Pada 9 April 2017 bersamaan hari Ahad yang lepas, Kindness Malaysia telah mengadakan Pasar Percuma dengan kerjasama di antara Sekolah Menengah Kebangsaan Senawang (SMKSE), Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMKSE dan Balai Polis Senawang. Lokasi yang dipilih adalah di SMKSE. Pasar Percuma ini telah mencipta sejarah sebagai projek yang terbesar dan pertama
dianjurkan oleh mana-mana sekolah di Negeri Sembilan.
Kehadiran diluar jangkaan
memeriahkan suasana di mana lebih 2000 pengunjung yang merupakan pelajar,
ibu-bapa pelajar serta masyarakat setempat tiba seawal jam 7.30 pagi di Dewan Seri
Delima, SMKSE. Acara jual beli di pasar percuma ini dimulakan lebih awal pada jam 8.30
pagi.
Tema bagi Pasar Percuma SMKSE
ialah “bayar dengan senyuman” di mana transaksi jualan dan belian hanya dilakukan dengan sebuah senyuman dan pembeli boleh memilih apa sahaja barangan atau perkhidmatan yang ada secara percuma. Suasana pasar percuma pada hari tersebut cukup meriah dan dipenuhi dengan senyuman dan keceriaan.
Seramai 40 tenaga sukarelawan
Kindness Malaysia dibantu lebih 100 pelajar SMKSE serta guru menjayakan program
yang terbesar melibatkan masyarakat setempat di sekolah ini.
Kasut terpakai yang disumbang
Tuan Haji Omar bin Ahmad
(Pengetua SMKSE) berkata sebanyak 300 Family
Kit berupa barangan dapur asas
disediakan pihak sekolah kepada keluarga pelajar kategori asnaf berdasarkan
rekod sekolah telah berjaya diserahkan sepanjang
program dilaksanakan. Beliau menambah, program yang dijalankan berdasarkan
modul Kindness School oleh Kindness
Malaysia adalah antara pendekatan sekolah dalam menyediakan medium bagi pelajar
dan guru-guru untuk berkhidmat kepada masyarakat setempat. Sekaligus, menambah
keyakinan ibu bapa dan masyarakat setempat terhadap sekolah dan tenaga
pengajarnya.
Sayuran. Antara barangan yang diberi secara
percuma
Sebanyak 80 syarikat korporat,
jabatan kerajaan dan individu persendirian yang turut sama menyumbang pelbagai barangan baru
dan terpakai seperti pakaian, makanan asas, khidmat urutan dan sebagainya dalam menjayakan penganjuran Pasar Percuma ini.
Antara peserta bertuah mendapat basikal yang
disumbang Balai Polis Senawang
Uniknya Pasar Percuma kali ini,
pelbagai barangan keperluan orang sakit seperti kerusi roda dan tongkat akan
diserahkan oleh pihak sekolah kepada tempat yang memerlukan seperti hospital dan
keluarga pelajar yang memerlukan secara terus.
Gunting rambut percuma untuk semua
Selain itu, pelbagai buku rujukan tingkatan 1 sehingga 5 yang disumbangkan seacra percuma oleh pelajar Permata Pintar, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
turut habis diambil pengunjung terutamanya pelajar tingkatan 5 yang akan
mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017.
Pasar percuma berakhir sekitar jam 1 tengah hari. Ternyata semua yang terlibat sepanjang program ini amat berpuas hati dan lega kerana dapat menyempurnakan projek penuh bermakna ini. Semoga semua yang terlibat dan masyarakat sekeliling dapat mengambil segala bentuk pengajaran positif hasil dari program seperti ini.
Konsep memberi secara ikhlas, percuma dan sedekah kepada yang memerlukan ini sekurang-kurangnya dapat diterap dari awal dalam diri anak-anak muda dan masyarakat sekeliling.
Terima kasih para penganjur, para penyumbang yang budiman dan semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan Pasar Percuma kali ini. Semoga mendapat manfaat kepada semua.
Disediakan oleh :
Muhammad Adam bin Ahmad
Setiausaha Kehormat
Kindness Malaysia