About

Blog tentang aktiviti-aktiviti amal di dalam dan luar Malaysia

More About Me...

Kita pesimis dengan kesengsaraan insan yang menderita di serata dunia. Laman ini cuba mengundang kembali sekelumit fitrah insani yang cakna dan peka dengan kesengsaraan insan lain. Infaq di jalan Allah...

RSS Subscribe

Booking.com

Tuesday, March 28, 2017

Anak Rajin Beramal, Ibu Bapa Murah Rezeki



Rutin harian Ali dan Nabila setiap pagi ialah berkongsi sarapan dengan warga miskin bandar di sekitar kawasan perumahannya di Bandar Baru Sentul. Setiap hari jam 7 pagi, saya akan menghantar anak sulung ke sekolah dan adiknya Nabila akan turut sekali. Selepas menghantar abangnya ke sekolah, waktu ini Nabila akan ambil kesempatan untuk berkongsi sarapan dengan pekerja kontraktor tukang sapu yang ditemuinya dibeberapa tempat seperti UTC Sentul. 

Untuk hari biasa, nasi lemak RM1 yang menjadi kegemarannya akan dikongsi bersama tukang sapu, pengawal sekuriti dan tidak lupa juga kepada pekerja kontraktor lori sampah. Saya akan tolong bawakan Nabila untuk cari mereka semua dan Nabila sendiri akan berikan makanan tersebut yang sudah disiap bungkus beserta dengan sudu untuk memudahkan mereka makan.

Nabila bersama makcik cleaner kegemarannya di UTC Sentul

Setiap hari akan kejar lori Alam Flora

Kucing jalanan juga menjadi sasaran Nabila. Malah ada kucing yang sudah siap menunggu setiap hari jam 7.45 pagi untuk Nabila datang memberi makan. Sehari dianggar lima hingga sepuluh ekor kucing akan diberi makan.

Pada hari Jumaat pula adalah menu istimewa. Nasi lemak berlauk dengan kuih dan teh tarik bungkus akan diberikan kepada mereka. Ini adalah kerana hari Jumaat hari yang penuh berkat, oleh itu menu istimewa diberikan. Kegiatan amal yang mudah ini sudah berlangsung lebih tiga tahun. Dan apa yang paling mengujakan, perniagaan saya juga pada masa yang sama menjadi semakin maju. 

aktiviti hujung minggu berkongsi sarapan bersama abangnya, Ali


Saya teringat kata-kata seorang guru, amalan yang baik biarlah dilakukan secara berterusan, dan biarlah amalan itu hanya sebuah amalan yang kecil. Kata-kata inilah yang mendorong saya untuk bawa anak saya terus melakukan aktiviti kebaikan ini setiap hari. Jika ada hari yang tertinggal, saya akan gantikannya dengan belanja kawan makan di pejabat atau luar. Sekurang-kurangnya setiap hari dapat beri makan kepada mereka yang memerlukan atau pada orang sekeliling.

Amalan yang kecil tapi berterusan menjamin rezeki yang murah
Setiap bulan saya sudah asingkan sedikit wang pendapatan saya untuk aktiviti ini. Berkongsi sarapan ini bukan sahaja menggembirakan si penerima, tetapi pada masa yang sama mendidik anak-anak saya supaya menjadi seorang yang suka berkongsi dan berhati lembut. Dan rezeki yang tidak sangka-sangka juga akan datang.

“Daripada Aisyah r.ha., Nabi Muhammad SAW bersabda: “Wahai manusia lakukanlah amalan mengikut keupayaan kamu. Sesungguhnya Allah tidak jemu sehinggalah kamu jemu. Amalan yang paling Allah sukai ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Semoga kita semua dapat lakukan satu amalan kebaikan, tidak kira besar atau kecil, yang penting ianya berterusan, insyaAllah.

Muhammad bin Kamarulazizi
Pengasas
Kindness Malaysia 

1 comments:

Assalamualaikum,

Alhamdulillah, pemberian yang patut dicontohi.

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...