About

Blog tentang aktiviti-aktiviti amal di dalam dan luar Malaysia

More About Me...

Kita pesimis dengan kesengsaraan insan yang menderita di serata dunia. Laman ini cuba mengundang kembali sekelumit fitrah insani yang cakna dan peka dengan kesengsaraan insan lain. Infaq di jalan Allah...

RSS Subscribe

Booking.com

Saturday, December 16, 2017

Mesyuarat Futsal Piala Kindness 2018 bersama rakan NGO dan Penaja


Tahun hadapan akan menyaksikan lebih 32 buah pasukan daripada rumah kebajikan, 700 anak-anak asnaf, yatim, miskin, komuniti pelarian muslim, madrasah, anak-anak orang asli dan 200 sukarelawan yang akan membanjiri Futsal KSL Centermart Setapak, Kuala Lumpur di satu acara yang dinamakan Kejohanan Futsal Piala Kindness 2018. Info Futsal Piala Kindness 2018 adalah seperti berikut:

Tarikh: 1 April 2018
Masa: 8 pagi - 6 petang
Lokasi: Futsal KSL Setapak
Anjuran: Kindness Malaysia dengan kerjasama Soljabiru Kelab Penyokong Chelsea Malaysia serta rakan-rakan NGO.
Penyertaan: 32 pasukan futsal dari rumah kebajikan, anak yatim, pelarian, orang asli dan juga asnaf seluruh Malaysia.

Jenama Futsal Piala Kindness telah bertapak sejak tahun 2014 dan diadakan 2 tahun sekali. Tahun 2018 merupakan kejohanan kali ketiga sejak kejohanan ini diperkenalkan oleh Kindness Malaysia

Membawa misi utama meraikan anak-anak dari rumah kebajikan selain ingin mencungkil bakat para penghuni anak yatim dalam kejohanan futsal serta menggalakkan cara hidup sihat, maka satu mesyuarat khas telah diadakan pada hari Ahad,  10 Disember 2017 di Perpustakaan Raja Tun Uda Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.


Mesyuarat ini mendapat sambutan daripada pelbagai NGO dan NGI yang rata-rata telah berpengalaman menjalin kerjasama pada kejohanan futsal yang lepas. Seramai 20 orang sukarelawan dari Kindness Malaysia turut serta dalam mesyuarat berkenaan. Pada jam 3.00 petang , mesyuarat dimulakan dengan kata-kata aluan dan ucapan terima kasih daripada Pengerusi Kindness Malaysia, saudara Mohd Noriduan merangkap Pengarah Kejohanan Futsal Piala Kindness 2018. 

Sukarelawan sempat bergambar di Perpustakaan Raja Tun Uda Shah Alam 
sebelum mesyuarat bermula

Antara rakan NGO yang hadir pada mesyuarat tersebut adalah Caring Hearts, Soljabiru (Kelab Penyokong Chelsea Malaysia), Empire Project, Projek IhsanPreloved 4charity, Institut Profesional Baitumal, Humanity, Humanity Heroes, Braille Volunteer Services, Junny And Friends, Middle East Refugees, Gerakan Sukarelawan Malaysia, Pertubuhan Komuniti Pandan Prihatin dan I-gunner Community

Pengasas Humanity memperkenalkan diri

Sesi perkenalan diadakan selepas ucapan dari Tuan Pengerusi. Rakan-rakan NGO diberi pendedahan mengenai bentuk-bentuk tajaan yang bakal digunakan untuk menjayakan kejohanan ini. Konsep tajaan dipecahkan kepada pakej emas, perak dan gangsa. 

Penerangan format perlawanan dari wakil Soljabiru

Wakil dari NGO Caring Hearts turut hadir semasa mesyuarat

Semasa mesyuarat, rakan-rakan NGO juga diberi kesempatan bertukar-tukar idea, pendapat dan cadangan demi menjayakan kejohanan futsal ini. Gabungan suara dari rakan-rakan NGO ini sememangnya amat kami perlukan demi penambahbaikan kejohanan futsal Piala Kindness 2018 yang akan datang. Alhamdulillah, mesyuarat berakhir pada jam 5.00 petang. 

Teaser awal Futsal Piala Kindness ini juga telah mendapat liputan di dalam akhbar Sinar Harian

Berdasarkan kejohanan futsal yang lepas, kami menjangkakan ribuan peserta dan penyokong selain sukarelawan yang akan terlibat dalam kejohanan ini. Sememangnya banyak tajaan yang diperlukan demi kelangsungan kejohanan ini seperti hadiah, jersi pasukan, makanan, minuman, pengangkutan untuk rumah anak yatim, hal-hal logistik, photobooth, jurukamera, juru video, pa system, banting, banner promosi dan pelbagai tajaan lain yang dirasakan sesuai. Seperti biasa pihak Soljabiru akan menaja lokasi kejohanan dan urusan permainan semasa perlawanan manakala pihak I-gunner Community telah bersetuju menaja pentas semasa kejohanan. Pihak Humanity pula bersiap sedia menaja 200 helai baju sukarelawan. 

Pihak Kindness Malaysia selaku penganjur kejohanan berbesar hati menerima sebarang bentuk tajaan daripada mana-mana badan NGO dan NGI juga orang perseorangan yang berminat untuk menaja Kejohanan Futsal Piala Kindness 2018. Sebarang bentuk tajaan atau pertanyaan bolehlah email kepada support@kindness.my atau boleh rujuk poster di bawah.


Diharap kejohanan ini akan mendapat sokongan daripada semua pihak dan dapat dilaksanakan dengan jayanya serta dapat menggembirakan anak-anak syurga ini. Borang penyertaan Futsal Piala Kindness 2018 boleh muat turun di sini.


#RoadToFutsalKindnessCup2018
#FutsalKindnessCup2018

Iman Nur Alia
Projek Koordinator
Kindness Malaysia



0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...