About

Blog tentang aktiviti-aktiviti amal di dalam dan luar Malaysia

More About Me...

Kita pesimis dengan kesengsaraan insan yang menderita di serata dunia. Laman ini cuba mengundang kembali sekelumit fitrah insani yang cakna dan peka dengan kesengsaraan insan lain. Infaq di jalan Allah...

RSS Subscribe

Booking.com

Monday, November 13, 2017

Kejohanan Futsal Pre-Kindness Cup 2017

Banner sempena Kejohanan Futsal Pre-Kindness Cup 2017

Tanggal 12 November 2017 bersamaan hari Ahad, KSL Centremart Setapak, Kuala Lumpur sekali lagi menjadi titik pertemuan ratusan anak-anak asnaf, yatim, miskin dan pelarian muslim di dalam satu acara yang dinamakan Kejohanan Futsal Pre-Kindness Cup 2017.

Futsal Pre-Kindness Cup adalah sebagai persediaan kepada Kejohanan Terbesar Futsal Kindness Cup yang bakal diadakan pada April 2018.  Pertembungan sukan futsal di antara anak-anak ini adalah sebagai pemanas badan kepada kejohanan sebenar yang menjadi jenama terhangat futsal anjuran Kindness Malaysia setiap 2 tahun sekali.  

Sebanyak 8 pasukan bagi kategori lelaki dan 5 pasukan bagi kategori perempuan yang menyertai pertandingan futsal ini iaitu Madrasah Hashimiah, Rumah Kasih Harmoni (RKH), Asrama Darul Falah (ASDAF), Pertubuhan Kebajikan Ehsan Ash Shakur,  Chow kit Youth, Soljabiru, pasukan penaja Telekom Malaysia dan Kindness Malaysia.

Pasukan Rumah Kasih Harmoni dan Kindness Malaysia


Futsal  bermula jam 9 pagi dan berakhir sekitar jam 4 petang. Ia melibatkan 300 orang anak-anak dari rumah kebajikan dan hampir 40 orang sukarelawan dari Kindness Malaysia dan juga Soljabiru (Kelab Penyokong Chelsea), selain pasukan penaja, Telekom Malaysia. 

Kejohanan dimulakan dengan bacaan  doa oleh Imam Muda Najdi (UNIC) seterusnya sesi taklimat dan senaman ringan oleh pengadil perlawanan dari Soljabiru. Semua pasukan berkumpul dan bersiap sedia untuk memulakan perlawanan. Di kawasan yang kami namakan “Food Island” juga tersedia hidangan pelbagai juadah seperti bihun goreng, kuih-muih, aiskrim, makanan ringan, buah rambutan, pelbagai jenis minuman dan set makanan tengahari. Juadah ini diberi secara percuma kepada semua.

Bacaan doa oleh saudara Najdi UNIC


Di sudut yang lain pula, kelibat pasukan fisio setia bersiap sedia untuk merawat peserta yang mengalami kecederaan. Tidak ketinggalan, kejohanan ini diserikan dengan dj hebat dengan lagu-lagu yang diselang-seli demi membakar semangat semua peserta.

Senaman ringkas sebagai pemanas badan sebelum futsal bermula


Kejohanan berlangsung dengan lancar dari peringkat kumpulan, semi final sehingga ke peringkat akhir. Sorakan penuh padu dari pasukan masing-masing ternyata memeriahkan kejohanan ini seakan-akan mereka berada di kejohanan futsal sebenar.  

Pasukan perempuan sedia untuk beraksi


Pada jam 1.00 tengahari, kejohanan berehat seketika bagi memberi laluan kepada solat zohor dan makan tengahari. Dapatlah semua peserta dan semua yang terlibat menghilangkan penat dan lelah. Kejohanan peringkat separuh akhir dan akhir bersambung pada jam 1.30 tengahari.    

Pelbagai juadah disediakan


Keputusan penuh Kejohanan Futsal Pre-Kindness Cup 2017:-

Kategori Lelaki:
1. Rumah Kasih Harmoni
2. Kindness Malaysia
3. ASDAF
4. Madrasah Hashimiah
5. Soljabiru
6. Telekom Malaysia
7. Pertubuhan Kebajikan Ehsan Ash Shakur
8. Chowkit Youth

Kategori Perempuan:
1. ASDAF
2. Telekom Malaysia
3. Soljabiru ft Kindness Malaysia
4. Rumah Kasih Harmoni
5. Pertubuhan Kebajikan Ehsan Ash Shakur


JUARA kategori lelaki: Rumah Kasih Harmoni

JUARA kategori Perempuan : ASDAF


Hadiah disampaikan oleh Pengasas Chelsea Soljabiru saudara Wahyudi diiringi 
Pengerusi Kindness Malaysia

Menang atau kalah, itulah adat pertandingan. Tahniah dan syabas kepada yang berjaya, yang gagal diharap tidak kecewa kerana ini adalah sebagai persediaan untuk ke kejohanan sebenar pada April 2018. Kegembiraan, keceriaan, semangat berpasukan dan kerjasama daripada semua anak-anak ini adalah  lebih penting. Persaingan secara sihat dapat dilihat dengan aktiviti seperti ini selain anak-anak ini dapat menambah kawan dan bergaul sesama mereka.

Sukarelawan Kindness Malaysia yang terlibat


Kejohanan tamat sekitar jam 4 petang dan semua peserta dan sukarelawan pulang dengan perasaan puas dan gembira. Sukarelawan Kindness Malaysia bersama-sama membersihkan sekitar kawasan court futsal sebelum meninggalkan lokasi kejohanan.

Pasukan Telekom Malaysia sebagai penaja

Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada  Telekom Malaysia atas tajaan penuh untuk kejohanan kali ini. Tidak lupa kepada Kelab Penyokong Chelsea iaitu Soljabiru atas kerjasama untuk menjayakan kejohanan ini. Terima kasih juga kepada semua sukarelawan Kindness Malaysia serta semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dari mula sehingga berakhirnya kejohanan ini.

Medal sebagai hadiah utama


Semoga fenomena Futsal Piala Kindness ini akan terus melekat di hati semua dan dapat menyuntik semangat anak-anak ini agar sentiasa aktif dalam sukan futsal. Sukan futsal ini adalah salah satu pencetus kebaikan dan kegembiraan kepada anak-anak ini selain dapat mencungkil bakat terpendam mereka.


Banting tanda kerjasama penuh daripada Kelab Chelsea Soljabiru

Perlawanan ini bakal menjadi titik permulaan untuk mula merancang Pertandingan Futsal Piala Kindness 2018. Seperti biasa Soljabiru akan  menaja lokasi pertandingan dan urusan permainan semasa hari pertandingan. Tajaan lain seperti hadiah, jersi pasukan, makanan, pengangkutan untuk rumah anak yatim serta hal-hal logistik juga diperlukan. Tajaan seperti photobooth, jurukamera, juru video, pa system, banting dan banner promosi juga diperlukan kelak.

Kindness Malaysia juga mengalu-alukan penaja utama bagi pertandingan futsal yang berlangsung setiap dua tahun ini. Pertandingan yang bakal menyaksikan penyertaan lebih 30 buah rumah kebajikan dan pelarian di seluruh negara ini menjadi acara yang sentiasa dinantikan oleh anak-anak yatim, asnaf  dan miskin juga tidak ketinggalan anak-anak pelarian Rohingya, Myanmar Muslim, Somalia dan Afghanistan.

Kali terakhir Futsal Piala Kindness dipertandingkan ialah pada tahun 2016 . Genap dua tahun, pertandingan akan berlangsung sekali lagi dan harapan kali ini agar lebih banyak pasukan rumah anak yatim dan juga komuniti pelarian dapat turut serta. Kumpulan sukarelawan mahupun NGO juga boleh turut serta sekali dan pada yang berminat untuk menjalin kerjasama atau menjadi penaja, boleh hubungi support@kindness.my (email).

Road to Futsal Kindness Cup 2018!!

Iman Nur Alia
Projek Koordinator
Kindness Malaysia


0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...