Pada hari Khamis, 8 Jun 2017 bersamaan 13 Ramadhan 1438H, Kindness Malaysia telah mengadakan Majlis Berbuka Puasa sempena meraikan bulan yang mulia ini. Lokasi berbuka adalah di Restoren Thai Serai, Sentul, Kuala Lumpur. Seramai 55 orang sukarelawan termasuk ahli keluarga dan anak-anak keluarga besar Kindnes Malaysia telah memeriahkan majlis tersebut.
Para sukarelawan tiba seawal jam 6.00 petang di restoren tersebut. Rata-rata mereka terus ke lokasi berbuka dari tempat bekerja masing-masing. Para sukarelawan ini terdiri daripada pelbagai latar belakang dan peringkat umur yang berbeza dan dari pelbagai generasi dari seawal tahun 2013 lagi. Ada yang masih bergelar pelajar, freelance dan kebanyakannya telahpun bekerja dan berkeluarga. Namun mereka ke sini, dengan satu tiket yang sama iaitu "sukarelawan Kindness Malaysia."
Sembang santai dan bergambar sebelum berbuka
Meriah sesi ramah santai bersama rakan-rakan sukarelawan sementara menunggu waktu berbuka. Kebanyakan mereka sudah lama tidak berjumpa, jadi inilah masanya untuk mereka mengeratkan kembali silaturrahim secara bertentang mata.
Dari jauh, kami melihat juadah berbuka sedang disediakan oleh pihak restoren. Tak sabar rasanya untuk menikmati juadah yang cukup enak. Sementara menunggu waktu berbuka, sukarelawan bergilir-gilir mengambil makanan untuk berbuka.
Siap sedia mengambil juadah berbuka
Masa yang ditunggu telahpun tiba. Tepat jam 7.24 petang, bacaan doa berbuka dimulakan oleh Pengerusi Kindness Malaysia, saudara Noriduan. Juadah yang disediakan adalah nasi beriyani, nasi putih, nasi impit, butter prawn, tomyam seafood, ikan sambal, daging masak merah, ayam lada hitam, ikan keli, meehun, kangkung belacan, mango sticky rice, french fries, sayur-sayuran, buah-buahan dan pelbagai jenis minuman selain kuih-muih yang cukup menyelerakan. Kami semua amat mensyukuri nikmat rezeki yang ada pada hari itu. Alhamdulillah.
Sambil makan sambil bergambar
Tanpa dilupakan perkara wajib, kami berhenti makan seketika dan berjalan kaki ke masjid berdekatan untuk solat fardhu Maghrib. Selesai solat, kami menyambung semula sesi santapan dengan menikmati juadah ringan seperti pulut mangga, kek dan ais krim selain chicken wing yang baru sahaja dimasak.
Menyambung sesi makan selepas solat
Acara selingan iaitu cabutan bertuah juga sempat diadakan. Tahniah kepada semua yang bertuah.
Salah seorang penerima cabutan bertuah
Mug sebagai hadiah kepada penerima cabutan bertuah
Acara kemuncak adalah pemberian duit raya dari penderma yang budiman. Dimulakan dengan anak-anak kecil dan diikuti para sukarelawan. Kami berbaris menerima duit raya. Terkejut dan seronok juga kerana mendapat duit raya walaupun kami bukan lagi berada di zaman kanak-kanak. Sesekali, restoren ini ada memasang lagu-lagu raya sebagai penambah ceria majlis berbuka kami.
Adik-adik kecil beratur untuk menerima duit raya
Bergambar dengan sampul raya Kindness Malaysia
Yeay! Kami dapat angpau raya!
Acara penutup pada malam itu adalah sesi bergambar. Tak lengkaplah sesebuah majlis tanpa sesi fotografi. Meriah suasana di restoren dengan gelagat anak-anak kecil dan rakan-rakan sukarelawan yang ternyata gembira dapat berkumpul pada hari itu.
3 orang sukarelawan yang terdiri daripada 3 generasi berbeza
Para sukarelawan yang terlibat
Majlis berbuka puasa ini berakhir pada jam 9.00 malam. Ramadhan sememangnya memberi rahmat kepada kita semua di mana acara berkumpul sebegini dapat merapatkan silaturrahim sedia ada selain saling bermaaf-maafan sesama sukarelawan. Ramah mesra sesama rakan-rakan secara berdepan dan lebih dekat dapat dipupuk dengan adanya majlis seperti ini memandangkan kebanyakan dari kita di zaman serba canggih ini kerap menjadikan laman sosial sebagai platform utama untuk berkomunikasi. Kita juga dapat berkongsi rezeki dengan semua selain dapat berjemaah menunaikan solat di masjid. Tanpa kita sedar, sedikit sebanyak inspirasi kebaikan dapat disebarkan sepanjang majlis berlangsung.
Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Didoakan semoga para pemberi duit raya dan semua yang menyumbang kepada kelancaran majlis ini agar dimurahkan rezeki selalu. Terima kasih pihak Restoren Thai Serai yang menyediakan juadah yang enak dan semua dari jauh dan dekat yang menyokong penuh sambutan majlis berbuka puasa kali ini. Semoga kita terus istiqomah menyebarkan kebaikan kepada semua.
Salam Ramadhan Kareem.
Iman Nur Alia
Projek Koordinator
Kindness Malaysia
0 comments:
Post a Comment