About

Blog tentang aktiviti-aktiviti amal di dalam dan luar Malaysia

More About Me...

Kita pesimis dengan kesengsaraan insan yang menderita di serata dunia. Laman ini cuba mengundang kembali sekelumit fitrah insani yang cakna dan peka dengan kesengsaraan insan lain. Infaq di jalan Allah...

RSS Subscribe

Booking.com

Monday, January 12, 2015

Hujan, Lumpur dan Debu Cabaran Misi Banjir Kindness Dot My



Bermula perjalanan kami ke negeri Kelantan untuk misi banjir, memikul harapan, doa dan amanah orang ramai untuk bantuan buat saudara sejagat yang menjadi mangsa banjir yang terburuk bagi tahun millenium ini. Projek kali ini diberi nama Projek Banjir, mempunyai sedikit kelainan dengan projek-projek Kindness Dot My (Kindness) sebelum ini. Dua buah lori 5 tan penuh dengan barang bantuan serta lima buah kereta (Audi Q7, Nissan Xtrail, Perodua Alza, Toyota Hilux dan Mitsubishi Pajero) bersedia untuk misi kali ini. Berbekalkan sedikit pengalaman di Myanmar dan Filipina dalam pengurusan bencana, semua sukarelawan (20 orang) telah bersedia dari segi mental dan fizikal.

Tayar pecah di Gua Musang

keadaan hujan yang lebat di Kampung Tanjung Chat

Baby wipe, pencuci tangan (hand sanitizer), kasut but Pua Chu Kang, baju hujan, vitamin C dan air mineral menjadi pendamping utama setiap sukarelawan. Selepas selesai menyusun barang-barang bantuan ke dalam lori, setiap sukarelawan diberi vitamin C dengan dosage 1000mg, cukup dosage untuk sehari bagi seorang dewasa. Vitamin C ini bertujuan untuk mengekalkan imunisasi badan ditahap optimum. Terima kasih kepada penderma vitamin C untuk misi kali ini.

Perjalanan bermula dari Setiawangsa, Kuala Lumpur dan terus ke Kota Bahru iaitu destinasi pertama untuk misi banjir kali ini. Route yang dipilih ialah Setiawangsa - Simpang Pulai - Cameron Highlands - Gua Musang - Kota Bahru. Perjalanan yang agak jauh, tetapi yang paling selamat ketika ini. Perjalanan telah mengambil masa 12 jam, bertolak jam 11 tengah malam hari Jumaat (9 Januari 2015) dan tiba di Kota Bahru pada jam 11 tengahari (10 Januari 2015).

Setiap sukarelawan memakai baju hujan dan but

sumbangan Kindness Kit disampaikan terus ke rumah

dapur (stove) penting untuk memudahkan mangsa banjir memasak

senyuman penerima bantuan

Lokasi pertama misi bantuan ialah Kampung Tanjung Chat, yang terletak di pinggir Kota Bahru. Keadaan hujan yang agak lebat tidak mematahkan semangat para sukarelawan. Lebih 60 pek Kindness Kit termasuk dapur (stove) dan lampin bayi diagihkan kepada setiap rumah. Dengan bantuan sukarelawan tempatan, pengagihan bantuan dapat berjalan dengan lancar. Senarai penerima yang dikenalpasti juga sudah ready, dan setiap rumah telah menerima bantuan seperti yang dirancang.

Perjalanan diteruskan ke Kampung Lati, Pasir Mas. Lebih 50 buah keluarga dikenalpasti  dan pek Kindness Kit diagihkan dengan bantuan ketua kampung di situ. Khabarnya, mereka baru sahaja pulang dari Pusat Pemindahan Banjir dan semasa kami di sana, paras air masih lagi setinggi betis. Sukarelawan meredah air untuk sampaikan bantuan kepada keluarga mangsa banjir. Bantuan seterusnya diserahkan di sebuah lagi kampung di Pasir Mas dan ketika ini masa sudah menunjukkan jam 9 malam. Selesai pengagihan pek Kindness Kit, kami pun terus ke Pengkalan Chepa dan menginap di homestay.

koordinasi bersama masyarakat itu penting dalam setiap misi

air diredah oleh para sukarelawan demi memastikan bantuan sampai kepada penerima

kesan banjir masih kelihatan

senyuman sukarelawan dan keluarga mangsa banjir

air yang masih belum surut di Pasir Mas

sumbangan untuk masjid

Keesokan harinya, bantuan untuk misi banjir ditambah semula dengan pembelian air mineral, kain pelikat, kain batik, dan ketip kuku di Mydin Kubang Kerian. Perjalanan diteruskan ke Manek Urai, lokasi terakhir untuk misi bantuan banjir. Sepanjang perjalanan, kami singgah di masjid-masjid dengan meletakkan al-Quran, sejadah, air mineral, alas kaki dan minyak atar. Apa yang kami lihat, kebanyakan masjid telah menjadi pusat pengagihan sumbangan dan ada yang menetap di masjid buat sementara waktu, akibat rumah telah roboh kesan dari banjir.

Setibanya kami di Manek Urai Lama, keadaan kelihatan agak teruk, garis tanda banjir kelihatan di bangunan sekolah dan masjid. Jalan raya rosak, banyak rumah yang telah roboh dan jalan penuh dengan lumpur kering. Setiap kali kenderaan lalu di jalan raya akan mengakibatkan debu tanah beterbangan. Pada waktu ini topeng muka diagihkan kepada orang ramai termasuk sukarelawan dan juga pihak berkuasa seperti polis dan askar. Semua bantuan yang masih ada diagihkan kesemuanya di sini. Perjalanan kemudian diteruskan mengikut route yang sama, dan alhamdulillah kami tiba di Kuala Lumpur pada jam 1 pagi (12 Januari 2015).

sukarelawan memberi vitamin C kepada anak yang sedang memilih baju terpakai

topeng muka diberikan kepada orang ramai di Manek Urai Lama

Vitamin C serta ketip kuku untuk semua

bersama masyarakat Manek Urai

longgokan pakaian terpakai

Bagi perancangan akan datang berkemungkinan pada awal bulan Februari 2015, beberapa keperluan dikenalpasti perlu dibawa. Air mineral, garam ORS (oral rehydration salt) dan lain-lain antara keperluan yang penting. Air mineral boleh diperoleh di Mydin Kubang Kerian menggunakan networking yang sedia ada. Bekalan ORS boleh dibawa dari Kuala Lumpur, sesuai dengan saiznya yang kecil dan mudah dibawa. Senarai penerima baru juga akan dikemaskini, dan koordinasi di tempat bantuan juga akan diperoleh dari sukarelawan tempatan di sana. Keperluan logistik juga penting bagi memastikan perjalanan bergerak dengan lancar.

sukarelawan sebelum bertolak ke Kelantan
Pihak Kindness ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada para sukarelawan yang tidak pernah kenal erti penat dan lelah bagi melakukan dan menyebarkan kebaikan dan kali ini misi bertumpu untuk mangsa banjir di Pantai Timur. Sejuta penghargaan diberikan kepada para dermawan individu yang memberi kepercayaan kepada Kindness untuk misi banjir kali ini, dan tidak lupa kepada Sugoi Group of Companies yang telah menyumbang hampir RM50,000 barang bantuan Kindness Kit serta keperluan logistik. Juga kepada ICelebrate yang telah menyumbangkan sabun buku mandi serta sabun pencuci tangan. Semoga semua diberkatiNya selalu, amin.

mendapat liputan di Harian Metro

Mendapat liputan di Harian Metro 27 Januari 2015

Muhammad bin Kamarulazizi
Pengasas Kindness Dot My
www.facebook.com/kindness.my

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...