About

Blog tentang aktiviti-aktiviti amal di dalam dan luar Malaysia

More About Me...

Kita pesimis dengan kesengsaraan insan yang menderita di serata dunia. Laman ini cuba mengundang kembali sekelumit fitrah insani yang cakna dan peka dengan kesengsaraan insan lain. Infaq di jalan Allah...

RSS Subscribe

Pengiktirafan dari World Kindness Movement

Kindness Malaysia kini secara rasminya merupakan ahli World Kindness Movement

Misi Bantuan Kemanusiaan Untuk Mangsa Rohingya di Arakan, Myanmar

Bersama pelarian Rohingya di Arakan (Rakhine), Myanmar

Bantuan Perubatan di Hebron, Palestine

Vitamin C untuk anak-anak Palestine di Hebron

Ziarah ke perkampungan orang asli

Bersama sukarelawan ke kampung orang asli di Pos Betau, Pahang.

Misi Gelandangan Feed The Homeless

Misi Gelandangan Feed The Homeless yang dijalankan setiap hari Sabtu 2 minggu sekali di sekitar Kuala Lumpur

Booking.com

Monday, January 12, 2015

Hujan, Lumpur dan Debu Cabaran Misi Banjir Kindness Dot My



Bermula perjalanan kami ke negeri Kelantan untuk misi banjir, memikul harapan, doa dan amanah orang ramai untuk bantuan buat saudara sejagat yang menjadi mangsa banjir yang terburuk bagi tahun millenium ini. Projek kali ini diberi nama Projek Banjir, mempunyai sedikit kelainan dengan projek-projek Kindness Dot My (Kindness) sebelum ini. Dua buah lori 5 tan penuh dengan barang bantuan serta lima buah kereta (Audi Q7, Nissan Xtrail, Perodua Alza, Toyota Hilux dan Mitsubishi Pajero) bersedia untuk misi kali ini. Berbekalkan sedikit pengalaman di Myanmar dan Filipina dalam pengurusan bencana, semua sukarelawan (20 orang) telah bersedia dari segi mental dan fizikal.

Tayar pecah di Gua Musang

keadaan hujan yang lebat di Kampung Tanjung Chat

Baby wipe, pencuci tangan (hand sanitizer), kasut but Pua Chu Kang, baju hujan, vitamin C dan air mineral menjadi pendamping utama setiap sukarelawan. Selepas selesai menyusun barang-barang bantuan ke dalam lori, setiap sukarelawan diberi vitamin C dengan dosage 1000mg, cukup dosage untuk sehari bagi seorang dewasa. Vitamin C ini bertujuan untuk mengekalkan imunisasi badan ditahap optimum. Terima kasih kepada penderma vitamin C untuk misi kali ini.

Perjalanan bermula dari Setiawangsa, Kuala Lumpur dan terus ke Kota Bahru iaitu destinasi pertama untuk misi banjir kali ini. Route yang dipilih ialah Setiawangsa - Simpang Pulai - Cameron Highlands - Gua Musang - Kota Bahru. Perjalanan yang agak jauh, tetapi yang paling selamat ketika ini. Perjalanan telah mengambil masa 12 jam, bertolak jam 11 tengah malam hari Jumaat (9 Januari 2015) dan tiba di Kota Bahru pada jam 11 tengahari (10 Januari 2015).

Setiap sukarelawan memakai baju hujan dan but

sumbangan Kindness Kit disampaikan terus ke rumah

dapur (stove) penting untuk memudahkan mangsa banjir memasak

senyuman penerima bantuan

Lokasi pertama misi bantuan ialah Kampung Tanjung Chat, yang terletak di pinggir Kota Bahru. Keadaan hujan yang agak lebat tidak mematahkan semangat para sukarelawan. Lebih 60 pek Kindness Kit termasuk dapur (stove) dan lampin bayi diagihkan kepada setiap rumah. Dengan bantuan sukarelawan tempatan, pengagihan bantuan dapat berjalan dengan lancar. Senarai penerima yang dikenalpasti juga sudah ready, dan setiap rumah telah menerima bantuan seperti yang dirancang.

Perjalanan diteruskan ke Kampung Lati, Pasir Mas. Lebih 50 buah keluarga dikenalpasti  dan pek Kindness Kit diagihkan dengan bantuan ketua kampung di situ. Khabarnya, mereka baru sahaja pulang dari Pusat Pemindahan Banjir dan semasa kami di sana, paras air masih lagi setinggi betis. Sukarelawan meredah air untuk sampaikan bantuan kepada keluarga mangsa banjir. Bantuan seterusnya diserahkan di sebuah lagi kampung di Pasir Mas dan ketika ini masa sudah menunjukkan jam 9 malam. Selesai pengagihan pek Kindness Kit, kami pun terus ke Pengkalan Chepa dan menginap di homestay.

koordinasi bersama masyarakat itu penting dalam setiap misi

air diredah oleh para sukarelawan demi memastikan bantuan sampai kepada penerima

kesan banjir masih kelihatan

senyuman sukarelawan dan keluarga mangsa banjir

air yang masih belum surut di Pasir Mas

sumbangan untuk masjid

Keesokan harinya, bantuan untuk misi banjir ditambah semula dengan pembelian air mineral, kain pelikat, kain batik, dan ketip kuku di Mydin Kubang Kerian. Perjalanan diteruskan ke Manek Urai, lokasi terakhir untuk misi bantuan banjir. Sepanjang perjalanan, kami singgah di masjid-masjid dengan meletakkan al-Quran, sejadah, air mineral, alas kaki dan minyak atar. Apa yang kami lihat, kebanyakan masjid telah menjadi pusat pengagihan sumbangan dan ada yang menetap di masjid buat sementara waktu, akibat rumah telah roboh kesan dari banjir.

Setibanya kami di Manek Urai Lama, keadaan kelihatan agak teruk, garis tanda banjir kelihatan di bangunan sekolah dan masjid. Jalan raya rosak, banyak rumah yang telah roboh dan jalan penuh dengan lumpur kering. Setiap kali kenderaan lalu di jalan raya akan mengakibatkan debu tanah beterbangan. Pada waktu ini topeng muka diagihkan kepada orang ramai termasuk sukarelawan dan juga pihak berkuasa seperti polis dan askar. Semua bantuan yang masih ada diagihkan kesemuanya di sini. Perjalanan kemudian diteruskan mengikut route yang sama, dan alhamdulillah kami tiba di Kuala Lumpur pada jam 1 pagi (12 Januari 2015).

sukarelawan memberi vitamin C kepada anak yang sedang memilih baju terpakai

topeng muka diberikan kepada orang ramai di Manek Urai Lama

Vitamin C serta ketip kuku untuk semua

bersama masyarakat Manek Urai

longgokan pakaian terpakai

Bagi perancangan akan datang berkemungkinan pada awal bulan Februari 2015, beberapa keperluan dikenalpasti perlu dibawa. Air mineral, garam ORS (oral rehydration salt) dan lain-lain antara keperluan yang penting. Air mineral boleh diperoleh di Mydin Kubang Kerian menggunakan networking yang sedia ada. Bekalan ORS boleh dibawa dari Kuala Lumpur, sesuai dengan saiznya yang kecil dan mudah dibawa. Senarai penerima baru juga akan dikemaskini, dan koordinasi di tempat bantuan juga akan diperoleh dari sukarelawan tempatan di sana. Keperluan logistik juga penting bagi memastikan perjalanan bergerak dengan lancar.

sukarelawan sebelum bertolak ke Kelantan
Pihak Kindness ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada para sukarelawan yang tidak pernah kenal erti penat dan lelah bagi melakukan dan menyebarkan kebaikan dan kali ini misi bertumpu untuk mangsa banjir di Pantai Timur. Sejuta penghargaan diberikan kepada para dermawan individu yang memberi kepercayaan kepada Kindness untuk misi banjir kali ini, dan tidak lupa kepada Sugoi Group of Companies yang telah menyumbang hampir RM50,000 barang bantuan Kindness Kit serta keperluan logistik. Juga kepada ICelebrate yang telah menyumbangkan sabun buku mandi serta sabun pencuci tangan. Semoga semua diberkatiNya selalu, amin.

mendapat liputan di Harian Metro

Mendapat liputan di Harian Metro 27 Januari 2015

Muhammad bin Kamarulazizi
Pengasas Kindness Dot My
www.facebook.com/kindness.my

Thursday, January 8, 2015

Persediaan Misi Pasca Banjir Pantai Timur 2015


Sehingga ke hari ini, team Kindness Dot My (Kindness) telah menghantar enam trip untuk misi banjir ke Pantai Timur. Alhamdulillah, beberapa lokasi yang sangat teruk telah disampaikan bantuan seperti Manik Urai, Kuala Krai, Gua Musang, Tumpat dan Temerloh. Trip yang ketujuh (Kota Bahru, 9 Januari 2015) dan kelapan (Temerloh, 10 Januari 2015) sudah pun bersedia dengan barang-barang bantuan yang lebih menyeluruh.

senarai barang bantuan Kindness Kit

lebih 100 kotak Kindness Kit disediakan untuk mangsa banjir

Trip ketujuh dan kelapan ini akan mensasarkan tiga buah kampung, dua buah di Kota Bahru dan sebuah lagi di Temerloh. Bantuan yang akan disampaikan diberi nama Kindness Kit. Kindness Kit ini mengandungi 16 barang keperluan asas untuk setiap keluarga. Setiap Kindness Kit mempunyai barang bantuan seperti  mi segera, air mineral sekotak, biskut, cadar, lilin sekotak, pemetik api, dapur (stove) beserta hos gas,  sejadah, tuala, lampu suluh LED, bantal, plastik sampah, penyapu, penyodok, sabun basuh baju, dan pencuci lantai. Kaum wanita juga akan menerima pad wanita dan bayi akan terima lampin bayi.

Pusat Pengumpulan Bantuan Banjir di Setiawangsa

sukarelawan bertungkus lumus mengatur barang bantuan hingga ke tengah malam

apa yang penting, kerjasama!

ada juga yang datang terus dari pejabat

dua buah khemah 20x20 disediakan untuk barang bantuan

Misi kali ini merupakan diperingkat pemulihan (recovery), oleh itu kami di Kindness ingin bantuan yang lebih menyeluruh untuk mangsa banjir. Koordinasi bantuan banjir telah dirancang dengan rapi. Seorang sukarelawan tempatan dijadikan contact person, dan bersedia untuk menerima bantuan daripada Kuala Lumpur. Sukaralawan di sana juga sudah kenal pasti jumlah rumah yang akan terima bantuan, dengan pertolongan ketua kampung di sana. Pengagihan secara sistematik ini penting bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

Projek Banjir mendapat liputan di Harian Metro (9 Januari 2015)
Pihak Kindness ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat untuk bantuan misi banjir ini terutama sekali para sukarelawan yang gigih mengatur barang-barang bantuan dan mendapatkan dana, juga kepada para dermawan yang memberi kepercayaan kepada Kindness untuk misi banjir ini. Juga penghargaan khas buat syarikat Sugoi Group of Companies yang telah menyumbang lebih dari RM50,000 dalam bentuk barang bantuan dan keperluan logistik. Semoga dengan bantuan ini, dapat mengurangkan beban saudara kita di Pantai Timur dan usaha kecil kita ini mendapat keberkatan dariNya.

Muhammad bin Kamarulazizi
Pengasas Kindness Dot My
www.facebook.com/kindness.my

Sunday, January 4, 2015

Projek Baginda: Sambutan Maulidur Rasul yang Unik oleh Kindness Dot My


Projek Baginda anjuran Kindness Dot My (Kindness) berlangsung sekali lagi bagi tahun 2015 bagi menyambut Hari Kelahiran Nabi Muhammad SAW. Konsep yang hampir sama digunakan seperti tahun lepas, tetapi kali ini hadiah yang diberikan kepada orang ramai ialah honey stick. Madu stick ini dikepilkan sekali dengan hadis berkenaan dengan Kindness dan diedarkan secara percuma kepada orang ramai di Pavilion.

pelancong dari Korea Selatan menerima madu stick


sukarelawan bersama penerima madu stick

yang sedang bertugas juga menerima madu stick


Seribu madu stick telah dihasilkan yang telah ditaja oleh beberapa orang individu. Objektif Projek Baginda ini ialah untuk meraikan ikon Kindness sepanjang zaman iaitu Rasulullah SAW sendiri. Budi pekerti, sifat sabar dan sifat mahmudah yang lain menjadi contoh yang utama kepada team Kindness untuk memberi inspirasi kepada orang ramai untuk terus melakukan kebaikan tidak kira tempat, masa atau pada sesiapa pun.

bunga ros untuk orang ramai

pemberian yang bermakna

bunga ros diberikan kepada orang ramai

kebaikan adalah untuk semua

satu keluarga terima bunga ros

Projek Baginda ini telah berlangsung di dua lokasi utama, iaitu di Pavilion Bukit Bintang, Kuala Lumpur dan Bayan Baru Pulau Pinang. Team Kindness berkongsi dengan orang ramai tentang kelebihan melakukan kebaikan serta impak kepada orang ramai.

Team Kindness di Pavilion Bukit Bintang

Team Kindness di Bayan Baru, Pulau Pinang


Pihak Kindness mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat terutama sekali sukarelawan Kindness sendiri, para penaja dan juga pelajar-pelajar MBA UiTM Shah Alam yang turut serta bagi menjayaan aktiviti kali ini. Semoga projek begini dapat mencapai senyuman daripada Baginda SAW.

Muhammad bin Kamarulazizi
Pengasas Kindness
www.facebook.com/kindness.my

Wednesday, December 31, 2014

Projek Orang Asli Bersama Kindness Dot My


Menjelang hujung tahun 2014, sukarelawan Kindness Dot My (Kindness) bergerak ke Kampung Sentoi, Pos Betau untuk program bersama masyarakat Orang Asli di sana. Ziarah kali kedua ini adalah kesinambungan dari ziarah yang pertama pada awal tahun ini. Alhamdulillah, dua buah van dan tiga buah kereta memulakan perjalanan dari Asrama Darul Falah pada jam 10 malam, 26hb Disember 2014, dan tiba di Kampung Sentoi pada jam 5 pagi, 27hb Disember 2014.

gotong-royong makan tengahari
 
nasi lauk ayam kari menjadi menu untuk makan tengahari
biskut dan air teh susu untuk minum petang
motivasi bersama anak-anak orang asli
 
kelas bacaan Iqra selepas solat Subuh

Vitamin C untuk anak-anak Orang Asli

projek wordrocks, menulis mesej yang baik pada batu sungai

Misi kali ini lebih kepada penglibatan bersama kanak-kanak orang asli dan beberapa projek rutin dijalankan seperti Projek Alat Tulis, Projek Vitamin C dan Projek WordRocks. Gotong-royong memasak serta sukaneka juga telah dijalankan bersama dan pada sebelah malamnya pula masyarakat orang asli telah mengadakan acara sewang khusus untuk sukarelawan Kindness. Sewang ini merupakan acara istimewa, dan jarang-jarang dilakukan untuk orang luar. Sewang bagi masyarakat Semai di sini hanya dilakukan apabila ada berlaku kematian.

sukaneka dengan kanak-kanak Orang Asli

bola sepak antara permainan kegemaran

hadiah sukaneka

pertandingan menyumpit

belon untuk kanak-kanak
sukarelawan mesra dengan anak-anak orang asli

kelas mengenal huruf jawi untuk anak-anak orang asli

tarian sewang di sebelah malam

Ziarah kali ini juga memberi peluang kepada sukarelawan untuk solat berjemaah bersama, disamping mengajar golongan dewasa membaca Iqra dan asas-asas Fardhu Ain bagi yang beragama Islam. InsyaAllah ziarah kampung Orang Asli ini akan diteruskan lagi pada tahun hadapan. Pada yang berminat untuk turut serta, atau menaja bagi projek akan datang, boleh email terus ke support@kindness.my. Pihak Kindness mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua sukarelawan yang terlibat dan juga kepada para penaja untuk projek kali ini.

Muhammad bin Kamarulazizi
Pengasas Kindness Dot My
www.facebook.com/kindness.my

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...