan juga rakan seperjuangan yang turut menjayakan projek kali ini iaitu ASDAF. Tidak lupa juga terima kasih kepada penyumbang dan penaja yang baik hati memberi tajaan dalam bentuk barangan dan wang ringgit. Semoga usaha dan sumbangan yang diberikan mendapat keberkatan dan redha dari-Nya, Semoga semua sukarelawan yang terlibat dapat mengambil pengalaman yang cukup bermakna ini sebagai salah satu batu loncatan untuk terus melakukan dan menyebarkan kebaikan. Alhamdulillah.

Fatin Amira Nabila Binti Tauran 
Projek Koordinator
Kindness Malaysia


0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...