About

Blog tentang aktiviti-aktiviti amal di dalam dan luar Malaysia

More About Me...

Kita pesimis dengan kesengsaraan insan yang menderita di serata dunia. Laman ini cuba mengundang kembali sekelumit fitrah insani yang cakna dan peka dengan kesengsaraan insan lain. Infaq di jalan Allah...

RSS Subscribe

Booking.com

Thursday, February 2, 2017

Projek Surau: Dari Kepam ke Surau yang Wangi

Poster Projek Surau

Pada cuti Hari Wilayah Persekutuan bersamaan 1 Februari 2017, Kindness Malaysia telah mengadakan suatu projek yang dinamakan Projek Surau. Projek ini melibatkan 15 orang sukarelawan Kindness Malaysia dan lokasi yang dipilih adalah surau-surau sekitar Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan. 


Projek yang mensasarkan 20 buah surau ini dilaksanakan dengan misi mewangikan dan membersihkan surau-surau tersebut selain meringankan beban para pekerja surau.

Antara sukarelawan yang terlibat

Persediaan awal diadakan lebih kurang dua minggu sebelum hari perlaksanaan di mana kami sempat menerima dana untuk membeli peralatan yang sesuai untuk diletakkan di surau. Barang-barang yang terlibat adalah pewangi, pencuci tangan, sejadah, cermin muka, kain pelikat, thirsty hippo, bedak, penyangkut baju dan seluar serta telekung.

Barang-barang yang telah siap dilabel 

Sesi mengasingkan barangan juga dibuat sebelum kami bergerak ke surau. Ini bagi memudahkan kami untuk meletakkan barang-barang tersebut di surau lelaki dan perempuan. Panas terik pada hari itu bukanlah penghalang untuk kami melaksanakan misi Projek Surau.

Sesi pengasingan barangan di Petronas Pantai Dalam, KL

Sekitar jam 11.30 pagi, kami semua tiba di lokasi surau. Kami bergerak secara berkumpulan. Sukarelawan lelaki menuju ke surau lelaki, begitu juga dengan perempuan. Kami mencari surau di setiap tingkat. Alhamdulillah, walaupun ada sedikit kesulitan mencari surau pertama, kami tidak patah semangat, tetap meneruskan misi ini dengan sokongan dan pertolongan rakan-rakan sukarelawan yang lain.

Semasa menuju ke surau 

Setiap surau yang kami bersihkan, keadaannya tidak sama. Jadi, kami mengagihkan tugas di mana setiap sukarelawan akan fokus pada satu tugas sahaja seperti melipat sejadah, menggantung telekung, mewangikan surau serta membersihkan tempat mengambil wudhuk. 

Sukarelawan lelaki mula membersihkan surau

Semasa menuruni anak tangga, kami ditegur oleh seorang pekerja surau. "Ramai-ramai ni nak buat apa dik?" Salah seorang rakan kami menjawab, "Kami nak wangikan surau ni bang..nak bersihkan mana yang perlu". Lantas, tersenyum pekerja surau tersebut sambil berkata, "Alhamdulillah, 18 tahun abang kerja kat sini, inilah pertama kali ada orang buat macam ni..terima kasih adik-adik semua"


Sukarelawan wanita melipat telekung


Telekung yang siap digantung

Alhamdulillah..senyuman abang tersebut benar-benar melegakan hati kami. Tanda gembira dan ucapan terima kasih si abang tadi amat kami hargai. Juga antara misi kami, menggembirakan orang ramai sama ada yang menggunakan surau tersebut mahupun para pekerja surau.

Semburan untuk mewangikan surau

Pada jam 2.00 petang, kami berjaya membersihkan kesemua surau-surau tersebut. Syukur dan gembira apabila melihat surau-surau tersebut berwajah baru. Semerbak bau wangian yang kami sembur di dalam surau sehingga ke luar surau. 


Pewangi yang diletakkan di surau

Pencuci tangan untuk kegunaan sebelum mengambil wudhuk


Air freshener juga diletakkan di surau


Thirsty hippo yang diletakkan di dalam almari


Sejadah dan telekung yang dilipat kemas

Dalam perjalanan menuju ke ruang makan, kami masih memikirkan apa lagi kebaikan yang boleh dilakukan di bangunan ini. Dari jauh, kami terlihat peti minuman. Apalagi, idea memberi minuman percuma kepada yang bertuah terus kami lakukan. Jaga (pak guard) di bangunan tersebut juga ada 
menerima kejutan air minuman percuma dari kami.

Minuman percuma untuk abang guard

Minuman percuma untuk yang bertuah

Setelah selesai, kami terus menuju ke ruang makan untuk menjamu selera dan menghilangkan lapar 
dan dahaga. Alhamdulillah, Projek Surau berakhir dengan jayanya. 

Terima kasih semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan Projek Surau kali ini. Jutaan penghargaan juga kepada para penyumbang dana Projek Surau. Terima kasih juga kepada orang ramai di sekitar surau yang menyokong dan menyambut baik kejutan dari kami. Peluang untuk melakukan kebaikan ini amat-amat kami hargai. 

Sempat berterima kasih kepada abang yang menjaga kaunter di bangunan tersebut

Semua orang cintakan kebersihan,bersih fizikal, rohani, jasmani dan persekitaran kita. Bersih itu juga sebahagian dari iman kita. Apabila surau bersih, lebih senang kita mendekatkan diri dengan Tuhan. Solat kita akan menjadi lebih khusyuk. Semoga para pengguna surau tersebut dapat menerima faedah daripada apa yang kami buat pada hari ini.

Rasa seronok dapat sebarkan kegembiraan kepada semua orang. Setiap hari fikirkanlah apa jua bentuk kebaikan yang boleh kita lakukan kepada orang ramai walaupun cuma sekecil-kecil kebaikan. Semoga Projek Surau seperti ini dapat diteruskan oleh semua. Kalau kita tidak berkemampuan memberi wang ringgit untuk sedekah misalnya, kita masih boleh menolong dengan membersihkan surau-surau seperti ini. Hanya perlukan tenaga dan masa sahaja. Dengan niat ikhlas unutk menolong, InshaAllah, Allah akan permudahkan.


Burung nuri terbang rendah,
Mungkin lelah kedua sayapnya,
Surau cantik terhias indah,
Mata memandang jiwa bahagia.

Iman Nur Alia
Projek Koordinator
Kindness Malaysia

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...