About

Blog tentang aktiviti-aktiviti amal di dalam dan luar Malaysia

More About Me...

Kita pesimis dengan kesengsaraan insan yang menderita di serata dunia. Laman ini cuba mengundang kembali sekelumit fitrah insani yang cakna dan peka dengan kesengsaraan insan lain. Infaq di jalan Allah...

RSS Subscribe

Pengiktirafan dari World Kindness Movement

Kindness Malaysia kini secara rasminya merupakan ahli World Kindness Movement

Misi Bantuan Kemanusiaan Untuk Mangsa Rohingya di Arakan, Myanmar

Bersama pelarian Rohingya di Arakan (Rakhine), Myanmar

Bantuan Perubatan di Hebron, Palestine

Vitamin C untuk anak-anak Palestine di Hebron

Ziarah ke perkampungan orang asli

Bersama sukarelawan ke kampung orang asli di Pos Betau, Pahang.

Misi Gelandangan Feed The Homeless

Misi Gelandangan Feed The Homeless yang dijalankan setiap hari Sabtu 2 minggu sekali di sekitar Kuala Lumpur

Booking.com

Saturday, November 21, 2015

Feed The Homeless di Kuantan oleh Kindness Pahang



Projek08-Gelandangan-Feed The Homeless 
Tempat : Kuantan, Pahang
Masa : 11 malam 
Tarikh : 14/11/2015 (Sabtu)

Ini adalah projek pertama Kindness Pahang, menyantuni gelandangan sekitar Kuantan, Pahang. Sepanjang perjalanan ke lokasi, kami agak risau kerana hujan sangat lebat. Berdebar-debar apakah keadaan yang akan kami lalui nanti. Tepat pukul 11.05 malam, kami tiba di lokasi perhimpunan iaitu di Taman Kerang, Kuantan.

Setibanya di situ, kami telah dibantu oleh para sukarelawan Kindness Pahang dan sukarelawan perseorangan yang telah turut serta terus membungkus barang-barang makanan hasil sumbangan para dermawan yang sangat bermurah hati. Dalam satu bungkusan terdapat air kotak, air mineral, nasi goreng, roti dan buah. Alhamdulillah kami dapat mengumpulkan sebanyak 60 pek makanan.

taklimat do and dont sebelum memulakan misi Feed The Homeless

Memandangkan projek kali ini melibatkan ramai ahli, kami membahagikan kepada 3 kumpulan untuk bergerak kerana golongan gelandangan juga berselerakan di sekitar Kuantan ini. Satu kumpulan pergi ke kawasan Hospital Tuanku Ampuan Afzan (HTAA), satu kumpulan ke Kuantan Plaza dan sekumpulan lagi ke Pasar Besar Kuantan.

Sesi pengagihan bermula jam 12.05 pagi dan berakhir lebih kurang jam 1.10 pagi. Pelbagai rasa kami lalui sepanjang pengagihan tersebut. Sebelum terlibat dengan projek ini, tidak pernah pula terfikir keadaan gelandangan ini. Tetapi apabila melihat dengan dekat, betapa sayunya hati. Terasa betapa lambatnya kami mendidik diri dalam melakukan kebaikan ini.

Melihat mereka serba kekurangan, tidur malam berbumbungkan langit hitam pekat, beralaskan lantai sejuk, keras, kotor, berair berbanding kita beralaskan tilam bersih malah empuk. Berbantalkan lengan, simpulan baju lusuh, lipatan kotak buangan berbanding kita bantal 2, 3 biji untuk keselesaan teramat. Tiada baju persalinan berbanding kita yang lebih dari 1 almari baju dengan pelbagai pilihan. Tiada bekalan makanan berbanding kita yang makanan sangat berlebihan hingga dibuang begitu sahaja.

Lokasi berkumpul di Taman Kerang, Kuantan
Adakah mereka meminta untuk menjadi seperti itu? Tentu sekali lah tidak. Mereka juga mengimpikan segalanya yang baik sebagaimna kita. Tetapi sekarang masanya mereka diuji. Tanpa sedar kita juga sebenarnya diuji. Diuji apakah kita ada rasa peduli insan yang lebih susah berbanding kita, diuji adakah kita sentiasa mendongak ke langit tanpa memandang rumput di bawah, diuji ikhlas kah kita jika kita memberi pun hanya untuk segelintir golongan tertentu, diuji adakah masih ada sifat belas kasihan di dalam hati sanubari kita.

Paling menyentuh hati adalah ketika kami terserempak dengan sekumpulan kanak kanak yang bermain kegembiraan di lorong gelap. Sedihnya melihat keadaan begitu. Tentu sekali kita tidak mahu anak kita bermain di tempat sedemikian. Tetapi mereka masih melemparkan senyuman manis ketika kami mendekati mereka.

Ada yang semasa memberi bungkusan makanan, mereka terus membuka dan makan tanpa melihat kiri kanan mungkin kerana sangat lapar. Sambil mempelawa kami roti yang terdapat juga dalam bungkusan itu. Terkedu seketika di mana mereka hanya ada bekalan itu tetapi masih ingin berkongsi, berbanding kita yang masih berkira kira dalam memberi.

Ada juga situasi ketika salah seorang daripada mereka menceritakan kisah yang membuatkan kami terdiam berfikir. Katanya dia pernah menyertai program gelandangan ini suatu ketika dahulu, tetapi sekarang sudah tiada di Kuantan, tetapi malam  ini dia sangat terharu kerana adanya lagi program sebegini. Dan sekarang dia salah seorang yang menerima sumbangan pula.

gelandangan di Kuantan tidak seramai di Kuala Lumpur
Setelah selesai proses pengagihan, kami berkumpul semua di tempat permulaan untuk rumusan tentang program gelandangan ini. Terlalu banyak situasi yang menginsafkan kami sepanjang program tersebut dijalankan. Kesedaran ini tidak terjumpa di mana mana. Tidak perlu cerita yang panjang lebar untuk khabaran penginsafan, hanya paparan kehidupan yang berbicara kesemuanya.

Kami sangat berterima kasih atas segala sumbangan dari semua insan yang sangat bermurah hati menaja makanan dan tidak lupa juga kepada semua sukarelawan yang hadir untuk turut serta terlibat dalam program ini. Sungguh tidak kami menyangka terlalu ramai yang ingin berkongsi nikmat bersama sama gelandangan ini. Semoga usaha yang sedikit ini dikira dan dilihat olehNya. In shaa Allah kami akan  merancang lagi aktiviti seperti ini di lain masa, di lain ketika. Semoga mereka terus tabah dalam menghadapi kehidupan yang penuh cabaran ini.

Ashira Abu Bakar
Projek Koordinator Kindness Pahang
Kindness Malaysia

Friday, November 20, 2015

Bengkel Cara Untuk Kumpul Dana Bersama Mahasiswa Malaysia di Universiti Islam Negeri Aceh


12 November 2015 - Aceh, Indonesia. Team Kindness Malaysia berkesempatan untuk ke Aceh Indonesia bagi melebarkan sayap dalam misi menyebarkan kebaikan di rantau Asia Tenggara (ASEAN). Salah satu daripada aktiviti di Aceh yang memberi bengkel mini (crash course) tentang bagaimana untuk mengumpul dana bagi aktviti persatuan. Kebanyakan persatuan mahasiswa di peringkat universiti mahupun kolej biasanya mengalami masalah untuk mendapatkan dana. Aktiviti fundraising ini menjadi antara cabaran utama untuk menjayakan sesebuah aktiviti atau program.

Bapak Putra dari Rumah Makanul Ubudiyah memberi buah pendapat

Pelajar Malaysia di Universiti Islam Negeri Aceh

Team Kindness Malaysia telah menggunakan teknik Logical Framework Approach bagi membantu mahasiswa mahasiswi pelajari cara untuk mendapatkan dana. Pembelajaran berlangsung selama dua jam dimana banyak perkara dibincangkan terutama sekali dalam penyediaan surat dan proposal. Pendekatan public relation (pr) juga penting dan harus faham tentang "donor's behavior"

Pihak Kindness Malaysia mengucapkan jutaan terima kasih kepada para dermawan yang bermurah hati menaja aktiviti menyebar kebaikan di Aceh. Projek seterusnya melibatkan anak-anak yatim di Makanu Ubudiyah, Sibreh dan juga peniaga kecil di bawah seliaan Muslim Aid Indonesia cabang Aceh.


Muhammad bin Kamarulazizi
Pengasas
Kindness Malaysia
www.facebook.com/kindness.my

Thursday, November 19, 2015

Projek Beli Versi 3 Berlangsung di Aceh



Kindness Malaysia berkesempatan melawat bumi Acheh, Indonesia. Lawatan kedua ke bumi yang pernah dilanda thunami tahun 2004. Alhamdulillah semua telah pulih seperti sediakala walaupun dalam jiwa-jiwa mereka terselit kenangan pahit yg begitu sukar dilupakan. 

Pada hari kedua kami merancang untuk membuat  project beli v3. Bezanya kali ini kita belikan barang jualan dan memilih salah seorang dari peminta sedekah untuk menjual barangan tersebut. Tujuannya untuk memberi  pengajaran kepada mengemis agar tidak sekadar meminta-minta tetapi mencari peluang untuk menambah pendapatan.

pengemis mula menjualkan air mineral

Kami keluar seawal jam 9 waktu tempatan, mencari tempat yang sesuai untuk membuat aktiviti kami. Cabaran pertama adalah mencari masjid yang sesuai. Kami memilih Masjid Baitul Rahman yang terletak di tengah pusat Bandar Acheh. Jam 11 kami telah ada di sana. Solat jumaat disini sekitar jam 12 tengah hari. Kami pecah kepada 2 kumpulan 1 kumpulan mencari barang untuk dijual dan 1 kumpulan lagi mencari prospek untuk menjayakan projek kali ini. 

antara anak-anak yang mengemis

team Kindness Malaysia di Acheh

Saya memilih untuk memberi air harganya sekitar 3000 Rupiah sebotol. Air semestinya menjadi pilihan dikala cuaca menjadi terik sebentar nanti. Setelah barang jualan dibeli kami menuju ke kumpulan 1 lagi untuk berbincang dengan prospek mengenai rancangan kami. Ini antara cabaran paling mencabar. Prospek kami tidak fasih berbahasa Indonesia mujur ada Pak Putra menjadi juru bahasa kami. Seorang yg cacat membahasakan dirinya Ibu Eka hanya berjalan mengunakan kekuatan tangan. Ibu Eka bersetuju dengan cadangan kami walaupun berasa was-was pada mulanya. Bersamanya kami tinggalkan barang jualan sementara kami masuk ke masjid memandangkan azan telah pun berkumandang.

Selesai mengerjakan solat kami datang semula ke berjumpa dengan Ibu Eka. Dari jauh kami dapat lihat beberapa pengunjung masjid mengambil air yg diletakkan disisi Ibu Eka. Bila nampak kami datang kami dihadiahkan dengan senyuman dari Ibu Eka, senyuman yg amat menggembirakan hati kami. 'Sudah habis pak' katanya. Tetapi kedatangan kami kali ini dinantikan bukan sahaja Ibu Eka, tetapi dengan beberapa orngg pengemis lain yang telah menunggu kami datang. Atas nasihat Putra kami terpaksa beredar secepat mungkin. namun senyuman Ibu Eka tetap akan bersemadi di hati kami.

Diwan Abd Rahman
Pengerusi
Kindness Malaysia
www.facebook.com/kindness.my

Sunday, November 1, 2015

Projek Beli oleh Kindness Malaysia Versi 2


1 Oktober 2015 Ini adalah Projek Beli versi kedua yang dilakukan oleh saya, Ain trainee di Kindness Malaysia, Azra sukarelawan yang baru sahaja tingkatan empat dari SMK Setapak Indah serta En Muhammad yang juga pengasas Kindness Malaysia. Projek Beli kali ini telah dilakukan di Danau Kota iaitu bertempat di Mali's Restoran. Kali ini kita tolong makcik yang jual kerepek dari meja ke meja.Kak Nor mempunyai 3 orang anak dan tinggal di Kuala Selangor.

Mengikut dari cerita Kak Nor, semenjak dua tiga hari ini, jualan kerepek Kak Nor kurang mendapat sambutan kerana hari hujan dan kurang mendapat pelanggan.Tetapi Kak Nor tidak berputus asa untuk meneruskan jualan dia dan berdoa moga Allah permudahkan urusannya serta murahkan rezeki dia. 

Kak Nor sedang menawarkan hasil jualannya
Ketika Kak Nor datang ke meja saya untuk menawarkan kerepeknya, dia tersenyum dan bertanya jika saya ingin mebeli kerepeknya. Saya memberitahu bahawa saya akan membeli semua kerepeknya. Dia kelihatan sangat gembira dan menangis kerana tidak sangka. Dia bersyukur dan mendoakan moga kami semua dimurahkan rezeki. Jumlah kerepek yang Kak Nor jual adalah bernilai RM 170. Ketika saya menghulurkan wang kepada Kak Nor, dia kelihatan sangat gembira sehingga mengalirkan airmata.   

Kak Nor menunjukkan jenis kerepek yang dijual

Saya memberikan wang kepada Kak Nor setelah membeli semua kerepek

Kak Nor menitiskan airmata sambil mengucapkan syukur
Setelah membeli kerepek, kami belanja Kak Nor makan Char Kuey Teow dan dia sangat gembira serta bersyukur kerana dimurahkan rezeki hari ini. Semasa makan dia menceritakan tentang latar belkangnya erta tentang ketiga-tiga anaknya yang masih belajar.

Kak Nor makan Char Kuey Tiow
Sebelum Kak Nor pulang, kami sempat bersalaman serta memeluk Kak Nor, sekali lagi dia mendoakan semoga kami dimurahkan rezeki.

Sebelum Kak Nor pulang
Kami juga mendoakan supaya Kak Nor murah rezeki serta diberikan kesihatan yang baik dalam mencari rezeki yang halal untuk ahli keluarganya. Semoga dengan pertolongan kecil ini dapat membantu Kak Nor sekeluarga. Mudah-mudahan.

Bergambar bersama Kak Nor
Dalam pembikinan Projek Beli versi 2 ini, kami menghadapi cabaran untuk memilih lagu latar kerana kebanyakan lagu yang popular adalah hakmilik artis tertentu atau mempunyai copyright. Oleh yang demikian kami telah menggunakan lagu Neon Malap oleh Atikah Nazron yang merupakan anak Chow Kit yang berbakat. Atikah Nazron ini dibesarkan di Chow Kit dan telah menghasilkan beberapa lagu dan lirik sendiri. Biarpun mendapat kritikan daripada orang ramai tentang kesesuaian lagu dengan video yang dihasilkan, usaha untuk menggilap bakat Atikah Nazron akan tetap diteruskan. 

Lima buah kamera digunakan untuk pembikinan Projek Beli versi 2. Nikon DSLR digunakan untuk rakaman close up, serta empat buah smartphone iaitu model Iphone 5, Sony Z1, Samsung Note 4 dan Samsung E7. Suntingan pula menggunakan perisian Windows Movie Maker dan tambahan watermark logo Kindness Malaysia menggunakan perisian Sony Vegas Pro versi 11.

Semoga projek beli ini dapat memberi inspirasi kepada orang lain dan supaya dapat dipratikkan juga. Semoga pertolongan ini dapat memberi makna yang besar untuk mereka. Terima kasih Kindness Malaysia kerana memberi satu peluang untuk saya dalam menghasilkan projek ini. Terima kasih juga kepada penaja yang memberi kepercayaan kepada kami untuk terus melakukan dan menyebarkan kebaikan kepada orang ramai. 


Video penuh Projek Beli versi 2 oleh Kindness Malaysia

Iylia Makhtar
Pelajar Latihan Industri
Kindness Malaysia
www.facebook.com/kindness.my

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...