“Nabi Isa a.s. berkata kepada iblis yang bermaksud: “Siapa yang paling kau senangi? Jawab iblis: “Orang mukmin yang bakhil”. Nabi Isa a.s. bertanya lagi: “Siapa yang paling kau benci? Iblis menjawab: “Orang fasiq yang dermawan.” “Mengapa begitu?”, tanya Nabi Isa a.s. Iblis menjawab: “Ya, aku menginginkan dari orang mukmin yang bakhil agar ketamakannya itu menjerumuskannya ke jurang kemaksiatan, dan aku sangat khuatir kalau keburukan-keburukan orang fasiq itu terhapus oleh kedermawannya.” ~ Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani
Terkenang kisah di atas oleh salah seorang ahli Sufi yang amat saya kagumi iaitu Syeikh Abdul Qadir Al- Jailani. Kebanyakan kata-kata yang datang daripadanya amat menyentuh berkenaan dengan hal kerohanian dan amat menekankan aspek penyucian hati. Saya terpanggil untuk menulis berkenaan dengan isu terkini yang melibatkan rumah-rumah anak yatim atau rumah kebajikan yang dilabelkan sebagai rumah anak yatim palsu oleh sesetengah pihak dan individu.
Dalam Islam sendiri, anak-anak yatim ini ditempatkan sebagai mereka yang istimewa. Seperti Firman Allah di dalam Al-Quran mengatakan
"...dan berbuat baiklah kepada kedua ibu-bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, serta orang-orang miskin dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik..."~ Al-Baqarah ayat 83
Rumah anak yatim ini tumbuh dengan banyak terutama sekali di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Apakah pendapat pertama yang terlintas dari fikiran kita berkenaan dengan kenyataan ini? Sebenarnya rumah-rumah kebajikan ini tumbuh dengan meluas adalah antara tanda-tanda Allah itu sayangkan kita, dan sentiasa memberi peluang kepada kita untuk menambah saham di akhirat. Setiap sumbangan yang kita berikan itu bercambah dengan cepat dengan syarat kita melakukan keranaNya.
“Bandingan pahala orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti biji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap satu tangkai itu pula mempunyai seratus biji. Dan ingatlah Allah akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas rahmat kurnia-Nya, lagi Meliputi Ilmu Pengetahuan-Nya. ”~Al-Baqarah ayat 261
Melabur saham akhirat ini mempunyai beberapa syarat yang penting bagi mendapat hasil yang sebenar. Ikhlas, dan mencapai keredhaanNya adalah kunci agar saham dibeli ini akan menjadi aset yang penting kelak. Dimana untuk beli saham akhirat ini? Dimana sahaja, tidak kira pada siapa atau apa., tapi ingat syarat yang sama, ikhlas dan keredhaanNya. Kita boleh berikan duit kepada peminta sedekah, dengan harapan duit yang diberikan itu akan memudahkan kehidupannya pada hari tersebut. Kita boleh belanjakan kawan kita makan, dengan harapan kawan kita itu juga terdetik untuk melakukan perkara sama kepada orang lain. Kita boleh sentiasa senyum dan bersabar apabila ada orang memaki kita, dengan harapan orang yang maki kita itu sedar dan tidak melakukan kepada orang lain. Kita boleh ajak penagih dadah makan bersama, dengan harapan penagih dadah tersebut akan rasa diri masih disayangi dan mungkin terdetik untuk berubah. Kita boleh bantu mat rempit yang terjatuh semasa berlumba di jalan raya, dengan harapan perbuatan kita ini akan melembutkan hatinya untuk menjadi insan yang lebih berguna. Semua ini adalah saham akhirat. Kita tidak nampak secara realiti hasil dari saham itu iaitu syurga. Sekiranya kita boleh lihat dengan mata sendiri bagaimana rupa syurga itu, sudah pasti orang ramai akan berebut-rebut untuk melakukan kebaikan. Contoh yang mudah, saham dunia. Ramai akan berebut apabila dapat tahu yang pulangan simpanan di sesebuah bank itu ialah 10% setahun. Sekiranya dilaburkan RM1000, maka akan peroleh RM100 dalam masa setahun. Adakah kita juga akan berebut untuk dapatkan syurga yang dijanjikan Allah?
"Sesiapa yang masuk syurga, ia akan merasakan kenikmatan dan tidak akan menderita. Pakaiannya tidak akan lusuh dan masa mudanya tidak akan habis. Di syurga terdapat hal-hal yang tidak pernah dilihat mata, didengar telinga dan tidak pernah terdetik di benak manusia"~ Hadis Riwayat Muslim
Tapi apakah yang akan berlaku sekiranya kita memberi sumbangan kepada "Rumah Anak Yatim Palsu"? Asalnya niat kita adalah untuk menyumbang kerana Allah. Apabila kita memberi, maka selesai sudah pelaburan saham kita untuk akhirat kelak. Dengan niat dilakukan hanya untuk mendapat keredhaanNya, insyaAllah sumbangan dan derma itu akan diterimaNya. Jika rumah itu palsu, atau anak-anak yatim itu palsu atau pengurusan itu palsu, itu adalah tanggungjawab mereka dengan Allah.
Apa salahnya sekiranya kita menderma dan mendapati mereka bukannya anak yatim? Tiada salahnya, malahan kita membantu saudara kita. Ini yang dinamakan kindness. Kita berbuat baik tidak kira pada sesiapa pun, kerana apa yang kita kejar itu adalah keredhaanNya. Apa yang kita impikan itu adalah syurga yang abadi.
Oleh yang demikian, ayuh kita terus sahaja lakukan kebaikan. Selagi ada rezeki lebih, boleh kita kongsikan dengan anak yatim, orang miskin, peminta sedekah, adik beradik, kawan-kawan, pakgad, makcik cleaner mahupun bos kita. InsyaAllah akan peroleh keredhaanNya. Usah kita terlalu sibuk bertanya kemana duit sumbangan kita itu pergi. Itu rezeki mereka. Allah juga dah tetapkan rezeki kita juga. Sama-sama kita doakan agar kita sentiasa tergolong dalam insan-insan yang dikasihiNya dan tidak tergolong kepada mereka yang gemar kepada hal duniawi semata-mata.
p/s Sekiranya benar rumah anak yatim tersebut palsu, mari kita bantu pengurusan rumah anak yatim tersebut agar masalah ini diperbetulkan. Kita kasihan pada anak-anak yang menjadi mangsa. Setakat share dan kongsi tanpa bukti yang kukuh, risau jadi saham dosa pula untuk kita yang takkan putus dek cepatnya informasi sebegini tersebar melalui sosial media. Fikirkan yang terbaik, jika pengurusan rumah anak yatim itu salah, kita sama-sama bantu untuk betulkan. Lagipun, impian semua orang juga untuk masuk ke syurga, betul tak? :)
p/s Sekiranya benar rumah anak yatim tersebut palsu, mari kita bantu pengurusan rumah anak yatim tersebut agar masalah ini diperbetulkan. Kita kasihan pada anak-anak yang menjadi mangsa. Setakat share dan kongsi tanpa bukti yang kukuh, risau jadi saham dosa pula untuk kita yang takkan putus dek cepatnya informasi sebegini tersebar melalui sosial media. Fikirkan yang terbaik, jika pengurusan rumah anak yatim itu salah, kita sama-sama bantu untuk betulkan. Lagipun, impian semua orang juga untuk masuk ke syurga, betul tak? :)
Muhammad bin Kamarulazizi
0 comments:
Post a Comment