About

Blog tentang aktiviti-aktiviti amal di dalam dan luar Malaysia

More About Me...

Kita pesimis dengan kesengsaraan insan yang menderita di serata dunia. Laman ini cuba mengundang kembali sekelumit fitrah insani yang cakna dan peka dengan kesengsaraan insan lain. Infaq di jalan Allah...

RSS Subscribe

Pengiktirafan dari World Kindness Movement

Kindness Malaysia kini secara rasminya merupakan ahli World Kindness Movement

Misi Bantuan Kemanusiaan Untuk Mangsa Rohingya di Arakan, Myanmar

Bersama pelarian Rohingya di Arakan (Rakhine), Myanmar

Bantuan Perubatan di Hebron, Palestine

Vitamin C untuk anak-anak Palestine di Hebron

Ziarah ke perkampungan orang asli

Bersama sukarelawan ke kampung orang asli di Pos Betau, Pahang.

Misi Gelandangan Feed The Homeless

Misi Gelandangan Feed The Homeless yang dijalankan setiap hari Sabtu 2 minggu sekali di sekitar Kuala Lumpur

Booking.com
Showing posts with label penyucian jiwa. Show all posts
Showing posts with label penyucian jiwa. Show all posts

Thursday, January 5, 2017

13 Tips Bagi Yang Berniat Untuk Ziarah Tarim, Yaman



Alhamdulillah, perjalanan saya ke Tarim sedikit sebanyak membentuk kembali pemikiran dan nurani saya. Dari selalu jiwa kacau, sekarang dah ada rasa ketenangan dalam diri. Di sini saya ingin kongsikan tips bagi mereka yang berniat untuk datang ke Tarim.

Habib Umar memberi kuliah Subuh
1. Waktu paling sesuai untuk datang dan pelajari ilmu ialah ketika Daurah, iaitu pada 1 Julai setiap tahun. Daurah ini mengambil masa 40 hari, cukup dengan pembelajaran tafsir, hadis, fikh, tasawuf dan lain2. Paling menarik ada setiap kelas ada terjemahan Bahasa Melayu dan Inggeris.

2. Jika datang dengan hajat untuk ziarah dulu pun boleh. Ambil feel dan di sinilah antara tempat yang paling sesuai untuk cuci jiwa dan cari ketenangan. Saya pun datang 10 hari je di sini untuk tujuan yang sama. Kalau masa singkat, disyorkan datang masa musim sejuk iaitu hujung tahun.

Motor yang digunakan di Tarim

3. Perjalanan paling mudah buat masa ini bermula dari KLIA dan terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Muscat, Oman ( 6 jam lebih) kemudian ke Lapangan terbang Salalah, Oman (sejam lebih). Dari Salalah Oman naik bas ke Tarim Yaman mengambil masa antara 12-15 jam. Ada jalan lain iaitu dari KLIA ke Kaherah, Mesir ke Sayun, Yaman, tetapi kosnya lebih besar. Kos flight saya tempah kurang dari seminggu dalam RM3.6k dengan tempoh transit yang singkat.

4. 2 minggu sebelum bertolak ke Tarim, sebaiknya tulis surat ke Kedutaan Malaysia di Oman, letakkan tarikh anda akan ke Yaman dan pulang ke Malaysia. Kedutaan Malaysia akan reply dengan surat kebenaran untuk pulang ke Malaysia dari Yaman ke Oman bersama surat kebenaran Kementerian Luar Oman. Pada mulanya saya terlepas pandang hal ini. Saya sediakan surat tersebut semasa saya di Tarim, email ke kedutaan Malaysia di Oman, alhamdulillah tak sampai 5 jam saya sudah terima surat kebenaran dari kedutaan Malaysia dan Kementerian Luar Oman. Ini email kedutaan Malaysia di Oman mwmuscat.kln@1govuc.gov.my. Emailkan surat, salinan tiket flight dan salinan IC.

Surat kebenaran dari Kementerian Luar Oman

Surat pengesahan dari kedutaan Malaysia di Oman
5. Setibanya di Lapangan Terbang Muscat terus tukar duit Rial Oman dan bayar duit visa (5 Rial). Ketika ini 1 Rial Oman bersamaan RM12. Dan sebelum nak ke Tarim, Yaman dengan bas, sebaiknya simpan sikit duit Rial Yaman. Boleh tukar di Airport Salalah. Sebab untuk visa nanti ialah sebanyak 4000 Rial Yaman bersamaan RM45. 100 Rial Yaman bersamaan RM1.50

6. Kondisi bas dari Salalah ke Tarim antara average dan below average. Saya naik bas syarikat Gulf Transportation Company. Akan ada beberapa tempat yang akan berhenti untuk ke tandas seperti sempadan Yaman, Sempadan Oman dan juga sebuah kedai makan di Yaman. Di kedai makan Yaman ini boleh makan roti atau nasi dengan lauk ayam, atau daging atau telur. Kos dalam 2000-5000 rial yaman.

Pemandangan depan pintu masuk Darul al Mustafa

7. Perjalanan agak penat dari Salalah ke Tarim dengan kondisi bas sebegini. Bas saya hanya buka aircond apabila tiba di sempadan Yaman. Perjalanan akan merentasi padang pasir dan 2 buah bukit. Perjalanan saya agak mencabar kerana semasa pergi ada lori terbalik ditepi gaung menyebabkan bas saya tidak dapar meneruskan perjalanan. Tapi alhamdulillah saya dapat hitch hiking (tumpang) lori kecil menuju ke Tarim. Dalam perjalanan pulang pula dari Tarim ke Salalah, bas saya rosak dan sangkut di tengah-tengah padang pasir selama sejam sebelum tukar bas ke yang lain. Saya dapat info yang ada bas baru keluaran syarikat lain, nama syarikat bas itu ialah Buroq, dengar kata semua basnya baru. Perjalanan nanti ada banyak check point. Bersiap sedia dengan passport dan tenang selalu. Jika di Oman, senjatanya lengkap seperti dalam counter strike. Jika di Yaman biasanya menggunakan AK47. Boleh nampak perbezaan di situ.

8. Setibanya di Tarim, boleh terus ke Dar al Mustafa. Tetamu ada beberapa pilihan untuk penginapan. Pertama tinggal dalam Dar al Mustafa, maksimum 3 bulan. Penginapan di Dar al Mustafa bagi tetamu adalah percuma. Untuk penginapan hotel atau apartment 1 malam antara 3000-4000 Rial Yaman (RM45-RM60) bergantung pada jarak antara Dar al Mustafa dan hotel. Pilihan ketiga ialah menginap rumah kawan, seperti saya.

Makanan berasaskan nasi atau roti

makanan ini lebih dikenali sebagai KFC Tarim :)

Seperti roti canai berkuahkan kacang dal

Tokey kedai makan yang mesra
9. Bab makan di sini mudah berasaskan roti seperti roti canai nipis atau nan atau nasi. Lauk ayam golek, atau masak kicap. Kambing dan daging pun ada. Makanan antara 100 rial yaman ke atas.

10. Di sini solat jemaah di masjid dah kira sebagai rutin. Selepas solat berjemaah biasanya ada tazkirah. Dan ada salam keretapi. Ada rezeki boleh bersalam dengan Habib Umar dan ulama-ulama yang lain.

Orang-orang Yaman yang mesra, berbeza dengan Orang Arab yang biasanya agak kasar
11. Bila dah ada di sini, cuba ambil peluang untuk dapatkan ijazah serban dan ijazah kitab Khulasoh al Madad dari Habib Umar. Sampai saja saya di sini, kawan saya sudah beri saya kitab Khulasoh untuk diamalkan. Kitab yang saya terima ini ada translation Bahasa Melayu, lebih mudah untuk faham. Alhamdulillah saya dapat ijazah serban dan ijazah Khulasoh al Madad dari Habib Umar pada hari ke 6 saya di sini selepas solat Subuh. Ada yang sudah 4, 5 tahun di sini, tapi belum berpeluang terima ijazah dari Habib Umar. Oleh itu tanamkan azam, insyaAllah akan dipermudahkan.

Ijazah sanad diberikan oleh Habib Umar bin Muhammad
Kayu sugi sentiasa standby dalam poket
12. Pakaian di sini bagi lelaki ialah jubah dan kopiah serta shawl di bahu. Sugi standby siap-siap dalam poket. Jika takda jubah, boleh bawa baju melayu dengan kain pelikat. Seluar jarang orang pakai di sini. Saya pakai seluar pun masa sampai dan berangkat sahaja. Untuk perempuan niqab dan jubah hitam.

majlis Maulid diadakan di bulan kelahiran Rasulullah SAW

Terdapat juga cybercafe di sini untuk berhubung dengan keluarga di Tanah Air
13. Ketika berada di Tarim, boleh lawat masjid-masjid, makam para auliya, berjumpa dengan Wali Allah yang masih hidup seperti Ainul Tarim, Habib Abdullah bin Shihab dan lain-lain. Pasangkan niat dan sentiasa bersangka baik. Orang yang nampak tua atau selekeh itu mungkin seorang wali. Oleh itu jaga hati dan sentiasa bersangka baik selalu.

Suasana waktu malam di Tarim. Lokasi ini adalah di hadapan Dar Al Mustofa
Akhir sekali, sekali seumur hidup, datanglah ziarah Tarim. Suatu kelainan yang sangat sukar digambarkan. Lagi-lagi bila hati gundah gulana, rasa sibuk sangat dengan hal dunia, ambillah masa off dan ziarah Tarim. insyaAllah akan membentuk pemikiran dan hati kita supaya lebih tenang.
Muhammad bin Kamarulazizi
Pengasas
Kindness Malaysia

Tuesday, January 3, 2017

Petikan Doa dari Kitab Khulasoh Al Madad




Wahai yang Mengetahui rahsia kami. Jangan kau luahkan rahsia kami. Sembuhkan dan maafkan kami.

Aku menangis dan mengadu padaMu, atas keburukan kezaliman dan kebohonganku, atas kejelekan amal dan kelalaianku serta memperturutkan syahwat ini dlan itu. 

Cinta dunia adalah kehinaan. Mandul dari semua kebaikan di dalamnya dan segala cobaan isinya dipenuhi bencana dan kesibukan.

Oh jiwaku yang menyimpang dari jalan yang lurus. Datang menyediakan pangkat yang tujuannya adalah harta dan kedudukan.

Aku telah minta perlindunganMu. Tuhanku, ubati hatiku. Uraikan simpul kedukaanku, maka lihatlah hamburan kesedihanku. 

Wahai Tuhan sebaik-baik Pelindung tetapkan kesihatan sempurna atasku tak ada sesuatu yang tersembunyi dariMu baik yang terperinci mahupun yang kurang nyata.

Sebutan dan rasa syukur untukMu adalah satu keharusan juga pujian dan pengagungan bagiMu. Wahai Tuhan, Kaulah Penolongku. Maka sampaikan semua kebaikan padaku. Jadikan syurgaMu pengakhiranku dan akhiri dalam keimanan hidupku... Amin.

Keratan Qasidah al- Imam Abdullah bin Alwi Al-Haddad (Kitab Khulasah Al Madad)

Sunday, December 25, 2016

Misi Penyucian Jiwa Ke Tarim, Yaman Episod 7 - Tawadhu dan Rendah Diri



Para auliya dan ulama di sini tidak pernah gagal untuk buatkan saya rasa kagum. Saya terfikir apalah amalan yang dilakukan oleh mereka sehingga mereka boleh capai ke tahap ini. Biasanya kita lihat, bila seseorang itu mempunyai kedudukan atau ilmu yang tinggi, sudah pasti sukar didekati sebab mereka adalah the special one.

Di sini, ada masa mereka akan salam keretapi biasanya dilakukan selepas selesai solat. Semua makmum akan bersalaman antara satu sama lain. Dan bila kita bersalaman dengan auliya dan ulama, kita akan tunduk dan cium tangannya. Tapi adakala berlaku juga bila kita cium tangannya, beliau yakni para auliya mahupun ulama akan cium tangan kita balik. Ya, mereka cium tangan kita. Kita yang kurang ilmu, kasyaf mahupun karomah pun takda, mereka boleh pula letakkan taraf mereka sama dengan orang-orang yang biasa macam kita. Inilah ketinggian budi pekerti yang jarang malah saya tak pernah lihat. Ego kerana ilmu dan maqam yang tinggi seolah-olah langsung tiada.

Salam keretapi selepas solat

Setiap kali selepas solat berpeluang untuk bersalaman dengan Habib Umar
Norma kehidupan, bila ilmu tinggi, ego itu akan naik sekali walaupun tanpa sedar. Ego itu seperti mahu layanan istimewa, mahu dihormati dan lain-lain. Tapi beza di sini. Ego itu tidak bawa erti apa-apa. Setiap perbuatan yang dilakukan oleh para auliya dan ulama di sini meresap masuk dengan mudah dalam masyarakat kerana mereka menjadi contoh yang baik buat semua.

Semoga kelak nanti bila kita dah berduit, berjawatan tinggi malah berilmu, ego kita tetap di bawah, sedar diri yang kita ini hanyalah sekadar hamba padaNya, amin.

Al-Quran diwaqafkan untuk ibu bapa, keluarga dan rakan-rakan

Al Quran untuk diwaqafkan
Tinggal sehari sahaja lagi. Alhamdulillah banyak tempat dapat ziarah, tapi nak cari souvinor tak banyak pilihan. Mubin bagi satu idea yang sangat baik. Saya belikan sebuah Quran, wakafkan di Masjid Darul Mustafa dan diniatkan untuk ibu bapa saya, isteri, keluarga, rakan-rakan Kindness Malaysia, Madrasah Hashimiah, kawan-kawan serta semua yang biasa membantu secara langsung dan tidak langsung. Dengan cara ini insyaAllah semua akan dapat manfaat dariNya, amin.

Muhammad bin Kamarulazizi
Pengasas
Kindness Malaysia


Saturday, December 24, 2016

Misi Penyucian Jiwa Ke Tarim, Yaman Episod 6 - Ijazah Bersanad


Alhamdulillah, tidak pernah terfikir untuk menerima guru sanad dan tak pernah tahu pun. Bila seorang rakan pesan supaya dapatkan guru bersanad, saya pun bertanya kepada Mubin, apa itu guru bersanad?

Dan hari ini alhamdulillah, saya menerima Ijazah Khulasah Al Madad dan Ijazah Serban dari Habib Umar. Saya berkongsi sedikit tentang Kindness Malaysia dan Madrasah Hashimiah dan Habib Umar banyak bertanya tentang Madrasah Hashimiah. Akhirnya beliau beri nasihat dan ucapkan Barakallah. Sejuk hati saya, alhamdulillah.

Habib Umar memberi nasihat

Lebih 50 orang menunggu giliran untuk berjumpa dengan Habib Umar selepas solat
Ijazah atau guru bersanad ini ialah ilmu sunnah yang diturunkan dari seorang guru yang sanadnya bersambung hingga ke Rasulullah. Oleh itu lepas ini, untuk berserban, saya sudah ada guru sanad, dan untuk kitab Khulasa Al Madad, juga saya sudah ada guru sanad. Kitab inilah yang kongsikan doa-doa para wali dan doa serta zikir dari ayat Al Quran dan hadis Rasulullah. Khulasah Al Madad ini bermaksud Intipati Pertolongan.

Ijazah serban dan kitab Al Khulasah al Madad diturunkan kepada saya dari Habib Umar


Semoga dengan ilmu ini dapat manfaatkan, keluarga, Kindness Malaysia, Madrasah Hashimiah dan semua rakan-rakan, insyaAllah.

Muhammad bin Kamarulazizi
Pengasas
Kindness Malaysia

Misi Penyucian Jiwa Ke Tarim, Yaman Episod 5 - Tauladan Dari Auliya

Di Masjid Ba'alawi

Alhamdulillah, hari ini berkesempatan melawat masjid dan juga makam para auliya. Di sini saya berada di Masjid Ba'alawi. Menurut kata-kata para Wali, setiap hari Jumaat, Nabi Khidir akan datang solat di sini. Teringin juga saya nak tunggu untuk solat Asar di sini, mana tau ada sekelumit peratusan untuk berjumpa dengan Nabi Khidir.

tempat ambil wudhu, boleh mandi juga di sini

setiap masjid akan mempunyai tempat untuk minum air

Masjid di sini hampir semuanya diperbuat daripada tanah dan ada yang hampir 1000 tahun. Dan semua ada tempat waqaf air dimana air boleh diminum dengan percuma. Ada juga ruang untuk ulama beruzlah, dimana ruang itu agak kecil dan hanya boleh muat seorang sahaja.

Hari ini saya pelajari satu kata-kata yang punya kebenarannya. Jika kita bertemu dengan pemimpin atau orang berjawatan tinggi, kita akan jaga pakaian dan tutur kata tetapi jika kita bertemu dengan para auliya dan ulama, kita haruslah menjaga hati kita.

salah satu tempat contoh para auliya beruzlah

di Masjid Muhdar yang mempunyai menara yang diperbuat daripada tanah yang tertinggi di dunia

Kami juga ke Inad untuk ziarah rumah dan makam Sheikh Abu Bakar Salim. Wali Allah ini mempunyai pelbagai kisah yang menarik. Saya nak tahu tentang amalannya, kerana itu yang membuatkan beliau istimewa. Salah satu amalan yang dilakukannya ialah beliau bersama pembantunya akan membuat roti sebanyak 700-1000 keping untuk diagihkan kepada orang ramai terutama yang miskin. Pengagihan roti ini dilakukan setiap hari! Saya melihat sendiri tempat uli dan bakar roti itu, dan terbayang bagaimana dia mempunyai kudrat untuk menghasilkan 1000 roti setiap hari dan apa yang mendorongnya untuk melakukan amal itu secara berterusan.

Di rumah Sheikh Abu Bakar Salim

Tempat buat roti di rumah Sheikh Abu Bakar Salim
 Mubin beritahu saya, amalan yang paling mudah dan kebanyakan para wali buat ialah beri makan kepada orang ramai lagi-lagi yang kurang berkemampuan. Kalau kita, sekali sekala bolehlah, nak maintain hari-hari itu yang agak mencabar. 

Disebabkan keikhlasan para wali dalam melakukan kerja-kerja amal, ditambahkan lagi dengan mujahadah (push diri sendiri habis-habisan) dalam melakukan ibadah, maqam mereka dinaikkan dan datangnya pelbagai karomah. Kalau nak bandingkan ibadah yang dilakukan, agak mustahil untuk kita buat. Sheikh Abu Bakar Salim ini berjaya mengekalkan wudhu solat Isyak sehingga solat Subuh selama 40 tahun. Maknanya bila beliau nak lakukan tahajid qiam semua, wudhu yang sama digunakan dari Isya hingga Subuh dan berjaya dilakukan selama 40 tahun. Itu mujahadah yang dilakukan olehnya.

Di dalam rumah Sheikh Abu Bakar Salim
Kita pula macam mana? Kerja amal charity pun tak banyak, takut ada sulam rasa nak glamour saja, astaghfirullah. Amal ibadah pun nak solat jemaah pun dapat time solat Jumaat saja. Semoga Allah beri kekuatan kita untuk lakukan kerja amal biar pun sedikit, tetapi berterusan. Begitu juga dengan amal ibadah kita, insyaAllah.

Muhammad bin Kamarulazizi
Pengasas
Kindness Malaysia

Thursday, December 22, 2016

Misi Penyucian Jiwa Ke Tarim, Yaman Episod 4 - Akhlak



Inilah yang dicari selama ini. Manusia yang kaya dengan adab. Bukan seorang, tetapi hampir semua orang yang saya ketemu. Tutur bicara sangat lembut, senyuman tidak pernah lekang, dan senyuman ini genuine. Senyuman yang datangnya dari hati sanubari. Dan bukannya senyuman sekadar untuk pr seperti yang biasa dilihat di tempat lain.

Makan santai atas tikar atau karpet
Pelajar yang belajar di sini ada dari Yaman sendiri, dari Malaysia, Indonesia, US, Eropah dan dari negara Arab. Semua senyuman ikhlas. Pagi ini semasa sarapan di warung, saya cuba curi-curi dengar perbualan mereka. "They have very beautiful akhlak..." kata seorang pelajar, muka seperti melayu tapi English cair slang Amerika sambil sulam Bahasa Arab. Itu yang dibualnya, memuji akhlak orang lain yang lebih baik. 

Salah sebuah kedai makan yang berhadapan dengan Dar Al Mustofa

Roti dan kacang untuk sarapan

Tengahari nasi dengan ayam golek dan ayam kicap
Jarang sekali saya dengar orang berbual begini. Sangat positif, pelajari semuanya yang baik-baik sahaja. Tiada pun pasal mengata orang, mahupun umpatan atau perihal kebendaan seperti yang biasa dilihat di wall Facebook.

Saya rasa inilah akhlak yang diterapkan oleh para ulama di sini. Mereka menjadi contoh dan akhlak mereka menyerap dalam pelajar-pelajar serta masyarakat sekeliling. Sememangnya mencontohi akhlak Rasulullah SAW.

aktiviti waktu petang bermain bola sepak
Buat Projek Sugi di Tarim

Mubin meletakkan sugi di tempat rawak untuk diketemui oleh pelajar-pelajar Dar Al Mustafa

InsyaAllah Malaysia pun boleh capai tahap begini satu hari nanti. Ramai pelajar Malaysia yang belajar di sini, dan akan pulang jadi contoh kepada rakyat Malaysia. Kindness Malaysia pun kena kerja lebih keras macam ni. Jika Tarim boleh, Kuala Lumpur pun pasti boleh, insyaAllah.

Muhammad bin Kamarulazizi
Pengasas
Kindness Malaysia

Misi Penyucian Jiwa Ke Tarim, Yaman Episod 3 - Budi Pekerti




Saya sangat respect ilmuwan yang down to earth, rendah diri dan baik budi pekerti. Hari ini sempat dengar ceramah oleh Habib Umar mengupas kitab Ihya Ulumuddin. Dalam Bahasa Arab, so saya cuma tengok mimik mukanya sahaja sebab tak brapa nak dapat tangkap semua perkataan yang diucapnya.

Pelajar-pelajar mengagihkan air kosong dingin

Semua yang mendengar ceramah akan dapat menikmati air kosong ini

Air yang dikongsi bersama

Apa yang menarik ialah, semasa ceramah berlangsung, ada orang akan bawa air kosong dalan kole dan diberikan kepada semua yang hadir. Air minum bukan sahaja disediakan untuk penceramah, tetapi untuk semua. Part ini saya amazed, well this is what is kindness all about. Minum sikit pun dah hilang dahaga. Inilah rasanya barokah.

Sejuk tekak bila minum

Habib Umar selaku tuan rumah merangkap pengasas Dar Al Mustofa, sediakan air untuk hadirin yang hadir ceramahnya. Budi pekerti yang sangat tinggi dan saya kagumi. Hampir setiap hari ada sambutan Mawlid. Semua jemaah yang hadir dapat air kopi halia. Rasanya memang terbaik. Teringat seorang kawan rapat yang suka dengan teh halia kaw punya. 

Air kopi teh halia untuk semua

Kopi halia yang kaw!

Hari ini yang dipelajari ialah melayan tetamu. Dikisahkan, Habib Umar pernah berkata sewaktu daurah (belajar kitab short course biasanya 40 hari), 
"Anda semua yang hadir hari ini adalah tetamu saya. Saya sepatutnya basuhkan baju kamu semua, sediakan makanan, tetapi saya memang tidak mampu untuk lakukannya. Oleh itu bagi mereka yang telah membantu para tetamu kita yang hadir, saya ingin ucapkan terima kasih sangat-sangat..." ~ Habib Umar bin Muhammad.
Sifat baik hati para ulama di sini saya rasa macam speechless. Tokoh yang dihormati, tapi sentiasa meletakkan diri sama taraf dengan orang lain. Muliakan lagi orang lain lagi-lagi apabila tahu mereka adalah tetamu. InsyaAllah kita pun doakan agar kita dapat jadi baik seperti ini. Muliakan tetamu dan orang yang datang lawat kita.

Muhammad bin Kamarulazizi
Pengasas
Kindness Malaysia

Wednesday, December 21, 2016

Misi Penyucian Jiwa Ke Tarim, Yaman Episod 2 - Nasihat Pertama



Nasihat yang pertama saya terima sebelum tiba di Tarim ialah sentiasalah bersangka baik pada orang. Mubin nasihatkan saya begitu. Rupanya nasihat ini datang dari salah seorang Wali yang masih hidup, dengan gelaran Ainul Tarim, atau Eyes of Tarim. Nama sebenar beliau ialah Habib Abdullah bin Syihab. Terlalu banyak karomah saya dengar tentang dirinya dan beliau antara Wali yang sangat terkenal di Tarim.

Bersama Habib Abdullah bin Syihab

Bersama Habib Hussein bin Umar al Haddad
Gambar di atas pula juga salah seorang Wali yang bernama Habib Hussein bin Umar al Haddad. Ini agak sukar untuk saya kawal impresi pertama terhadapnya. Kerana beliau rajin mengusik dan memanggil saya semasa lalu di hadapannya. Pada awalnya saya tidak tahu yang beliau juga seorang Wali. Saya anggukkan sahaja bila beliau berkata-kata. Ramai yang ingin mendampinginya. Rupanya seorang Wali. Saya mohon ambil gambar dengannya dan beliau rajin bermesra bercakap dalam bahasa Melayu.

Alhamdulillah hari ini berkesempatan untuk berjumpa dengan 2 orang Wali Allah, saya hanya mampu mohon doa dan nasihat daripada mereka. Bila berpeluang untuk berjumpa dengan insan sebegini, rasa seperti tidak percaya yang masih ada lagi manusia yang hidup matinya hanya untukNya. Tiada langsung cinta pada dunia, tempat tinggal pun sekadar cukup. Pakaian pun biasa sahaja. Duduk pun atas tikar biasa yang mungkin kurang selesa. Wajah sentiasa tersenyum dan sangat mudah untuk didekati.

Amalan yang perlu belajar ialah sentiasalah bersangka baik. Dalam English orang kata first impression. Biar buruk pakaiannya, atau xikut fesyen sekali pun, mungkin amalan beliau lebih tinggi. Si A mungkin nampak macam otak tak betul, tapi kita mungkin tak tahu yang dia seorang yang kuat ibadah. Elak dari bersangka buruk, lagi-lagi bila melalukan impresi yang pertama terhadap seseorang. Apa yang terdetik dalam fikiran itulah yang melambangkan apa yang ada dalam hati. Semoga hati kita semua sentiasa bersih dan tenang, amin.

Muhammad bin Kamarulazizi
Pengasas
Kindness Malaysia

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...