Baru-baru ini saya menerima sebuah mesej Whatsapp dari Harian Metro, yang ingin mendapatkan pendapat saya tentang mendidik kebaikan kepada anak dalam keluarga. Soalan yang diberikan itu agak menarik, maka saya kongsikan di sini cara saya yang mudah untuk terapkan kindness dalam keluarga terutama kepada anak-anak.
1. Pada pendapat Encik Muhammad, kenapa anak perlu dididik untuk bantu kawan lain? Apa kebaikan pada diri anak itu sendiri?
Alhamdulillah, anak itu anugerah yang diberikan olehNya. Anak merupakan rezeki yang diberikan untuk dikongsikan kasih sayang dan bakal menjadi legasi untuk ibu bapa apabila sudah tiada kelak. Saya bersyukur dan bertuah kerana dikurniakan dua cahaya mata, sepasang lelaki dan perempuan yang kini sudah menjejak kaki ke alam persekolahan. Saya yang aktif dalam Kindness Malaysia yang menekankan misi untuk menyebar dan beri inspirasi kebaikan kepada orang ramai tidak kira latar belakang atau warna kulit sedar yang kebaikan itu juga perlu bermula dari rumah. Perlu datang dari ketua keluarga.
Saya dan sekeluarga |
Rutin mengaji di rumah setiap Magrhib. Mengaji Al Quran atau muqadam ini yang akan bantu untuk lembutkan hati anak-anak |
Oleh yang demikian, saya sentiasa cuba mencari idea yang kreatif untuk terapkan kebaikan atau sifat baik dalam anak-anak saya. Mengapa mereka perlu dididik untuk jadi baik? Kita tahu jika anak kita baik, maka orang di sekelilingnya itu akan mendapat manfaatnya, seperti kawan-kawan malah ibu bapa sendiri. Akan tetapi kebaikan itu sendiri akan memberi kesan yang mendalam kepada anak terutamanya dalam pembentukan minda dan hati anak kita itu. Di sini saya tekankan sahsiah dan akhlak kerana itulah asas kepada segala-galanya. Hati yang baik akan membentuk pemikiran, tutur kata dan perbuatan yang baik.
Berkongsi sarapan dengan makcik cleaner |
Sebelum masuk tadika, kita bagi cat makan dulu |
aktiviti hujung minggu, melakukan kebaikan dengan lebih banyak |
2. Sejak usia berapa anak didedahkan dengan kebaikan? Macam mana cara Encik Muhammad didik anak untuk melakukan kebaikan? Dengan cara duit, makanan atau sumbangan atau apa?
Sewaktu anak saya sudah mula boleh berjalan, sewaktu itulah saya rasa sangat gembira. Ini kerana apabila mereka sudah boleh berjalan, mereka boleh ikut saya untuk lakukan kebaikan bersama-sama. Saya sudah ada teman kebaikan yang akan sentiasa setia kepada saya! Alhamdulillah, anak sulung saya (Muhammad Ali) boleh berjalan pada umur setahun tiga bulan dan anak perempuan saya (Nabila) pula sudah boleh berjalan pada umur 7 bulan.
tengok kucing makan sudah cukup menggembirakan |
tidak kira dimana, makanan kucing sentiasa ada untuk diberikan kepada kucing jalanan |
Apabila mereka boleh berjalan, mereka pun boleh ikut saya keluar ke pasar untuk beli sayur atau ke pasar malam. Setiap hari Jumaat, kami akan ke pasar malam berhampiran dengan rumah. Di sini ada banyak peluang kebaikan yang boleh dilakukan. Tabung-tabung NGO dan mereka yang memerlukan ada banyak di pasar malam. Di sini saya akan pecahkan duit siap-siap ke RM1 untuk anak saya letakkan ke dalam tabung dan aktiviti ini sudah menjadi rutin baginya. Sehingga kini, saya rasa anak saya tidak pernah soal mengapa perlu letak duit dalam tabung derma, kerana itulah antara kebaikan yang pertama yang dilakukan oleh mereka apabila sudah boleh berjalan.
Melakukan kebaikan ini sebenarnya mudah. Kita yang sudah dewasa adakala rasa terikat seolah-olah untuk lakukan kebaikan ini memerlukan duit yang banyak, atau masa terluang. Sebenarnya bagi saya, kebaikan itu boleh dilakukan bila-bila masa sahaja. Selagi ada manusia atau makhluk Tuhan dimana-mana, maka ada lah peluang kebaikan untuk dilakukan. Setiap pagi sebelum saya ke tempat kerja, sudah menjadi rutin saya untuk ke pasar pagi untuk belikan keperluan dapur seperti ikan, ayam dan sayur. Sebelum anak saya mula bersekolah lagi, anak saya akan ikut saya ke pasar pagi di UTC Sentul.
Anak-anak membantu ayah untuk persediaan Kindness Malaysia |
Anak-anak ikut ayahnya melakukan aktiviti sukarelawan di Madrasah Hashimiah |
Di pasar pagi, UTC Sentul ada seribu satu kebaikan yang dapat dilakukan di sana. Sebelum tiba di UTC Sentul, saya akan belikan dulu sarapan untuk keluarga seperti nasi lemak dan kuih muih. Saya akan belikan lebih untuk dikongsikan kepada mereka yang boleh manfaatkannya seperti makcik cleaner dan security guard. Apabila tiba di UTC Sentul, orang yang pertama sekali yang akan kami temui ialah pekerja kontrak yang menyapu sampah memastikan UTC Sentul ini bersih. Anak saya akan sendiri pergi kepada mereka dan berikan bungkusan sarapan pagi kepada mereka. Bajet tidak besar, RM1 sahaja untuk sebungkus nasi lemak. Jika beli tiga bungkus, dapatlah beri kepada tiga orang untuk sarapan.
Seperti biasa, penerima bungkusan sarapan akan rasa pelik, mengapa anak kecil yang datang berlari beri makanan tanpa berkata apa-apa. Biasanya makcik cleaner atau pakcik security akan lihat sekeliling sebelum mengambil bungkusan makanan tersebut. Dan apabila nampak saya melihat dari jauh, saya akan angkat tangan sambil beri senyuman sebagai tanda kami ingin kongsi sarapan dengan mereka. Mereka akan ambil bungkusan sarapan itu dan ucapkan terima kasih kepada anak saya. Di sini secara tidak langsung anak saya belajar untuk ucap terima kasih apabila ada kebaikan lain yang datang kepada dirinya sendiri.
Tak sabar untuk lakukan kebaikan sebelum ke sekolah |
Selepas selesai membeli keperluan dapur di pasar pagi UTC Sentul, kami akan pulang ke rumah melewati rumah kedai. Sudah jadi kebiasaan dalam raga motor saya akan ada sebuah bekas makanan kucing. Anak saya sangat sukakan kucing, tetapi kami tidak membelanya di rumah. Oleh itu setiap pagi, satu lagi rutin kebaikan yang akan dilakukan ialah memberi makan kucing jalanan. Setiap pagi beberapa ekor kucing sudah sedia menunggu untuk diberi makan. Pada waktu ini jugalah anak saya boleh usap kucing tersebut. Semua kucing yang diberi makan akan mempunyai nama tersendiri mengikut corak bulu kucing itu.
Melakukan kebaikan ini sudah dijadikan rutin yang menyeronokkan. Setiap hari anak saya akan berusaha bangun awal pada waktu Subuh kerana ingin ikut saya ke pasar pagi. Adakala peniaga sendiri boleh bertanya kepada saya, anak-anak memang setiap hari bangun awal ya. Saya jawab ya, dan sebabnya hanya saya dan keluarga saya sahaja yang tahu. Rutin ini juga melatih anak saya untuk sentiasa tidur awal dalam jam 9.30 malam supaya dapat bangun awal pagi jam 6 untuk solat Subuh.
Kini kedua-dua anak saya sudah mula bersekolah, maka jadual rutin harian disesuaikan supaya aktiviti kebaikan dapat diteruskan. Biasanya kami akan keluar sedikit awal sebelum anak saya ke sekolah, sekurang-kurangnya dapat melakukan satu kebaikan sebelum tiba di sekolah. Memberi makan kepada kucing jalanan ini merupakan antara aktiviti kegemaran mereka untuk memulakan persekolahan dengan ceria.
3. Mungkin ada tabung untuk buat amal? Jika ada.
Ini antara soalan kegemaran saya. Dalam Kindness Malaysia setiap sukarelawan mempunyai dana kebaikan mereka tersendiri. Setiap sukarelawan mempunyai tabung kebaikan yang kami namakan poket kindness. Bagi lelaki, biasanya terletak di poket belakang seluar sebelah kiri dan perempuan akan menggunakan poket beg tangan mereka sebagai poket kindness. Poket kindness ini ialah dimana kita simpan RM1 yang ada dari apa-apa pembelian. Maka setiap hari dana dalam tabung kindness akan bertambah. Sebagai contoh, apabila kita beli nasi berlauk dengan harga RM4 dan kita bayarkan menggunakan kertas RM5, kita akan dapat baki RM1. RM1 ini akan disimpankan terus dalam poket kindness.
aktiviti hujung minggu bersarapan bersama-sama di warung sebelum memulakan aktiviti kebaikan |
sarapan dahulu! |
kebaikan di rumah, bantu ibu sidai kain |
Dari poket kindness inilah anak saya akan bantu saya untuk lakukan kebaikan setiap hari. Kita selalu risau jika duit dalam dompet akan habis jika kita lakukan kebaikan seperti sedekah. Tetapi dengan adanya poket kindness, kita dah ada tabung khas untuk lakukan kebaikan tanpa perlu risau jumlah duit yang ada dalam dompet. Dan percaya atau tidak, duit dalam poket kindness jarang sekali habis.
Kebaikan itu perlu bermula dari rumah. Dan jadi tanggungjawab ibu bapa untuk terapkan kepada anak. Siapa tidak mahu anak mereka menjadi anak yang soleh dan mendoakan ibu bapanya apabila ibu bapanya sudah tiada lagi? Sudah pasti semua mahu anak mereka sentiasa doakan mereka. Oleh itu mulalah dengan kebaikan. Jadikannya sebagai rutin. Biar kecil, tetapi berterusan. Berterusan setiap hari. Untuk lakukan kebaikan itu sebenarnya tidak susah, tetapi atas diri sendiri untuk pilih dan buat keputusan sama ada mahu lakukannya atau tidak. Saya sebagai seorang bapa, ambil inisiatif untuk didik anak lakukan kebaikan tidak kira masa, tempat atau pada sesiapa pun. Dan kunci kepada mendidik kebaikan kepada anak ini adalah sabar. Nabi pun dah kata orang yang paling kuat ialah orang yang tinggi kesabarannya. Oleh itu ayuh kita semua jadi ibu bapa yang paling kuat :)
“Orang yang gagah perkasa tidak diukur dengan kemenangan dalam pertarungan, tetapi kekuatan yang sebenar ialah orang yang dapat mengawal dirinya ketika marah.” [Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim]Artikel ini mendapat liputan dalam Harian Metro 1 Februari 2017.
Liputan dalam muka depan sisipan Hati, Harian Metro |
Artikel dalam Harian Metro |
Pengasas
Kindness Malaysia
0 comments:
Post a Comment