Baru-baru ini dunia dikejutkan dengan peristiwa pembunuhan secara kejam terhadap masyarakat Rohingya di Myanmar. Gambar mangsa-mangsa pembunuhan tersebut tersebar dengan meluas di media sosial seperti Facebook dan Twitter. Peristiwa ini sedikit sebanyak telah memberi kesan kepada masyarakat Rohingya yang berada di Malaysia. Kami di Muslim Aid telah menjalankan beberapa program pembangunan komuniti yang melibatkan masyarakat pelarian Rohingya di Malaysia juga terkesan dengan peristiwa yang telah berlaku. Melalui temubual bersama mereka, ramai yang menyatakan kebimbangan mereka terhadap saudara-mara mereka di sana. Pelbagai khabar angin tersebar, situasi sebenar di sana juga agak kabur dan ada sumber yang mengatakan telah berlaku 'genocide' dengan anggaran lebih 35 ribu orang telah terbunuh.
situasi di Arakan baru-baru ini
Beberapa panggilan telefon telah saya terima menyuarakan kesedihan yang berlaku terutama dari warga komuniti Rohingya. Ramai yang mula tertekan dan tidak tenteran. Panggilan serta email untuk menyalurkan bantuan ke sana juga saya terima tetapi cabarannya ialah bagaimana bantuan dapat disalurkan ke sana. Laluan darat melalui Yangon hampir mustahil kerana jalan ke Arakan (Rakhine) dipenuhi dengan sekatan jalan raya. Dipercayai visa untuk masuk ke Myanmar juga diperketatkan. Jalan lain untuk ke Arakan adalah melalui Bangladesh yang juga masih samar berkenaan dengan prosedurnya.
Peristiwa yang berlaku di Arakan ini hampir sama dengan apa yang berlaku di Gaza, Palestine. Penghapusan etnik yang dijalankan amat teratur dan sistematik. Pendidikan disekat, pemilikan tanah, perniagaan serta hak-hak asasi yang lain juga disekat. Terdapat sumber yang menyatakan peratusan buta huruf di kalangan masyarakat Rohingya adalah lebih 80%.
InsyaAllah dengan segala upaya kita di Malaysia, bantuan tetap akan diberikan kepada komuniti pelarian Rohingya dan juga Myanmar Muslim yang melarikan diri ke Malaysia, memegang status sebagai pelarian di Tanah Air kita. Mereka juga saudara seagama kita, yang amat memerlukan bantuan dan sokongan. Perancangan untuk penghantaran bantuan ke Arakan akan tetap diteruskan, dan sementara itu komuniti pelarian Rohingya di Malaysia akan terus dibantu.
Program berbuka puasa Fast 2 Feed |
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang situasi di Arakan, boleh rujuk pada 'slide presentation' yang dihasilkan oleh seorang individu Rohingya sendiri di sini. Bagi yang ingin menyalurkan sumbangan kepada masyarakat Rohingya, boleh lakukan di sini atau melalui pejabat Muslim Aid. Program yang terdekat yang akan melibatkan masyarakat Rohingya ialah di bulan puasa ini bertempat di Klang pada 31 Julai 2012 untuk program Fast 2 Feed anjuran Muslim Aid. Untuk pengetahuan lanjut, boleh hubungi saya di pejabat Muslim Aid di 03-22881996.
Muhammad bin Kamarulazizi
0 comments:
Post a Comment