About

Blog tentang aktiviti-aktiviti amal di dalam dan luar Malaysia

More About Me...

Kita pesimis dengan kesengsaraan insan yang menderita di serata dunia. Laman ini cuba mengundang kembali sekelumit fitrah insani yang cakna dan peka dengan kesengsaraan insan lain. Infaq di jalan Allah...

RSS Subscribe

Pengiktirafan dari World Kindness Movement

Kindness Malaysia kini secara rasminya merupakan ahli World Kindness Movement

Misi Bantuan Kemanusiaan Untuk Mangsa Rohingya di Arakan, Myanmar

Bersama pelarian Rohingya di Arakan (Rakhine), Myanmar

Bantuan Perubatan di Hebron, Palestine

Vitamin C untuk anak-anak Palestine di Hebron

Ziarah ke perkampungan orang asli

Bersama sukarelawan ke kampung orang asli di Pos Betau, Pahang.

Misi Gelandangan Feed The Homeless

Misi Gelandangan Feed The Homeless yang dijalankan setiap hari Sabtu 2 minggu sekali di sekitar Kuala Lumpur

Booking.com

Friday, November 23, 2018

Raikan Maulidur Rasul dengan Projek Baginda



Projek Baginda kembali lagi tahun ini bersempena dengan Maulidur Rasul 2018. Team sukarelawan Kindness Malaysia bermula seawal 8 pagi berkumpul di Taman Tasik Botani dengan membawa 1000 madu stick beserta dengan kata-kata kebaikan oleh junjungan Nabi Muhammad SAW.

Projek Baginda ini adalah projek tahunan yang bertujuan untuk meraikan tokoh kindness (kebaikan) sepanjang zaman iaitu Rasulullah SAW itu sendiri. Madu stick ini diberikan kepada orang ramai tidak kira latar belakang atau warna kulit mereka.



Sarapan dahulu sebelum memulakan aktiviti

Taklimat diberikan oleh Fatin Amira Nabila, Setiausaha Kehormat Kindness Malaysia

Antara penerima madu stick

Semua gembira menerima honey stick

Malah ada yang bertanya siapa Nabi Muhammad?

Setuju dengan kata-kata Nabi Muhammad berkenaan hadisnya

penerima berbilang kaum

madu stick untuk sekeluarga

gembira dapat inspirasi kebaikan

Pada permulaan orang ramai agak hairan dengan pemberian madu stick secara percuma, tetapi selepas diterangkan oleh sukarelawan Kindness Malaysia, mereka menerima madu itu dengan hati yang terbuka. Malah ada yang minta madu tambahan kerana suka dengan usaha sebarkan kebaikan ini.

Pihak Kindness Malaysia ingin ucapkan terima kasih kepada semua sukarelawan yang terlibat dan juga penaja yang baik hati taja aktiviti kebaikan kali ini.

Noridah Abd Rahman
Projek Koordinator 
Kindness Malaysia

Monday, November 12, 2018

Bengkel Pengurusan Bersama Rumah Titian Kaseh


Alhamdulillah selesai bengkel pengurusan bersama Rumah Titian Kaseh. Kali ini team Kindness Malaysia berkongsi modul untuk mantapkan lagi pengurusan rumah kebajikan. Biasanya inilah antara cabaran yang dihadapi oleh rumah-rumah kebajikan. Mereka mempunyai semangat luar biasa dan kesabaran yang tinggi untuk terlibat dalam dunia kebajikan, tetapi kurang mahir dalam pengurusan.

Seawal jam 8.30 pagi sukarelawan Kindness Malaysia tiba di Rumah Titian Kaseh dan bermula dengan forum bersama tiga orang panel iaitu Puan Fardillah Sabki, pengasas Rumah Al Haq dan Puan Fazilah seorang OKU penglihatan yang berjaya dalam perniagaan urut bersalin dan juga pengasas Rumah Titian Kaseh sendiri iaitu MakPah atau Puan Sharifah.

Bermula dengan forum

latihan dalam kumpulan berlangsung selepas forum
Forum ini berkongsi tentang isu serta cabaran  dari perspektif masing-masing. Puan Fazilah berkata dengan kekurangan yang ada pada dirinya tidak menjadi penghalang untuk berjaya. Minat itu penting untuk mendorong diri sendiri ke arah kejayaan. Puan Fardilah pula berulang kali berpesan agar tidak putus asa bila berada dalam dunia kebajikan kerana kita semua dipilih untuk berada di jalan ini. Tuhan pilih siapa untuk ada di jalan kebajikan. Kerana tidak semua orang dipilih. Orang kaya yang mempunyai harta yang banyak pun tidak semestinya berada di jalan kebajikan katanya lagi.

Makpah pula menekankan pada ujian yang akan datang dan bagaimana kita menghadapinya. Bila kita berada di jalan yang mengajak orang untuk melakukan kebaikan, sudah pasti akan ada banyak ujian yang datang. Menurutnya lagi, untuk uruskan ibu-ibu tunggal, warga emas, anak yatim dan OKU pada waktu yang sama semestinya memerlukan kesabaran yang tinggi.

Penghargaan buat semua yang terlibat

Ustaz yang dedikasi menjaga anak-anak di Rumah Titian Kaseh

Pengurusan Rumah Titian Kaseh dan sukarelawan Kindness Malaysia

Selesai forum, pengurusan Rumah Titian Kaseh yang terdiri daripada ibu-ibu tunggal dan ustaz dari luar masuk dalam kumpulan untuk berbincang dengan lebih teliti pendekatan yang sesuai yang dapat digunakan di Rumah Titian Kaseh.

Saya sangat simpati apabila mendengar kisah-kisah yang dikongsikan oleh Makpah. Mengapa seorang perempuan itu menjadi seorang ibu tunggal biasanya adalah kerana si suami yang tidak faham tanggungjawab mereka sebagai seorang lelaki. Dan didikan agama itu penting sekali.

Bengkel selesai jam 2 petang dengan perbentangan dari setiap kumpulan dan resolusi untuk jadikan Rumah Titian Kaseh lebih baik di masa akan datang.

Fatin Amira Nabila
Setiausaha Kehormat
Kindness Malaysia

Tuesday, October 9, 2018

Kindness Malaysia Termeterai MOU Dengan Dale Carnegie Malaysia

 


Kindness Malaysia mencapai lagi satu tahap yang membanggakan dan kali ini kerjasama dari segi kepimpinan dan latihan ditermeterai dengan Dale Carnegie Malaysia, salah satu agensi latihan gergasi beribu pejabat di Amerika Syarikat.

MOU kali ini akan melatih anak-anak muda yang selesai sesi persekolahan menggunakan modul Dale Carnegie. Modul Dale Carnegie ini popular dikalangan CEO dan pengurusan tertinggi syarikat korporat. Dale Carnegie merupakan penulis buku best seller How to Win Friends and Influence People dan How to Stop Worrying and Start Living.

MOU termeterai antara Dale Carnegie Malaysia dan Kindness Malaysia

Muhammad bin Kamarulazizi (Pengasas Kindness Malaysia) bersama Dato Wan Hisham Wan Salleh (Pengerusi Dale Carnegie Malaysia)

Team yang bakal kerjasama. Turut hadir Kechara Soup Kitchen

Peserta yang selesai belajar bahagian theori dengan Dale Carnegie Malaysia akan menjalani latihan praktikal di pejabat Kindness Malaysia selama enam minggu. Di sini peserta akan berhadapan dengan realiti sebenar dan akan diberi tanggungjawab tertentu yang diselia oleh Projek Koordinator Kindness Malaysia.

Program kepimpinan ini akan mula berlangsung pada bulan Disember 2018 kelak.

Muhammad bin Kamarulazizi
Pengasas
Kindness Malaysia

Monday, August 20, 2018

Futsal Piala Kindness 2018 satu kejayaan buat semua

Peserta futsal, penyokong, sukarelawan dan NGO yang terlibat

1 April 2018 merupakan satu tarikh keramat buat Kindness Malaysia kerana telah menganjurkan Kejohanan Futsal Piala Kindness edisi ketiga sejak ia diperkenalkan pada tahun 2014. Kejohanan futsal ini diadakan di KSL Futsal Centermart, Setapak, Kuala Lumpur. Lokasi KSL Setapak ini dipilih sesuai dengan kemudahan yang ada di lokasi futsal selain mempunyai tempat letak kenderaan yang luas. Acara penuh gilang-gemilang saban 2 tahun sekali ini melibatkan 38 buah pasukan yang datangnya daripada pelbagai rumah kebajikan sekitar Semenanjung Malaysia dan melibatkan peserta futsal berumur 17 tahun dan ke bawah.

Seramai 300 sukarelawan daripada pelbagai NGO yang telah bekerjasama berganding bahu sepanjang kejohanan tersebut. Pertandingan ini juga dihadiri lebih 700 penyokong pelbagai rumah kebajikan iaitu anak-anak asnaf, miskin bandar, yatim dan pelarian muslim Myanmar, Syria, Somali, Afghan dan Rohingya. 

Seawal jam 8.00 pagi, para peserta futsal dan penyokong mula membanjiri lokasi futsal untuk sesi pendaftaran dan sarapan pagi. Satu demi satu pasukan tiba dengan pelbagai aksi menceriakan dan seakan tidak sabar untuk beraksi di atas gelanggang futsal. Mereka disambut penuh gilang gemilang oleh para sukarelawan kerana merekalah VVIP kami pada hari itu.

Ketibaan peserta disambut penuh meriah 

Sesi pendaftaran 


Sesi pemanas badan iaitu acara zumba terus dimulakan 

Perasmian kejohanan pula diadakan selepas acara zumba selesai. Pihak Kindness Malaysia berbesar hati memilih anak-anak asnaf ini sebagai perasmi Futsal Piala Kindness kerana merekalah VVIP kami pada hari penuh bersejarah itu. Muzik hebat alunan Big Bear DJ membuat suasana sekitar futsal bertambah meriah. Saat reben dipotong oleh salah seorang dari mereka dan disambut dengan sorakan dan tepukan gemuruh daripada ratusan anak-anak istimewa ini, maka perasmian telah selesai dan berlangsung dengan jayanya.

Perasmian oleh anak-anak asnaf

Usai perasmian, mereka disajikan dengan taklimat format perlawanan oleh Ketua Pengadil Kejohanan dan wakil dari Rakan NGO, iaitu Chelsea Soljabiru yang bertanggungjawab mengurus perlawanan pada hari itu. Anak-anak ini nampak seronok dan sedia mendengar dan menerima taklimat dari mereka.

Bacaan doa oleh Encik Karim, penjaga anak-anak ASDAF (Asrama Darul Falah)

Sepak mula perlawanan dimulakan pada jam 10.00 pagi. Sebanyak lima gelanggang futsal disediakan untuk perlawanan futsal sementara dua gelanggang disediakan untuk anak-anak kecil yang tidak terlibat dengan futsal dan para pemain berlatih. Peserta futsal bermain penuh semangat bersama rakan-rakan sepasukan. Saingan cukup hebat walaupun ada antara pasukan yang baru pertama kali berjumpa. Kejohanan bertambah meriah dengan sokongan padu dari penyokong setiap rumah yang terlibat. 

Pasukan perempuan ASDAF gembira selepas menjaringkan gol

Pasukan Nur Iman FC yang diuruskan oleh Kindness Pahang cukup bertenaga semasa perlawanan

Para penyokong dari SBJK FC (Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih, Chow Kit) memeriahkan suasana

Peserta yang mengalami kecederaan dirawat oleh team fisio

Ambulans disediakan untuk sebarang kecemasan

38 pasukan dari pelbagai rumah kebajikan ini masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri dalam kejohanan futsal ini. Ada pasukan yang telah biasa berfutsal malah ada juga yang belum biasa berfutsal. Di Futsal Piala Kindness inilah mereka disatukan dan ditemukan seterusnya dapat merapatkan silaturrahim sesama mereka. Anak-anak pelarian Myanmar muslim, Rohingya, Syria, Afghan dan Somali ini pula, walaupun mereka berlainan kulit, warna dan rupa tetapi itu bukanlah penghalang kepada mereka untuk beraksi di atas gelanggang futsal ini. Di sini jugalah tempat penyatuan anak-anak orang asli , anak-anak yatim, miskin, asnaf dan meereka yang kurang bernasib baik yang menjadikan futsal ini sebagai platform untuk mereka bergaul lebih akrab.

Pasukan "Anbu Illam" yang dibawa oleh NGO Caring Heart

Pasukan PEKEAS FC (Pertubuhan Kebajikan  Ash Shakur), Rawang yang diuruskan oleh saudari Noriah, salah seorang sukarelawan Kindness Malaysia

Sementara itu, di satu sudut yang lain, kehadiran Siso The Clown amat disenangi oleh anak-anak ini semua. Mereka berpeluang bergambar dan bergembira bersama dengan Siso The Clown. Bukan senang anak-anak ini dapat peluang sebegini. Itulah antara matamat utama kami di Kindness Malaysia, menyebar dan memberi kegembiraan kepada semua terutama golongan yang kurang bernasib baik.

Salah seorang penyokong bergambar bersama Siso The Clown

Photobooth percuma tajaan QSR Brands 

Perlawanan peringkat kumpulan berjalan dengan lancar dan meriah. Tepat jam 1.15 tengah hari, perlawanan direhatkan seketika bagi memberi laluan kepada solat Zohor. Makan tengah hari juga disediakan di lokasi yang kami namakan "Food Island". Ratusan makanan disediakan dan diambil secara percuma khas untuk anak-anak asnaf ini dan semua yang terlibat termasuklah para sukarelawan dan rakan-rakan NGO. Makanan dan minuman seperti pizza hut, kek coklat, roti krim, cup cakes, pelbagai buah campur seperti pisang, pelbagai minuman seperti milo dan yakult, air mineral, kuih-muih dan makanan tengah hari, nasi goreng ayam campur, ayamas chicken rice dan makanan ringan seperi mamee monster disediakan di Food Island.   

"Food Island" yang menempatkan pelbagai makanan dan minuman secara percuma

Air minuman Lucozade sebagai penaja rasmi minuman untuk Futsal Piala Kindness

Perlawanan persahabatan diadakan di antara pasukan Kindness Malaysia dan Kindness All Star sebelum perlawanan akhir berlangsung. Kindness All Star dipilih dari adk-adik yang dilihat telah beraksi cemerlang sepanjang perlawanan di peringkat kumpulan. Perlawanan cukup meriah dan santai dengan sorakan daripada semua yang hadir. 

Perlawanan persahabatan Kindness Malaysia vs Kindness All Star

Sebelum sepak mula perlawanan akhir berlangsung, sesi memperkenalkan pemain kepada PFAM (Professional Footballers Association of Malaysia) diadakan. Pihak PFAM yang dijemput menghadiri Futsal Piala Kindness ini sentiasa memberi sokongan penuh kepada kejohanan ini sejak Futsal Piala Kindness diperkenalkan lagi pada tahun 2014.

Sesi memperkenalkan pemain kepada PFAM

PFAM bersama jemputan terhormat fokus memerhati aksi perlawanan akhir

Dua pasukan perempuan iaitu ASDAF FC dan NURI FC di perlawanan akhir 
bergambar bersama PFAM

Istimewanya pada hari kejohanan adalah acara selingan iaitu pelancaran aplikasi Kindness Malaysia yang telah ada di Google Play. Selain itu, antara yang menarik dan cukup unik, turut dipersembahkan sokongan dari rakan kerjasama Kindness Mexico dan World Kindness Movement yang menawarkan pemberian makanan percuma kepada orang ramai yang memerlukan mengikut jumlah gol yang telah dijaringkan sepanjang Futsal Piala Kindness 2018.

Sebanyak 311 gol telah dijaringkan bermakna 3,110 penerima akan mendapat 
makanan percuma di Mexico

Pada jam 3.45 petang, perlawanan akhir tamat. Penuh mendebarkan dan cukup meriah. Tahniah diucapkan kepada pasukan yang menang dan diharapkan pasukan yang kalah tidak akan kecewa. Syabas kepada semua peserta. Berikut merupakan keputusan penuh Kejohanan Futsal Piala Kindness 2018 :-

Kategori Lelaki.

Juara: RJ Alia FC (Rumah Jagaan Alia, Kedah)
Naib Juara : Al-Ijabah FT (Maahad Sains Al Quran Al Amin)
Ketiga: Hashimiah FC (Madrasah Hashimiah, Selayang)
Keempat: Afghan FC (Afghan Learning Centre, Ampang) 

Kategori Perempuan.

Juara: Asdaf United (Asrama Darul Falah, Bukit Persekutuan)
Naib Juara : Nuri FC Girlz (Rumah Nuri, Setapak)
Ketiga: Asdaf City (Asrama Darul Falah, Bukit Persekutuan)
Keempat: PEKEAS Girls FC (Pertubuhan Kebajikan Ash Shakur, Rawang)

Pemain terbaik (lelaki) : Saen (Al Ijabah FT)
Pemain terbaik (perempuan) : Norfarhana Atiqa (Nuri FC Girlz) 

Pengurus Terbaik (lelaki) : Hafeez Nazri (ASDAF) 
Pengurus Terbaik (perempuan) : Kak Yana Preloved4Charity (Nuri FC Girlz) 

Pasukan pilihan (lelaki) : SBJK FC (Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih, Chow Kit)
Pasukan pilihan (perempuan) : RKH Girls FC (Rumah Kasih Harmoni, Paya Jaras)

Pemain terbaik lelaki

Pemain terbaik wanita


RJ Alia FC - Johan kategori lelaki 

ASDAF FC - Johan kategori perempuan

Johan Futsal Piala Kindness 2018 membawa pulang piala pusingan tajaan Chelsea Soljabiru, wang tunai sebanyak RM2,000 tajaan Bee Storm, medal tajaan MILO Malaysia, goodies bag tajaan MRT Malaysia dan Volkswagen Malaysia, hamper tajaan Junny Erfisyahry dan rakan-rakan, slot clown party tajaan Siso The Clown serta Hotwheels tajaan Dark Alley dan Leggodt Play Well. Naib Juara pula membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500 beserta medal, hamper dan hadiah manakala tempat ketiga membawa pulang wang tunai RM1,000 beserta medal, hamper dan hadiah. Tempat keempat pula membawa pulang medal, hamper dan hadiah dan semua pasukan yang bertanding membawa pulang hamper dan hadiah.

Medal sumbangan MILO Malaysia

Rakan-rakan NGO sebagai penerima Anugerah Khas Futsal Piala Kindness 2018 yang mendapat tajaan hotwheels oleh Dark Alley dan Leggodt Play Well. 


 
Penaung Kindness Malaysia, Dato' Adnan Bin Zainal turut memberi sepatah dua kata

Penutup majlis diakhiri dengan bacaan doa

Sesi penyampaian hadiah berjalan lancar sebelum ucapan oleh Pengasas Kindness Malaysia, Encik Muhammad dan para jemputan yang hadir. Majlis berakhir pada jam 6.00 petang dan sesi media diadakan sebelum semua bersurai. Terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung demi menjayakan kejohanan Futsal Piala Kindness edisi ketiga ini terutama rakan-rakan NGO yang terlalu banyak membantu dalam segala hal iaitu Empire Project, Chelsea Soljabiru, Preloved4Charity, Humanity, Kelas Kaseh, Institut Professional Baitulmal, Projek Ihsan, The Patriots, iGunners, Gerakan Sukarelawan Malaysia, Caring Hearts, Braille Volunteer Services, Picoms, Komuniti Pandan Prihatin, The Gagak dan rakan-rakan NGO yang lain.

Rakan NGO yang terlibat 

Tidak dilupakan sekalung penghargaan buat setiap sukarelawan yang terlibat melancarkan kejohanan kali ini bermula dari sebelum kejohanan, semasa dan selepas kejohanan. Mereka yang bertungkus lumus mendapatkan tajaan, menguruskan pasukan, membeli peralatan futsal, melatih pasukan, bangun  seawal pagi untuk menguruskan tempat futsal, memastikan semuanya teratur di bahagian makanan, hadiah, pengangkutan, PA system, pengacara majlis dan semua yang berkaitan dengan hal-hal kejohanan. Syabas dan tahniah semua!! Inilah kejayaan terbesar buat kita semua.

Terima kasih juga kesemua para penaja yang terdiri daripada syarikat-syarikat korporat, rakan-rakan NGO dan orang perseorangan yang bermurah hati menaja dari pelbagai sudut untuk kelangsungan kejohanan futsal setiap dua tahun ini. Terima kasih  Milo Malaysia, Lucozade, MRT Corp, Volkswagen Malaysia, Yakult, U10 Crew, Nasi Lemak Maksu, QSR Brands (M) Holding Berhad, Fateema Couture, Gardenia, Sengkuang Calit Opah, De Lampu Kreatif, Hearts and Sparks, NPNG Futsal Centre, Restoren Ali Maju, Qualitas Health, Big Bear DJ, Siso The Clown, Asiana.my, Ireena Design, Matasura Services, Empire of Port Klang, Voguenista dan kesemua para penyumbang yang budiman.


Sukarelawan Kindness Malaysia yang terlibat

Futsal Piala Kindness 2018 telah mendapat liputan akhbar 

Tanpa anda semua, maka kejohanan ini tidaklah dapat berjalan seperti yang direncanakan. Alhamdulillah, kegembiraan ini dapat dirasakan oleh kesemua yang terlibat terutama sekali anak-anak VVIP kita yang diraikan. Semoga bakat sukan futsal mereka dapat dilihat dan diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi. Didoakan semoga kebaikan terus tersebar bukan sahaja dengan kejohanan futsal seperti ini malah pelbagai aktiviti kebaikan yang lain.  

Jumpa lagi di Futsal Piala Kindness 2020! ;-)

Muhammad Haziq Sazali
Projek Koordinator
Kindness Malaysia

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...