About

Blog tentang aktiviti-aktiviti amal di dalam dan luar Malaysia

More About Me...

Kita pesimis dengan kesengsaraan insan yang menderita di serata dunia. Laman ini cuba mengundang kembali sekelumit fitrah insani yang cakna dan peka dengan kesengsaraan insan lain. Infaq di jalan Allah...

RSS Subscribe

Pengiktirafan dari World Kindness Movement

Kindness Malaysia kini secara rasminya merupakan ahli World Kindness Movement

Misi Bantuan Kemanusiaan Untuk Mangsa Rohingya di Arakan, Myanmar

Bersama pelarian Rohingya di Arakan (Rakhine), Myanmar

Bantuan Perubatan di Hebron, Palestine

Vitamin C untuk anak-anak Palestine di Hebron

Ziarah ke perkampungan orang asli

Bersama sukarelawan ke kampung orang asli di Pos Betau, Pahang.

Misi Gelandangan Feed The Homeless

Misi Gelandangan Feed The Homeless yang dijalankan setiap hari Sabtu 2 minggu sekali di sekitar Kuala Lumpur

Booking.com

Wednesday, December 30, 2015

Projek Tiket Oleh Kindness Malaysia


Saban hari saya memikirkan aktiviti kebaikan yang dapat beri inspirasi kepada orang ramai untuk terus lakukan kebaikan. Suatu ketika semasa melayari laman sosial Facebook, saya terlihat satu posting dimana seorang pelajar yang tidak cukup beberapa sen untuk pulang ke kampung tidak dapat membeli tiket bas. Walaupun sudah merayu di kaunter tiket, namun tidak juga berjaya. Di sini timbulnya ilham untuk lakukan projek tiket.

Modus operandi projek tiket agak mudah. Kita kenal pasti individu atau keluarga yang ingin balik kampung dengan ikut mereka beratur di kaunter tiket, kemudian apabila dapat tahu harga tiket, kami terus bayarkan harga tiket tersebut. Reaksi yang kami terima itu yang tidak ternilai. Selepas kami muat naik video pendek di laman Facebook Kindness Malaysia, ramai juga rakan-rakan saya yang bertanya, dimana dapat dana untuk lakukan projek ini? Jawapan saya mudah sahaja. Setiap sukarelawan yang aktif dengan Kindness Malaysia akan mempunyai poket kindness mereka sendiri. Duit yang terkumpul dari poket kindness ini digunakan untuk projek tiket. Beberapa orang sukarelawan mengeluarkan duit dari poket kindness masing-masing. 

barisan sukarelawan Kindness Malaysia


Anggaran duit yang terkumpul dalam RM500 dari poket kindness sukarelawan yang hadir. Jumlah penerima lebih kurang 8 individu dan juga 2 keluarga. Objektif projek tiket ini sejajar dengan misi penubuhan Kindness Malaysia iaitu untuk memberi inspirasi kepada orang ramai untuk melakukan kebaikan tidak kira tempat, masa atau pada sesiapa pun. Projek tiket ini tidak dilihat sebagai satu cara untuk mengurangkan beban hidup, tetapi untuk menerapkan sifat baik hati yang kini semakin terhakis di kalangan rakyat Malaysia kerana tekanan hidup terutama sekali terkesan dengan keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan. Apabila orang ramai semakin positif, maka Malaysia boleh jadi lebih muhibah dan secara langsung ikatan keluarga dan masyarakat lebih harmoni.

Dari video pendek yang dimuat naik telah diakses lebih setengah juta netizen dan telah menjadi viral di Facebook. Kami di Kindness Malaysia amat berharap dengan misi kami ini dapat menggalakkan orang ramai untuk terus positif, dan selalu ingin lakukan kebaikan. Untuk lakukan kebaikan ini tidak semestinya dengan menggunakan wang ringgit atau masa. Senyuman kepada orang sekeliling juga merupakan satu kebaikan yang dapat memberi impak yang positif.

Kindness Malaysia mengalu-alukan orang ramai untuk terus menerus melakukan kebaikan dan boleh dimulakan dengan orang yang terdekat seperti keluarga dan rakan pejabat. Pada yang berminat untuk turut serta aktiviti Kindness Malaysia, boleh like laman Facebook Kindness Malaysia di www.facebook.com/kindness.my atau request  Group Volunteers Kindness Malaysia. Dan bagi yang berminat untuk menyumbang, boleh salurkan ke akaun Maybank 514057664892 atas nama Kindness Dot My. Email di support@kindness.my



Muhammad bin Kamarulazizi
Pengasas
Kindness Malaysia
0183800961


Sekotak Kismis



Zayn melangkah keluar dari pintu keluar Sogo dalam keadaan lemah longlai. Bukan kerana badannya letih seharian dek longgokan kerja di pejabat tetapi kerana memikirkan pelbagai masalah yang seakan-akan menghempap kepalanya tiada henti.  Terbayangkan wajah tua ibunya di kampung keseorangan yang semakin hari semakin tenat akan sakit tua. Kos perubatan sangat tinggi amat merungsingkan.

“Allah, mana aku nak cari duit ni”, keluh hati Zayn. Badannya seakan tiada daya, lalu terduduk di tangga hadapan pusat membeli-belah itu yang padat dengan manusia. Bukan namannya Kuala Lumpur jika tidak sesak setiap hari. 

Mukanya ditekup sambil mencengkam rambutnya yang agak panjang  paras bahu. Mahu sahaja dia mengalirkan air mata yang bertakung sedari tadi. Memikirkan ego lelakinya, tangisan itu ditahan. Masih terngiang-ngiang teriakan marah kawan serumahnya pagi tadi kerana sewa rumah sudah tertangguh dua bulan. Mujur kawannya masih membenarkan dia berteduh di apartmen sempit itu.

“Assalamualaikum, maaf mengganggu. Ini ada kismis percuma sempena Maulidur Rasul”, satu suara yang tidak dikenali menyapa lembut. Lelaki muda berbaju hitam dipadankan dengan seluar polos putih menghulurkan kotak kecil biru kepadanya. Perlahan-lahan pandangan Zayn dipalingkan kepada lelaki itu, risau jika dia dapat mengesan raut wajahnya yang penuh kekusutan. 

Dalam keadaan teragak-agak Zayn menyambut pemberian itu. “Abang, saya bukan nak menyebuk. Tapi apa pon masalah abang, Allah sentiasa ada. Terima kasih. Hava a nice day!”, lelaki itu menapak pergi dengan senyuman. Pemergiannya meninggalkan ketenangan walaupun sekecil cuma tetapi terkesan sekali. Tanpa disedari air mata jantannya gugur jua dia atas kotak itu.

“Ya benar, apalah sangat ujian hidupku ini dibandingkan dengan penentangan yang Rasulullah terima demi menyebarkan dakwah. Culas sekali aku dalam solat tetapi masih mengharapkan pertolonganNya. Ampunkan aku Ya Allah.”, Zayn bermonolog sendirian sambil melihat lelaki tadi memberikan kismis pada orang lain yang lalu lalang di situ. Ada juga yang menolak pemberiannya, ada juga menerima dengan kegembiraan.

 Sepasang matanya tertumpu pada kata-kata di kotak itu. ‘There is reward for kindness to every living thing’

“Moga Allah merahmatimu dik”, bisik hati Zayn lalu menuju ke surau di KTM Bank Negara.

Nur Afini Dini Senan 
University of Queensland 
Sukarelawan
Kindness Malaysia

Projek Baginda di Kuantan Disambut Dengan Senyuman



Khamis 24.12.2015 bersamaan 12 Rabiulawal 1437.

Alhamdulillah, cantik sungguh permandangan pagi ini. Selawat dan Salam bergema memuji Rasulullah SAW, kekasih Allah. Hari ini sangat bermakna bagi kami. Terasa seronoknya lain macam.
Projek Baginda adalah projek tahunan daripada team Kindness Malaysia. Dan kami dari team Kindness Pahang tidak terkecuali untuk melaksanakan projek yang bagi kami sangat istimewa ini.

Kenapa ye sangat istimewa? Sangat istimewa adalah kerana idola kita, Nabi Muhammad SAW adalah idola kebaikan terhebat sepanjang zaman. Sepatutnya setiap daripada kita harus memperingati segala kebaikan baginda dan menjadikannya sumber inspirasi untuk kita menyebarkan juga kebaikan sesama manusia. 
Projek Baginda ini telah diadakan di Kuantan, Pahang di Persekitaran Malay Town, Stadium Darul Makmur dan Masjid Tepian Putra bermula pada pukul 10 pagi. Tempat perjumpaan dan berkumpul adalah di restoran D'Osiss. Terima kasih kepada pemilik restoran yang turut sama menaja air untuk para sukarelawan kami.

pemberian kismis kepada orang ramai

pelbagai reaksi yang diterima daripada orang ramai
Pada Projek Baginda ini, kami mengedarkan 1000 pek kismis kepada orang ramai di sekitar Kuantan Square dan Stadium Darul Makmur pada sebelah pagi. Manakala 100 pek yasin dan tasbih diedarkan kepada para jemaah di Masjid Tepian Putra selepas solat zohor.Alhamdulillah, projek berjalan lancar dan kami sangat teruja walaupun jumlah sukarelawan yang terlibat hanyalah 10 orang.

Reaksi penerima juga berbeza beza sepertimana projek projek lain. Ada yang teruja, suka, terkejut malah tidak terkecuali yang menganggap kami adalah penjual barangan. Ketika proses pemberian kismis, bermacam perasaan juga yang dirasa oleh para sukarelawan ini. Tetapi apabila dikenang semula, ianya menjadi pengalaman yang paling bermakna bagi mereka. Walaupun kadang tersinggung kerana ada juga yang baru pertama kali, tetapi tetap senyum apabila bercerita ringkas tentang pengalaman memberi.

pekerja am juga turut menerima sumbangan kismis

Apa yang pasti, senyuman penerima membuatkan sukarelawan ini tidak rasa kepenatan walaupun sanggup berjalan di bawah terik mentari semata-mata ingin berkongsi nikmat kebaikan ini. Sesuatu yang sukar digambarkan. Pengalaman sangat mengajar apa itu erti kepuasan.

Tanpa diduga dan tidak pernah terlintas difikiran apabila ada sekeluarga telah datang kepada kami dengan sejumlah air kocak yang sedap. "Kenapa beri kepada kami?!" Spontan. Itu soalan pertama yang keluar dari saya. Bila mengingatkan semula peristiwa itu membuatkan saya ketawa seorang diri.  "Ini amanah seseorang dari kejauhan dan dia ingin belanja kakak dan abang yang berbuat kebaikan ni. Jika kakak dan abang gembirakan orang lain, dia juga ingin gembira pula abang dan kakak ini" itu jawapan nya. Oh! Alangkah nikmatnya ketika itu. Rezeki sedang berbalik kepada kami. Menunjukkan betapa ajaibnya kebaikan. Terima kasih kepada adik yang baik hati ini. 

barisan sukarelawan Kindness Pahang
Selesai pemberian kismis, kami edarkan pula pek yasin dan tasbih kepada jemaah Masjid Tepian Putra. Projek berakhir pada pukul 2.30 petang dengan 1001 pengalaman kegembiraan yang hanya dilalui oleh sukarelawan sendiri. Sangat banyak senyuman indah yang terukir menyebabkan kami makin bersemangat dalam kerja-kerja kebaikan ini.

Semoga selepas ini semakin ramai yang mendapat inspirasi dan meluaskan kuasa kebaikan sesama insan. Kalau ada sumur di ladang, bolehlah kami menumpang mandi, kalau ada umur yang panjang bolehlah kita buat Projek Baginda lagi!!

Ashira Abu Bakar
Projek Koordinator
Kindness Pahang

Tuesday, December 29, 2015

Baginda Project in Kemaman Terengganu



Alhamdulillah, praise be to Allah for making Projek Baginda 2015 a huge success. This annual event is held every 12 Rabiulawal to commemorate Kindness Icon, i.e Nabi Muhammad S.A.W. Besides Kuala Lumpur, Pahang, Perak, Melaka, Kedah, Perlis, and Johor, Kindness Terengganu (KT) also participated in this year’s event, where we gave away boxes of raisins to the public, sponsored by Rural Transformation Centre (RTC), Johor.

Projek Baginda Terengganu edition took place in Mesra Mall, Kemaman, Terengganu. The volunteers gathered at 12 p.m. and were given a short brief by the person in charge ensure the event ran smoothly. Although there were only three volunteers (as some were on leave and working), we managed to achieve the objective of the programme.

among the recipients

most of them are happy to receive it

We could see a lot of reactions from the crowds when we were handing over the goodies. Some thought we were selling stuffs, but when we explained the aim of the event, they happily accepted it. There were also times where our volunteers were asked about the event and Kindness itself. Those questions came from people from all walks of life. That was the beauty of it.

raisins for everyone

Due to the tremendous responses, our giveaway ended just before Zuhr prayer. We had a short chat during refreshments and shared each other’s stories. Everyone was happy and looked forward for the upcoming events. 

One volunteer stated that when she handed the raisins to some non-Muslims, she felt overjoyed when the non-Muslims thanked and seemed interested with the programme. Plus, the experience as a volunteer gave her memorable and unique feelings, despite it was simply giving away goodies. This proves that this event not only affected the crowds, but it also gave positive effects to the volunteers, which achieved another objective of Projek Baginda. 

We would like to thank everyone who involved in this Projek Baginda. May Allah bless our years ahead with barakah
and aafiyah. Aamiin.

“Spread the goodness. Share acts of kindness”

Nur Syazwani Halim
Coordinator
Kindness Terengganu 

Madu dan Kismis untuk Projek Baginda di Perak



Pada 24 Disember 2015, hari Khamis Kindness Malaysia (Perak) telah menjalankan projek yang kedua iaitu Projek Baginda. Projek ini diadakan bersempena Hari Maulidurrasul, iaitu sambutan hari kelahiran Nabi Muhammad ï·º, tokoh Kindness sepanjang zaman. Projek kali ini telah diadakan di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz (Padang Polo) Ipoh, Perak. Seramai  20 orang sukarelawan menyertai projek ini dengan memberikan sebanyak 200 kotak kismis dan 200 stik madu yang telah ditaja oleh para dermawan. Projek bermula pada pukul 3 petang dengan taklimat dan pengenalan mengenai Kindness Malaysia. Penerangan mengenai Projek Baginda yang diadakan kepada semua sukarelawan supaya faham tujuan projek ini dijalankan. Para sukarelawan dibahagikan kepada tiga kumpulan bagi memudahkan proses pemberian kismis dan madu kepada orang ramai.


sesi taklimat pada sukarelawan

terima dengan senyuman

Reaksi penerima kismis dan madu antaranya mereka terkejut kerana dapat percuma tanpa perlu bayar dan bertanya mengenai kindness. Ini adalah pertama kali Kindess Malaysia (Perak) mengadakan program di kawasan taman ini (Padang Polo). Para penerima masih lagi teragak-agak untuk menerima, setelah diterangkan tujuan dan mengenai Kindness Malaysia barulah mereka terima kismis dan madu dengan senyuman yang lebar.

antara pengunjung taman yang terkejut menerima madu dan kismis

Opah tanya berapa ringgit nak bayar ni, percuma je opah.. =)

Kismis diberi kepada semua orang tanpa mengira agama

Pak cik jual ais krim pun dapat kismis dan madu 
Jutaan terima kasih kepada penaja kismis dan madu bagi menjayakan Projek Baginda di negeri Perak. Semoga rezeki yang sedikit ini mendapat rahmat dan berkat daripada Allah. Semoga orang ramai yang menerima dapat menyebarkan kebaikan kepada mereka yang lain di luar sana tanpa mengira umur, agama dan bangsa.

Fatin Amira Nabila binti Tauran
Projek Koordinator (Perak)
Kindness Malaysia

Monday, December 28, 2015

Projek Baginda Meriah Di Alor Setar, Kedah



Bismillah al Rahman al Rahim. Segala puji serta selawat dan salam keatas junjungnan besar Nabi Muhammad s.a.w. Tanggal 12 Rabiulawal 1437H (24 Disember 2015) yang lalu, Kindness Malaysia sekali lagi menganjurkan satu program khas semperna hari ulangtahun kelahiran kekasih Allah iaitu Baginda Nabi Muhammad bin Abdullah s.a.w yang dinamakan sebagai Projek Baginda.

Seperti tahun-tahun yang lalu, Projek Baginda yang dijalankan serentak diseluruh negara ini adalah bertujuan meraikan sambutan Maulidur Rasul dengan cara tersendiri bagi memupuk kecintaan kepada baginda s.a.w serta mencontohi sifat-sifat dan akhlak terpuji Baginda s.a.w. Antara negeri-negeri yang turut sama menjalankan Projek Baginda ini adalah Johor, Kuala Lumpur, Melaka, Pahang, Terengganu, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.

antara penerima kismis


Dalam Projek Baginda kali ini kami di Kindness Malaysia (Kedah) mengedarkan bungkusan kismis & kurma serta serbuk kopi segera kepada orang ramai secara percuma. Selain itu kami juga mengadakan Projek Dapur Makanan Percuma (Kindness Kitchen) di Bandaraya Alor Setar pada tarikh yang sama. Tidak hanya mahu menggembirakan orang ramai semata-mata, projek baginda ini juga mempunyai matlamat tersendiri iaitu agar kebaikan yang dilakukan dapat menjadi inspirasi kepada orang lain sekaligus dicontohi oleh semua lapisan masyarakat.

Di Kedah, Projek Baginda dijalankan seawal jam 8.00 pagi dimana sukarelawan berkumpul dan diberi taklimat khas mengenai pengenalan persatuan diikuti sedikit taklimat ringkas berkenaan Projek Dapur Makanan Percuma (Kindness Kitchen) oleh Saudara Mohd Azrul Mohd Razak, (Timbalan Pengerusi 1) Kindness Malaysia. Menu yang disediakan oleh Kindness Kitchen pada kali ini adalah Roti Canai serta pelbagai jenis minuman PERCUMA khas buat pengunjung Dapur Makanan Percuma pada pagi tersebut yang mana ianya disediakan khas oleh sukarelawan Kindness Malaysia sendiri.

pelbagai reaksi yang telah diterima


Selesai sahaja projek Dapur Makanan Percuma (Kindness Kitchen) pada jam 11.30 pagi, semua sukarelawan bergerak ke pasaraya Tesco cawangan Mergong, Alor Setar pula bagi mengagihkan bungkusan kismis dan kurma serta serbuk kopi segera percuma kepada pengunjung pasaraya Tesco tersebut. Seramai 20 orang sukarelawan yang terlibat dalam Projek Baginda di Kedah kali ini terdiri daripada 4 orang sukarelawan yang bertugas untuk merakam gambar untuk projek dan selebihnya adalah sukarelawan yang bertanggungjawab untuk mengurus dan mengedarkan makanan serta kismis, kurma dan serbuk kopi segera kepada orang ramai.

Pelbagai reaksi yang kami terima sepanjang perjalan Projek Baginda pada kali ini antaranya ada pelanggan yang bukan beragama islam (non-muslim) terkejut dan gembira apabila mahu membayar harga makanan & minuman yang telah dimakan kemudian diberitahu bahawa makanan & minuman yang telah dimakan ini adalah PERCUMA semperna Maulidur Rasul. Tak kurang juga yang tidak percaya sehinggakan berkali-kali bertanyakan samada ianya benar-benar percuma. Ada juga yang takut untuk menerima bungkusan kismis dan serbuk kopi segera yang dihulurkan oleh sukarelawan kerana bimbang ada muslihat tersembunyi. Walaubagaimanapun tak kurang juga penerima yang tersenyum serta mengucapkan tahniah kepada sukarelawan Kindness Malaysia atas inisiatif yang dilakukan.
roti canai untuk semua

Semua bungkusan selesai diedarkan pada jam 1.30 petang. Sesi seterusnya sebelum penutup  adalah sukarelawan diminta berkongsi pengalaman sepanjang perjalanan projek pada hari ini. Ternyata semua sukarelawan melahirkan rasa gembira serta memberikan mereka aura positif untuk terus melakukan & menyebarkan kebaikkan kepada masyarakat.  

Projek Baginda ditutup pada jam 2.00 petang dan bersurai. Kami bagi pihak warga Kindness Malaysia mengucapkan jutaan terima kasih serta sekalung penghargaan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan Projek Baginda 2015 pada tahun ini. Semoga kita semua terus istiqamah dalam melakukan kebaikan dan semoga segala kebaikan yang dilakukan akan kembali kepada diri sendiri.

Mohd Azrul Mohd Razak
Timbalan Pengerusi (1)
Kindness Malaysia

Sunday, December 27, 2015

Projek Baginda Bersempena Maulidur Rasul 2015


Tanggal  12 Rabiulawal  merupakan satu tarikh keramat dalam sejarah umat Islam di seluruh dunia. Kedatangan Nabi Muhammad merupakan satu rahmat terbesar dan anugerah teragung yang Allah berikan kepada alam semesta ini. 

Bersempena sambutan Maulidur Rasul yang diadakan saban tahun  menuntut kita sama-sama menghayati, mencontohi ketabahan dan kesungguhan baginda dan para sahabat dalam menegakkan syiar Islam sehingga terpancar kecemerlangan dan kegemilangan Islam merentasi dunia timur dan barat. Selain itu, Nabi Muhammad s.a.w juga amat dikenali sebagai seorang yang suka berbuat kebaikan, menghubungkan silaturrahim, menolong orang yang dalam kesusahan, membantu  anak yatim dan ibu tunggal, seorang yang pemurah tanpa mengira bangsa, agama, umur dan sebagainya. 

sesi taklimat berlangsung
Sesuai dengan tema sambutan Maulidur Rasul 2015 iaitu “Perpaduan Nadi Transformasi Negara”, fitrah alam dicipta dalam pelbagai bentuk dan ragam. Namun dalam menjamin kelestarian dan keharmonian hidup, Islam yang tegas dengan prinsipnya turut meraikan kepelbagaian tersebut kerana ia adalah anugerah dari Maha Pencipta. Firman Allah SWT yang bermaksud:
 “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan suku puak, supaya kamu berta’aruf dan berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain)…” (Surah al-Hujurat 49:13). 
‘Bersatu teguh, bercerai roboh’ - begitulah pepatah yang sinonim dengan perpaduan. Menerusi firman Allah SWT di atas jelas bahawa Islam amat menekankan persefahaman dan perpaduan antara kaum dan agama demi kepentingan bersama sehingga mampu digembleng menjadi kekuatan dan nadi kepada transformasi sebuah negara.

Bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul yang jatuh pada tarikh 24 Disember 2015 (Khamis), sekali lagi tahun ini, Kindness Malaysia menganjurkan projek tahunan yang mengingati kebaikan baginda Rasulullah  S.A.W iaitu Projek Baginda. Projek ini dilaksanakan di hadapan pintu utama Sogo dengan mengedarkan kotak-kotak kecil comel yang berisi kismis kepada orang ramai yang berada di kawasan itu.

teruja untuk memulakan aktiviti

menerangkan kepada penerima
Daripada kekuatan 60 orang sukarelawan terlibat, hampir 70% sukarelawan ini terdiri daripada sukarelawan yang baru pertama kali terlibat dengan projek Kindness Malaysia. Projek ini dimulai pada 3.00 petang dengan sesi taklimat daripada penyelaras projek, Roghdaryanti binti Hashim dan Norharirdayu binti Hashim, serta di akhiri dengan kata-kata nasihat dan semangat daripada pengasas Kindness Malaysia, Muhammad bin Kamarulazizi.

Para sukarelawan diingatkan dengan beberapa panduan, antaranya niat untuk terlibat dalam Projek Baginda ini, samada untuk mengisi masa lapang, untuk menambah pengalaman, untuk menambahkan kenalan, minat yang mendalam dalam kerja-kerja kebajikan atau sebagainya. Apa pun niat masing-masing, niat yang paling utama ialah niat itu kerana Allah S.W.T. Semoga dengan niat itu, Allah S.W.T berikan kekuatan hati dan badan untuk menghadapi segala cabaran, semasa projek berlangsung maupun setelah projek selesai. 

Setiap sukarelawan dinasihatkan juga supaya membuat persediaan mental dari segi penolakan dari orang ramai. Ibarat panduan dari satu ayat Al-Quran iaitu 
“Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib." (Fussilat:Ayat 34)
Seusai taklimat ringkas, kumpulan ini diberi bekalan kotak-kotak kismis yang dimasukkan ke dalam beg dan mula bergerak secara kumpulan kecil untuk mengedarkan kotak-kotak kismis itu kepada orang ramai. Pelbagai respon yang dihadapi oleh setiap sukarelawan, samada dalam keadaan terkejut, sangat gembira, mengelirukan, perlu diberi penerangan (terutama kepada pelancong luar negara), menolak mentah-mentah dan sebagainya. Apa pun projek ini selesai dengan begitu pantas sekali iaitu sekitar jam 4.30 petang, semua sukarelawan telah selesai dan berkumpul untuk sesi postmortem.

sesi bergambar bersama semua sukarelawan yang terlibat

Hasil dapatan daripada sesi postmortem ini, hampir keseluruhan sukarelawan sangat teruja dan seronok dengan pengalaman mereka ini. Mereka juga berharap akan dapat mengikuti lagi projek-projek lain yang dianjurkan oleh Kindness Malaysia pada masa akan datang.


Roghdaryanti binti Hashim
Bendahari Kehormat
Kindness Malaysia

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...