Hari ini saya ke pasar dan niat saya ingin beri makanan lagi sebagai sarapan untuk makcik cleaner. Biasanya sebelum membeli makanan, saya akan ke pasar dahulu untuk belikan ikan dan sayur dahulu. Tiba sahaja di pasar, makcik cleaner ini terus sambut saya dan anak saya dengan senyuman. Nak, mari sini salam. Anak saya berlari dan makcik cleaner itu salam dan berikannya duit, kali ini RM6. Aduh, saya belum lagi berikan makanan kepadanya untuk sarapan, tetapi makcik cleaner ini dah berikan anak saya duit pula.
Saya jadi gelisah, jika berterusan begini, saya khuatir nanti jadi kebiasaan, seolah-olah makcik cleaner ini beli makanan daripada saya. Saya niat nak sedekah makanan untuk makcik cleaner ini, supaya dapat ringankan beban belanjanya setiap hari.
Selesai beli ikan dan sayur, saya terus ke gerai nasi lemak. Mujur duit poket kindness saya masih banyak, saya belikan nasi lemak sotong, nasi lemak paru dan nasi lemak daging serta 3 teh tarik bungkus. Kali ini saya mahu makcik cleaner kongsikan sarapan dengan rakan-rakannya yang lain.
Tiba kembali di pasar, anak saya serahkan nasi lemak dan teh tarik bungkus tersebut. Nenek seperti terkilan, katanya duit yang diberikan itu untuk anak saya. Saya kata duit nenek masih di tangan anak saya sambil anak saya tunjuk duitnya itu kepada makcik cleaner. Makcik, lepas ini tak perlu berikan kami duit ye, makcik cuma doakan sahaja untuk kami. Kami perlukan doa makcik. Makcik cleaner itu pun senyum dan angguk sahaja. Anak saya salam sekali lagi dan kami pun pulang ke rumah.
RM6 itu nilainya mungkin kecil sahaja, tetapi saya tahu nilainya besar untuk makcik cleaner itu.
Saya terfikir, apa yang buatkan makcik cleaner ini sanggup keluarkan duit yang mungkin besar nilai baginya dan berikan kepada orang lain? Saya belajar hari ini, kebaikan itu sebenarnya bukan terletak pada nilai wang semata-mata, tetapi pada hati yang baik yang ikhlas untuk lakukan kebaikan.
Muhammad bin Kamarulazizi
Pengasas
Kindness Malaysia
0 comments:
Post a Comment