About

Blog tentang aktiviti-aktiviti amal di dalam dan luar Malaysia

More About Me...

Kita pesimis dengan kesengsaraan insan yang menderita di serata dunia. Laman ini cuba mengundang kembali sekelumit fitrah insani yang cakna dan peka dengan kesengsaraan insan lain. Infaq di jalan Allah...

RSS Subscribe

Booking.com

Monday, November 30, 2009

Isu Pelarian yang Tiada Kesudahan



Alhamdulillah selesai program Qurban For Life bagi tahun 1430H/2009. Dalam beberapa buah majalah telah mengeluarkan beberapa artikel menarik tentang pelarian Rohingya. Saya sendiri mula mengenali tentang pelarian Rohingya ini sejak dibangku sekolah lagi tetapi tidak jelas dengan apa itu warga Rohingya dan apakah kaitannya dengan kita. Kita sering diwar-warkan dengan penindasan saudara kita di Palestin dan alhamdulillah ramai telah menyumbang untuk bantuan misi kemanusiaan di sana. Namun begitu adakah kita sedar bahawa saudara kita yakni warga Rohingya ini juga antara yang amat teruk ditindas oleh kerajaan Junta, Myanmar?

Warga Rohingya ini berasal dari Utara Rakhine State di sebelah barat Myanmar dimana hampir 80% adalah bangsa Rohingya sendiri. Sejak kerajaan tentera Junta mengambil alih takluk pemerintahan Myanmar, golongan Rohingya ini telah dinafikan hak sebagai warganegara Myanmar. Di Myanmar, golongan Rohingya ini menjadi mangsa diskriminasi dan dinafikan dari hak asasi manusia. Mereka dibunuh, dirogol, perampasan harta dan tanah, ditarik hak untuk beragama dan dihalau keluar dari negara Myanmar. Kebanyakan kezaliman yang timbul dari kerajaan Junta ini berpunca dari anutan agama yang berbeza iaitu Islam dimana pemerintahan Junta adalah dari agama Buddha.

Selayang, antara kawasan yang mempunyai ramai pelarian dari Myanmar

Pada tahun 1991, penghapusan etnik berlaku secara besar-besaran dan lebih suku juta telah melarikan diri ke Bangladesh dan lebih kurang 14,000 telah ke Malaysia. Dari tahun ke tahun, sejumlah kumpulan warga Rohingya telah berterusan masuk ke Malaysia sebagai pelarian. Kebanyakan pelarian ini tinggal di sekitar Kuala Lumpur iaitu sebanyak 60% dan kebanyakannya di kawasan bandar yang lain seperti di Butterworth, Pulau Pinang sebanyak 18%. Disebabkan keadaan yang mendesak, mereka tinggal di rumah kos rendah, atau dipinggiran kota dimana taraf kehidupan adalah rendah. Di Kuala Lumpur, mereka lebih tertumpu di Ampang, Cheras, Sentul dan Selayang.

Pekerjaan mereka di Malaysia lebih tertumpu di pasar borong. Contohnya seperti di Pasar Borong Selayang dan Pasar Borong Selangor. Ada juga yang bekerja di ladang-ladang kepala sawit, di pembinaan dan di restoren. Disebabkan mereka tidak mempunyai dokumen identiti yang sah, mereka sering menjadi mangsa individu tertentu yang mengambil kesempatan ke atas mereka.

pendidikan merupakan perkara asas untuk membantu warga pelarian ini

Didalam bidang pendidikan, warga Rohingya di Malaysia tidak dapat menikmati kemudahan belajar seperti rakyat tempatan. Namun begitu terdapat juga warga Rohingya yang telah menubuhkan madrasah seperti madrasah Hashimiah di Selayang untuk memberi peluang kepada anak-anak Rohingya ini belajar walaupun pengurusan madrasah biasanya akan menghadapi kesulitan untuk menampung pelajar-pelajarnya yang hampir kesemuanya dari keluarga yang tinggal dibawah paras kemiskinan.

Bagi isu kesihatan pula, untuk mendapatkan perkhidmatan doktor adalah begitu sukar sekali kerana mereka tidak mampu untuk menampung kos rawatan dan ubat-ubatan. Dari 21 orang wanita Rohingya, separuh daripada mereka terpaksa melahirkan anak di rumah. Bukan sahaja mereka tidak mampu, tetapi disebabkan mereka adalah pelarian, maka dokumen pengenalan diri ini menjadi penghalang untuk mereka mendapatkan perkhidmatan rawatan yang baik.

Dalam pertemuan bersama warga Rohingya ini, mereka juga menyimpan harapan mungkin satu hari dapat pulang ke kampung halaman di Myanmar. Namun begitu hampir mustahil untuk pulang selagi diperintah oleh kerajaan tentera Junta. Mereka kini di Malaysia untuk mencari perlindungan dan cuba untuk terus hidup menyara keluarga mereka. Mereka juga inginkan kemudahan pendidikan untuk anak-anak mereka dan juga kemudahan kesihatan agar mereka dapat keluar dari kepompong kemiskinan.

(sebahagian sumber dipetik dari UNCHR Malaysia)

pelarian dari kaca mata UNHCR di sini

Muhammad bin Kamarulazizi

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...