Pada 29 dan 30 Julai 2017 yang
lalu, Kindness Malaysia telah mengadakan Projek Ziarah Aidilfitri di
perkampungan orang Asli di Pos Betau, Pahang. Kampung Sentoi terpilih untuk
projek ziarah kali ini. Seramai 25 orang sukarelawan turut menyertai projek
ziarah yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur. Kampung Sentoi merupakan sebuah perkampungan orang asli yang mempunyai penduduk yang terdiri daripada suku kaum Semai dan Bateq. Kampung ini mempunyai penduduk seramai 300 orang yang mejoriti penduduk terdiri daripada kanak-kanak yang berusia dua hingga 15 tahun. Pendapatan utama penduduk di sini ialah hasil hutan seperti hasil bercucuk tanam sayur-sayuran, menanam padi huma dan sebagainya. Penduduk kampung sangat peramah dan sangat ringan tulang membantu kami bagi menjayakan projek ziarah kali ini.
Taklimat sebelum bertolak ke Pos Betau
Perjalanan ke Pos Betau mengambil
masa selama 4 jam. Semua sukarelawan berkumpul di kawasan Masjid Negara dan
bergerak dalam pukul 12 tengah malam. Terdapat beberapa rintangan yang di
hadapi sepanjang perjalanan. Antaranya salah sebuah kereta sukarelawan
mengalami kenaikan suhu dan perlu berpatah balik untuk menukar kereta. Namun, kami
tetap meneruskan perjalanan dan selamat sampai pada jam 5.30 pagi. Sementara
menanti waktu subuh, kami sempat merehatkan diri sebelum meneruskan aktiviti di
sana.
Sesi memanaskan rendang ayam yang di bawa dari Kuala Lumpur
Nasi himpit antara juadah sarapan pagi pada hari pertama
Seawal 7 pagi, para sukarelawan
sudah mula menyediakan tempat untuk memasak dan bergotong-royong untuk
menyediakan sarapan pagi. Menu sarapan yang berkonsepkan raya bagi memeriahkan
lagi suasana ziarah aidilfitri bersama penduduk kampung. Antaranya ialah
rendang daging, nasi himpit dan pelbagai jenis biskut raya. Sambutan daripada penduduk
kampung terutamanya kanak-kanak memeriahkan suasana. Selesai sarapan, para
sukarelawan turut dibantu kaum ibu daripada masyarakat orang asli meneruskan
aktiviti menyediakan bahan-bahan untuk memasak juadah untuk tengah hari.
Manakala sebahagian lagi sukarelawan mengadakan pertandingan mewarna untuk
kanak-kanak. Kanak-kanak sangat
bersemangat untuk menyertai pertandingan ini. Bakat yang terpendam terserlah
apabila mereka mula mewarna dengan penuh semangat.
Pertandingan mewarna antara aktiviti yang menarik minat kanak-kanak
penuh bersemangat kanak-kanak mewarna dan mereka sangat kreatif
Kaum ibu dan sukarelawan bergotong-royong menyediakan
Semakin ramai penduduk kampung
turun membantu di kawasan tempat memasak. Menu makanan tengah hari kali ini
ialah kari ayam, dan tumis sayur kubis. Menu yang cukup menaikkan selera
penduduk kampung yang jarang dapat makan juadah seperti ini. Sambil bergotong
royong memasak, kami mengambil kesempatan untuk bersembang dan bertukar-tukar
cerita bersama penduduk kampung. Kami bertanyakan juadah tengah hari pada hari
kebiasaan mereka. Mereka menyatakan bahawa, hanya makan sayur-sayur kampung yang
dikutip di dalam hutan atau yang di tanam. Kedudukan kampung Sentoi yang jauh
daripada kawasan Bandar menyukarkan mereka untuk keluar bagi memperolehi sumber
bahan mentah dan kering. Mereka juga menyatakan sekiranya ada wang lebih baru
mereka akan beli, kalau tidak hanya menikmati rezeki yang ada di kawasan
kampung.
Sukarelawan membasuh ayam sebelum di masak
kanak-kanak menikmati juadah tengah hari yang disediakan
Kari ayam merupakan salah satu menu tengah hari
Selesai solat Zuhur, kami
meneruskan aktiviti di sungai. Kanak-kanak di sini tidak sabar untuk mengajak
kami turun ke sungai. Air sungai yang jernih dan tidak terlalu deras dan dalam
memudahkan kanak-kanak untuk turut mandi di sungai bersama. Mereka sudah pandai
berenang walaupun baru berusia 4 tahun. Selesai aktiviti di sungai, kami naik
untuk bersihkan diri dan bersiap untuk solat Asar. Selepas asar kami semua bersiap
untuk sukaneka kanak-kanak dan dewasa. Semua bersemangat untuk mengambil
bahagian dalam acara masing-masing. Antara sukaneka untuk kanak-kanak ialah
bawa bola ping pong dalam sudu dan baling belon semakin jauh semakin sayang.
Acara sukaneka dewasa wanita pula ialah boling kelapa dan bawa bola dengan memakai kain
pelekat. Sukaneka berlangsung dengan jayanya dan sangat meriah. Sukan untuk
dewasa lelaki ialah pertandingan bola sepak antara penduduk kampung dengan
sukarelawan lelaki. Keputusan memihak kepada penduduk kampung dengan 7-1.
Aktiviti di sungai yang sangat jernih
Gambar kenangan bersama kanak-kanak di sungai
Acara bowling kelapa untuk dewasa perempuan
Acara sukaneka semakin jauh semakin sayang
Hadiah untuk sukan bola sepak yang dimenangi oleh penduduk kampung
Aksi penduduk kampung bermain bola sepak
Sementara itu, sebahagian lagi
sukarelawan sedang menyiapkan juadah makan malam dan membuat persiapan menanti
waktu Maghrib. Masuknya waktu Maghrib penduduk kampung yang beragama Islam
turut turun ke surau bagi menunaikan solat Maghrib secara berjemmah. Perkongsian tazkirah antara Maghrib dengan
Isya’ di sampaikan oleh seorang ustaz yang datang singgah melawat kawasan
kampung. Pelbagai ilmu yang dikongsi untuk di jadikan panduan hidup. Selesai
solat Isya’, kami semua makan malam bersama-sama. Menu makan malam pula ialah,
sup tulang, ulam ulaman seperti jantung pisang dan pucuk ubi kayu serta sambal
belacan. Selesai makan malam dan mengemas kawasan memasak, penduduk kampung
membawa kami ke salah sebuah rumah di sana untuk melihat upacara sewang. Upacara
sewang merupakan salah satu bentuk upacara ritual perubatan untuk mengubati
penyakit yang disebabkan oleh semangat jahat. Alatan muzik tradisi yang
digunakan semasa upacara sewang ialah
buluh yang di ketuk ke atas kayu dan juga gong. Rentak di mainkan dan
pergerakan dilakukan mengikut rentak yang dihasilkan oleh pemain alat muzik.
Selesai sahaja pertunjukan upacara sewang, kami semua balik dan merehatkan
diri.
Jantung pisang yang dijadikan ulam untuk juadah makan malam
Ubi kayu merupakan salah satu makan ruji penduduk di kampung ini
Upacara sewang di rumah salah seorang penduduk kampung
alatan muzik yang dimainkan oleh penduduk untuk upacara sewang
Azan subuh berkumandang mengejutkan kami yang masih terlena. Selesai
sahaja solat subuh secara berjemaah, kam mula bergerak ke dapur bagi membantu
menyediakan sarapan pagi. Menu sarapan pagi ialah nasi goreng dan mee goreng.
Selesai sarapan, aktiviti yang seterusnya ialah penyampaian sumbangan dan
hadiah. Kelihatan wajah kegembiraan terpancar daripada setiap riak muka penduduk
kampung yang menerima sumbangan. Kanak-kanak juga turut gembira mendapat
gula-gula dan makanan ringan. Turut diadakan sesi bergambar bersama penduduk.
Selepas itu, kami mengemas semua peralatan dan barang dan bersiap untuk pulang.
Kami bertolak pulang ke Kuala Lumpur
pada jam 12 tengah hari.
Antara sumbangan yang diberikan untuk penduduk kampung
Penyampaian sumbangan oleh sukarelawan kepada penduduk kampung
Anak-anak gadis Kampung Sentoi yang pemalu
Barisan sukarelawan yang menyertai projek kali ini
Pelbagai rintangan dan cabaran
yang kami hadapi sepanjang projek ini. Namun kami berjaya mengatasi masalah
tersebut dengan bantuan dan kerjasama semua sukarelawan yang baik hati. Pengalaman sepanjang
program di Kampung Sentoi amat berharga dan menjadi kenangan manis buat kami
semua. Diharapkan agar setiap kekurangan yang dihadapi sepanjang program dapat
di atasi untuk program yang akan datang. Insya ALLAH, program ini boleh diadakan
lagi sekiranya berpeluang dan dapat mengumpul sumbangan bagi menampung kos
perbelanjaan. Semoga sukarelawan yang baru menceburkan diri dalam aktiviti
kebaikan ini tidak serik untuk menyertai pelbagai lagi projek kebaikan yang
dianjurkan oleh Kindness Malaysia. Terima kasih
tidak terhingga kepada semua yang terlibat terutama para sukarelawan dan
penaja Projek Ziarah Aidilfitri di Pos Betau. Terima kasih guru-guru daripada SMK Convent Jalan Peel atas sumbangan untuk penduduk kampung. Semoga setiap perkara yang kita
lakukan mendapat keredhaan Allah. Insya ALLAH.
Fatin Amira Nabila binti Tauran
Projek Koordinator
Kindness Malaysia