About

Blog tentang aktiviti-aktiviti amal di dalam dan luar Malaysia

More About Me...

Kita pesimis dengan kesengsaraan insan yang menderita di serata dunia. Laman ini cuba mengundang kembali sekelumit fitrah insani yang cakna dan peka dengan kesengsaraan insan lain. Infaq di jalan Allah...

RSS Subscribe

Pengiktirafan dari World Kindness Movement

Kindness Malaysia kini secara rasminya merupakan ahli World Kindness Movement

Misi Bantuan Kemanusiaan Untuk Mangsa Rohingya di Arakan, Myanmar

Bersama pelarian Rohingya di Arakan (Rakhine), Myanmar

Bantuan Perubatan di Hebron, Palestine

Vitamin C untuk anak-anak Palestine di Hebron

Ziarah ke perkampungan orang asli

Bersama sukarelawan ke kampung orang asli di Pos Betau, Pahang.

Misi Gelandangan Feed The Homeless

Misi Gelandangan Feed The Homeless yang dijalankan setiap hari Sabtu 2 minggu sekali di sekitar Kuala Lumpur

Booking.com

Wednesday, January 25, 2017

Projek Backpack, Kembara Kindness ke Utara Tanah Air



Pada 20 - 23 Januari 2017 Kindness Malaysia telah mengadakan Projek backpack mengembara ke Utara Tanah Air. Projek Backpack merupakan salah satu projek inisiatif para sukarelawan untuk menyebarkan dan menjadi inspirasi kepada setiap masyarakat setempat untuk melakukan kebaikan. Seramai 8 orang sukarelawan, terdiri daripada 7 lelaki dan seorang perempuan yang menyertai kembara kebaikan selama 3 hari 2 malam ini. Projek backpack ini menglibatkan 3 buah negeri di utara Malaysia iaitu, Perak, Pulau Pinang dan Kedah. Pelbagai aktiviti kebaikan telah dilakukan pada setiap perhentian. Persediaan telah dilakukan beberapa hari sebelum hari pengembaraan. Kami telah berbincang aktiviti yang sesuai untuk dilakukan sepanjang kembara kebaikan. Antara aktiviti yang mudah dilakukan ialah projek seringgit, suspended meal, dan projek belanja meja sebelah makan. Walau bagaimanapun, aktiviti akan dipilih bergantung kepada kesesuaian tempat dan keadaan.

Setiap sukarelawan dibekalkan gayung untuk program wakaf


Hari Pertama

Pengembaraan bermula, destinasi kami yang pertama ialah Ipoh, Perak. Sebelum bergerak kami semua berkumpul di KL Central untuk menaiki keretapi ETS ke Ipoh. Tiket keretapi pada pukul 2.45 petang dan dijangka sampai pada pukul 5.10 petang di Stesen Keretapi Ipoh. Kami semua bersemangat dan tidak sabar untuk menyebarkan kebaikan di sana. Kami turut mengambil kesempatan menghadiahkan RM1 kepada tukang cuci yang mengutip sampah sebagai penghargaan kerana membantu membersihkan sampah yang berada di dalam gerabak keretapi. Sesampainya kami di Ipoh, kami berjalan ke Masjid Sultan Idris Shah 2 yang juga merupakan masjid negeri Perak untuk menunaikan solat. Selesai solat kami merancang pergerakan dan hala tuju misi kebaikan yang boleh dilakukan di sekitar Ipoh. Kami mengambil peluang untuk melakukan aktiviti kebaikan di masjid. Antara aktiviti yang dilakukan di masjid ialah meninggalkan gayung sebagai wakaf untuk kegunaan orang ramai, meninggalkan duit RM1 di mesin urut untuk mereka yang bertuah, dan belanja pelajar-pelajar yang berada di masjid minuman yang dijual di dalam mesin air.

Kami dalam ETS perjalanan ke Ipoh

Hadiah untuk pakcik yang tolong kutipkan sampah kami

Kepada jemaah masjid yang bertuah untuk menggunakan mesin urut ini

Belanja pelajar-pelajar di masjid air minuman


Perjalanan diteruskan dengan berjalan di sekitar pekan ipoh sambil memikirkan kebaikan yang boleh dilakukan di kawasan sekitar. Perjalanan berakhir di sebuah taman berhadapan Hotel River Front. Namun, aktiviti kebaikan terhenti sebentar kerana hujan turun dengan lebatnya dan hari semakin gelap. Kami terus merancang untuk melakukan aktiviti kebaikan di kawasan terminal bas yang akan kami naiki untuk ke Pulau Pinang pada keesokan harinya. Sesampainya di Mydin Mall Meru Raya, kami terus mengisi perut dengan Nasi Kandar yang sangat sedap di food court. Selesai makan, beberapa orang sukarelawan pergi membeli buah limau untuk diberikan kepada orang ramai yang makan di food court. Sabun tangan juga turut dibeli untuk projek sabun. Sabun di letak di tempat basuh tangan untuk kegunaan orang ramai membersihkan tangan. Setelah selesai aktiviti kebaikan, kami berjalan mencari hotel di kawasan berhampiran untuk bermalam dan merehatkan badan.

Perbincangan aktiviti yang sesuai dilakukan di Ipoh

Kami di sekitar kawasan Ipoh
Projek sabun untuk orang ramai guna untuk basuh tangan
Projek buah limau untuk pengunjung di Mydin Meru Ipoh

Hari Kedua

Seawal 6 pagi kami bangun menunaikan solat dan menyiapkan diri bagi meneruskan kembara kebaikan Kindness Malaysia. Pukul 7.30 pagi kami mula bergerak meninggalkan hotel berjalan ke Terminal Bas Amanjaya. Cuaca pagi ini sangat nyaman, tidak terlalu panas dan tidak pula hujan. Sementara menunggu bas, sempat kami bersarapan disebuah kedai di Terminal Bas Amanjaya sambil melakukan aktiviti  taja makanan meja sebelah. Mereka yang bertuah ditaja sarapan sangat terkejut dan mengucapkan terima kasih kepada kami. Bas kami ke Pulau Pinang pukul 9 pagi. Selepas mendapatkan tiket bas, kami mencari sarapan yang sesuai kepada pakcik yang akan memandu bas kami nanti dengan harapan pakcik tidak mengantuk semasa memandu dan sampai ke destinasi dengan selamat.

Kami di Terminal Bas Amanjaya Ipoh

Nota yang akan diberikan kepada mereka yang akan dibelanja sarapannya


Antara yang bertuah ditaja sarapan pagi

makanan dan minuman untuk pemandu bas

Kami tiba di Butterworth pada pukul 11.30 pagi,  terus mencari tiket bas  ke Alor Setar untuk sebelah petang nanti. Selesai membeli tiket, kami terus bergerak menaiki feri. Sepanjang perjalanan ke feri, sekiranya terserempak dengan mesin air, kami akan meninggalkan beberapa keping RM1 dan nota. Kepada yang ingin membeli air di mesin air boleh menggunakan duit tersebut. Perjalanan menaiki feri merentasi laut yang sangat mengasyikkan dan terasa nyaman. Tibanya di jeti kami terus meneruskan perjalanan dengan berjalan kaki ke Padang Kota Lama. Berjalan kaki merentasi bandar Georgetown yang masih mengekalkan bangunan lama sangat memukau pandangan kami. Bandar Georgetown sangat menitikberatkan penjagaan kebersihan alam sekitar. Penduduk dan pelancong digalakkan untuk menggunakan basikal sebagai kenderaan untuk bergerak dari satu kesatu destinasi yang lain. Ketibaan kami di Padang Kota Lama di sambut oleh Projek Koordinator Penang, En Rasselan. Beliau membawa kami makan mee sotong yang terkenal di Pulau Pinang, sebelum kami meneruskan perjalanan ke padang kota untuk misi kebaikan di sana.

Alhamdulillah dapat beli tiket ke Alor Setar

Tunggu feri di Butterworth

Basikal di Bandar Georgetown untuk kegunaan orang ramai 

Berjalan di sekitar Bandar Georgetown

Projek seringgit di mesin air

Kelazatan mee sotong dan ais kacang 

Sesampainya kami di kawasan tepi pantai Padang Kota, persekitaran masih lagi tidak ramai pengunjung. Kami berehat sebentar dan memikirkan aktiviti kebaikan yang sesuai dilakukan disana. Kami merancang untuk memberikan aiskrim secara percuma kepada pengunjung terutama kanak-kanak dan projek RM1 di kawasan sekitar. Terpancar kegembiraan di wajah kanak-kanak yang dapat menikmati aiskrim. Terdapat juga ibu bapa yang pelik dengan tindakan kami yang memberikan aiskrim percuma, namun, selepas diterangkan oleh salah seorang sukarelawan mereka turut menyokong misi kebaikan kami. Moga menjadi inspirasi kepada mereka untuk melakukan kebaikan kepada sesiapa sahaja. Sebelum memulakan perjalanan pulang ke jeti, kami singgah sebentar di Masjid Kapitan Keling untuk menunaikan solat. Kami sempat meninggalkan gayung di Masjid ini sebagai wakaf untuk kegunaan orang ramai.

Projek seringgit di sekitar Padang Kota Lama

Ais krim percuma untuk semua
Berehat sambil menghirup udara segar
Bergambar dengan pelancong Canada


Projek Wakaf gayung di Masjid


Selesai solat, kami hanya ada masa 15 minit sahaja untuk sampai ke jeti untuk menaiki feri pada pukul 4 petang. Kami memilih untuk menaiki beca bagi mempercepatkan perjalanan dan dapat menambah pendapatan pakcik-pakcik beca pada hari tersebut. Pakcik beca sangat peramah, sambil mengayuh basikal, sambil bercerita mengenai Pulau Pinang dan kehidupannya. Sampai di jeti kami membayar RM15 kepada pakcik beca dan terus bergerak ke feri. Alhamdulillah, sempat kami mengejar feri untuk perjalanan pukul 4 petang. Melangkah sahaja masuk ke dalam feri, mata kami tertangkap kepada sticker Kindness pada cermin belakang sebuah kereta Myvi. Kami cuba menarik perhatian pemandu kereta dengan kehadiran kami di dalam feri tersebut. Macam-macam gaya di cuba tetapi tetap tidak dapat menarik perhatian pemandu kereta. Akhirnya kami mengalah dan terus mengetuk cermin pintu kereta dan memberitahu kami dari Kindness Malaysia. Rupa-rupanya, pemandu kereta tersebut telah mengikuti perkembangan Kindness Malaysia melalui instagram dan facebook bahawa kami berada di Pulau Pinang. Sampai sahaja di jeti Butterworth, kami terus mencari bas yang akan membawa kami ke Alor Setar. Kami terlena sepanjang perjalanan ke Alor Setar akibat keletihan.


Singgah solat di Masjid Kapitan Keling

Pengalaman pertama kali naik beca


Terserempak dengan sukarelawan yang pernah sertai program feed the homeless

Perjalan ke Alor Setar mengambil masa selama satu jam 40 minit, kami tiba di Terminal Bas Shahab Perdana pada pukul 6.30 petang. Ketibaan kami disambut oleh para sukarelawan dari Kedah. Kami sempat minum petang di kedai berhampiran sebelum bergerak ke Rumah AOR. Kami telah di jemput untuk memberikan perkongsian mengenai Kindness Malaysia di sana. Rumah AOR merupakan sebuah kafeteria yang menjual makanan-makanan barat dan juga produk tempatan. Perkongsian telah diberikan oleh En Muhammad (pengasas Kindness Malaysia), En. Riduan (pengerusi Kindness Malaysia) dan juga En. Azrul (Timbalan Pengerusi 1 Kindness Malaysia). Pelbagai persoalan mengenai Kindness Malaysia telah dikongsi dalam perkongsian tersebut. Semoga mereka yang mendengar perkongsian mendapat input yang berguna mengenai Kindness Malaysia. Setelah selesai perkongsian di Rumah AOR, kami bergerak ke tempat yang akan kami bermalam iaitu Kamar Backpakers. Penginapan kali ini sesuai untuk kumpulan backpack seperti kami. Bilik berkonsepkan dorm yang menyediakan katil dua tingkat. Kemudahan seperti bilik air dan ruang makan turut disediakan. Kami berehat sebentar sebelum bergerak ke lokasi program 'feed the homeless'. Lokasi terletak di perhentian bas berhadapan dengan pekan rabu Alor Setar. Sebanyak 30 set roti dan air yang akan diedarkan kepada gelandangan sekitar Alor Setar. Seramai lebih kurang 20 orang sukarelawan termasuk sukarelawan daripada kedah terlibat untuk mengedarkan makanan. Program bermula pada jam 12 tengah malam dan selesai pada jam 1.30 pagi. Selesai sahaja program kami semua pulang berehat bagi memulihkan kembali tenaga untuk aktiviti keesokan harinya.

Bersama sukarelawan Kedah di Rumah AOR

Perkongsian mengenai Kindness Malaysia 

Antara yang hadir mendengar perkongsian dengan Kindness Malaysia

Sempat buat projek seringgit di Rumah AOR

Lokasi penginapan di Kedah

Pemandangan waktu malam di Bandar Alor Setar

Kemudahan katil yang selesa sesuai untuk program backpack

Hari Ketiga

Pagi di Alor Setar sangat menyegarkan dengan udara yang sangat nyaman. Sarapan pagi telah siap dibeli oleh salah seorang sukarelawan, roti canai dan teh o suam. Niat untuk menikmati Nasi Lemak Royale ditangguhkan sebentar kerana sarapan di taja oleh sukarelawan yang baik hati. Kami bersiap dan mula berjalan dari tempat penginapan ke kedai Nasi Lemak Royale. Kami tidak akan melepaskan peluang untuk merasa keenakan nasi lemak yang menjadi bualan orang ramai. Bak kata orang, bukan selalu boleh sampai Alor Setar. Setelah selesai menikmati nasi lemak, kami berjalan pulang untuk berehat sebentar dan bersiap-siap untuk pulang. Sebelum pulang kami sekali lagi dibawa ke kedai yang menjual ais kacang dan laksa yang sedap untuk lapik perut sebelum memulakan perjalanan pulang ke Kuala Lumpur.  Setelah selesai makan dan solat kami menunggu bas yang dijangka akan bertolak pada jam 3 petang. Ucapan terima kasih kepada sukarelawan Kedah yang banyak membantu kami selama kami berada di Kedah. Sepanjang perjalanan pulang ke Kuala Lumpur kami rehat melelapkan mata. Sampai di Terminal Bas Duta pada jam 9 malam, dan kami pulang ke rumah masing-masing.

Kemudahan meja makan di Kamar Backpakers


Menikmati Nasi Lemak Royale

Tunggu bas untuk pulang ke Kuala Lumpur

Perjalan pulang, bas yang sangat selesa

Alhamdulillah, pengalaman yang penuh bermakna dan penuh dengan pengajaran. Kami berharap agar setiap aktiviti kebaikan yang telah dilakukan dapat menjadi inspirasi kepada orang lain untuk terus menyebarkan kebaikan. Kebaikan boleh dilakukan tanpa mengira kaum, agama dan taraf kehidupan. Terima kasih kepada semua sukarelawan yang terlibat moga mendapat manfaat dan berkat daripada-Nya. Jutaan terima kasih juga kepada dermawan yang telah menaja projek backpack edisi utara kali ini. Moga dimurahkan rezeki dan diberikan kesihatan yang baik. Semoga diberikan kesempatan untuk menyebarkan kebaikan di negeri-negeri lain pula. Insya ALLAH.

Projek Backpack dapat liputan di Harian Metro pada 31 Januari 2017.

Kindness Malaysia di Harian Metro

Perkongsian kebaikan dalam Harian Metro

Fatin Amira Nabila Binti Tauran 
Projek Koordinator
Kindness Malaysia

Friday, January 13, 2017

Suspended Meal di Jalan Ipoh


Sebuah lagi Projek Suspended Meal berlangsung kali ini di Jalan Ipoh. Projek ini merupakan inisiatif sukarelawan Kindness Malaysia, Farah Aina yang juga anak kepada makcik yang menjual nasi lemak di sini. Hari ini merupakan hari Jumaat yang penuh keberkatan, oleh itu orang ramai yang datang hanya perlu senyum untuk dapatkan nasi lemak secara percuma.

Orang ramai yang datang akan mula order nasi lemak dengan lauk yang diinginkan. Kemudian apabila pelanggan tersebut menghulurkan duit, Farah akan mengatakan bahawa nasi lemak itu sudah dibayar. Reaksi pelanggan agak terkejut tetapi gembira. Pada waktu ini Farah akan memperkenalkan Kindness Malaysia dan misinya untuk sebarkan dan beri inspirasi kebaikan kepada semua.

Farah membantu ibunya di gerai nasi lemak dan kuih

ramai yang datang ala-ala drive thru

ramai yang seperti tidak percaya dengan makanan percuma

Farah dengan poster Suspended Meal

Nasi lemak dan kuih habis hampir jam 10 pagi. Perancangan untuk suspended pada masa akan datang ialah untuk menyediakan resit kindness untuk setiap makanan yang diberikan percuma. Resit ini akan tertera, "makanan ini sudah dibayar dengan senyuman anda, terima kasih.".

Pihak Kindness Malaysia mengucapkan jutaan terima kasih kepada para dermawan yang telah menaja Projek Suspended Meal ini dan semoga semua mendapat keberkatan dariNya.

Muhammad bin Kamarulazizi
Pengasas
Kindness Malaysia

Wednesday, January 11, 2017

Projek Petrol di Shell Chow Kit


Usia muda tidak menghalang pasukan sukarelawan Kindness Malaysia dari Chow Kit untuk melaksanakan Projek Petrol di tempat mereka. Bermula jam 12.15 pagi, para sukarelawan sudah berkumpul di Shell Chow Kit, turut dihadiri oleh Timbalan Pengerusi Kindness Malaysia, Cik Erinratna yang memberi turut memberi sokongan kepada anak-anak muda ini.

Atikah Nazron memberi taklimat kepada semua sukarelawan


Semua gembira menunggu giliran untuk mengisi minyak
Objektif Projek Petrol ini sangat mudah, hanya untuk menggembirakan penunggang motorsikal. Berbekalkan RM200 yang diberikan oleh seorang donor, Projek Koordinator, cik Atikah Nazron memulakan membahagikan tugas sukarelawan kepada dua bahagian. Satu pasukan akan berada di tempat isi minyak dan satu pasukan lagi di jalan masuk Shell Chow Kit. Setiap motorsikal yang lalu akan dijemput untuk ke pam 1 dimana sukarelawan akan mengisi minyak RON95 hingga penuh.

Timbalan Pengerusi Kindness Malaysia turut turun padang memberi sokongan

sukarelawan yang menjaga bahagian isi minyak

semua sukarelawan yang terlibat untuk Projek Petrol
Tepat jam 1 pagi, selesai Projek Petrol dan anggaran motorsikal yang dapat minyak petrol free ialah antara 25-35 buah. Ini bererti sekurang-kurangnya 25 orang gembira dan mereka juga akan menuju ke destinasi masing-masing dan menggembirakan orang yang sekeliling mereka. Terima kasih kepada donatur yang baik hati menaja Projek Petrol ini dan tahniah kepada semua sukarelawan yang terlibat. Bagi yang berminat untuk menyertai sukarelawan Kindness Malaysia, boleh terus sertai kumpulan sukarelawan Kindness Malaysia di sini.

Muhammad bin Kamarulazizi
Pengasas
Kindness Malaysia

Thursday, January 5, 2017

13 Tips Bagi Yang Berniat Untuk Ziarah Tarim, Yaman



Alhamdulillah, perjalanan saya ke Tarim sedikit sebanyak membentuk kembali pemikiran dan nurani saya. Dari selalu jiwa kacau, sekarang dah ada rasa ketenangan dalam diri. Di sini saya ingin kongsikan tips bagi mereka yang berniat untuk datang ke Tarim.

Habib Umar memberi kuliah Subuh
1. Waktu paling sesuai untuk datang dan pelajari ilmu ialah ketika Daurah, iaitu pada 1 Julai setiap tahun. Daurah ini mengambil masa 40 hari, cukup dengan pembelajaran tafsir, hadis, fikh, tasawuf dan lain2. Paling menarik ada setiap kelas ada terjemahan Bahasa Melayu dan Inggeris.

2. Jika datang dengan hajat untuk ziarah dulu pun boleh. Ambil feel dan di sinilah antara tempat yang paling sesuai untuk cuci jiwa dan cari ketenangan. Saya pun datang 10 hari je di sini untuk tujuan yang sama. Kalau masa singkat, disyorkan datang masa musim sejuk iaitu hujung tahun.

Motor yang digunakan di Tarim

3. Perjalanan paling mudah buat masa ini bermula dari KLIA dan terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Muscat, Oman ( 6 jam lebih) kemudian ke Lapangan terbang Salalah, Oman (sejam lebih). Dari Salalah Oman naik bas ke Tarim Yaman mengambil masa antara 12-15 jam. Ada jalan lain iaitu dari KLIA ke Kaherah, Mesir ke Sayun, Yaman, tetapi kosnya lebih besar. Kos flight saya tempah kurang dari seminggu dalam RM3.6k dengan tempoh transit yang singkat.

4. 2 minggu sebelum bertolak ke Tarim, sebaiknya tulis surat ke Kedutaan Malaysia di Oman, letakkan tarikh anda akan ke Yaman dan pulang ke Malaysia. Kedutaan Malaysia akan reply dengan surat kebenaran untuk pulang ke Malaysia dari Yaman ke Oman bersama surat kebenaran Kementerian Luar Oman. Pada mulanya saya terlepas pandang hal ini. Saya sediakan surat tersebut semasa saya di Tarim, email ke kedutaan Malaysia di Oman, alhamdulillah tak sampai 5 jam saya sudah terima surat kebenaran dari kedutaan Malaysia dan Kementerian Luar Oman. Ini email kedutaan Malaysia di Oman mwmuscat.kln@1govuc.gov.my. Emailkan surat, salinan tiket flight dan salinan IC.

Surat kebenaran dari Kementerian Luar Oman

Surat pengesahan dari kedutaan Malaysia di Oman
5. Setibanya di Lapangan Terbang Muscat terus tukar duit Rial Oman dan bayar duit visa (5 Rial). Ketika ini 1 Rial Oman bersamaan RM12. Dan sebelum nak ke Tarim, Yaman dengan bas, sebaiknya simpan sikit duit Rial Yaman. Boleh tukar di Airport Salalah. Sebab untuk visa nanti ialah sebanyak 4000 Rial Yaman bersamaan RM45. 100 Rial Yaman bersamaan RM1.50

6. Kondisi bas dari Salalah ke Tarim antara average dan below average. Saya naik bas syarikat Gulf Transportation Company. Akan ada beberapa tempat yang akan berhenti untuk ke tandas seperti sempadan Yaman, Sempadan Oman dan juga sebuah kedai makan di Yaman. Di kedai makan Yaman ini boleh makan roti atau nasi dengan lauk ayam, atau daging atau telur. Kos dalam 2000-5000 rial yaman.

Pemandangan depan pintu masuk Darul al Mustafa

7. Perjalanan agak penat dari Salalah ke Tarim dengan kondisi bas sebegini. Bas saya hanya buka aircond apabila tiba di sempadan Yaman. Perjalanan akan merentasi padang pasir dan 2 buah bukit. Perjalanan saya agak mencabar kerana semasa pergi ada lori terbalik ditepi gaung menyebabkan bas saya tidak dapar meneruskan perjalanan. Tapi alhamdulillah saya dapat hitch hiking (tumpang) lori kecil menuju ke Tarim. Dalam perjalanan pulang pula dari Tarim ke Salalah, bas saya rosak dan sangkut di tengah-tengah padang pasir selama sejam sebelum tukar bas ke yang lain. Saya dapat info yang ada bas baru keluaran syarikat lain, nama syarikat bas itu ialah Buroq, dengar kata semua basnya baru. Perjalanan nanti ada banyak check point. Bersiap sedia dengan passport dan tenang selalu. Jika di Oman, senjatanya lengkap seperti dalam counter strike. Jika di Yaman biasanya menggunakan AK47. Boleh nampak perbezaan di situ.

8. Setibanya di Tarim, boleh terus ke Dar al Mustafa. Tetamu ada beberapa pilihan untuk penginapan. Pertama tinggal dalam Dar al Mustafa, maksimum 3 bulan. Penginapan di Dar al Mustafa bagi tetamu adalah percuma. Untuk penginapan hotel atau apartment 1 malam antara 3000-4000 Rial Yaman (RM45-RM60) bergantung pada jarak antara Dar al Mustafa dan hotel. Pilihan ketiga ialah menginap rumah kawan, seperti saya.

Makanan berasaskan nasi atau roti

makanan ini lebih dikenali sebagai KFC Tarim :)

Seperti roti canai berkuahkan kacang dal

Tokey kedai makan yang mesra
9. Bab makan di sini mudah berasaskan roti seperti roti canai nipis atau nan atau nasi. Lauk ayam golek, atau masak kicap. Kambing dan daging pun ada. Makanan antara 100 rial yaman ke atas.

10. Di sini solat jemaah di masjid dah kira sebagai rutin. Selepas solat berjemaah biasanya ada tazkirah. Dan ada salam keretapi. Ada rezeki boleh bersalam dengan Habib Umar dan ulama-ulama yang lain.

Orang-orang Yaman yang mesra, berbeza dengan Orang Arab yang biasanya agak kasar
11. Bila dah ada di sini, cuba ambil peluang untuk dapatkan ijazah serban dan ijazah kitab Khulasoh al Madad dari Habib Umar. Sampai saja saya di sini, kawan saya sudah beri saya kitab Khulasoh untuk diamalkan. Kitab yang saya terima ini ada translation Bahasa Melayu, lebih mudah untuk faham. Alhamdulillah saya dapat ijazah serban dan ijazah Khulasoh al Madad dari Habib Umar pada hari ke 6 saya di sini selepas solat Subuh. Ada yang sudah 4, 5 tahun di sini, tapi belum berpeluang terima ijazah dari Habib Umar. Oleh itu tanamkan azam, insyaAllah akan dipermudahkan.

Ijazah sanad diberikan oleh Habib Umar bin Muhammad
Kayu sugi sentiasa standby dalam poket
12. Pakaian di sini bagi lelaki ialah jubah dan kopiah serta shawl di bahu. Sugi standby siap-siap dalam poket. Jika takda jubah, boleh bawa baju melayu dengan kain pelikat. Seluar jarang orang pakai di sini. Saya pakai seluar pun masa sampai dan berangkat sahaja. Untuk perempuan niqab dan jubah hitam.

majlis Maulid diadakan di bulan kelahiran Rasulullah SAW

Terdapat juga cybercafe di sini untuk berhubung dengan keluarga di Tanah Air
13. Ketika berada di Tarim, boleh lawat masjid-masjid, makam para auliya, berjumpa dengan Wali Allah yang masih hidup seperti Ainul Tarim, Habib Abdullah bin Shihab dan lain-lain. Pasangkan niat dan sentiasa bersangka baik. Orang yang nampak tua atau selekeh itu mungkin seorang wali. Oleh itu jaga hati dan sentiasa bersangka baik selalu.

Suasana waktu malam di Tarim. Lokasi ini adalah di hadapan Dar Al Mustofa
Akhir sekali, sekali seumur hidup, datanglah ziarah Tarim. Suatu kelainan yang sangat sukar digambarkan. Lagi-lagi bila hati gundah gulana, rasa sibuk sangat dengan hal dunia, ambillah masa off dan ziarah Tarim. insyaAllah akan membentuk pemikiran dan hati kita supaya lebih tenang.
Muhammad bin Kamarulazizi
Pengasas
Kindness Malaysia

Tuesday, January 3, 2017

Petikan Doa dari Kitab Khulasoh Al Madad




Wahai yang Mengetahui rahsia kami. Jangan kau luahkan rahsia kami. Sembuhkan dan maafkan kami.

Aku menangis dan mengadu padaMu, atas keburukan kezaliman dan kebohonganku, atas kejelekan amal dan kelalaianku serta memperturutkan syahwat ini dlan itu. 

Cinta dunia adalah kehinaan. Mandul dari semua kebaikan di dalamnya dan segala cobaan isinya dipenuhi bencana dan kesibukan.

Oh jiwaku yang menyimpang dari jalan yang lurus. Datang menyediakan pangkat yang tujuannya adalah harta dan kedudukan.

Aku telah minta perlindunganMu. Tuhanku, ubati hatiku. Uraikan simpul kedukaanku, maka lihatlah hamburan kesedihanku. 

Wahai Tuhan sebaik-baik Pelindung tetapkan kesihatan sempurna atasku tak ada sesuatu yang tersembunyi dariMu baik yang terperinci mahupun yang kurang nyata.

Sebutan dan rasa syukur untukMu adalah satu keharusan juga pujian dan pengagungan bagiMu. Wahai Tuhan, Kaulah Penolongku. Maka sampaikan semua kebaikan padaku. Jadikan syurgaMu pengakhiranku dan akhiri dalam keimanan hidupku... Amin.

Keratan Qasidah al- Imam Abdullah bin Alwi Al-Haddad (Kitab Khulasah Al Madad)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...