About

Blog tentang aktiviti-aktiviti amal di dalam dan luar Malaysia

More About Me...

Kita pesimis dengan kesengsaraan insan yang menderita di serata dunia. Laman ini cuba mengundang kembali sekelumit fitrah insani yang cakna dan peka dengan kesengsaraan insan lain. Infaq di jalan Allah...

RSS Subscribe

Booking.com

Thursday, October 6, 2016

Jeans For Jenes Malaysia 2016 Berlangsung Dengan Jayanya


Pada tanggal 25 September 2016 bertempat di Dataran Dewan Tunku Cansellor, Universiti Malaya, Kindness Malaysia telah diberi peluang untuk bekerjasama dengan Universiti Malaya bagi menjayakan Kempen  ‘Jeans for Genes’ Malaysia.

Kempen ‘Jeans for Genes’ secara umumnya, adalah untuk pengumpulan dana amal dan juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman tentang genetik serta bagaimana pengertian hidup dengan kecacatan genetik. Kempen ini juga telah disambut saban tahun di Australia dan United Kingdom.  Di Malaysia, kempen ini telah dianjurkan oleh Jabatan Sains Bioperubatan, Universiti Malaya sejak 5 tahun yang lalu di peringkat fakulti (Fakulti Perubatan). Bagi tahun ini 2016, bersempena sambutan ulangtahun Universiti  Malaya ke- 111 tahun, kempen Hari ‘Jeans for Genes’Malaysia  diadakan di peringkat kebangsaan dan Jabatan Sains Bioperubatan telah mengadakan penganjuran bersama dengan Unit Genetik Perubatan, Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Dianggarkan setiap tahun di Malaysia, seramai 20, 000 orang daripada kanak-kanak di Malaysia yang dilahirkan mengalami kecacatan genetik yang mana kesemua masalah genetik ini  memerlukan pemerhatian perubatan bagi jangka masa panjang serta sokongan psiko-sosial. Kempen ini telah berjaya menyediakan satu platform yang eksklusif bagi orang ramai untuk mengetahui lebih lanjut mengenai genetik dan kecacatan genetik disamping terlibat dengan pelbagai aktiviti-aktiviti yang disediakan.Orang ramai juga didedahkan dengan cara penjagaan serta rawatan yang sedia ada dan mencari sokongan serta bantuan. Dianggarkan lebih kurang 500 orang telah menghadiri hari kempen.

Kempen ini telah diadakan dengan jayanya terutama sekali dengan kerjasama serta sokongan badan-badan NGO atau Persatuan-persatuan Kebajikan seperti Persatuan Penyakit Jarang Jumpa Malaysia (Malaysian Rare Disorders Society, MRDS), Pertubuhan Kebajikan Pesakit Ichthyosis Malaysia (PEKIM),  DEBRA Malaysia (Dystrophic Epidermolysis Bullosa Research Association), Persatuan Sindrom Apert Malaysia dan  Persatuan Albino Selangor dan Kuala Lumpur. Kempen  ini juga merupakan saluran kepada syarikat-syarikat swasta bagi terlibat dalam program komuniti antaranya seperti Levi Strauss Malaysia, Kidzania, Pfizer, Print Expert Sdn Bhd, Colur Retails Sdn Bhd serta Yakult Malaysia.

Pelbagai aktiviti telah dijalankan pada hari kempen tersebut.  Antaranya adalah seperti  ceramah, permainan genetik, permainan buih, ujian ringkas pengestrakan DNA, tidak ketinggalan persembahan daripada penyanyi Hanie Soraya. Paling menarik sekali adalah pembentukan formasi  dual-heliks DNA yang disusun daripada seluar jeans.  Lebih kurang 40 orang pelajar Tahun Satu Ijazah Sarjana Muda Sains Bioperubatan dan 20 orang sukarelawan Kindness Malaysia terlibat dalam aktiviti menyusun seluar jeans.  Kempen Hari ‘Jeans for Genes’Malaysia  telah berjaya membuat rekod bagi Buku Rekod  Malaysia dengan membentuk dual-heliks DNA formasi daripada susunan jeans  yang terpanjang sepanjang 531 meter.

Pengerusi Kindness Malaysia En. Noriduan bersama pesakit cilik adik Adam yang mengalami penyakit Ichthyosis (sejenis penyakit kulit).

Antara aktiviti-aktiviti yang diadakan bagi memeriahkan majlis.

Sukarelawan Kindness Malaysia bergambar dahulu bersama timbunan seluar jeans yang telah berjaya dikumpul  sebelum aktiviti penyusunan pembentukan formasi DNA heliks.
Aktiviti penyusunan pembentukan formasi DNA heliks.
Simbolik di sebalik kempen ‘Jeans for Genes’ Malaysia ini mengaitkan seluar jeans atau denim dengan gen (genes). Sehubungan dengan itu, orang awam telah diminta untuk memberi atau menderma seluar jeans samaada baru atau baru yang masih elok itu kempen ini. Pengumpulan seluar jeans telah diadakan sejak Julai lagi. Lebih kurang sebanyak 1000 seluar jeans telah berjaya dikumpul  dan telah digunakan untuk pembentukan formasi DNA heliks tersebut. Seluar-seluar jeans yang telah dikumpul ini akan dijual di lain masa kelak bagi pengumpulan dana untuk pesakit-pesakit genetik yang memerlukan bantuan, Persatuan kebajikan serta untuk penyelidikan genetik.

Antara yang terlibat bergambar di garisan penamat, 531 meter.  Penyusunan jeans ini  telah berjaya membuat rekod bagi Buku Rekod  Malaysia dengan membentuk dual-heliks DNA formasi daripada susunan jean yang terpanjang .
Sukarelawan Kindness Malaysia bergambar bersama  sijil Buku Rekod Malaysia  serta staf wakil Buku Rekod Malaysia.
Antara cerita yang paling menarik yang boleh dikongsi bagi menyokong kejayaan ini oleh: Saudari Iman, seorang sukarelawan Kindness Malaysia yang berjaya mengumpul jeans hampir 100 helai.

“Cerita Jeans !  "Jarak bukan penghalang untuk kita terus lakukan kebaikan." Jeans ini diterima dari sahabat-sahabat yang datangnya dari Melaka & Perak. Malam itu, mereka gigih menghantar jeans (bukan melalui pos) meredah jem di tengah kota KL semata-mata utk menyerahkan sumbangan jeans. Pulang dari kerja terus shoot ke KL,meredah jem yg amat! Memasuki perkampungan flet Pantai Dalam yang cukup sesak dgn parking yg merata-rata.. fuhh.. mungkin mereka pertama kali melihat fenomena parking di kawasan flet. Keringat tanpa henti mereka diduga lagi kerana perlu mengangkat sejumlah jeans ini ke rumah. Maklumlah keringat seorang wanita memang tak cukup! Semoga keringat mereka dibayar nanti...Alhamdulillah.. mudah juga urusan hari itu.. Semoga jeans ini dapat disumbangkan utk merealisasikan misi JeansForGenesMalaysia2016 yang bakal diadakan pada hari Ahad ini. Terima kasih sahabat2 semua.. jauh mereka dtg.. ternyata JARAK bukanlah penghalang utk kita melakukan kebaikan.."cedok pengalaman.. timbalah pengajaran..inspirasikanlah kebaikan.." (Sumber FB saudari Iman, sukarelawan Kindness Malaysia)
Kejayaan kempen ini adalah kejayaan bersama bagi mereka yang terlibat samaada secara langsung atau tidak langsung. Terima kasih semua yang terlibat. Harapan utama bagi kempen ini adalah supaya orang awam lebih prihatin dan tidak memandang hina kepada mereka yang mempunyai kecacatan genetik ini. Anggaplah ianya adalah satu anugerah yang tuhan berikan menjadikan mereka istimewa dan bukanlah suatu beban kepada keluarga mereka. Sokongan dan prihatin masyarakat menjadikan mereka yang mempunyai penyakit genetik dapat meniti hari-hari mereka dengan lebih positif dan bahagia.

Dr Nur'ain Salehen
AJK Jeans for Genes Malaysia
Volunteer Kindness Malaysia


0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...