About

Blog tentang aktiviti-aktiviti amal di dalam dan luar Malaysia

More About Me...

Kita pesimis dengan kesengsaraan insan yang menderita di serata dunia. Laman ini cuba mengundang kembali sekelumit fitrah insani yang cakna dan peka dengan kesengsaraan insan lain. Infaq di jalan Allah...

RSS Subscribe

Pengiktirafan dari World Kindness Movement

Kindness Malaysia kini secara rasminya merupakan ahli World Kindness Movement

Misi Bantuan Kemanusiaan Untuk Mangsa Rohingya di Arakan, Myanmar

Bersama pelarian Rohingya di Arakan (Rakhine), Myanmar

Bantuan Perubatan di Hebron, Palestine

Vitamin C untuk anak-anak Palestine di Hebron

Ziarah ke perkampungan orang asli

Bersama sukarelawan ke kampung orang asli di Pos Betau, Pahang.

Misi Gelandangan Feed The Homeless

Misi Gelandangan Feed The Homeless yang dijalankan setiap hari Sabtu 2 minggu sekali di sekitar Kuala Lumpur

Booking.com

Wednesday, April 30, 2014

Suspended Karipap di Subang Jaya


Suspended Karipap yang dicetus dari idea suspended coffee yang popular di Amerika Syarikat telah berkembang dan diolah di Malaysia. Subang Jaya, sebuah bandar yang terkenal dengan popularnya penyanyi hip hop, Joe Flizzow telah menjadi lokasi untuk kajian sosial suspended karipap ini.

Apa itu sebenarnya suspended karipap? Matlamatnya mudah, untuk memberi atau berkongsi makanan dengan orang ramai terutama sekali yang memerlukan. Contoh yang memerlukan dari warga miskin atau homeless, sehingga ke miskin bandar yang mempunyai kerjaya tetapi pada masa yang sama, duit gaji yang diterima setiap bulan tidak cukup untuk bersarapan, kerana perlu rancang perbelanjaan yang ketat. Mekanismenya pula, suspended karipap ini dibeli dan ditinggalkan di kedai yang dibeli, dan pelanggan yang seterusnya boleh mengambil makanan tersebut, atau untuk kali ini ialah kuih karipap. 

Suspended karipap hari pertama

Suspended karipap hari kedua

Jika di Amerika Syarikat, suspended coffee ini popular di kafe kedai kopi dan komuniti gelandangan dapat datang dah meminta kopi dengan percuma. Projek suspended karipap ini dijalankan selama 6 hari bermula pada 23 April hingga 25 April (Rabu hingga Jumaat) dan kemudian bersambung pada 28 April hingga 30 April 2014 (Isnin hingga Rabu). Saya menerangkan kepada Pakcik Ali yang juga pemilik gerai nasi lemak dan kuih tentang konsep suspended karipap. Pada mulanya Pakcik Ali seperti sukar untuk memahami tujuan aktiviti kecil ini. Namun saya terangkan padanya, yang Pakcik Ali selalu beri saya extra kuih bila saya membeli. Perbuatan baik hati Pakcik Ali ini yang mendorong saya untuk lakukan suspended karipap pada orang lain pula! Dah macam Pay it Forward :) 

Pakcik Ali yang berhati Kindness
Bermula hari pertama, karipap dijual tiga biji Seringgit ditinggalkan beserta dengan nota di gerai Pak Ali yang terletak diantara Mydin dan Giant USJ 1 ini. Keesokan harinya, saya datang seawal pagi untuk bersarapan dan saya tanya bagaimana respon orang ramai untuk suspended karipap, Pakcik Ali kata tiada siapa berani ambil, mungkin suspended karipap ini masih terlalu asing kepada pelanggan yang datang. So untuk hari kedua saya mengolah sedikit ayat pada nota yang ditinggalkan bersama karipap, dan saya terus ke tempat kerja.

Suspended karipap plus suspended nasi lemak hari ketiga sempena hari Jumaat

Keesokan harinya (hari ketiga), seperti biasa saya bersarapan di gerai Pakcik Ali dan bertanya bagaimana respon suspended karipap semalam. Pakcik Ali kata ada Pakcik Sekuriti yang datang dan tanya pasal suspended karipap ini selepas terbaca nota diatas meja. Pakcik Sekuriti ini gembira, Pakcik Ali pun dah mula tunjukkan minatnya dengan suspended karipap. Hari ketiga ini merupakan hari Jumaat, oleh itu saya letakkan kelainan dengan menambahkan nasi lemak menjadikan dua makanan iaitu suspended karipap dan suspended nasi lemak.

Suspended karipap hari keempat

Hari minggu berlalu dan tibanya hari Isnin, saya datang singgah lagi untuk sarapan. Pakcik Ali terus kata, ada adik manis datang ambil suspended nasi lemak dan karipap. Gembira katanya, mungkin pelajar praktikal di Mydin. Saya pun rasa gembira dan tinggalkan karipap beserta nota baru untuk suspended karipap hari keempat.


Suspended karipap hari kelima

Hari berikutnya, Selasa, saya datang lagi untuk bersarapan dan kali ini Pakcik Ali kata ada seorang kakak berpakaian seperti uniform cleaner yang ambil karipap tersebut. Dia gembira melihat orang lain gembira, saya dalam hati rasa gembira sangat, lagi-lagi untuk memulakan kerja di pejabat. Saya lihat pelanggan-pelanggan yang lalu lalang sudah mula menerima konsep suspended karipap ini. Dan yang paling menarik, ada juga pelanggan yang datang menyatakan minat untuk taja suspended karipap di gerai Pakcik Ali. Nampak gayanya, projek suspended di gerai Pakcik Ali dah boleh jadi pilot projek yang sukses!

Hari terakhir suspended karipap, kira suspended kuih muih!


Hari ini adalah hari terakhir saya bertugas di Subang Jaya, dan saya ingin lakukan sedikit kelainan. Pelanggan yang datang boleh ambil mana-mana kuih yang mereka suka. Dan diakhir nota, saya nak minta juga pelanggan yang datang, untuk doakan saya sama. InsyaAllah kita boleh lakukan suspended coffee, eh suspended karipap di tempat lain pula.


Suspended Karipap mendapat liputan di Harian Metro 20 Mei 2014

Muhammad bin Kamarulazizi
www.facebook.com/kindness.my

Thursday, April 10, 2014

Futsal Piala Kindness 2014 Berlangsung Dengan Jayanya

suasana Futsal Piala Kindness sebelum kejohanan bermula
KUALA LUMPUR, 5 April 2014 – Kindness Dot My (Kindness) dengan sokongan Dana Belia 1Malaysia serta kerjasama Chelsea Soljabiru, Projek Iqra’ dan Gooddeeds Malaysia telah menganjurkan Kejohanan Futsal Piala Kindness yang telah berlangsung di Centermart Futsal Center Setapak, Kuala Lumpur. Kejohanan futsal amal ini melibatan 23 pasukan futsal dari rumah-rumah anak yatim sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan. Lebih 300 orang anak yatim 150 orang sukarelawan dari Kindness  hadir bagi memeriahkan aktiviti kali ini.


Kejohanan Futsal Piala Kindness ini merupakan kesinambungan dari kejohanan sebelumnya yang pernah dianjurkan oleh Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia (2012) dan Badan Kebajikan Siti Khadijah (2009-2011). Tahun ini Kindness mengambil inisiatif untuk menjadi penganjur utama kejohanan futsal amal antara rumah kebajikan ini. Kejohanan ini bertujuan untuk mencungkil bakat para penghuni rumah kebajikan yang kebanyakannya merupakan anak-anak yatim dan miskin dan secara tidak langsung menggalakkan cara hidup yang sihat. 
Perasmian disempurnakan oleh Encik Abdillah, wakil dari Dana Belia 1Malaysia

pasukan futsal dari Badan Kebajikan Siti Khadijah

Setiap rumah kebajikan diuruskan oleh sukarelawan-sukarelawan (pengurus pasukan) terpilih bagi menguruskan latihan dari segi kecergasan dan taktikal, serta mendapatkan tajaan bagi pakaian jersi dan alat keperluan futsal yang lain seperti bola dan kasut futsal. Latihan futsal telah berlangsung lebih dari sebulan bermula di rumah kebajikan sehingga ke perlawanan persahabatan di gelanggang futsal. Pendedahan sebegini memberi peluang kepada penghuni rumah kebajikan untuk lebih berdisiplin dan memupuk semangat kerjasama dalam pasukan.

Pasukan futsal dari Rumah Ar-Rayyan Seremban


Soljabiru Chelsea

Hadiah yang menjadi rebutan

BuehBossa juga turut hadir bagi menggembirakan para pengunjung terutama anak-anak yatim

Perlawanan sengit antara BKSK dan MRA FC

Kejohanan futsal ini juga telah menyaksikan tajaan dari lebih 40 syarikat-syarikat kecil yang telah menaja dalam bentuk makanan sehingga ke hadiah untuk pemenang. Tajaan sebegini memberi peluang kepada syarikat-syarikat kecil untuk melebarkan penjenamaan produk dan servis mereka kepada masyarakat umum.
Sesuai dengan slogan Kindness, “Dari Semua Untuk Semua”, lebih 150 orang sukarelawan telah terlibat secara langsung dan tidak langsung bagi menjayakan kejohanan Futsal Piala Kindness ini. Setiap sukarelawan telah diberi tugas masing-masing dari pengurusan kejohanan futsal, pencarian dana, pengurusan rumah kebajikan, logistik sehingga ke perhubungan media. Para sukarelawan Kindness majoritinya terdiri daripada warga belia bawah 40 tahun dari pelbagai latar belakang yang juga bekerjaya atau mempunyai perniagaan sendiri. Para mahasiswa dan mahasiswi dari institut pengajian tinggi awam dan swasta juga terlibat bagi menjayakan Futsal Piala Kindness.

Perlawanan akhir antara Ijabah FC dan Siddhartan FC

Harapan pihak penganjur agar kejohanan futsal amal ini dapat dilaksanakan setiap tahun fokus kepada warga penghuni rumah kebajikan. Bermula di Kuala Lumpur dan sasarannya adalah untuk mengembangkan ke rumah-rumah kebajikan di negeri-negeri yang lain. Pihak Kindness amat mengalu-alukan sebarang kerjasama dan tajaan bagi projek amal sebegini dan juga projek-projek kebaikan yang lain sejajar dengan misi Kindness iaitu menyebarkan dan melaksanakan kebaikan tidak kira tempat, lokasi atau pada sesiapa pun.

Johan kategori perempuan KL Krash Pad

bersama pemenang Futsal Piala Kindness

Johan kategori lelaki Ijabah FC

Futsal Piala Kindness di Harian Metro

Liputan di Malaysia Hari Ini, TV3

Keputusan Futsal Piala Kindness
Kategori Lelaki
Johan: Ijabah FC dari Yayasan Ijabah, Subang (RM2000)
Naib Johan: Rumah Perlindungan Siddhartan (RM1000)
Tempat ketiga: Rumah Kasih Harmoni, Rawang (RM800)

Kategori Perempuan
Johan: KL Krashpad, Chowkit (RM2000)
Naib Johan: ASDAF A (Asrama Darul Falah) (RM1000)
Tempat ketiga: ASDAF B (RM800)

p/s Futsal Piala Kindness di Harian Metro di sini.

Muhammad bin Kamarulazizi 
Pengarah Futsal Piala Kindness
www.facebook.com/kindness.my

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...