About

Blog tentang aktiviti-aktiviti amal di dalam dan luar Malaysia

More About Me...

Kita pesimis dengan kesengsaraan insan yang menderita di serata dunia. Laman ini cuba mengundang kembali sekelumit fitrah insani yang cakna dan peka dengan kesengsaraan insan lain. Infaq di jalan Allah...

RSS Subscribe

Booking.com

Thursday, April 10, 2014

Futsal Piala Kindness 2014 Berlangsung Dengan Jayanya

suasana Futsal Piala Kindness sebelum kejohanan bermula
KUALA LUMPUR, 5 April 2014 – Kindness Dot My (Kindness) dengan sokongan Dana Belia 1Malaysia serta kerjasama Chelsea Soljabiru, Projek Iqra’ dan Gooddeeds Malaysia telah menganjurkan Kejohanan Futsal Piala Kindness yang telah berlangsung di Centermart Futsal Center Setapak, Kuala Lumpur. Kejohanan futsal amal ini melibatan 23 pasukan futsal dari rumah-rumah anak yatim sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan. Lebih 300 orang anak yatim 150 orang sukarelawan dari Kindness  hadir bagi memeriahkan aktiviti kali ini.


Kejohanan Futsal Piala Kindness ini merupakan kesinambungan dari kejohanan sebelumnya yang pernah dianjurkan oleh Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia (2012) dan Badan Kebajikan Siti Khadijah (2009-2011). Tahun ini Kindness mengambil inisiatif untuk menjadi penganjur utama kejohanan futsal amal antara rumah kebajikan ini. Kejohanan ini bertujuan untuk mencungkil bakat para penghuni rumah kebajikan yang kebanyakannya merupakan anak-anak yatim dan miskin dan secara tidak langsung menggalakkan cara hidup yang sihat. 
Perasmian disempurnakan oleh Encik Abdillah, wakil dari Dana Belia 1Malaysia

pasukan futsal dari Badan Kebajikan Siti Khadijah

Setiap rumah kebajikan diuruskan oleh sukarelawan-sukarelawan (pengurus pasukan) terpilih bagi menguruskan latihan dari segi kecergasan dan taktikal, serta mendapatkan tajaan bagi pakaian jersi dan alat keperluan futsal yang lain seperti bola dan kasut futsal. Latihan futsal telah berlangsung lebih dari sebulan bermula di rumah kebajikan sehingga ke perlawanan persahabatan di gelanggang futsal. Pendedahan sebegini memberi peluang kepada penghuni rumah kebajikan untuk lebih berdisiplin dan memupuk semangat kerjasama dalam pasukan.

Pasukan futsal dari Rumah Ar-Rayyan Seremban


Soljabiru Chelsea

Hadiah yang menjadi rebutan

BuehBossa juga turut hadir bagi menggembirakan para pengunjung terutama anak-anak yatim

Perlawanan sengit antara BKSK dan MRA FC

Kejohanan futsal ini juga telah menyaksikan tajaan dari lebih 40 syarikat-syarikat kecil yang telah menaja dalam bentuk makanan sehingga ke hadiah untuk pemenang. Tajaan sebegini memberi peluang kepada syarikat-syarikat kecil untuk melebarkan penjenamaan produk dan servis mereka kepada masyarakat umum.
Sesuai dengan slogan Kindness, “Dari Semua Untuk Semua”, lebih 150 orang sukarelawan telah terlibat secara langsung dan tidak langsung bagi menjayakan kejohanan Futsal Piala Kindness ini. Setiap sukarelawan telah diberi tugas masing-masing dari pengurusan kejohanan futsal, pencarian dana, pengurusan rumah kebajikan, logistik sehingga ke perhubungan media. Para sukarelawan Kindness majoritinya terdiri daripada warga belia bawah 40 tahun dari pelbagai latar belakang yang juga bekerjaya atau mempunyai perniagaan sendiri. Para mahasiswa dan mahasiswi dari institut pengajian tinggi awam dan swasta juga terlibat bagi menjayakan Futsal Piala Kindness.

Perlawanan akhir antara Ijabah FC dan Siddhartan FC

Harapan pihak penganjur agar kejohanan futsal amal ini dapat dilaksanakan setiap tahun fokus kepada warga penghuni rumah kebajikan. Bermula di Kuala Lumpur dan sasarannya adalah untuk mengembangkan ke rumah-rumah kebajikan di negeri-negeri yang lain. Pihak Kindness amat mengalu-alukan sebarang kerjasama dan tajaan bagi projek amal sebegini dan juga projek-projek kebaikan yang lain sejajar dengan misi Kindness iaitu menyebarkan dan melaksanakan kebaikan tidak kira tempat, lokasi atau pada sesiapa pun.

Johan kategori perempuan KL Krash Pad

bersama pemenang Futsal Piala Kindness

Johan kategori lelaki Ijabah FC

Futsal Piala Kindness di Harian Metro

Liputan di Malaysia Hari Ini, TV3

Keputusan Futsal Piala Kindness
Kategori Lelaki
Johan: Ijabah FC dari Yayasan Ijabah, Subang (RM2000)
Naib Johan: Rumah Perlindungan Siddhartan (RM1000)
Tempat ketiga: Rumah Kasih Harmoni, Rawang (RM800)

Kategori Perempuan
Johan: KL Krashpad, Chowkit (RM2000)
Naib Johan: ASDAF A (Asrama Darul Falah) (RM1000)
Tempat ketiga: ASDAF B (RM800)

p/s Futsal Piala Kindness di Harian Metro di sini.

Muhammad bin Kamarulazizi 
Pengarah Futsal Piala Kindness
www.facebook.com/kindness.my

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...