Orang ramai akan berebut untuk melakukan amal jariah terutama sekali menjelang bulan Ramadhan. Rumah-rumah anak yatim dan kebajikan, masjid dan surau, madrasah serta keluarga fakir miskin akan menerima kunjungan baik daripada individu, syarikat korporat mahupun agensi kerajaan. Kebanyakannya dengan hasrat yang sama, iaitu menyampaikan derma atau sumbangan. Atau paling tidak untuk jemputan berbuka puasa.
berbuka makan ringan dengan kurma dan kuih |
Namun begitu, ada beberapa perkara yang menjadi dilema dan beban buat pengurusan rumah kebajikan. Antara beberapa perkara yang perlu diambil kira oleh setiap dermawan.
Adab Jemputan Berbuka Puasa
1- Pengangkutan
Sediakan pengangkutan seperti bas untuk warga penghuni rumah anak yatim tersebut. Atau sekurang-kurangnya transport untuk mereka ke lokasi berbuka puasa. Tidak semua rumah kebajikan yang mempunyai bas atau transport sendiri. Meminta rumah kebajikan untuk menyediakan bas sendiri adalah beban kerana kos pengangkutan sendiri boleh menjangkau beberapa ratus Ringgit. Sekurang-kurangnya berikan duit untuk tambang ke lokasi majlis. Jika ada pegawai yang dapat turut serta dalam bas adalah lebih baik.
2- Ruang Solat
Sediakan ruang untuk solat Maghrib. Koordinasi ini penting kerana anak-anak yatim ini biasanya sudah dilatih untuk solat berjemaah. Tapi apabila tiba bulan Ramadhan, pernah berlaku anak-anak yatim ini tidak mempunyai tempat untuk bersolat. Atau surau agak jauh dari tempat berbuka puasa. Kita cuba elak dari situasi melakukan kebaikan tapi masa yang sama melakukan dosa yang tidak disangka. Sekiranya aturcara majlis, melibat solat Isya dan tarawih adalah lebih menggalakkan.
3- Aturcara Majlis
Apabila merancang untuk berbuka puasa, adalah sangat baik jika organizer (dermawan) berbuka dahulu dengan makanan yang ringan seperti kurma, kuih dan air. Kemudian solat Maghrib berjemaah dan selepas itu baru menjamu makanan berat. Boleh pilih anak-anak ini untuk bacakan doa berbuka puasa selaku tetamu yang diraikan.
4- Person in Charge (PIC) untuk Rumah Anak Yatim
Biasanya anak-anak yatim ini akan diberikan meja khas untuk mereka duduk. Satu meja 10 orang dan ada sampai 5 hingga 10 meja untuk rumah-rumah kebajikan. Sebaiknya jika organizer dapat tugaskan sekurang-kurangnya seorang komiti untuk duduk semeja bersama dengan pengetua atau penjaga. Kadang-kadang pihak organizer terlepas pandang hal ini, membuatkan penjaga rumah anak yatim ini tidak tahu menahu flow program. Anak-anak nak pergi tandas pun tak tahu ke mana.
5- Sumbangan dan Duit Raya
Selepas berbuka puasa, biasanya dermawan akan menyediakan duit raya untuk anak-anak rumah kebajikan tersebut. Sediakanlah sekali sedikit sumbangan untuk rumah kebajikan tersebut. Lebih indah jika dapat berikan duit raya kepada penjaga, pengetua atau sukarelawan yang bantu iring anak-anak yatim ini. Kita pun tahu, semua orang akan gembira bila terima duit raya, tak kira besar atau kecil. Pemberian goodie bag juga digalakkan.
6- Ruang Menunggu
Jemputan anak-anak yatim dan miskin biasanya akan bergerak daripada rumah kebajikan mereka selepas Asar. Ada yang terpaksa gerak sebelum Asar kerana risau tersangkut dalam kesesakan lalu lintas terutama sekali waktu orang pulang dari kerja. Bagi yang bergerak awal, mereka akan tiba di lokasi awal. Sebaiknya organizer sediakan tempat menunggu untuk mereka. Atau sekurang-kurangnya di dalam surau dimana anak-anak boleh mengaji al Quran dahulu sementara masuk ke dewan makan. Jika terus duduk di dewan makan, boleh tayangkan video pendidikan, atau paling kurang pun kartun Upin dan Ipin. Oh ya, perlu take note ada anak-anak ini yang bersekolah petang. Oleh itu agak sukar untuk mereka datang awal.
bantu untuk cedokkan makanan kepada anak-anak yatim. |
Peluang untuk beramal semasa bulan Ramadhan ini sangat banyak. Syarikat korporat terutama sekali bahagian Korporat Komunikasi sudah pasti akan mula mencari-cari rumah anak yatim untuk diraikan. Kita rancang sebaiknya, supaya mereka yang kita raikan ini gembira dan majlis menjadi penuh barokah, insyaAllah.
Muhammad bin Kamarulazizi
Pengasas
Kindness Malaysia
0 comments:
Post a Comment