About

Blog tentang aktiviti-aktiviti amal di dalam dan luar Malaysia

More About Me...

Kita pesimis dengan kesengsaraan insan yang menderita di serata dunia. Laman ini cuba mengundang kembali sekelumit fitrah insani yang cakna dan peka dengan kesengsaraan insan lain. Infaq di jalan Allah...

RSS Subscribe

Pengiktirafan dari World Kindness Movement

Kindness Malaysia kini secara rasminya merupakan ahli World Kindness Movement

Misi Bantuan Kemanusiaan Untuk Mangsa Rohingya di Arakan, Myanmar

Bersama pelarian Rohingya di Arakan (Rakhine), Myanmar

Bantuan Perubatan di Hebron, Palestine

Vitamin C untuk anak-anak Palestine di Hebron

Ziarah ke perkampungan orang asli

Bersama sukarelawan ke kampung orang asli di Pos Betau, Pahang.

Misi Gelandangan Feed The Homeless

Misi Gelandangan Feed The Homeless yang dijalankan setiap hari Sabtu 2 minggu sekali di sekitar Kuala Lumpur

Booking.com

Wednesday, November 16, 2016

Projek Ziarah Kampung Orang Asli Pos Kemar



Pada 11-13 November 2016, Kindness Malaysia, Asrama Darul Falah (ASDAF), Beestorm Sports bersama-sama Sham Aris Auto Service telah menjayakan satu lagi program ziarah ke perkampungan orang asli. Projek kali ini telah memilih Kampung Jarau Baru RPS Kemar, Grik, Perak. Seramai 35 orang sukarelawan telah turut serta bagi menjayakan misi kali ini. Kedudukan geografi perkampungan orang asli kali ini di kawasan pedalaman dan terletak di atas Banjaran Titiwangsa memerlukan kenderaan yang sesuai untuk sampai ke sana. Terdapat dua jalan untuk sampai ke Pos Kemar iaitu jalan tanah merah melalui Sungai Siput atau pun menaiki bot merentasi tasik Banding melalui Grik. Kami memilih untuk menaiki pacuan empat roda (4x4) yang disediakan oleh Sham Aris Auto Service bersama kumpulannya yang merupakan pemandu yang berpengalaman merentasi hutan, bukit bukau, dan sungai. 

Antara sungai yang perlu dilalui untuk sampai ke Pos Kemar

Terdapat juga kereta yang mengalami kerosakan semasa perjalanan


Kampung Jarau Baru merupakan salah sebuah kampung yang terletak di Pos Kemar, Gerik. Kira-kira lebih 50 buah keluarga yang mendiami kampung ini yang terdiri daripada orang tua, dewasa dan kanak-kanak. Kawasan kampung yang terletak di pedalaman dan agak menyukarkan mereka untuk keluar dari kawasan kampung kerana memerlukan kos yang tinggi untuk bergerak keluar. Suasana kampung yang sangat nyaman dan menenangkan menjadikan kami sukarelawan berasa selesa di kampung ini.

Suasana kampung yang sangat menenangkan jiwa

Antara kenderaan yang kami naiki untuk ke pos kemar

Semua sukarelawan berkumpul di ASDAF pada pukul 10.30 malam dan sesi taklimat telah di berikan oleh Pengarah projek kali ini merangkap pengerusi Kindness Malaysia iaitu En Noriduan. Setelah taklimat dan persiapan barang-barang, kami bergerak dari ASDAF pada pukul 11.30 malam menuju ke utara. Perjalanan mengambil masa selama 5 jam untuk sampai ke Masjid Kampung Bawong, Sungai Siput. Kami berehat sebentar melelapkan mata selama sejam untuk menunggu waktu subuh. Setelah subuh, semua bersiap dan sarapan sebelum meneruskan perjalanan ke Pos Kemar pada jam 8.30 pagi.

Kanak-kanak menyambut kedatangan kami

Penyediaan bahan untuk memasak



Perjalanan ke Pos Kemar dari Masjid Kampung Bawong sejauh 55 km merentasi 4 sungai dan 3 puncak bukit mengambil masa selama 3 jam setengah untuk sampai ke sana. Kami sampai di Kampung Jarau Baru pada pukul 12.00 tengah hari. Sesampainya di sana, kami terus menurunkan barang yang diperlukan sepanjang berada disana. Semua sukarelawan mengambil tugasan masing-masing. Sebahagian sukarelawan meneruskan tugas menyediakan makanan tengah hari, sebahagian lagi membuat persediaan membalut hadiah dan sebahagian lagi cuba mendekati kanak-kanak di sana untuk sesi suai kenal. Semakin ramai penduduk kampung keluar membantu dan meraikan kedatangan kami. Kanak-kanak mula datang untuk menyertai pertandingan mewarna dan belajar membuat origami. Kanak-kanak sangat gembira berkongsi cerita mengenai persekolahan dan keindahan kampung mereka. 

Penduduk kampung juga turut membantu membalut hamper


Pertandingan mewarna bersama kanak-kanak

Sukarelawan membantu kanak-kanak dalam pertandingan mewarna


Setelah selesai aktiviti mewarna, kami semua menikmati juadah tengah hari. Menu tengah hari ialah kari ayam dan sayur kubis. Penduduk kampung bermurah hati berkongsi juadah bersama kami. Mereka menyediakan masak lemah pucuk ubi dan ubi goreng. Selesainya menikmati makan tengah hari, para sukarelawan solat zuhur secara berjemaah bersama penduduk kampung. 

Sukarelawan juga turut mencuba menggunakan sumpit

Acara menyumpit untuk golongan dewasa lelaki

Seterusnya persediaan untuk aktiviti sukaneka untuk dewasa dan kanak-kanak . Antara sukaneka yang diadakan  untuk kanak-kanak ialah belon semakin jauh, semakin sayang, cari gula-gula dalam tepung. simpulan kasih sayang, dan bawa bola ping pong dengan sudu. Sukaneka untuk dewasa wanita ialah, bowling kelapa dan makan buah epal tanpa memegangnya. Bagi acara untuk dewasa lelaki ialah pertandingan menyumpit. Acara sukaneka dimulakan pada jam 4.30 petang dan suasana pertandingan sangat meriah dengan sorakan setiap ahli kumpulan. Hadiah diberikan kepada setiap pemenang sejurus selepas pertandingan di jalankan. Setiap acara mendapat sambutan yang menggalakan daripada penduduk kampung. Selesai sahaja acara sukaneka, para sukarelawan mengambil peluang untuk turun ke sungai untuk aktiviti bebas. Sebahagian sukarelawan bersama kaum ibu menyediakan makanan untuk makan malam. 

Bersama peserta sumpit

wajah kanak-kanak yang menyertai sukaneka cari gula-gula dalam tepung

Setelah selesai solat maghrib, penduduk kampung dan para sukarelawan menikmati makan malam yg sangat sedap. Menu kali ini ialah sup tulang, ayam masak kicap dan dan sayur kubis. Setelah selesai makan malam, semua bersiap mengemas kawasan makan dan peralatan. Sebahagiannya lagi menyediakan tempat untuk tidur. 

Makan malam bersama penduduk kampung

Pada keesokan harinya, setelah selesai solat subuh, sebahagian sukarelawan turun ke kawasan dapur untuk penyediaan sarapan pagi. Terdapat juga mula mengemas barang persiapan untuk bergerak pulang. Selesai sarapan, beberapa orang sukarelawan mengambil kesempatan mengadakan aktiviti bersama kanak-kanak, sebelum gotong-royong membersihkan kawasan sekitar kampung. Setelah selesai semua aktiviti, semua sukarelawan mula mengemas barang dan dimasukkan ke dalam kereta. Barang-barang sumbangan yang diberikan oleh paradermawan diserahkan kepada tok batin untuk dibahagi-bahagikan kepada penduduk kampung secara adil.

beramah mesra bersama kanak-kanak


antara sukarelawan yang terlibat yang menjayakan projek ini

Kami bergerak pulang tepat jam 10.30 pagi. Perjalan pulang berasa lebih pendek dan mengambil masa selama 3 jam setengah untuk sampai kembali ke Masjid Kampung Bawong. Rehat sebentar dan solat zuhur di masjid sebelum meneruskan perjalanan pulang ke Kuala Lumpur. Kami daripada Kindness Malaysia mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada semua sukarelawan yang terlibat secara langsung dan tidak langsung, Jutaan terima kasih juga kepada rakan penaja, Beestorm yang telah menaja projek ziarah kali ni. Terima kasih juga ditujukan kepada penaja utama fotografi Kreadea dan juga rakan seperjuangan yang turut menjayakan projek kali ini iaitu ASDAF. Tidak lupa juga terima kasih kepada penyumbang dan penaja yang baik hati memberi tajaan dalam bentuk barangan dan wang ringgit. Semoga usaha dan sumbangan yang diberikan mendapat keberkatan dan redha dari-Nya, Semoga semua sukarelawan yang terlibat dapat mengambil pengalaman yang cukup bermakna ini sebagai salah satu batu loncatan untuk terus melakukan dan menyebarkan kebaikan. Alhamdulillah.

Fatin Amira Nabila Binti Tauran 
Projek Koordinator
Kindness Malaysia


Sunday, November 13, 2016

10 Kebaikan yang Tidak Perlu Wang Ringgit



Nak lakukan kebaikan ini sebenarnya tak susah pun. Tahukah kita ada banyak cara untuk lakukan kebaikan tanpa menggunakan wang Ringgit? Sempena dengan Hari Kebaikan Sedunia (World Kindness Day) hari ini, saya kongsikan 10 cara untuk lakukan kebaikan tampa menggunakan duit.

Beri laluan semasa memandu itu perlu kesabaran yang tinggi


1- Beri Laluan Semasa Memandu
Kita semua tahu di Malaysia kebanyakan pemandu suka memandu seperti pemandu F1. Kali ini kita cuba pula untuk beri laluan kepada pemandu lain yang ingin memotong. Beri laluan untuk orang melintas jalan. Bila kita tidak bersaing untuk beri laluan, sebenarnya kita dah kurangkan stress semasa memandu.

Like dan komen post kawan-kawan yang bawa mesej yang baik
2- Like dan Komen di Media Sosial
Kita ada ramai kawan dalam media sosial terutama sekali dalam Facebook. Apa kata setiap kali kita ternampak satu posting yang berunsur positif, kita like. Satu sumbangan like ini akan membuatkan kawan kita gembira secara tidak sedar. Jika lebih rajin, boleh komen tanda sokongan. Bila sokongan seperti ini berterusan, barulah lebih ramai kawan-kawan kita post sesuatu yang positif. Dan jika posting itu memberi inspirasi, kita share sekali di wall kita supaya lebih ramai dapat inspirasi tersebut.

3- Latih Diri Berterima Kasih
Nampak mudah, tapi tidak semudah itu. Sebenarnya mudah sahaja. Apa sahaja yang berlaku di sekeliling, kita ucapkan terima kasih. Bila kita beli sesuatu di gerai, kita ucap terima kasih kepada makcik yang berniaga. Bila orang tahankan lift untuk kita, kita ucapkan terima kasih. Ucapan terima kasih ini mampu membuatkan orang tersenyum.

Senyumlah dengan waiter, nanti dia akan sediakan makanan yang terbaik untuk kita
4- Layan Waiter Dengan Baik
Selalunya bila kita berada di restoran, waiter atau waitress akan datang untuk ambil tempahan makanan. Saya teringat kata-kata seorang rakan saya, jika kita kurang adab dengan waiter, maknanya kita ini bukanlah seorang yang baik. Cakap elok-elok, senyum dan layannya seperti mana kita mahu dilayan. Tak kiralah waiter itu orang tempatan atau orang asing. Lagi-lagi apabila di kedai mamak.

Duduk sama tinggi dengan anak kecil untuk eratkan keakraban
5- Mata Bertentang Mata
Ini dilakukan apabila kita dengan anak-anak kecil. Bila kita bercakap dengannya, kita boleh rendahkan badan kita dengan bercangkung dan bercakap dengannya supaya mendapat same level eye contact. Perbuatan ini akan buatkan kita lebih mesra dengan mereka, lagi-lagi jika bercakap dengan anak sendiri.

Masukkan gerai kegemaran anda dalam aplikasi peta seperti Waze dan Google Map
6- Tanda Gerai Kegemaran Dalam Peta Waze atau Google Map
Ini antara kegemaran saya. Kita tahu gerai roti canai paling sedap di sekitar rumah kita. Atau makcik yang jual nasi lemak Seringgit yang sedap. Kita boleh bantu perniagaan mereka dengan menanda perniagaan mereka dalam Waze atau Google Map. Lagi bagus jika kita letak sekali waktu operasi dan gambarnya. Dengan cara ini perniagaan mereka juga boleh berkembang.

Bawa pasangan bercuti bersama keluarga ialah satu idea kejutan yang menarik


7- Kejutan Untuk Pasangan
Lakukan kejutan untuk pasangan anda. Sekali sekala lakukanlah kejutan dengan mereka. Masak untuk isteri, buat home made card dengan ayat-ayat manis. Melakukan sesuatu di luar rutin ini akan buatkan kasih sayang itu bertambah erat.

Pujian dari boss itu penting untuk tingkatkan semangat bekerja
8- Pujian Dari Seorang Bos
Jika anda merupakan seorang bos dalam syarikat, ambil masa untuk hantar mesej memuji kerja-kerja yang dilakukan oleh pekerja anda. Ini cuma perlu kurang dari 5 minit. Guna aplikasi Whatsapp atau messenger yang lain. Pujian yang mudah seperti " Saya suka cara awak uruskan projek semalam", atau "Terima kasih kerana bantu saya minggu lepas". Memang nampak macam kena turunkan ego, tapi ini akan buatkan pekerja kita lebih bersemangat untuk bekerja.



9- Tegur Bila Ada Dalam Lift
Sudah pasti kita pernah berada dalam situasi dalam lift, tiba-tiba semua orang senyap. Seolah-olah semua ada kerja sendiri. Ini selalu berlaku dalam lift di kawasan perumahan. Ambil peluang untuk bertegur sapa, terutama yang telah lama menjadi jiran kita. "Cuti ke hari ini?". Contoh ayat yang boleh digunakan di hujung minggu. Atau boleh guna ayat-ayat ice breaking yang lain yang boleh memulakan perbualan.

Hubungi ibu bapa anda sekarang...

10. Hubungilah Ibu Bapa Anda
Tips terakhir sekali ialah hubungilah ibu bapa anda. Sekali sekala kena telefon, tanya khabar, bersembang dan boleh imbas kisah-kisah dahulu yang mencuit hati. Tak semua ibu bapa yang tahu guna aplikasi mesenger. Oleh itu hubungi mereka. Dengar suara itu adakala beri impak yang lebih besar buat mereka.

Mudahkan untuk lakukan kebaikan. Tidak perlukan duit, cuma perlu dilakukan sahaja. Saya tahu ada banyak lagi kebaikan yang boleh dilakukan tanpa menggunakan duit. Kongsikan idea anda di sini.

Artikel ini tersiar dalam Her World Malaysia dan The Vocket.

Muhammad bin Kamarulazizi
Pengasas
Kindness Malaysia

Friday, November 4, 2016

Projek Hiking Kindness Pahang bersama Anak-Anak Hembusan Kasih Sayang


Projek : Hiking Kindness Pahang bersama Anak-anak Hembusan Kasih Sayang
Hari/Masa : Sabtu/8pagi
Tarikh : 29.10.2016
Tempat : Perkarangan Teluk Cempedak (TC)

adik-adik Pusat Jagaan Hembusan Kasih Sayang


Projek Kindness Pahang kali ini adalah lain dari yang lain. Kami cuba menzahirkan kebaikan dengan aktiviti berbeza. Projek Hiking ini melibatkan 28 orang anak-anak dari Pusat Jagaan Hembusan Kasih Sayang, Kuantan. Kali ini juga, kami dengan besar hati menerima kunjungan dan penglibatan sukarelawan dari Kindness Malaysia iaitu Haziq, Fuad, Iman dan Shahrizal.

Sukarelawan Kindness Malaysia dari Kuala Lumpur bersama adik-adik Pusat Jagaan Hembusan Kasih Sayang


Seronok melihat keterujaan dan semangat mereka. Pada mulanya kami sangat risau kerana keadaan hujan lebat hampir setiap hari menjelang tarikh projek. Tetapi pada pagi kejadian, alhamdulillah...segala urusan dipermudahkanNya.

Sesampai di tempat berhimpun, kami bersarapan bersama. Kemudian, adik-adik ini dibahagikan mengikut kakak dan abang angkat masing-masing. Perjalanan mendaki dimulakan sejurus bacaan doa. Sepanjang pendakian semua sukarelawan dan adik-adik yang terlibat sangat seronok hingga hilang rasa kepenatan. 

Semasa memulakan pendakian

Hampir sejam, kami selamat sampai dan menawan puncak Bukit Pelindung. Melihat pemandangan Bandar Kuantan yang cukup indah, sedikit sebanyak dapat menghilangkan rasa lelah kami. Tanpa berlengah, kami mengambil foto yg indah sebanyak mungkin.

Bersama para sukarelawan di sepanjang pendakian

Selesai sesi bergambar, kami turun melalui jalan yang sama. Kami mengambil masa hampir sejam juga untuk sampai ke tempat permulaan. Di bawah, tidak kurang hebatnya. Sukarelawan bekerjasama menyiapkan hidangan makanan dan minuman utk mereka yang mendaki.

Di puncak Bukit Pelindung

Sesampainya di tempat mula berhimpun tadi, mereka terus diberi minuman dan berehat sebentar sebelum makan. Sesudah makan, sesi kejutan sambutan hari lahir. Suka melihat semua gembira.

Hidangan tengah hari yang disediakan 

Kejutan sambutan Hari Lahir 

Pihak pengurusan Kindness Pahang dengan ini sangat berbesar hati mengucapkan setinggi tinggi penghargaan terima kasih kepada semua penaja yang menyumbang untuk projek kali ini. Alhamdulillah, sumbangan yang sangat banyak kami terima. Terima kasih kepada pihak MPK (Jabatan Landskap) atas kebenaran projek ini dijalankan, terima kasih kepada sukarelawan dari Kindness Malaysia yang sanggup datang untuk meraikan adik-adik ini. Walaupun baru berjumpa, hubungan erat dan kerjasama yang padu daripada Haziq, Shahrizal, Iman dan Fuad amat kami hargai. Moga hubungan silaturrahim ini akan berterusan. 

Terima kasih kepada pengurus PJHKS (Puan Azlina) yang sudi memberi peluang kepada Kindness Pahang untuk menceriakan adik-adik ini. Moga mereka gembira dengan aktiviti hari ini. Terima kasih kepada AnQ Printing yang telah menaja tshirt adik-adik ini. Kemas dan cantik design baju tersebut. Tidak lupa ucapan terima kasih ini juga kami ucapkan kepada semua volunteer Kindness Pahang yang terlibat dan bertungkus lumus sepanjang projek ini dijalankan. Teamwork yang sangat hebat telah mereka tonjolkan.

Akhir kata, sungguh aktiviti ini meletihkan, memenatkan tetapi disebalik semua itu pelbagai kenangan indah telah terukir, perasaan suka akan hadir, perasaan rindu akan bertandang. Moga hubungan kebaikan antara kita semua lebih erat, jalinan kerjasama antara volunteer makin kuat dan Kindness Pahang akan terus maju dan berkembang dalam menyebarkan kebaikan dengan cara yang santai dan  kreatif.

Moga berjumpa lagi di lain ketika, di lain masa, di lain tempat, di lain kebaikan...

Kindness Pahang bersama para suakrelawan dan Anak-anak Pusat Jagaan hembusan Kasih Sayang

Ashira Abu Bakar
Projek Koordinator
Kindness Pahang

Thursday, November 3, 2016

Pengalaman Ke Kampung Orang Asli Pos Brooke Lama Gua Musang

Gambar kenang-kenangan bersama penduduk Kampung Orang Asli Pos Brooke Lama

Pada 28 Oktober - 30 Oktober 2016, Program ziarah ke perkampungan orang asli membawa misi dakwah dan ziarah telah dianjurkan oleh Asrama Darul Falah (ASDAF) dengan kerjasama Kindness Malaysia. Lokasi pilihan kali ini di Perkampungan Orang Asli Pos Brooke Lama, Gua Musang di sempadan Kelantan. Perkampungan ini terletak kira-kira 10 km dari Cameron Highland, arah Gua Musang. Seramai 26 orang sukarelawan termasuk Ahli Jawatankuasa PERKIM cawangan  ASDAF, pelajar ASDAF dan para sukarelawan turut serta dalam program ziarah ke perkampungan orang asli kali ini. Kampung Pos Brooke Lama menempatkan 40 buah keluarga yang terdiri daripada orang dewasa dan kanak-kanak. Penduduk kampung sangat ramah, baik hati dan menyambut kedatangan kami dengan gembira terutama sekali kanak- kanak.

Pintu masuk ke Kampung Orang Asli Pos Brooke Lama

Sesi ramah mesra bersama kanak-kanak

Kami berkumpul di ASDAF dan sebelum bertolak, ketua program memberi taklimat, pembahagian tugas dan sesi perkenalan antara sukarelawan. Kami memulakan perjalanan  pada pukul 11 malam ke destinasi yang dituju. Pada pukul 2.30 pagi kami tiba di Simpang Pulai, Perak untuk makan dan berehat. Kami bermalam di surau perkampungan orang asli Kerawat, Simpang Pulai. Selepas solat subuh dan sarapan pagi, kami meneruskan perjalanan ke Kampung Orang Asli Brooke Lama. Perjalanan mengambil masa selama satu jam dan setibanya kami di sana, kami di sambut oleh penduduk kampung.

Perkongsian bersama kanak-kanak mengenai kampung mereka

Kedatangan kami ini telah diketahui penduduk kampung, Oleh itu,  terdapat beberapa orang penduduk kampung sedang menyiapkan meja makan yang diperbuat daripada buluh. Para sukarelawan turut membantu memasang khemah di kawasan meja buluh dan membersih kawasan sekitar. Sebahagian lagi sukarelawan membantu untuk mengeluarkan barang dari kenderaan untuk persediaan memasak  dan menyiapkan makanan tengah hari. Terdapat juga sukarelawan bermain dengan kanak-kanak untuk menarik perhatian mereka kerana kami akan mengadakan pertandingan bersama kanak-kanak.

Khemah dan meja buluh yang telah siap di pasang

Pertandingan mewarna dengan kanak-kanak


Antara kanak-kanak yang menyertai pertandingan mewarna
Bersamangat kanak-kanak menyertai pertandingan mewarna
Aktiviti kanak-kanak dimulakan dengan perkenalan diri dan diteruskan dengan pertandingan mewarna dan melukis. Mereka sangat bersemangat untuk menyertai dan memenangi pertandingan ini. Melalui pertandingan ini, kita boleh lihat bakat terpendam dan kebolehan mereka. Terdapat ibu bapa turut serta untuk menunjuk ajar pada anak-anak mereka.  Kami turut bertukar-tukar cerita dengan kanak-kanak di sana mengenai keadaan kampung mereka. Kampung mereka terdapat sebuah padang bola yang besar sesuai untuk aktiviti sukan dan terdapat 3 batang sungai yang mengalir merentasi kampung tersebut. Namun begitu, terdapat sungai yang telah dicemari dengan aktiviti pertanian di kawasan Cameron Highlands.

Sukarelawan bersama penduduk kampung menyediakan bahan masakan
Masakan dalam buluh

Gotong-royong membersihkan ayam

Salah satu sungai di perkampungan ini
Selepas solat zohor, aktiviti diteruskan dengan jamuan makan tengah hari. Terdapat juga hidangan tradisi yang dimasak oleh orang kampung menjadi tarikan kami. Antaranya nasi buluh yang dimasak dalam buluh, pulut, ayam kicap yang dimasak dalam  buluh dan ubi rebus. Semasa pertandingan dijalankan, beberapa orang sukarelawan sempat beramah mesra dan berbual- bual dengan penduduk kampung di meja makan buluh Terdapat juga beberapa orang sukarelawan dan penduduk kampung sedang menyiapkan hidangan petang. Selepas solat asar, sedikit perkongsian ilmu turut diadakan selaian meneruskan jamuan minum petang dan aktiviti bebas. 

Beratur untuk mendapatkan makanan tengah hari

Menu tengah hari, nasi putih, ayam goreng, sup ayam dan sayur kubis
Selepas solat Asar, aktiviti sukaneka untuk kanak-kanak akan dijalankan. Namun cuaca mendung dan hujan renyai-renyai telah menyebabkan aktiviti seterusnya ditunda dan diteruskan dengan permainan dalaman untuk kanak-kanak sementara menunggu hujan berhenti. Sementara itu, sukarelawan yang ditugaskan untuk penyediaan makanan sedang bergotong-royong bersama penduduk kampung menyediakan makan malam. Setelah hujan berhenti, aktiviti diteruskan dengan acara sukaneka di padang kampung.  Kanak-kanak dibahagikan dengan berpasang-pasangan bagi memudahkan aktiviti sukaneka yang akan dijalankan. Antara pertandingan yang dijalankan adalah balingan belon air semakin jauh semakin sayang dan larian ikat kaki berpasangan. Hanya dua acara sukaneka sahaja dapat dijalankan kerana masa tidak mengizinkan dan hampir malam. Penduduk kampung dan kanak- kanak pulang ke rumah untuk persiapan solat maghrib berjemaah di surau. Setelah solat maghrib, sesi perkongsian ilmu oleh Pengetua ASDAF diadakan dan diteruskan dengan solat isyak serta jamuan makan malam. Pada waktu malam tiada aktiviti dapat dijalankan kerana hujan turun.

Perkongsian dan tazkirah selepas solat
Sukaneka belon semakin jauh, semakin sayang

Penutup dan penyampainan hadiah

Gambar kenang-kenangan bersama penduduk kampung

Pada keesokan paginya, dimulakan dengan solat subuh secara berjemaah  dan  perkongsian ilmu. Aktiviti pagi diteruskan dengan aktiviti mengemas dan penyediaan sarapan pagi untuk penduduk kampung. Majlis penutupan pula dimulai dengan ucapan daripada Tok Batin, Tok Imam dan penganjur serta  penyerahan cenderahati dan hadiah buat peserta-peserta pertandingan. Perpisahan kami diakhiri dengan buah tangan dari penduduk kampung dengan hasil alam semula jadi. Semoga pengalaman dan ilmu yang diperoleh dalam program kali ini memberi manfaat kepada para sukarelawan dan penduduk kampung. Terima kasih kepada penyumbang yang baik hati dan pemurah yang telah memberi sumbangan dari segi wang ringgit dan barangan.T erima kasih juga kepada warga Asrama Darul Falah (ASDAF) kerana memberi peluang kepada kami sukarelawan Kindness Malaysia untuk turut serta dalam menjayakan program ziarah dan dakwah pada kali ini. Semoga diberi kesempatan untuk ke sini lagi. 

Amrail Danial bin Alias 
Sukarelawan 
Kindness Malaysia

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...