About

Blog tentang aktiviti-aktiviti amal di dalam dan luar Malaysia

More About Me...

Kita pesimis dengan kesengsaraan insan yang menderita di serata dunia. Laman ini cuba mengundang kembali sekelumit fitrah insani yang cakna dan peka dengan kesengsaraan insan lain. Infaq di jalan Allah...

RSS Subscribe

Pengiktirafan dari World Kindness Movement

Kindness Malaysia kini secara rasminya merupakan ahli World Kindness Movement

Misi Bantuan Kemanusiaan Untuk Mangsa Rohingya di Arakan, Myanmar

Bersama pelarian Rohingya di Arakan (Rakhine), Myanmar

Bantuan Perubatan di Hebron, Palestine

Vitamin C untuk anak-anak Palestine di Hebron

Ziarah ke perkampungan orang asli

Bersama sukarelawan ke kampung orang asli di Pos Betau, Pahang.

Misi Gelandangan Feed The Homeless

Misi Gelandangan Feed The Homeless yang dijalankan setiap hari Sabtu 2 minggu sekali di sekitar Kuala Lumpur

Booking.com
Showing posts with label program amal. Show all posts
Showing posts with label program amal. Show all posts

Wednesday, November 16, 2016

Projek Ziarah Kampung Orang Asli Pos Kemar



Pada 11-13 November 2016, Kindness Malaysia, Asrama Darul Falah (ASDAF), Beestorm Sports bersama-sama Sham Aris Auto Service telah menjayakan satu lagi program ziarah ke perkampungan orang asli. Projek kali ini telah memilih Kampung Jarau Baru RPS Kemar, Grik, Perak. Seramai 35 orang sukarelawan telah turut serta bagi menjayakan misi kali ini. Kedudukan geografi perkampungan orang asli kali ini di kawasan pedalaman dan terletak di atas Banjaran Titiwangsa memerlukan kenderaan yang sesuai untuk sampai ke sana. Terdapat dua jalan untuk sampai ke Pos Kemar iaitu jalan tanah merah melalui Sungai Siput atau pun menaiki bot merentasi tasik Banding melalui Grik. Kami memilih untuk menaiki pacuan empat roda (4x4) yang disediakan oleh Sham Aris Auto Service bersama kumpulannya yang merupakan pemandu yang berpengalaman merentasi hutan, bukit bukau, dan sungai. 

Antara sungai yang perlu dilalui untuk sampai ke Pos Kemar

Terdapat juga kereta yang mengalami kerosakan semasa perjalanan


Kampung Jarau Baru merupakan salah sebuah kampung yang terletak di Pos Kemar, Gerik. Kira-kira lebih 50 buah keluarga yang mendiami kampung ini yang terdiri daripada orang tua, dewasa dan kanak-kanak. Kawasan kampung yang terletak di pedalaman dan agak menyukarkan mereka untuk keluar dari kawasan kampung kerana memerlukan kos yang tinggi untuk bergerak keluar. Suasana kampung yang sangat nyaman dan menenangkan menjadikan kami sukarelawan berasa selesa di kampung ini.

Suasana kampung yang sangat menenangkan jiwa

Antara kenderaan yang kami naiki untuk ke pos kemar

Semua sukarelawan berkumpul di ASDAF pada pukul 10.30 malam dan sesi taklimat telah di berikan oleh Pengarah projek kali ini merangkap pengerusi Kindness Malaysia iaitu En Noriduan. Setelah taklimat dan persiapan barang-barang, kami bergerak dari ASDAF pada pukul 11.30 malam menuju ke utara. Perjalanan mengambil masa selama 5 jam untuk sampai ke Masjid Kampung Bawong, Sungai Siput. Kami berehat sebentar melelapkan mata selama sejam untuk menunggu waktu subuh. Setelah subuh, semua bersiap dan sarapan sebelum meneruskan perjalanan ke Pos Kemar pada jam 8.30 pagi.

Kanak-kanak menyambut kedatangan kami

Penyediaan bahan untuk memasak



Perjalanan ke Pos Kemar dari Masjid Kampung Bawong sejauh 55 km merentasi 4 sungai dan 3 puncak bukit mengambil masa selama 3 jam setengah untuk sampai ke sana. Kami sampai di Kampung Jarau Baru pada pukul 12.00 tengah hari. Sesampainya di sana, kami terus menurunkan barang yang diperlukan sepanjang berada disana. Semua sukarelawan mengambil tugasan masing-masing. Sebahagian sukarelawan meneruskan tugas menyediakan makanan tengah hari, sebahagian lagi membuat persediaan membalut hadiah dan sebahagian lagi cuba mendekati kanak-kanak di sana untuk sesi suai kenal. Semakin ramai penduduk kampung keluar membantu dan meraikan kedatangan kami. Kanak-kanak mula datang untuk menyertai pertandingan mewarna dan belajar membuat origami. Kanak-kanak sangat gembira berkongsi cerita mengenai persekolahan dan keindahan kampung mereka. 

Penduduk kampung juga turut membantu membalut hamper


Pertandingan mewarna bersama kanak-kanak

Sukarelawan membantu kanak-kanak dalam pertandingan mewarna


Setelah selesai aktiviti mewarna, kami semua menikmati juadah tengah hari. Menu tengah hari ialah kari ayam dan sayur kubis. Penduduk kampung bermurah hati berkongsi juadah bersama kami. Mereka menyediakan masak lemah pucuk ubi dan ubi goreng. Selesainya menikmati makan tengah hari, para sukarelawan solat zuhur secara berjemaah bersama penduduk kampung. 

Sukarelawan juga turut mencuba menggunakan sumpit

Acara menyumpit untuk golongan dewasa lelaki

Seterusnya persediaan untuk aktiviti sukaneka untuk dewasa dan kanak-kanak . Antara sukaneka yang diadakan  untuk kanak-kanak ialah belon semakin jauh, semakin sayang, cari gula-gula dalam tepung. simpulan kasih sayang, dan bawa bola ping pong dengan sudu. Sukaneka untuk dewasa wanita ialah, bowling kelapa dan makan buah epal tanpa memegangnya. Bagi acara untuk dewasa lelaki ialah pertandingan menyumpit. Acara sukaneka dimulakan pada jam 4.30 petang dan suasana pertandingan sangat meriah dengan sorakan setiap ahli kumpulan. Hadiah diberikan kepada setiap pemenang sejurus selepas pertandingan di jalankan. Setiap acara mendapat sambutan yang menggalakan daripada penduduk kampung. Selesai sahaja acara sukaneka, para sukarelawan mengambil peluang untuk turun ke sungai untuk aktiviti bebas. Sebahagian sukarelawan bersama kaum ibu menyediakan makanan untuk makan malam. 

Bersama peserta sumpit

wajah kanak-kanak yang menyertai sukaneka cari gula-gula dalam tepung

Setelah selesai solat maghrib, penduduk kampung dan para sukarelawan menikmati makan malam yg sangat sedap. Menu kali ini ialah sup tulang, ayam masak kicap dan dan sayur kubis. Setelah selesai makan malam, semua bersiap mengemas kawasan makan dan peralatan. Sebahagiannya lagi menyediakan tempat untuk tidur. 

Makan malam bersama penduduk kampung

Pada keesokan harinya, setelah selesai solat subuh, sebahagian sukarelawan turun ke kawasan dapur untuk penyediaan sarapan pagi. Terdapat juga mula mengemas barang persiapan untuk bergerak pulang. Selesai sarapan, beberapa orang sukarelawan mengambil kesempatan mengadakan aktiviti bersama kanak-kanak, sebelum gotong-royong membersihkan kawasan sekitar kampung. Setelah selesai semua aktiviti, semua sukarelawan mula mengemas barang dan dimasukkan ke dalam kereta. Barang-barang sumbangan yang diberikan oleh paradermawan diserahkan kepada tok batin untuk dibahagi-bahagikan kepada penduduk kampung secara adil.

beramah mesra bersama kanak-kanak


antara sukarelawan yang terlibat yang menjayakan projek ini

Kami bergerak pulang tepat jam 10.30 pagi. Perjalan pulang berasa lebih pendek dan mengambil masa selama 3 jam setengah untuk sampai kembali ke Masjid Kampung Bawong. Rehat sebentar dan solat zuhur di masjid sebelum meneruskan perjalanan pulang ke Kuala Lumpur. Kami daripada Kindness Malaysia mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada semua sukarelawan yang terlibat secara langsung dan tidak langsung, Jutaan terima kasih juga kepada rakan penaja, Beestorm yang telah menaja projek ziarah kali ni. Terima kasih juga ditujukan kepada penaja utama fotografi Kreadea dan juga rakan seperjuangan yang turut menjayakan projek kali ini iaitu ASDAF. Tidak lupa juga terima kasih kepada penyumbang dan penaja yang baik hati memberi tajaan dalam bentuk barangan dan wang ringgit. Semoga usaha dan sumbangan yang diberikan mendapat keberkatan dan redha dari-Nya, Semoga semua sukarelawan yang terlibat dapat mengambil pengalaman yang cukup bermakna ini sebagai salah satu batu loncatan untuk terus melakukan dan menyebarkan kebaikan. Alhamdulillah.

Fatin Amira Nabila Binti Tauran 
Projek Koordinator
Kindness Malaysia


Wednesday, May 27, 2015

5 Perkara yang Dermawan Perlu Ketahui Apabila Menyampaikan Sumbangan Kepada Rumah Anak Yatim



Anak-anak yatim dan miskin diraikan semasa bulan Ramadhan. Mereka antara yang paling gembira, tidak kurang juga kepada staf yang bertugas di rumah-rumah kebajikan. Jumlah pelawat yang datang ke rumah kebajikan turut bertambah dan alhamdulillah, sumbangan untuk rumah anak yatim juga turut meningkat. Bagi kebanyakan rumah kebajikan, bulan Ramadhan inilah menjadi sumber pendapatan utama untuk menampung perbelanjaan seharian selama setahun. Selepas bulan Ramadhan, kunjungan pelawat akan berkurangan dan jumlah derma turut akan berkurangan.

Apabila kita pergi melawat mana-mana rumah kebajikan untuk sampaikan sumbangan, ada beberapa perkara yang perlu kita "take note".

Adab Menyampaikan Sumbangan Kepada Rumah Anak Yatim

1- Lakukan Temujanji
Pihak pengurusan rumah kebajikan juga mempunya kerja-kerja yang perlu dilakukan di pejabat. Malah pengetua juga sibuk menguruskan asrama dan mencari dana dari luar. Sebaiknya para dermawan yang ingin menyumbang, telefon dulu sebelum datang dan setkan appointment. Hal ini memudahkan pihak pengurusan rumah kebajikan untuk meluangkan masa dengan dermawan dan berkongsi keperluan rumah kebajikan. Sumbangan juga boleh dilakukan terus ke akaun rumah kebajikan tersebut tanpa ke pejabat mereka.

2- Resit Derma
Sumbangan dalam bentuk wang sangat digalakkan dan para dermawan boleh meminta resit derma. Hampir semua rumah kebajikan dapat menyediakan resit derma. Cuma tidak semua rumah kebajikan  yang mempunyai resit pengecualian cukai. Proses untuk mendapatkan pengecualian cukai ini agak rumit, dan rumah-rumah kebajikan yang sudah lama bertapak biasanya mempunyai kelebihan ini.

3- Terma dan Syarat Sumbangan
Ada para dermawan yang datang dan menghadkan penggunaan wang untuk anak yatim sahaja. Kita perlu tahu yang tinggal di rumah kebajikan biasanya bercampur antara anak yatim dan juga anak fakir miskin. Adakala anak fakir miskin ini lebih memerlukan daripada anak yatim. Memang tidak dinafikan anak yatim ini diberi keistimewaan dalam Islam. Kita digalakkan untuk niatkan sumbangan derma untuk rumah anak yatim tersebut. Sumbangan ini akan digunakan untuk anak-anak yang menetap di rumah kebajikan tersebut. Jangan letak terlalu banyak terma dan syarat untuk derma tersebut, kerana ini akan menyusahkan pengurusan rumah kebajikan.

4- Sumbangan Barangan
Sebelum datang melawat rumah kebajikan, telefon dulu dan tanya apa barang keperluan yang diperlukan. Ada masanya beras terlalu banyak, pihak rumah kebajikan pasti boleh syorkan jenis sumbangan barangan yang diperlukan. Ambil masa sedikit untuk telefon dan tanya keperluan mereka.

5- Sumbangan Pakaian atau Barang Terpakai
Sumbangan pakaian terpakai ini agak popular. Sudah pasti ramai yang mempunyai pakaian terpakai yang masih elok. Pertama sekali, pakaian terpakai yang ingin disumbangkan itu, asingkan ikut saiz dan jantina. Satu plastik atau kotak untuk saiz dan jantina yang tertentu. Dan sebelum hantar, pastikan pakaian ini sudah dibasuh atau paling kurang pun dihantarkan ke dobi. Sebab pernah jadi suatu ketika dulu, pakaian yang dihantar tidak basuh, dan sudah lama tidak digunakan. Bila derma, anak-anak ini terus pakai dan badan mereka naik ruam dan gatal-gatal. Kita sebagai penderma, ambillah usaha sedikit untuk berikan pakaian terpakai yang wangi atau sudah basuh. Pakaian yang dah koyak, pakaian dalam boleh buang dalam tong sampah. Bila nak sumbang pakaian, kita tanya diri kita balik, kalau orang bagi pakaian ni, aku akan pakai atau tak?

Bila kita mempunyai niat yang baik, sudah pasti kita nak sumbangkan yang terbaik kepada mereka yang memerlukan. Rumah-rumah kebajikan atau anak-anak yatim ini menjadi salah satu lokasi untuk kita sampaikan sumbangan. Oleh itu sentiasalah kita berdoa agar sumbangan yang disampaikan ini dapat menjadi saham di akhirat kelak, amin.

Muhammad bin Kamarulazizi
Pengasas
Kindness Malaysia
www.facebook.com/kindness.my

Tuesday, May 26, 2015

Projek Kurma di Bulan Ramadhan



Seperti tahun-tahun lepas, Kindness Malaysia kembali dengan satu lagi aktiviti amal iaitu Projek Kurma. Projek Kurma yang akan dijalankan pada bulan Ramadhan ini bertujuan untuk memudahkan orang ramai untuk berbuka puasa terutama sekali yang tersangkut dalam perjalanan pulang ke rumah. Projek tahunan Kindness Malaysia ini akan mensasarkan 5000 pek kurma dimana setiap pek kurma mempunyai tiga biji kurma mariami.
Kurma mariami dipilih kerana boleh tahan lama, tidak mudah rosak dan enak dimakan. Beberapa lokasi telah dikenalpasti untuk pengagihan kurma pada Ramadhan kelak. Antaranya di sekitar Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Alor Setar, Ipoh dan Johor Bahru.

reka bentuk projek kurma dengan logo tajaan

Kindness Malaysia membuka peluang kepada individu atau syarikat yang berminat untuk menaja bagi Projek Kurma ini. Setiap pek kurma akan tertera sekali logo syarikat sebagai kerjasama dalam menyebarkan kebaikan bersama Kindness Malaysia. Harga untuk tajaan adalah seperti berikut:

1000 kotak kurma ---> RM1,500 (sekotak RM1.50)
3000 kotak kurma ---> RM3,750 (sekotak RM1.25)
5000 kotak kurma ---> RM5,000 (sekotak RM1.00)
7000 kotak kurma ---> RM6,300 (sekotak RM0.90)

Bagi yang berminat untuk menaja, boleh hubungi saya terus di 0183800961 atau email di support@kindness.my. Semoga dengan usaha ini mendapat keberkatan dariNya.

Muhammad bin Kamarulazizi
Pengasas 
Kindness Malaysia
www.facebook.com/kindness.my

Sunday, June 29, 2014

Projek TajaMereka 2014 Bermula di lokasi pertama Chow Kit



Alhamdulillah Projek TajaMereka bermula dengan sahur di hari pertama Ramadhan 1435 bersama dua orang warga gelandangan di Chow Kit. Konsep TajaMereka yang dipopularkan oleh Kindness Dot My (Kindness) diteruskan dan kali ini jenis penerima manfaat dipelbagaikan bagi membawa sedikit kelainan berbanding tahun sebelumnya.

penaja yang bersahur bersama warga gelandangan

pengalaman yang tidak dapat dibeli dengan wang Ringgit

Permulaan yang kecil ini cukup bermakna bagi dua orang sukarelawan yang juga penaja bagi TajaMereka yang pertama tahun ini. Pengalaman bersahur bersama warga gelandangan cukup bermakna, dan apa yang menarik ialah apabila mereka menerima sumbangan duit raya selepas selesai bersahur. Wajah gembira mereka ini membuatkan penaja yang turut serta bersahur berasa terharu.

berkongsi kegembiraan
Projek TajaMereka akan diteruskan lagi yag bakal melibatkan penerima manfaat seperti anak-anak yatim, komuniti pelarian, warga miskin bandar seperti tukang sapu dan pakcik sekuriti. Bagi mereka yang berminat untuk menaja, boleh lakukannya ke akaun Maybank 514057664892 atas nama Kindness Dot My. Email butiran transaksi ke support@kindness.my bersama butiran berikut:

Nama:
No tel:
Jumlah Tajaan:
Masa dan tarikh transaksi:
Lokasi (jika turut serta):

Tajaan untuk seorang ialah RM40 yang akan merangkumi kos berbuka puasa, duit raya dan sedikit sumbangan untuk penerima manfaat. Untuk sebarang pertanyaan lanjut, boleh hubungi saya terus di 0183800961 atau email di support@kindness.my

Info mengenai Projek TajaMereka di sini

Muhammad bin Kamarulazizi
Pengasas
Kindness Dot My

Wednesday, October 2, 2013

Projek Selipar oleh Kindness.my di Kuala Lumpur


Projek Selipar anjuran Kindness.my bermula di Alor Setar dan kini tersebar di Kuala Lumpur. Masjid Amru Al-As, Bandar Baru Sentul menjadi destinasi pertama team Kindness.my untuk mulakan Projek Selipar ini. Selipar diperoleh dari sumbangan orang ramai dan ditempatkan dibeberapa buah masjid terpilih. Tujuannya ialah untuk sediakan selipar percuma bagi mereka yang kehilangan selipar atau kasut di masjid. Kerap kali kejadian sebegini berlaku terutama sekali selepas solat Jumaat. Projek ini mendapat perhatian media dan telah dimuatkan dalam rancangan Malaysia Hari Ini (MHI) di TV3.

Selipar untuk masjid hasil sumbangan orang ramai

Selipar percuma diletakkan di rak kasut

kualiti dan harga selipar dititik beratkan

liputan TV3


harapan agar projek ini menberi inspirasi kepada orang ramai


Pada yang berminat untuk turut serta dengan aktiviti Kindness.my, boleh turut serta Group Volunteer Kindness di Facebook. Syarikat korporat yang berminat untuk menaja atau mendapatkan konsultasi tentang projek CSR, boleh hubungi kami di support@kindness.my.

Muhammad bin Kamarulazizi
Pengasas Kindness.my
www.facebook.com/kindness.my

Saturday, July 18, 2009

Program Ramadhan Fast 2 Feed Kembali Lagi!


Sempena bulan Ramadhan yang semakin hampir, Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia akan menganjurkan program amal untuk Ramadhan ini iaitu Fast 2 Feed (F2F). Seperti tahun lepas, orang ramai berpeluang untuk menaja anak-anak yatim atau miskin untuk berbuka puasa bersama-sama. Tujuan utama F2F ini adalah untuk memberi peluang kepada orang ramai berbuka puasa bersama anak-anak yatim dan berpeluang untuk bergaul dengan anak-anak yatim atau miskin. Istimewanya program F2F kali ini ialah anak-anak pelarian Rohingya juga akan dijemput sekali. Ini bermakna orang ramai bukan sahaja dapat menaja anak-anak yatim, malahan anak-anak yatim dan miskin dari kalangan pelarian Rohingya yang kurang mendapat perhatian dan amat terpinggir.

InsyaAllah lokasi berbuka puasa untuk kali ini akan diadakan di Dewan Al-Malik Faisal di Pusat Asasi UIA Petaling Jaya dengan kerjasama dari kelab Perkim Pusat Asasi UIA. Dijangka program kali ini akan melibatkan hampir 150 orang anak-anak yatim dan miskin ini yang dari Asrama Darul Falah (ASDAF) dan pelarian Rohingya yang kebanyakan menetap di rumah kebajikan Rohingya di Selayang.

Sambutan dengan promosi tidak sampai seminggu ini amat menggalakkan dan sudah ramai anak-anak yatim dan miskin sudah ditaja. Kepada orang ramai diluar sana yang ingin merebut peluang ini, boleh hubungi terus pejabat Muslim Aid di 03-22881996. atau email saya di muhammad@muslimaidasia.com. Semoga dengan tajaan yang kecil ini dapat memberi makna yang besar kepada anak-anak istimewa ini dan mendapat berkat dariNya, insyaAllah.

layari blog Fast 2 Feed;
http://fast2feedmuslimaidasia.blogspot.com/

p/s program Fast 2 Feed tahun lepas di sini
Fast 2 Feed Episod 1
Fast 2 Feed Episod 2

Muhammad bin Kamarulazizi
Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...