About

Blog tentang aktiviti-aktiviti amal di dalam dan luar Malaysia

More About Me...

Kita pesimis dengan kesengsaraan insan yang menderita di serata dunia. Laman ini cuba mengundang kembali sekelumit fitrah insani yang cakna dan peka dengan kesengsaraan insan lain. Infaq di jalan Allah...

RSS Subscribe

Pengiktirafan dari World Kindness Movement

Kindness Malaysia kini secara rasminya merupakan ahli World Kindness Movement

Misi Bantuan Kemanusiaan Untuk Mangsa Rohingya di Arakan, Myanmar

Bersama pelarian Rohingya di Arakan (Rakhine), Myanmar

Bantuan Perubatan di Hebron, Palestine

Vitamin C untuk anak-anak Palestine di Hebron

Ziarah ke perkampungan orang asli

Bersama sukarelawan ke kampung orang asli di Pos Betau, Pahang.

Misi Gelandangan Feed The Homeless

Misi Gelandangan Feed The Homeless yang dijalankan setiap hari Sabtu 2 minggu sekali di sekitar Kuala Lumpur

Booking.com

Wednesday, January 8, 2020

Amalan dan Ujian yang Menimpa


Sudah beberapa bulan saya dalam proses untuk perbaiki diri supaya jadi baik, jadi lebih baik. Dan pelbagai ujian dan rintangan yang terpaksa saya hadapi. Terus terang tak mudah. Pada peringkat awal saya diijazahkan dengan amalan zikir, memang saya rasa sangat gembira. Siapa tidak gembira bila satu ilmu yang dapat diamalkan itu datang seorang guru ke seorang guru yang bersanad terus hingga ke Rasulullah SAW.

Saya mula amalkan perlahan-lahan, dan ketika itu saya sedar ujian mula datang dalam hidup saya. Ya saya mengaku saya ini bukanlah seorang yang sangat baik. Menjadi pengasas kepada Kindness Malaysia itu hanya sebuah platform untuk saya gandakan pahala kebaikan kepada lebih ramai orang. Biar ramai lakukan kebaikan dan harapannya dari kebaikan yang mereka lakukan itu, saya juga akan tercalit juga pahala dari kebaikan mereka. Dan tidak bererti jadi pengasas kepada pertubuhan kebaikan itu menjanjikan seorang itu ternyata baik.

Saya insan yang lemah dan banyak lakukan kesilapan dan kesalahan. Ada pilihan yang saya lakukan itu tidak popular, dengan niat untuk membantu tetapi disalah tafsir oleh ramai orang. Ujian yang menimpa ini disokong pula dengan dorongan syaitan yang secara terang saya pandangnya sebagai musuh yang nyata. Membisik dan menimbulkan keraguan supaya apa yang telah dibina selama ini hancur umpama istana pasir yang gah, tetapi terurau kerana asasnya tidak kuat.

Saya terpaksa terima hakikat, setelah meninggalkan Kindness Malaysia, hampir semua juga meninggalkan saya. InsyaAllah dengan pimpinan baru ini, Kindness Malaysia akan jadi lebih kuat dari masa ke semasa. Saya doakan agar pimpinan kali ini dapat kembangkan dengan lebih luas dan dapat inspirasikan lebih orang untuk lakukan kebaikan tidak kira tempat, masa atau pada sesiapa pun.

tasbih digital yang jadi peneman setia


Saya faham ini adalah ujian dariNya. Berkali-kali orang luar sampaikan pesan kata ujian adalah untuk naikkan makam seseorang. Tapi saya rasa ujian untuk saya ini adalah kerana untuk tebus dosa silam saya. Juga kerana saya nak perbaiki diri maka syaitan ambil kesempatan untuk porak porandakan apa yang ada pada saya selama ini.

Saya pilih untuk bersendirian dahulu, terus dengan lakukan amalan yang diberikan. Cita-cita saya adalah untuk seimbangkan zikir dengan perbualan agar zikir sekurang-kurangnya dapat sama banyak dengan berbual dengan manusia. Sukar untuk dilakukan, tapi itu azam saya supaya saya dapat perbaiki diri saya yang penuh dosa ini.

Semua sudah tiada, kawan pun dah tak ramai. Kembali lakukan seorang diri bersama teman-teman yang rapat sahaja. Semoga Tuhan permudahkan perjalanan semua orang ke arah matlamat yang abadi. Allahumma Aamin.

Muhammad bin Kamarulazizi




Tuesday, January 7, 2020

Minggu Pertama Tahun 2020 di Madrasah Hashimiah


Masuk tahun 2020 ini. Semuanya sudah berubah. Semua baru dari segala aspek. Seolah-olah mula kembali seperti awal-awal dahulu menceburkan diri dalam dunia kebajikan lebih 10 tahun yang lepas.

Sekian lama saya tinggal penulisan di blog yang boleh dikatakan kurang popular dengan kehadiran media sosial yang lebih popular kerana live feed dan aktiviti siaran langsung oleh para pengguna. dari sudut content, sebenarnya saya lebih suka di blog, kerana kita terkejar untuk menulis, malah respond atau tindakbalas orang ramai itu tidak datang terus terutama sekali pada komen.

Hal ini membantu saya untuk menulis dengan lebih tenang. Dan bila timbul sahaja idea, barulah saya tulis lagi. Kali ini untuk tahun 2020, insyaAllah saya akan menulis kembali di blog ini yang sekian lama berhabuk dan juga di blog Madrasah Hashimiah

Bila saya duduk di kerusi admin Madrasah Hashimiah, terasa diri saya seperti keseorangan kembali untuk bantu anak-anak di sini. Dahulunya Madrasah Hashimiah ada admin sendiri, tetapi kini sudah tiada lagi. Nak cari admin yang baru juga akan ambil  masa kerana gaji yang ditawarkan itu agak kecil bagi seorang warganegara Malaysia.

layout baru page Facebook menggunakan Content Creator

Namun begitu, dahulunya tahun 2007 saya mula bersendirian juga. Kini tahun 2020 saya bersendirian lagi. Ada juga beberapa kerat sahabat saya yang masih membantu saya. Itu pun terpaksa dilakukan secara senyap agar tidak dikecam oleh orang lain.

Bila saya buka balik page Facebook Madrasah Hashimiah, rupanya algoritma sudah berubah lagi. Dan kali ini interface juga sudah berubah. Barangkali memang sesiapa yang terlibat dalam menguruskan business page FB ini perlu kerap belajar untuk update terkini dari Facebook. Saya yang saya anggap sudah tua ini pun terpaksa belajar sendiri agar dapat ilmu dan maklumat terkini supaya dapat bantu war-warkan lagi Madrasah Hashimiah kepada orang ramai.

Penulisan di blog ini adalah nukilan dari saya sahaja sebagai warga Madrasah Hashimiah. Doakan saya agar terus istiqomah dan dapat terus berusaha agar jadi lebih baik. Moga Tuhan berkati semua yang membaca posting ini, Allahumma aamin.

Muhammad bin Kamarulazizi



Monday, May 13, 2019

Projek TajaMereka anjuran Kindness Malaysia di Madrasah Darul Muttaqin Klang



Project Taja Mereka merupakan satu projek khas oleh Kindness Malaysia yang  hanya dilakukan pada bulan Ramadan untuk berbuka puasa bersama yang melibatkan rumah-rumah pelarian,Tahfiz, rumah-rumah kebajikan, rumah orang OKU penglihatan, Rumah orang tua tua, Sekolah, masjid-masjid dan juga individu yang dikenalpasti.

Taja Mereka yang berlangsung pada 11hb Mei Sabtu, bersamaan dengan 6 Ramadan 1440 Hijrah di Madrasah Darul Muttaqin Maa’ Tahfizul Quraan, Taman Sentosa Klang, Selangor. Jumlah tajaan pada mulanya hanya 150orang yang melibatkan 140 orang pelajar tahfiz dan 10 orang guru dan kakitangan, akhirnya meningkat keanggaran 200 Orang keseluruahnnya dari komuniti pelarian rohingya yang ditelah ditaja.


sukarelawan Kindness Malaysia menyiapkan makanan

berbuka puasa bersama-sama

dengan tajaan Helping Hand

Helping Hand bertindak sebagai Penaja Utama projek kali ini. Dengan Penglibatan seramai 15 orang volunteer dari Kindness Malaysia dan Helping hand sendiri. 

Aktiviti santai dilakukan oleh volunteer bersama pelajar yang diketuai oleh Sis Liyana. Kesemua anak-anak dialihkan perhatian menuju kepadang berdekatan madrasah bertujuan mengisi waktu anak-anak sebelum majlis berbuka puasa. Keseronokkan terpancar dimuka setiap dari pelajar kerana aktiviti sebigini tidak pernah dilakukan oleh mereka sebelum ini. 

Selesai aktiviti dipandang anak-anak berbaris masuk kedalam madrasah untuk berbuka puasa, mereka dididik untuk duduk berdoa sebelum masuknya waktu berbuka . Hidangan ringan dihidangkan seperti 3biji kurma, buah, 2 jenis kuih, air dan buburma yang dibawa khas dari Madrasah Hashimiah, Selayang.  sebelum berhenti untuk solat maghrib berjemaah yang dipimpim oleh imam dari komunity Rohingya sendiri. 

Selesai Solat Maghrib, majlis diteruskan dengan pemberian sumbangan yang disampaikan oleh bos besar Helping Hand, En Amar Razali diiringi oleh founder Kindness Malaysia En Muhammad bin Kamarulazizi. Sumbangan berbentuk barangan dapur, sumbangan tunai kepada madrasah dan duit raya kepada pelajar, guru dan kakitangan madrasah.  

Solat Maghrib berjemaah

Setiap makanan boleh ditambah

Selesai majlis sumbangan kesemua mereka dihidangkan dengan makan malam. Dapat dilihat anak-anak dan komunity begitu berselera menjamah hidangan yang disajikan  oleh catering tempatan. Ada yang berulang tambah kerana jarang sekali mereka dapat menikmati juadah yang dimasak oleh orang tempatan. Alhamdulillah juga semua hidangan menepati selera mereka.  Selesai menikmati juadah, kami solat isyak berjemaah sebelum diteruskan dengan solat tarawih.

Islam itu sangat cantik kebaikan yang dilakukan merentasi semua dan tidak tertumpu pada sesuatu kaum sahaja oleh sebab itu golongan pelarian Rohingya, Myanmar muslim yang berada di Negara kita adalah golongan yang wajar dibantu. 

Diharapkan selepas ini, lebih ramai dapat membantu mereka, kerana mereka adalah golongan yang sangat sangat memerlukan bantuan dan kita juga akan mendapat doa khas dari mereka.  Semoga kita semua diberikan petunjuk untuk terus berbakti. 

Setinggi tinggi penghargaan buat Madrasah Darul Mutaqin, Helping Hand , Kindness Malaysia dan semua yang telihat secara langsung atau tidak. Kepada semua volunteer semoga usaha dan amalan kita diterima. Terima kasih.

Noridah Abd Rahman
Projek Koordinator
Kindness Malaysia

Sunday, May 12, 2019

Pasar Percuma Kindness Malaysia Berlangsung Dengan Jayanya


Pada 28hb April 2019, Ahad bertempat di ruang legar Masjid Amru ibni Al As, Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur telah diadakan Program Pasar Percuma. Pasar Percuma kali ini adalah anjuran Masjid Amru Al-As dengan kerjasama Kindness Malaysia dan Alumni Seri Puteri. Terdapat beberapa badan pertubuhan kerajaan dan bukan kerajaan turut menyertai Program Pasar Percuma ini seperti Baby Box Malaysia, Empire Project, Al Haq, Caring Hearth, Unggas Kuala Lumpur, Sweep Barber Bangi, Platinium Gym, Global Unity, Klinik Kesihatan Sentul dan beberapa badan lain. Syarikat Cargill juga turut memberi sumbangan dalam menjayakan Pasar Percuma ini,

Penerima manfaat dari pelbagai agama dan latar belakang

Perasmian dilakukan oleh Datuk Nor Adnan Zainal, Penasihat Kindness Malaysia

Suasana Pasar Percuma di Masjid Amru Al As
Persediaan telah dibuat oleh urusetia yang telah banyak mengorbankan masa dan bekerja keras untuk mencari dana juga merancang bagi memastikan kelancaran projek kali ini. Dianggarkan lebih ramai pengunjung yang akan membanjiri ruangan Masjid kerana ini merupakan kali ke 2 pasar percuma diadakan di perkarangan Masjid Amru Al-As setelah tahun lepas mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan daripada penduduk setempat dan luar daripada Kawasan Sentul. 

Sukarelawan Kindness Malaysia menyiapkan tempat masing-masing

Sebahagian besar penyumbang barangan datang dari Alumni Seri Puteri

Sukarelawan yang membantu dalam masjid

Taklimat kesihatan diberikan kepada pengunjung

Pemeriksaan darah tinggi dan kencing manis

Pemeriksaan kandungan lemak dalam tubuh badan oleh Platinium Gym
Pada Pasar Percuma kali ini menerima kehadiran seramai lebih 2000 orang pengunjung pelbagai lapisan masyarakat dan agama yang telah membanjiri perkarangan masjid seawal 8.00 pagi untuk bersama-sama menjayakan Projek Pasar Percuma. Pengunjung disediakan dengan sarapan pagi seperti kuih muih, nasi lemak dan makanan lain yang disediakan secara free flow. Majlis yang dimulakan dengan bicara kesihatan oleh Doktor Habibah, beliau telah memberikan banyak tips-tips penjagaan kesihatan kepada orang ramai. Selepas itu disambung dengan majlis perasmian yang dihadiri oleh jemputan kehormat dari Jabatan Agama Wilayah Persekutuan, Penasihat Kindness Malaysia, Cargill Malaysia dan Alumni Seri Puteri.

Seperti semua sedia maklum, Pasar percuma merupakan satu program pemberian barang-barang keperluan yang diberikan secara percuma kepada orang ramai seperti baju, buku, bag, kasut, uniform sekolah, mainan, stroller, barangan keperluan peribadi seperti sabun, syampoo, toiletries dan banyak lagi yang diberikan kepada orang ramai dengan harga sebuah senyuman. Barang-barang ini hasil daripada sumbangan orang ramai tidak kira sama ada masih baru atau terpakai tetapi masih boleh digunakan lagi.

Penyumbang berada seawal jam 9.30 pagi untuk menyediakan tempat

Semua barang yang ingin dikongsi bersama

Penyumbang tidak kira tua atau muda

Sukarelawan dari Cargill yang turut serta

Sukarelawan dari Caring-Hearts yang berasal dari Cameroon

Sumbangan dari Empire Project

Babybox Malaysia turut berada di Pasar Percuma Kindness Malaysia


Sejurus selepas perasmian orang ramai mula berpusu pusu mengambil barangan yang disediakan  antara di ruang legar Masjid. Antara booth yang menjadi sasaran adalah booth Empire Project yang membawa pelbagai barangan daripada Nestle termasuk T Shirt dan telur, booth sayur sayuran juga di serbu oleh pengunjung. Rata-rata pengunjung berpuas hati dan berterima kasih kerana mereka mendapat apa yang diperlukan di Pasar Percuma ini, ada yang bertuah membawa balik bag dan kasut baru dari pasar percuma. Makanan tengahari disediakan oleh pihak penganjur berupa nasi tomato dan dan sumbangan dari Mc Donald berhampiran berupa burger dan air cordial.

Selain itu, terdapat juga pemeriksaan kesihatan percuma, Gunting rambut percuma, booth pemeriksaan kandungan lemak dan otot, suntikkan imunisasi untuk bayi, booth untuk orang ramai atau rakan rakan bukan islam bertayakan tentang islam juga turut disediakan.

Selesai pasar percuma majlis dihentikan seketika bagi memberi laluan kepada pengunjung beragama islam menunaikan fardhu zuhor dan disambung kembali dengan pemberian barangan keperluan dapur. Pihak Masjid juga telah mengenalpasti beberapa nama yang kurang bernasib baik  untuk diberikan keperluan dapur khas sempena Ramadhan yang tiba ini. Penyediakan barangan keperluan asas seperti beras, minyak, gula, biskut, teh, kopi, tepung, susu, bihun, maggi, kicap, sos dan pelbagai lagi yang bernilai aggaran RM100 ringgit setiap bungkusan. Barangan keperluan asas ini diagihkan kepada golongan yang memerlukan seperti asnaf, ibu bapa tunggal, dan penerima juga dikalangan rakan yang bukan beragama Islam.

AJK yang terlibat dalam menjayakan Pasar Percuma 2019


Alhamdulillah semua pengunjung menerima manfaat daripada Program Pasar Percuma ini. Semoga sepanjang perjalanan program memberi kegembiraan kepada mereka. Terima kasih kepada ahli jawatankuasa Masjid Amru Al-As, sukarelawan Kindness Malaysia dan Alumni Seri Putri yang telah bertukus-lumus dalam memastikan program ini berjalan dengan lancar. Semoga apa yang telah diusahakan mendapat keberkatan dan redha dari Ilahi.

Noridah Ab Rahman
Projek Koordinator
Kindness Malaysia








Friday, May 3, 2019

Sampul Raya Unik dan Kreatif dari Kindness Malaysia



Sampul raya Kindness Malaysia untuk tahun 2019 tampil dengan lebih unik dan kreatif. Sampul raya kali ini bukan sahaja dapat digunakan untuk memberi duit raya, tetapi kandungan dalamnya mengandungi misi kebaikan yang dapat dilakukan pada Hari Raya Aidilfitri.

Tempahan kini sudah dibuka dan kurang 300 pek sahaja yang tinggal. Semua keuntungan dari jualan sampul raya Kindness Malaysia ini akan digunakan untuk lebih banyak aktiviti kebaikan di masa akan datang. 





Pada yang berminat untuk menempah, boleh hubungi terus Fatin di 013-401 4565 atau Arin di  019-266 3425. Satu pek hanya RM12 dan setiap pek menganduni 10 keping sampul raya. Sama-sama kita bawa kelainan untuk Hari Raya Aidilfitri kali ini.

Muhammad bin Kamarulazizi
Pengasas
Kindness Malaysia

Sunday, April 14, 2019

Aktiviti Ramadan Projek TajaMereka 2019 Kembali Lagi!


Ramadan bakal menjelma tidak lama lagi dan Projek TajaMereka akan kembali dengan lebih ramai penerima manfaat dari pelbagai latar belakang. Tahun ini kita akan menggunakan konsep yang sama dimana orang ramai dapat menaja mereka yang memerlukan berbuka puasa, dan pada masa yang sama berpeluang untuk berbuka puasa dengan mereka sekali.

Tajaan untuk seorang ialah RM40 yang akan merangkumi tajaan makanan berbuka, duit raya dan sumbangan lain. Bagi yang ingin turut serta untuk berbuka puasa sekali hanya perlu tambah RM20 sahaja.

Tahun sebelum ini kita meraikan lebih 3000 orang penerima dan kita menjangkakan tahun ini lebih ramai penerima bakal diraikan. Tahun ini kita sasar untuk gembirakan lebih ramai penerima.

"Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan: Kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika menemui Tuhannya.." ~ Riwayat Bukhari dan Muslim
“Sesiapa yang memberi makan orang yang berpuasa (iftar), maka baginya (pemberi) pahala seperti orang yang berpuasa itu tanpa dikurangkan sedikit pun pahala orang yang berpuasa tersebut” ~ Riwayat at-Tirmizi
 Berikut adalah senarai terkini lokasi Projek TajaMereka:

Tarikh: 10 Mei 2019 (Berbuka)
Lokasi: Pusat Pendidikan dan Kebajikan Darul Izzah, Yan (Kedah)
Penerima: 60 murid tahfiz
PIC: Rasselan Kasiman (Kindness Penang)

Tarikh: 11 May 2019 (Berbuka)
Lokasi: Madrasah Darul Muttaqin Maahad Tahfiz al Quran, Jalan Meru (Klang)
Penerima: 140 anak-anak yatim dan warga asnaf komuniti pelarian Rohingya
PIC: Noridah Ab Rahman

Tarikh: 11 Mei 2019 (Berbuka)
Lokasi: Madrasah Ad Durrin Naffis Surau Changkat Minden (Penang)
Penerima: 100 murid tahfiz
PIC: Rasselan Kasiman (Kindness Penang)

Tarikh: 13 Mei 2019 (Berbuka) (Penuh)
Lokasi: Publika (KL)
Penerima: 40 orang dari keluarga 15 keluarga ibu tunggal
PIC: Muhammad

Tarikh: 14 Mei 2019 (Berbuka)
Lokasi: Sekolah OKU Penglihatan Setapak
Penerima: 200 murid OKU penglihatan dan guru-guru
PIC: Hazrul

Tarikh: 17 Mei 2019 (Berbuka)
Lokasi: Kompleks Anak Yatim Darul Ehsan, Perik (Kedah)
Penerima: 20 org anak yatim dan asnaf
PIC: Nurul Huda Zakaria

Tarikh: 18 Mei 2019 (Berbuka)
Lokasi: Rumah Perlindungan Al Haq (KL)
Penerima: 40 anak-anak yatim dan warga asnaf
PIC: Noridah Ab Rahman

Tarikh: 18 Mei 2019 (Berbuka)
Lokasi: Madrasah Tahfiz Darul Ukasya Sungai Ara (Penang)
Penerima: 70 murid tahfiz
PIC: Rasselan Kasiman (Kindness Penang)

Tarikh: 18 Mei 2019
Lokasi: Tahfiz Al Ehsan,  Langkawi
Penerima: 50 anak2 Tahfiz Al Ehsan & pelajar MRSM Langkawi (Kedah)
PIC: Raeszlin Rahmat

Tarikh: 18 Mei 2019 (Berbuka)
Lokasi: Bait Al-Mawaddah (rumah jagaan warga emas), Jalan Kebun (Klang)
Penerima: 45 warga emas dan staf
PIC: Norharirdayu dan Mahadi

Tarikh: 18 Mei 2019 (Berbuka)
Masa: 2pm - 9pm
Lokasi: Pusat Jagaan Insan Istimewa Sri Manja, Bukit Beruang, Melaka
Butiran: Dengan kerjasama UTEM Fetsa ( Program Simpulan Kasih ).Raikan dan beramal mesra 25 orang penghuni Warga Tua Dan Kurang Upaya.
PIC: Muhamad Haziq

Tarikh: 19 Mei 2019 (Berbuka)
Lokasi: Persatuan Orang Buta Brickfield (KL)
Penerima: 300 warga OKU penglihatan
PIC: Haziq Angah

Tarikh: 20 Mei 2019 (Berbuka)
Lokasi: Masjid Amru Al As, Bandar Baru Sentul (KL)
Penerima: 100 warga asnaf penerima Gerobok Rezeki (30 keluarga)
PIC: Ustaz Reza

Tarikh: 20 Mei 2019 (Berbuka)
Lokasi: Kampung Sentoi, Pos Betau (Pahang)
Penerima: 400 orang masyarakat Orang Asli
PIC: Diwan

Tarikh: 21 Mei 2019 (Berbuka) (Penuh)
Lokasi: Avenue K (KL)
Penerima: 40 orang dari keluarga 15 keluarga ibu tunggal
PIC: Muhammad

Tarikh: 22 Mei 2019 (Berbuka)
Lokasi: Asrama Darul Falah, ASDAF (KL)
Penerima: 80 anak-anak yatim dan asnaf Orang Asli
PIC: Adam Ahmad

Tarikh: 22 Mei 2019 (Berbuka)
Lokasi: Maahad Tahfiz Al Ahmad Darul Quran Sg Gelugor (Penang)
Penerima: 30 murid tahfiz
PIC: Rasselan Kasiman (Kindness Penang)

Tarikh: 24 Mei 2019 (Berbuka) (Penuh - Tajaan Columbia Asia Hospital Puchong)
Lokasi: Palm Garden Hotel Putrajaya
Penerima: 100 anak yatim dan asnaf
PIC: Adam Ahmad

Tarikh: 24 Mei 2019 (Berbuka)
Lokasi: UIAM Gombak
Penerima: 10 Mak Cik Daya Bersih (Makcik Cleaner)
PIC: Balqis Badawi

Tarikh: 25 Mei 2019 (Berbuka)
Lokasi: Maahad Tahfiz Al-Iman Wal Mahani, Sek 30, Shah Alam
Penerima: 25 orang pelajar, 3 orang ustaz
PIC: Mahadi

Tarikh: 25 Mei 2019 (Berbuka)
Lokasi: Restoran Kapitan Chulia Street (Penang)
Penerima: 20 warga jalanan (gelandangan)
PIC: Rasselan Kasiman (Kindness Penang)

Tarikh :26 Mei 2019 (Berbuka)
Lokasi: Madrasah Tahfiz Al Quran Hafsah, Kg Hijrah, Lrg Bahagia, Jitra (Kedah)
Penerima:50 Hafizah
PIC: Rasselan Kasiman (Kindness Penang)

Tarikh: 28 Mei 2019 (Berbuka)
Lokasi: Madrasah Hashimiah (KL)
Penerima: 150 anak-anak yatim dan warga asnaf komuniti pelarian Rohingya
PIC: Allan Ashraf

Tarikh: 28 Mei 2019 (Berbuka)
Lokasi: Maahad Tahfiz Intan,  Sungai Petani (Kedah)
Penerima: 100 murid termasuk guru
PIC: Nazihah Rusli

Tarikh: 29 Mei 2019 (Berbuka)
Lokasi: Rumah Adik Jaafar (Selayang)
Penerima: Keluarga adik Jaafar (6 orang)
PIC: Shahrizal Shawal

Tarikh: 31 Mei 2019 (Berbuka)
Lokasi: Stesen minyak sekitar Pokok Sena (Kedah)
Penerima: 20 orang pekerja stesen minyak
PIC: Nazihah Rusli

Tarikh: TBD (Berbuka)
Lokasi: Gombak (KL)
Penerima: 10 orang asnaf (1 keluarga)
PIC: Muhammad

Tarikh: TBD (Berbuka)
Lokasi: Chow Kit (KL)
Penerima: 50 orang rakan jalanan (gelandangan)
PIC: Erinratna



Kegembiraan mereka menerima duit raya

Penderma dapat menikmati juadah buka bersama-sama

Pengalaman yang tak dapat dilupakan

perkongsian bersama mereka yang memerlukan


Bagi yang berminat untuk menaja atau turut serta, sumbangan boleh terus dilakukan ke akaun

CIMB 8008210971 (Kindness Malaysia)
Maybank 514057664892 (Kindness Dot My)

Sertakan butiran berikut:

Nama:
No tel:
Jumlah Tajaan:
Masa dan tarikh transaksi:
Lokasi (jika turut serta):

Email: support@kindness.my
Remarks: TajaMereka

Syarikat korporat atau kumpulan juga dialu-alukan untuk turut serta dengan Projek TajaMereka ini Untuk maklumat lanjut, boleh terus hubungi saya di 0183800961 atau email di support@kindness.my

Muhammad bin Kamarulazizi
Pengasas
Kindness Malaysia

2 Projek Plastik Hitam Ceriakan Malam Minggu


Dua Projek Palstik Hitam oleh Kindness Malaysia diadakan pada malam hari Jumaat (5 April 2019) dan Sabtu (6 April 2019) baru-baru ini. Kali ini Kindness Malaysia bekerjasama dengan para pelajar dan tenaga pengajar dari Kolej Vokasional Shah Alam (KVSA) dan Uitm Puncak Alam. 


Kehadiran mencecah lebih 50 orang di mana tenaga pengajar, pensyarah termasuklah wakil PIBG turut turun padang menyantuni para gelandangan pada malam itu. Umum mengetahui Projek Plastik Hitam ini adalah menggantikan Projek Menyantuni Rakan Gelandangan di jalanan (Feed The Homeless) di mana pemberian makanan berat ditukar kepada pemberian makanan ringan dan kering seperti roti, pisang, biskut dan air mineral, peralatan mandi (toiletries) serta peralatan kemasan diri (sikat, pengepit kuku, tuala, selipar, stoking) selain misi utama membersihkan sampah-sarap dan sisa makanan di sekitar kawasan gelandangan di ibu kota ini.

Briefing oleh Projek Koordinator

Projek Plastik Hitam dimulakan dengan sesi briefing oleh Projek Koordinator Kindness Malaysia. Penerangan bertujuan mendedahkan bagaimana Projek Plastik Hitam akan dilaksanakan dan apa yang perlu dibuat dan tidak perlu dibuat semasa berada di lokasi gelandangan selain pengenalan mengenai Kindness Malaysia dan pengenalan sukarelawan kepada semua.

Para pelajar telah dinasihatkan membawa sarung tangan (glove), plastik hitam dan pencuci tangan  (hand sanitizier) sebagai peralatan untuk projek kali ini. Kelihatan semua yang terlibat termasuklah suakrelawan amat bersemangat membersihkan Kuala Lumpur pada malam itu.

Makanan kering dan ringan siap sedia untuk digihkan

Sekitar jam 12.10 malam, para pelajar dibawa ke tempat yang dituju secara berkumpulan. Mereka dinasihatkan supaya tidak berjalan berseorangan dan mengikut laluan yang betul untuk mengelakkan perkara tidak diingini berlaku. Pembersihan mula dilakukan oleh semua yang terlibat. Inilah kali pertama mereka menjalankan projek seperi ini. Tugasan dibahagikan sesama mereka di mana ada yang memberi makanan dan ada yang mengutip sampah. Jelas kelihatan kerjasama erat sesama para pelajar ini.


First aid box dibawa oleh pelajar Kolej Vokasional Shah Alam


Sukarelawan turut membantu membersihkan kawasan 


Pelajar bersama plastik hitam


Kerjasama sesama mereka 

Setelah selesai memberi makanan dan membersihkan kawasan sekitar gelandangan, mereka pulang ke tempat berkumpul tadi. Mereka diberikan rehat selama 5 minit untuk menghilangkan penat seketika sambil mencuci tangan dengan hand sanitizier yang dibawa tadi.

"Saya terkejut dan rasa takut untuk mendekati mereka. Nak kutip sampah pun rasa berdebar-debar, tapi mereka semua baik dan ada yang dah tidur. Ada juga yang berterima kasih sebab kita tolong bersihkan sisa-sisa makanan mereka', begitulah perkongsian salah seorang daripada mereka.

Malam yang semakin sunyi itu tidak pernah mematahkan semangat para pelajar ini untuk terus berkongsi pengalaman dan rasa sepanjang mengikuti Projek Plastik Hitam tersebut. Banyak perkongsian yang berguna daripada mereka semua. Sukarelawan juga sempat bersama-sama berkongsi pengalaman pahit manis sepanjang menyertai Projek Plastik Hitam bersama Kindness Malaysia.

Perkongsian pengalaman mengutip sampah oleh wakil MPP KVSA

Penutup acara, penyerahan cenderahati daripada pihak Kolej Vokasional Shah Alam kepada Kindness Malaysia dan diakhiri dengan bergambar kenangan. Terima kasih kami ucapkan kepada semua yang bersemangat dan berusaha gigih untuk bekerjasama dengan kami untuk Projek Plastik Hitam kali ini.


Serahan cenderahati

Perkongsian di penutup acara

Semoga projek ini memberi inspirasi kepada semua untuk sama-sama membantu orang lain dalam pelbagai cara. Inisiatif membersihkan sampah-sarap mahupun sisa makanan ini sekurang-kurangnya dapat membantu mengurangkan bebanan pekerja pembersihan dan menjadikan kawasan gelandangan lebih bersih dan selesa.

Gambar kenangan pelajar dan tenaga pengajar KVSA bersama sukarelawan

Terima kasih sekali lagi kepada semua yang terlibat, para pelajar, tenaga pengajar, sukarelawan dan orang perseorangan yang sama-sama menyumbang masa, tenaga dan wang ringgit demi kebaikan bersama. 


Shukur Harun
Projek Koordinator
Kindness Malaysia


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...