About

Blog tentang aktiviti-aktiviti amal di dalam dan luar Malaysia

More About Me...

Kita pesimis dengan kesengsaraan insan yang menderita di serata dunia. Laman ini cuba mengundang kembali sekelumit fitrah insani yang cakna dan peka dengan kesengsaraan insan lain. Infaq di jalan Allah...

RSS Subscribe

Booking.com

Thursday, November 3, 2016

Pengalaman Ke Kampung Orang Asli Pos Brooke Lama Gua Musang

Gambar kenang-kenangan bersama penduduk Kampung Orang Asli Pos Brooke Lama

Pada 28 Oktober - 30 Oktober 2016, Program ziarah ke perkampungan orang asli membawa misi dakwah dan ziarah telah dianjurkan oleh Asrama Darul Falah (ASDAF) dengan kerjasama Kindness Malaysia. Lokasi pilihan kali ini di Perkampungan Orang Asli Pos Brooke Lama, Gua Musang di sempadan Kelantan. Perkampungan ini terletak kira-kira 10 km dari Cameron Highland, arah Gua Musang. Seramai 26 orang sukarelawan termasuk Ahli Jawatankuasa PERKIM cawangan  ASDAF, pelajar ASDAF dan para sukarelawan turut serta dalam program ziarah ke perkampungan orang asli kali ini. Kampung Pos Brooke Lama menempatkan 40 buah keluarga yang terdiri daripada orang dewasa dan kanak-kanak. Penduduk kampung sangat ramah, baik hati dan menyambut kedatangan kami dengan gembira terutama sekali kanak- kanak.

Pintu masuk ke Kampung Orang Asli Pos Brooke Lama

Sesi ramah mesra bersama kanak-kanak

Kami berkumpul di ASDAF dan sebelum bertolak, ketua program memberi taklimat, pembahagian tugas dan sesi perkenalan antara sukarelawan. Kami memulakan perjalanan  pada pukul 11 malam ke destinasi yang dituju. Pada pukul 2.30 pagi kami tiba di Simpang Pulai, Perak untuk makan dan berehat. Kami bermalam di surau perkampungan orang asli Kerawat, Simpang Pulai. Selepas solat subuh dan sarapan pagi, kami meneruskan perjalanan ke Kampung Orang Asli Brooke Lama. Perjalanan mengambil masa selama satu jam dan setibanya kami di sana, kami di sambut oleh penduduk kampung.

Perkongsian bersama kanak-kanak mengenai kampung mereka

Kedatangan kami ini telah diketahui penduduk kampung, Oleh itu,  terdapat beberapa orang penduduk kampung sedang menyiapkan meja makan yang diperbuat daripada buluh. Para sukarelawan turut membantu memasang khemah di kawasan meja buluh dan membersih kawasan sekitar. Sebahagian lagi sukarelawan membantu untuk mengeluarkan barang dari kenderaan untuk persediaan memasak  dan menyiapkan makanan tengah hari. Terdapat juga sukarelawan bermain dengan kanak-kanak untuk menarik perhatian mereka kerana kami akan mengadakan pertandingan bersama kanak-kanak.

Khemah dan meja buluh yang telah siap di pasang

Pertandingan mewarna dengan kanak-kanak


Antara kanak-kanak yang menyertai pertandingan mewarna
Bersamangat kanak-kanak menyertai pertandingan mewarna
Aktiviti kanak-kanak dimulakan dengan perkenalan diri dan diteruskan dengan pertandingan mewarna dan melukis. Mereka sangat bersemangat untuk menyertai dan memenangi pertandingan ini. Melalui pertandingan ini, kita boleh lihat bakat terpendam dan kebolehan mereka. Terdapat ibu bapa turut serta untuk menunjuk ajar pada anak-anak mereka.  Kami turut bertukar-tukar cerita dengan kanak-kanak di sana mengenai keadaan kampung mereka. Kampung mereka terdapat sebuah padang bola yang besar sesuai untuk aktiviti sukan dan terdapat 3 batang sungai yang mengalir merentasi kampung tersebut. Namun begitu, terdapat sungai yang telah dicemari dengan aktiviti pertanian di kawasan Cameron Highlands.

Sukarelawan bersama penduduk kampung menyediakan bahan masakan
Masakan dalam buluh

Gotong-royong membersihkan ayam

Salah satu sungai di perkampungan ini
Selepas solat zohor, aktiviti diteruskan dengan jamuan makan tengah hari. Terdapat juga hidangan tradisi yang dimasak oleh orang kampung menjadi tarikan kami. Antaranya nasi buluh yang dimasak dalam buluh, pulut, ayam kicap yang dimasak dalam  buluh dan ubi rebus. Semasa pertandingan dijalankan, beberapa orang sukarelawan sempat beramah mesra dan berbual- bual dengan penduduk kampung di meja makan buluh Terdapat juga beberapa orang sukarelawan dan penduduk kampung sedang menyiapkan hidangan petang. Selepas solat asar, sedikit perkongsian ilmu turut diadakan selaian meneruskan jamuan minum petang dan aktiviti bebas. 

Beratur untuk mendapatkan makanan tengah hari

Menu tengah hari, nasi putih, ayam goreng, sup ayam dan sayur kubis
Selepas solat Asar, aktiviti sukaneka untuk kanak-kanak akan dijalankan. Namun cuaca mendung dan hujan renyai-renyai telah menyebabkan aktiviti seterusnya ditunda dan diteruskan dengan permainan dalaman untuk kanak-kanak sementara menunggu hujan berhenti. Sementara itu, sukarelawan yang ditugaskan untuk penyediaan makanan sedang bergotong-royong bersama penduduk kampung menyediakan makan malam. Setelah hujan berhenti, aktiviti diteruskan dengan acara sukaneka di padang kampung.  Kanak-kanak dibahagikan dengan berpasang-pasangan bagi memudahkan aktiviti sukaneka yang akan dijalankan. Antara pertandingan yang dijalankan adalah balingan belon air semakin jauh semakin sayang dan larian ikat kaki berpasangan. Hanya dua acara sukaneka sahaja dapat dijalankan kerana masa tidak mengizinkan dan hampir malam. Penduduk kampung dan kanak- kanak pulang ke rumah untuk persiapan solat maghrib berjemaah di surau. Setelah solat maghrib, sesi perkongsian ilmu oleh Pengetua ASDAF diadakan dan diteruskan dengan solat isyak serta jamuan makan malam. Pada waktu malam tiada aktiviti dapat dijalankan kerana hujan turun.

Perkongsian dan tazkirah selepas solat
Sukaneka belon semakin jauh, semakin sayang

Penutup dan penyampainan hadiah

Gambar kenang-kenangan bersama penduduk kampung

Pada keesokan paginya, dimulakan dengan solat subuh secara berjemaah  dan  perkongsian ilmu. Aktiviti pagi diteruskan dengan aktiviti mengemas dan penyediaan sarapan pagi untuk penduduk kampung. Majlis penutupan pula dimulai dengan ucapan daripada Tok Batin, Tok Imam dan penganjur serta  penyerahan cenderahati dan hadiah buat peserta-peserta pertandingan. Perpisahan kami diakhiri dengan buah tangan dari penduduk kampung dengan hasil alam semula jadi. Semoga pengalaman dan ilmu yang diperoleh dalam program kali ini memberi manfaat kepada para sukarelawan dan penduduk kampung. Terima kasih kepada penyumbang yang baik hati dan pemurah yang telah memberi sumbangan dari segi wang ringgit dan barangan.T erima kasih juga kepada warga Asrama Darul Falah (ASDAF) kerana memberi peluang kepada kami sukarelawan Kindness Malaysia untuk turut serta dalam menjayakan program ziarah dan dakwah pada kali ini. Semoga diberi kesempatan untuk ke sini lagi. 

Amrail Danial bin Alias 
Sukarelawan 
Kindness Malaysia

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...