About

Blog tentang aktiviti-aktiviti amal di dalam dan luar Malaysia

More About Me...

Kita pesimis dengan kesengsaraan insan yang menderita di serata dunia. Laman ini cuba mengundang kembali sekelumit fitrah insani yang cakna dan peka dengan kesengsaraan insan lain. Infaq di jalan Allah...

RSS Subscribe

Booking.com

Sunday, May 12, 2019

Pasar Percuma Kindness Malaysia Berlangsung Dengan Jayanya


Pada 28hb April 2019, Ahad bertempat di ruang legar Masjid Amru ibni Al As, Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur telah diadakan Program Pasar Percuma. Pasar Percuma kali ini adalah anjuran Masjid Amru Al-As dengan kerjasama Kindness Malaysia dan Alumni Seri Puteri. Terdapat beberapa badan pertubuhan kerajaan dan bukan kerajaan turut menyertai Program Pasar Percuma ini seperti Baby Box Malaysia, Empire Project, Al Haq, Caring Hearth, Unggas Kuala Lumpur, Sweep Barber Bangi, Platinium Gym, Global Unity, Klinik Kesihatan Sentul dan beberapa badan lain. Syarikat Cargill juga turut memberi sumbangan dalam menjayakan Pasar Percuma ini,

Penerima manfaat dari pelbagai agama dan latar belakang

Perasmian dilakukan oleh Datuk Nor Adnan Zainal, Penasihat Kindness Malaysia

Suasana Pasar Percuma di Masjid Amru Al As
Persediaan telah dibuat oleh urusetia yang telah banyak mengorbankan masa dan bekerja keras untuk mencari dana juga merancang bagi memastikan kelancaran projek kali ini. Dianggarkan lebih ramai pengunjung yang akan membanjiri ruangan Masjid kerana ini merupakan kali ke 2 pasar percuma diadakan di perkarangan Masjid Amru Al-As setelah tahun lepas mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan daripada penduduk setempat dan luar daripada Kawasan Sentul. 

Sukarelawan Kindness Malaysia menyiapkan tempat masing-masing

Sebahagian besar penyumbang barangan datang dari Alumni Seri Puteri

Sukarelawan yang membantu dalam masjid

Taklimat kesihatan diberikan kepada pengunjung

Pemeriksaan darah tinggi dan kencing manis

Pemeriksaan kandungan lemak dalam tubuh badan oleh Platinium Gym
Pada Pasar Percuma kali ini menerima kehadiran seramai lebih 2000 orang pengunjung pelbagai lapisan masyarakat dan agama yang telah membanjiri perkarangan masjid seawal 8.00 pagi untuk bersama-sama menjayakan Projek Pasar Percuma. Pengunjung disediakan dengan sarapan pagi seperti kuih muih, nasi lemak dan makanan lain yang disediakan secara free flow. Majlis yang dimulakan dengan bicara kesihatan oleh Doktor Habibah, beliau telah memberikan banyak tips-tips penjagaan kesihatan kepada orang ramai. Selepas itu disambung dengan majlis perasmian yang dihadiri oleh jemputan kehormat dari Jabatan Agama Wilayah Persekutuan, Penasihat Kindness Malaysia, Cargill Malaysia dan Alumni Seri Puteri.

Seperti semua sedia maklum, Pasar percuma merupakan satu program pemberian barang-barang keperluan yang diberikan secara percuma kepada orang ramai seperti baju, buku, bag, kasut, uniform sekolah, mainan, stroller, barangan keperluan peribadi seperti sabun, syampoo, toiletries dan banyak lagi yang diberikan kepada orang ramai dengan harga sebuah senyuman. Barang-barang ini hasil daripada sumbangan orang ramai tidak kira sama ada masih baru atau terpakai tetapi masih boleh digunakan lagi.

Penyumbang berada seawal jam 9.30 pagi untuk menyediakan tempat

Semua barang yang ingin dikongsi bersama

Penyumbang tidak kira tua atau muda

Sukarelawan dari Cargill yang turut serta

Sukarelawan dari Caring-Hearts yang berasal dari Cameroon

Sumbangan dari Empire Project

Babybox Malaysia turut berada di Pasar Percuma Kindness Malaysia


Sejurus selepas perasmian orang ramai mula berpusu pusu mengambil barangan yang disediakan  antara di ruang legar Masjid. Antara booth yang menjadi sasaran adalah booth Empire Project yang membawa pelbagai barangan daripada Nestle termasuk T Shirt dan telur, booth sayur sayuran juga di serbu oleh pengunjung. Rata-rata pengunjung berpuas hati dan berterima kasih kerana mereka mendapat apa yang diperlukan di Pasar Percuma ini, ada yang bertuah membawa balik bag dan kasut baru dari pasar percuma. Makanan tengahari disediakan oleh pihak penganjur berupa nasi tomato dan dan sumbangan dari Mc Donald berhampiran berupa burger dan air cordial.

Selain itu, terdapat juga pemeriksaan kesihatan percuma, Gunting rambut percuma, booth pemeriksaan kandungan lemak dan otot, suntikkan imunisasi untuk bayi, booth untuk orang ramai atau rakan rakan bukan islam bertayakan tentang islam juga turut disediakan.

Selesai pasar percuma majlis dihentikan seketika bagi memberi laluan kepada pengunjung beragama islam menunaikan fardhu zuhor dan disambung kembali dengan pemberian barangan keperluan dapur. Pihak Masjid juga telah mengenalpasti beberapa nama yang kurang bernasib baik  untuk diberikan keperluan dapur khas sempena Ramadhan yang tiba ini. Penyediakan barangan keperluan asas seperti beras, minyak, gula, biskut, teh, kopi, tepung, susu, bihun, maggi, kicap, sos dan pelbagai lagi yang bernilai aggaran RM100 ringgit setiap bungkusan. Barangan keperluan asas ini diagihkan kepada golongan yang memerlukan seperti asnaf, ibu bapa tunggal, dan penerima juga dikalangan rakan yang bukan beragama Islam.

AJK yang terlibat dalam menjayakan Pasar Percuma 2019


Alhamdulillah semua pengunjung menerima manfaat daripada Program Pasar Percuma ini. Semoga sepanjang perjalanan program memberi kegembiraan kepada mereka. Terima kasih kepada ahli jawatankuasa Masjid Amru Al-As, sukarelawan Kindness Malaysia dan Alumni Seri Putri yang telah bertukus-lumus dalam memastikan program ini berjalan dengan lancar. Semoga apa yang telah diusahakan mendapat keberkatan dan redha dari Ilahi.

Noridah Ab Rahman
Projek Koordinator
Kindness Malaysia








0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...