About

Blog tentang aktiviti-aktiviti amal di dalam dan luar Malaysia

More About Me...

Kita pesimis dengan kesengsaraan insan yang menderita di serata dunia. Laman ini cuba mengundang kembali sekelumit fitrah insani yang cakna dan peka dengan kesengsaraan insan lain. Infaq di jalan Allah...

RSS Subscribe

Pengiktirafan dari World Kindness Movement

Kindness Malaysia kini secara rasminya merupakan ahli World Kindness Movement

Misi Bantuan Kemanusiaan Untuk Mangsa Rohingya di Arakan, Myanmar

Bersama pelarian Rohingya di Arakan (Rakhine), Myanmar

Bantuan Perubatan di Hebron, Palestine

Vitamin C untuk anak-anak Palestine di Hebron

Ziarah ke perkampungan orang asli

Bersama sukarelawan ke kampung orang asli di Pos Betau, Pahang.

Misi Gelandangan Feed The Homeless

Misi Gelandangan Feed The Homeless yang dijalankan setiap hari Sabtu 2 minggu sekali di sekitar Kuala Lumpur

Booking.com

Friday, March 18, 2016

Persediaan Terakhir Menjelang Futsal Piala Kindness 2016


Kurang dua minggu sahaja lagi menjelang Futsal Piala Kindness 2016 anjuran Kindness Malaysia. Kejohanan futsal amal ini bakal melibatkan 36 pasukan futsal rumah-rumah kebajikan serta komuniti pelarian dari Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Kedah dan Pulau Pinang. Butiran program seperti berikut:

Futsal Piala Kindness 2016
Tarikh: 3 April 2016
Masa: 8am-6pm
Lokasi: Futsal KSL, Setapak, Kuala Lumpur

Rakan-rakan penaja bagi tahun ini lebih meriah dengan beberapa nama besar dalam industri masing-masing menawarkan diri untuk menjadi sebahagian daripada Futsal Piala Kindness 2016. VIP bagi tahun ini dianggarkan lebih 500 orang anak-anak yatim dan komuniti pelarian Myanmar, Rohingya, Syria, Afghanistan, Palestin dan Somalia bakal hadir serta 150 orang sukarelawan gabungan Kindness Malaysia, Chelsea Soljabiru, Gooners Community Malaysia dan disokong oleh rakan NGO seperti Preloved4Charity, Kelas Kaseh, Humanity Heroes, Projek Ihsan dan Sadaka by Aims-V

Penaja-penaja utama adalah seperti berikut:

Kenderaan Rasmi: Haval (Go Auto)
Minuman Rasmi: Pocari Sweat
Laundry Rasmi: Laundry On The Go
Photobooth Rasmi: Amitie

Kereta Haval M4 yang menjadi kenderaan rasmi Futsal Piala Kindness 2016
air isotonik Pocari Sweat sebagai minuman rasmi Futsal Piala Kindness 2016

Laundry On The Go penaja rasmi cucian pakaian mudah untuk orang ramai
MRT Corp menaja goodie bags untuk semua peserta yang hadir


Syarikat-syarikat korporat yang turut sama menjayakan Futsal Piala Kindness 2016 seperti MRT Corp, Komuniti MYEG (MYEG Services Berhad), Plus Malaysia, 1M4U, Sports Direct, Lucozade, Cola Kedah, Lembah Temir, KVerts, Alpace Engineering Berhad, Delourva, Forwin Intergrated Solutions, Laras, Kyser, Bateqila, Legion of Bricks Keeper, Legodt dan juga penaja individu.

setiap minggu latihan diberikan oleh pengurus pasukan masing-masing


Ranking bagi setiap pasukan adalah berdasarkan Futsal Piala Kindness 2014 serta perlawanan persahabatan yang pernah dilakukan. Senarai rumah-rumah kebajikan mengikut ranking bagi tahun 2016:

Pasukan Lelaki

1. Ijabah FC (Yayasan Ijabah) - Johan Piala Kindness 2014
2. Siddhartan FC (Rumah Perlindungan Siddhartan, Petaling Jaya) - Naib Johan Piala Kindness 2014
3. Somali FC (Somali Community Center, Gombak) - Naib Johan Piala Muslim Aid 2012
4. RKH FC (Rumah Kasih Harmoni, Paya Jaras) - Tempat ketiga Piala Kindness 2014

5.ASDAF FC (Asrama Darul Falah)
6. Pekeas FC (Rumah Kebajikan Asshakur, Rawang)
7. Hashimiah FC (Madrasah Hashimiah, Selayang)

8.Chow Kit FC (Yayasan Chow Kit)

9. MRA FC (Rohingya Community School, Cheras Baru)
10. Baitul Ehsan FC (Madrasah Tahfiz Baitul Ehsan, Batu Caves)
11. Attaqwa FC (Rumah Anak Yatim At-Taqwa, Puchong)
12. Arrayan FC (Rumah  Anak Yatim Arrayan, Seremban)

13. Sg Pinang FC (Madrasah Rohingya Sg Pinang, Klang)
14. Nur Iman FC (Rumah Anak Yatim Nur Iman, Rompin)
15. Meru FC (Madrasah Rohingya Meru)
16. Baitul Kasih (Rumah Anak Yatim Baitul Kasih)

17. MSRI FC (Malaysian Social Research Institute, Ampang)
18.Peace Building FC (Sekolah Rohingya, Pulau Pinang)
19. Asnaf FC (Rumah Asnaf Al Barakh)
20. Baitul Rahmah FC (Sekolah Rohingya Sungai Petani)

21. Kelas Kaseh (PPRT)
22. Nur Insan FC (Rumah Perlindungan Teratak Nur Insan)
23. Radiant FC (Projek Ihsan)

Pasukan Perempuan

1. Chow Kit FC - Johan Piala Kindness 2014
2. ASDAF FC - Naib Johan Piala Kindness 2014
3. Pekeas FC
4. RKH FC

5. MSRI FC
6. Baitul Kasih FC
7. Baitul Nurrawdhah FC (Baitu Nurrawdhah, Puchong)
8. MRA FC

9. Nur Insan FC
10. Nur Qaseh FC (Rumah Nur Qaseh)
11. Nur Raudhah FC (Rumah Kebajikan Nur Raudhah)
12. PKTM FC (Persatuan Kebajikan Taman Melati)
13. ASDAF B FC

Hadiah bagi tahun ini ditingkatkan dan johan bagi kategori lelaki dan perempuan ialah RM2000, naib johan pula akan membawa pulang RM1500 dan tempat ketiga RM1000. Pemain terbaik pula akan dapat hadiah wang tunai RM300. Beberapa media juga telah setuju untuk memberi liputan seperti Astro Oasis. Dijangka semasa hari kejadian kelak, lebih banyak media serta blogger akan turut serta untuk liputan yang lebih meluas.

konsep makanan free flow akan disediakan untuk anak-anak yatim serta sukarelawan

Tajaan dari segi kewangan dan juga makanan amat dialu-alukan. Untuk sebarang pertanyaan berkenaan dengan penajaan, boleh hubungi Adam Ahmad di adam@kindness.my. Sukarelawan yang berminat untuk turut serta boleh turut serta di sini.

Muhammad bin Kamarulazizi
Pengasas
Kindness Malaysia
www.facebook.com/kindness.my

Tuesday, March 15, 2016

Projek Orang Asli Kampung Sentoi




 Pada 26, 27, dan 28 Februari 2016, Kindness Malaysia dengan kerjasama Asrama Darul Falah (ASDAF) telah menjalankan satu Projek Orang Asli. Pada kali ini Kampung Sentoi, Pos Betau, Pahang menjadi pilihan kami untuk projek ziarah ini. Seramai 30 orang sukarelawan turut serta dalam menjayakan projek ini. Kampung Sentoi merupakan sebuah perkampungan orang asli yang mempunyai penduduk terdiri daripada suku kaum Semai dan Bateq.  Kampung ini mempunyai penduduk seramai 300 orang yang majoriti penduduk terdiri daripada kanak-kanak. Pendapatan utama penduduk disini ialah hasil hutan dan kebun yang diusahakan sendiri. Penduduk kampung sangat ramah dan menyambut kedatangan kami dengan gembira terutama kanak-kanak.

Kanak-kanak yang paling gembira menyambut kedatangan kami
       Kami berkumpul di ASDAF untuk taklimat dan pembahagian tugas. Kami bertolak ke Kampung Sentoi pada jam 11 malam dan sampai di sana pada jam 3 pagi. Kami berehat sebentar sebelum bangun untuk solat subuh dan menyediakan sarapan pagi. Terdapat juga  sukarelawan membaik pulih pintu tandas surau dan lampu. Selepas sarapan, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak bermula dengan penyertaan yang amat menggalakkan daripada kanak-kanak di sana. Aktiviti diteruskan dengan beberapa aktiviti sukaneka bahagian pagi seperti bawa bola ping pong dengan sudu dan tiup belon. Masa yang sama bahagian penyediaan makanan sedang menyediakan makanan tengah hari. Selepas makan tengah hari dan solat zuhur, aktiviti bebas rehatkan badan di sungai yang sangat sejuk airnya.
Sukarelawan membaik pulih keadaan tandas surau yang rosak

Sukaneka-tiup belon paling besar

Sukaneka - Bawa bola ping pong dengan sudu

Semangat kanak-kanak menyertai pertandingan mewarna

Kaum ibu membantu dalam penyediaan makanan

Sukarelawan tidak ketinggalan membantu di dapur

Bergotong-royong menyiapkan makanan

Masa makan kanak-kanak yang paling laju

Rehatkan minda dan badan mandi di sungao yang sejuk

      Selepas solat asar, bermula sukaneka bahagian petang yang menglibatkan kanak-kanak dan orang dewasa. Sukaneka kanak-kanak di teruskan dengan acara isi air dalam botol dan cari gula-gula dalam tepung. Sukaneka untuk orang dewasa acara berjalan serentak bagi menyumpit dan boling kelapa. Acara menyumpit mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk kampung kerana menyumpit ialah tradisi orang asli untuk memburu binatang di dalam hutan. Seterusnya acara bola tampar untuk orang dewasa memeriahkan lagi acara sukaneka pada petang itu.


Pertandingan menyumpit untuk orang dewasa

Sukaneka - Mencari gula-gula dalam tepung

Sukaneka - isi air dalam botol

Sukaneka dewasa - boling kelapa

Antara pertandingan tumpuan - bola tampar


       Antara solat maghrib dan isya’ pengisian tazkirah telah disampaikan oleh Ustaz Karim dan diikuti dengan makan malam. Selepas makan malam, penduduk kampung bersetuju untuk mengadakan persembahan upacara sewang. Sewang merupakan upacara berbentuk ritual mengikut tujuan tertentu upacara tersebut diadakan. Para sukarelawan sangat gembira dapat menyaksikan upacara tradisi masyarakat orang asli. Persembahan upacara sewang tamat pada jam 12 tengah malam dan semua sukarelawan pulang dan berehat.

Sedikit perkongsian antara magrib dan isya'

Persembahan Sewang oleh penduduk kampung sentoi

      Pada keesokan paginya, selepas solat subuh pengisian diberi oleh En Muhammad dan diteruskan dengan persiapan sarapan pagi. Selepas sarapan, aktiviti gotong – royong membersihkan kawasan kampung bersama kanak-kanak. Di samping itu, penyampaian sumbangan kepada penduduk kampung yang membantu menjayakan program ziarah ini. Penyampaian hadiah pertandingan mewarna sejurus selepas penyampaian sumbangan. Semua penduduk kampung gembira terutamanya kanak-kanak.


Antara hadiah yang disediakan untuk pemenang

Penyampaian sumbangan kepada penduduk kampung

Gambar kenang-kenangan bersama kanak-kanak di sana


      Setelah selesai semua, para sukarelawan mengemas barang dan bersiap sedia untuk bergerak pulang. Kami bertolak pada jam 11.30 pagi. Kami pulang dengan perasaan gembira dan sedih untuk meninggalkan kampung ini. Kami bersyukur kerana dapat membahagiakan penduduk kampung dan menyampaikan sumbangan yang diamanahkan oleh penderma yang baik hati. Terima kasih diucapkan kepada mereka yang telah memberikan sumbangan dari segi wang ringgit mahupun barang keperluan. Saya berharap agar dengan sumbangan tersebut dapat membantu mereka dalam kehidupan seharian. Kepada para sukarelawan, di harap dapat mengambil pengajaran dan mendapat pengalaman yang berguna sepanjang program. Semoga semua terus bersemangat untuk menyebarkan kebaikan dan menyertai aktiviti yang dianjurkan oleh Kindness Malaysia. Alhamdulillah. ^_^


Fatin Amira Nabila Binti Tauran
Project Coordinator
Kindness Malaysia


Thursday, March 3, 2016

RENCAH BERBEZA, NAMUN SULAMANNYA PENUH WARNA


-Program Orang Asli , Kg. Sentoi, Pos Betau, Pahang pada  27 Feb – 28 Feb 2016 anjuran KINDNESS MALAYSIA (KM) dan ASDAF (Asrama Darul Falah, KL)-

Sabtu, 27 Feb , 10.30 malam – Sesi taklimat diberikan kepada semua yang terlibat dengan program ini bagi memberi gambaran awal mengenai tujuan program dan bagaimana melaksanakan projek ini juga sedikit tips pantang larang semasa berada di Pos Betau nanti.

Taklimat Program oleh Pengerusi Kindness Malaysia saudara Diwan A Rahman
Sekitar jam 11 malam, kami memulakan perjalanan. Konvoi 8 buah kereta dari Kuala Lumpur bersama 2 kenderaan rasmi Kindness Malaysia berjenama Haval M4 di bawah tajaan GoAuto menyusuri perjalanan malam yang sunyi. Sebuah kereta dari Tangkak, Johor juga mula bergerak yang mewakili 2 orang sukarelawan dari negeri Melaka dan Johor.

Perjalanan mengambil masa hampir 4 jam. Walaupun ada yang sesat gara-gara salah masuk simpang tetapi akhirnya kami semua tiba juga ke Kg Sentoi. Alhamdulillah. Suasana kampung masih sunyi memandangkan  semua masih lena diulit mimpi.

Memasuki perkampungan orang asal adalah pengalaman cukup unik kepada aku, terasa janggal juga. Dalam hati kuatkan semangat dan sentiasa beringat yang “aku juga anak kampung”.

Ada masa sebelum masuk waktu Subuh, kami sempat lelapkan mata seketika. Para sukarelawan
semua menginap di surau lelaki dan perempuan. Bersebelahan sahaja surau perempuan dan lelaki.
Azan subuh berkumandang menandakan misi kami harus bermula seawal mungkin. Solat Subuh berjemaah kami mulakan sebagai tanda kami semua telah berada di perkampungan ini. Orang-orang kampung menyambut baik kedatangan kami.

Solat subuh berjemaah
Mentari makin menyinari. Tugasan pertama para sukarelawan – membaiki pintu yang tercabut.
Kenalah tutup, kalau tak... bahaya kepada kami semua lebih-lebih lagi wanita.


Sukarelawan membaiki pintu tandas yg telah rosak


Para sukarelawan sibuk menyediakan sarapan pagi di dapur dengan bantuan daripada panduduk kampung. Di sudut ini, aku lihat kesepakatan antara sukarelawan semasa menyediakan makanan. Bukan senang nak dapat pengalaman seperti ini. Sepakat membawa berkat!
 
Penulis (kiri sekali) - membantu mengediakan sarapan untuk penduduk kampung



Makanan dah siap! Jom beratur ambil juadah pagi ini. Anak-anak orang asli memang tak sabar nak makan. Meriah juga sambutan mereka lebih-lebih lagi bab makan. Bukan selalu mereka dapat rezeki seperti ini.

Anak-anak mendahului barisan untuk mengambil makanan mereka


 Aktiviti pertama kami bermula. Pertandingan mewarna khas untuk kanak-kanak orang asli. Dengan bimbingan saudari Fatin, anak-anak kecil ini nampak bersemangat menyertai pertandingan ini. Mana tidaknya, kalau menang, dapat hadiah! Setiap kanak-kanak akan diberi sekotak pensil warna yang dikhaskan untuk mereka. Boleh bawa pulang pensil warna ni. Yeay!! Para sukarelawan sedikit sebanyak membantu perjalanan program mewarna ini.

Selesai acara mewarna, kami semua turun padang untuk acara sukaneka pula. Masing-masing tak sabar nak beraksi. Kanak-kanak dibahagikan kepada beberapa kumpulan sebelum acara sukaneka bermula. Pelbagai acara sukaneka seperti bawa bola pingpong dalam sudu dan meniup belon yang telah diatur oleh Person In Charge (PIC) iaitu saudara Hafiz dan Diwan. Menarik! Pelbagai reaksi dan gelagat anak-anak kecil ini.  Tersenyum kami semua sepanjang program ini berlangsung.

Acara Mewarna


Tiup belon sape paling besar
Sementara itu, acara warm up bola tampar wanita juga diadakan bagi menghargai kaum wanita di sini.Yelah mereka juga nak tunjuk bakat kan?

Kaum Ibu tidak mepaskan peluang mencuba permainan bola tampar

Bola sepak antara aktiviti wajib kalau turun ke Kampung Sentoi ni. Mereka sangat berbakat dalam sukan bola sepak. Panas mentari tidak menghalang mereka untuk sama-sama menunjukkan skill gelecek masing-masing. Hebat anak-anak muda di kampung ini.

Bola sepak merupakan acara wajib bila ke sini
Menjelang tengah hari, kami semua kelaparan. Hidangan tengah hari juga telah siap disediakan. Maka, kami semua ke dapur untuk mengagihkan makanan kepada penduduk kampung sambil mengisi kekosongan perut kami juga. Alhamdulillah syukur.. dah mengeluarkan peluh bersama penduduk kampung, kami makan bersama-sama.

Anak-Anak menikmati makan tengah hari
Selesai menikmati juadah tengah hari yang cukup istimewa hasil didikan abg Karim, Mak Esah, Fatin, Zaim & the gang (team ASDAF), kami ke surau untuk menunaikan solat Zohor berjemaah. Pendekatan dakwah sebegini adalah sebagai salah satu inisiatif untuk menarik penduduk orang asli mendekati agama Islam memandangkan rata-rata sebahgaian mereka menganut agama Kristian.

Acara sukaneka bersambung semula. Meriah tak meriah lah kan. Dah penat ! peluh pun mengalir je ni ha. Apa kata kita ke sungai. Sungai??? Best ni!
Mandi sungai- melepaskan lelah seketika
Aktviti santai kami pun bermula di sungai di belakang kawsan rumah penduduk kampung. Menghargai keindahan alam katanya. Memang indah! Sejuk airnya... tenang dan aman.. Anak-anak kecil ni sangat sporting dan tak pernah jemu layan kami. Rasa sayang sangat dengan mereka. Thank you adik2! Kakak sayang adik-adik semua.

Macam-macam aksi di sungai
Selesai menyegarkan diri, kami sempat rehatkan diri seketika di surau sementara menunggu azan Asar.Selepas Asar, kami semua turun padang lagi bagi menyambung sesi sukaneka. Jom lihat gelagat penduduk kampong beraksi . Acara sukaneka kanak-kanak iaitu mencari gula-gula dalam tepung dan isi air dalam botol. Meriah!

Acara cari gula dalam tepung


Acara Masukkan air ke dalam botol


Di suatu sudut, acara boling padang dan mengepit belon untuk dewasa juga giat dilaksanakan. Boling padang kami menggunakan buah kelapa dan tin susu. Kreatif tak?

 
Sukaneka Dewasa - Boling padang
Yang paling mereka nantikan adalah acara menyumpit lelaki dan wanita dewasa! Yes, menyumpit belon.


Acara Menyumpit

Peserta Lelaki
 Penutup sukan hari ini diakhiri dengan pertandingan bola tompar wanita antara penduduk Kg. Sentoi.


Bola Tampar bagi Wanita

Setiap pertandingan sukan sepanjang hari ini, pihak kami akan terus memberi hadiah kepada semua pemenang. Sagu hati pun dapat tau. Seronok tau! Satu yang aku belajar dari sini adalah orang asli di sini sangat menghargai setiap pemberian tidak kira apa pun barang yang diterima walaupun cuma sebiji gula-gula apatah lagi barang keperluan harian seperti kepit kuku dan sikat rambut.



Penyampaian Hadiah Kepada Para Pemenang



Aktiviti malam hari kami di sini juga amat santai. Selesai solat Maghrib dan Isyak berjemaah dan juga selepas menikmati makan malam yang cukup lazat, kami dibawa ke rumah Tok Batin bagi mendalami dan menikmati acara SEWANG. Hah? Sewang? Apa ni? Aku asyik tersasul-sasul sebut rewang. Bukan rewang ye.

Acara Bersewang
Sewang ini adalah sejenis tarian yang diadakan jika berlaku kematian di kampung orang asli. Tetapi sewang malam itu diadakan sebagai tanda menyambut kedatangan kami para sukarelawan semua. Sangat sporting! Tarian yang sempoi dengan ketukan buluh yang menghasilkan muzik yang cukup meruntun kalbu. Trust me! Korang akan lupa segala masalah di KL kalau korang layan sewang ni. Bukan senang nak menari ye. Ada step dia. Sukarelawan kami juga taknak lepaskan peluang bersewang bersama penduduk org asli kat sini. Mesti cuba!
Sewang tamat sekitar jam 12 malam. Kami semua pulang ke surau untuk acara TIDUR! Eh.. masa tidur lah pula kan.. lena betul tidur malam tu walaupun cuma beralaskan tikar dan kain batik. NO BANTAL PELUK ok! Hehe.

28 Feb , Ahad – hari terakhir kami di sini. Pagi ini setelah sarapan, sedikit senaman ringkas dilakukan bersama adik-adik comel dan pertandingan bola tampar lelaki juga turut diadakan. Perlawanan persahabatan bola tampar lelaki di antara KM, ASDAF dan penduduk Kg Sentoi juga sempat diadakan sebagi penutup aktiviti sukan di sini. 

Mulakan pagi dengan senaman

 
Volunteer mencuba bakat
 Di suatu sudut berdekatan tempat memasak,sesi agihan barangan sumbangan kepada para penduduk Kg Sentoi yang aktif membantu kami memasak juga sedang berlangsung. Terima kasih atas pertolongan mereka.

 
Berebut barang sumbangan

Antara barang yang disumbang orang ramai


Sesi “lelong” pakaian juga diadakan sebelum berangkat pulang. Ni ala-ala free market la ni. Berebut-rebut mereka mendapatkan pakaian dan barang keperluan yang mereka inginkan. Ada handbeg, tuala, telekung, baju dan seluar hasil sumbangan orang ramai. Mereka di sini hidup serba kekurangan, jauh dari bandar.. sukar untuk mendapatkan pakaian mahupun barang keperluan harian.. jadi, tak hairanlah kalau berlaku perebutan dahsyat seperti ini di sini.. korang jgn terkejut pula kalau berdepan dengan situasi macam ni ok ;p
Anak-anak orang asli berebut gula-gula


Vitamin juga turut diberi kepada anak-anak org Asli di sini. Kesihatan kena jaga juga tau dik!


 
Pemberian Vitamin kepada anak-anak

Sebelum berangkat meninggalkan kampong Sentoi, kami semua bersalam-salaman dengan penduduk kampung. Rasa berat hati nak tinggalkan mereka. Terpaut memori berharga di sini. Ada adik-adik yang memeluk erat kami. Aduh.. sebak rasa...

Gelang sebagai hadiah istimewa
Gelang tangan!
Aku sempat bagi gelang tangan ni pada seorang adik comel, nama dia Ain. Baik budaknya. Untuk pengetahuan korang, para sukarelawan akan diberi 1 barang berharga berupa gelang kepada perempuan dan jam tangan kepada lelaki. Gelang dan jam tangan ini perlu dipakai sepanjang 2 hari kami kat sini dan perlu diberi kepada adik-adik yang rapat denga kita. Jadi, aku bagi pada Ain cute!

Gambar kenangan bersama anak-anak
 Alhamdulillah...program Orang Asli terlaksana jua dengan jayanya. TERIMA KASIH semua yang terlibat.. penduduk kampung yang sangat baik hati.. terima kasih atas perkongsian pengalaman kehidupan sepanjang2 hari yang penuh bermakna di sini. Liku-liku perjalanan pulang dari Kg Sentoi kami lalui dengan seribu satu kenangan. Selamat tinggal adik-adik. Sampai masa, ketemu lagi.

Ladang Teh Cameron Highland
Semasa pulang ke KL, kami sempat singgah di Cameron Highlands. Yelah.. kata Back To Nature.. wajarlah menghargai keindahan alam semulajadi macam kat Cameron ni. Hehe. Sempatlah ronda-ronda tengok ladang teh..sambil bergambar kenangan...
Inilah dia keluarga KM yang gigih menjayakan Program orang Asli kali ini. 2 hari tanpa line telefon, NO internet.. membuatkan kami lebih akrab dan fokus dalam menjalankan amanah sebagai sukarelawan di sini.. masing-masing dapat menjiwai watak, peranan dan tugas yang diberi.
Syabas semua!

Adik-adik tunjuk skill memanjat pokok


Tepuk-tepuk terima kasih buat semua donor, para sukarelawan, abang akak Kindness Malaysia yg banyak memberi tunjuk ajar, team ASDAF, wakil Hashimiah, para penduduk Kg. Sentoi dan semua yg terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan projek ini.  Semoga Kindness Malaysia dapat terus member inspirasi kebaikan kepada semua.
Bersama Semua volunteer yang terlibat


Alamak! Macam dah terindu tanpa sengaja kat Kg Sentoi, Pos Betau. Adik2 akak... akak rinduuuuuuuuuu laaa.....

Ternyata, rencah kehidupan mereka di sana amat berbeza dengan kita
Tetapi sulamannya penuh warna
Kita dan mereka tetap datangnya dari tanah
Tetap sama, tiada beza
Tetap akan kembali ke tanah jua..

Buat semua, senantiasalah  mencari peluang berbuat baik:

* Berbuat baik kepada makhluk dalam bentuk ucapan mahupun perbuatan dengan ikhlas kerana Allah
* FirmanNya "Tidak ada kebaikan dalam kebanyakkan bisikan-bisikan mereka kecuali bisikan-bisikan daripada orang yang menyuruh (manusia) untuk bersedekah atau berbuat kebaikan dan ketaatan atau memperbaiki hubungan antara manusia. Barang siapa melakukan hal itu kerana mengharapkan keredhaan Allah,nescaya kelak Kami akan berikan padanya pahala yang besar." (Surah al-Nisa':114)

Penulis bersama HAVAL M4 dan anak-anak orang asli



Volunteer
Kindness Malaysia

Iman Nur Alia

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...